PI KONGSIKAN DENGAN IZIN PENULISNYA CERPEN YANG SANGAT MENARIK INI. CERPEN INI DISIARKAN MINGGUAN WANITA AHAD LALU. TERIMA KASIH KEPADA PENULISNYA NOORLAILA GHAFAR YANG MAHU KARYANYA TURUT DIIKUTI KAWAN-KAWAN YANG GEMAR SINGGAH KARYAKU. TERIMA KASIH BANYAK YA...KAWAN-KAWAN..
APA
DAYAKU
-
Karya : Noorlaila
Ghafar
Kadang-kadang Noralia merasakan dunia berlaku tidak adil kepadanya. Kadang-kadang
dia terasa undang-undang negara tidak adil kepada wanita-wanita sepertinya.
Kadang-kadang dirasakan ceramah-ceramah yang pernah didengarnya di kaca
televisyen, untuk membela nasib kaum wanita yang didera suami hanya retorik.
Artikel-artikel yang menjelaskan hak-hak wanita di dalam majalah-majalah atau di dada-dada
akhbar yang pernah dibacanya tidak membantu.
Untuk
menghubungi Umi pun dia tidak mampu kerana telefon bimbit dirampas lelaki itu.
Cemburu lelaki yang telah bergelar suaminya itu sentiasa mengawal seluruh
kebebasan hidupnya. Hidup umpama burung dalam sangkar, hanya mata terlepas
badan terkurung. Nikmat terbang telah tiada. Bagaimana dia mahu keluar membuat
aduan kalau dirinya sentiasa dikurung? Bagaimana dia mahu mendapat rawatan
doktor selepas tubuhnya lebam-lebam dipukul?
“Umi, tolong.
Tolong Along, Umi... Adik, tolong kakak, Dik...” Noralia menjerit . Tetapi
tiada siapa mendengar jeritan sanubarinya. Hanya sepi menemani kegelapan
malamnya.
“Tolong...
Tolong Along, Umi...” Jeritan itu terus bergema di relung hatinya. Wajah Umi
dan Adik dirindui amat. Wajah Walid yang telah lama kembali kerahmatullah turut bergentayangan di ruang mata. Sesekali
bunyi katak memanggil hujan Disember saling bersahutan. Sesekali dingin angin
Monsun Timur Laut menyapa tubuh kurusnya, yang dibaluti telekung putih bersulam
indah pemberian Umi. Dinginnya menusuk hingga ke tulang hitam
Mengenang Umi,
nubarinya bagai ditusuk tajam sembilu. Sedih dan kesal silih berganti kerana
kedegilannya tidak menerima nasihat Umi.
Kini jiwa dan jasadnya terpenjara akibat kedegilannya. Bagaimana dia mahu melepaskan diri dari
jeriji-jeriji yang memagari diri dan hatinya? Bagaimana...?
“Umi, maafkan
Along.. Maafkan Along, Umi..” Esak
tangisnya tenggelam dalam relung jiwanya yang kosong. Untuk kesekian kali air
matanya tumpah meratapi takdir.
“Oh Tuhan, aku
sudah tidak mampu menanggung dugaan
ini.” Dia merebahkan dirinya di atas sejadah ungu, hadiah daripada Adik.
Hanya telekung dan sejadah itulah pengubat rindunya kepada Umi dan Adik. Setiap
kali menyarung telekung itu, terasa dirinya dalam pelukan Umi. Terasa panasnya kasih Umi yang tiada
tepinya. Benarlah kasih ibu membawa ke syurga. Terasa dekatnya Adik di sisi,
setiap kali menatap sejadah itu. Lukisan Kaabah yang tertera di tengah-tengah
sejadah bagai dirinya amat dekat dengan
Baitullah.
“Dik, hati kakak
seungu sejadah pemberianmu.”
Telekung dan
sejadah itulah yang terus mendekatkan dirinya kepada Allah swt. Dia yakin amat, Allah swt mendengar suara
hatinya. Mendengar rintihan jiwanya. Dia tahu, doanya terjawab bersama
berlalunya waktu. Dia tidak kesorangan dalam kegelapan dan kesepian malam ini.
“Demi
waktu dhuha (ketika matahari naik sepenggalah) dan demi malam apabila telah
sunyi. Allah tidak pernah meninggalkan engkau (Muhammad) dan tidak pula
membencimu. Dan sesungguhnya, yang
kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan. Kelak Allah swt akan
memberikan kurnia-Nya dan hatimu pasti akan puas. Bukankah dulu engkau seorang
yang yatim? Lalu Allah melindungimu. Dulu engkau dalam keadaan binggung lalu
Allah memberi petunjuk. Dan Dia mendapati kamu dalam serba kekurangan, lalu Dia
mencukupkan. Maka terhadap anak yatim janganlah engkau berlaku sewenang-wenang.
Dan terhadap orang yang meminta-minta, janganlah engkau mengherdiknya. Dan
terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau bersyukur.”
Membaca Surah
93, Surah Ad-Dhuha yang mengandungi sebelas ayat itu menginsafkan dirinya.
Beberapa kali Noralia beristigfar. Sesungguhnya dia tidak bersendirian. Allah swt sentiasa
bersamanya. Allah swt sentiasa mendengar doanya. Didakapnya al-Quran milik
gemulah Tok Wan. Dia, Adik dan sepupu-sepupunya mengaji dengan Tok Wan.
Sesungguhnya Tok Wan guru Quran terbaik yang pernah ditemui. Merdu suara Tok
Wan melagukan ayat-ayat cinta bertajwid bagai
masih terngiang-ngiang di telinganya. Kini Tok Wan telah tiada, menyusul
Walid ke alam barzakh.
Nostalgia
bersama gemulah Walid bertandang dalam kotak kenangan. Walid yang begitu garang
dan tegas dalam mendidik mereka dua beradik, terutamanya dalam soal solat.
Masih membasah kenangan itu, ketika Walid menyiram segayung air , apabila pada
suatu hari minggu, pagi jumaat, dia dan Adik terlewat bangun. Begitulah Walid
akan sentiasa memastikan anak-anak menunaikan fardhu yang lima.
“Ya
Allah, ampunkan dosa-dosa Walid, cucurilah rahmat ke atas rohnya. Tempatkanlah
dia bersama para Solehhin. Jauhkanlah Walid daripada azab kubur. Aminnn.” Hanya
doa itu yang mampu dipanjatkan saat Noralia mengenang Walid. Walid pergi saat
usianya baru menginjak dua belas tahun. Meninggalkan Umi yang masih muda. Dia kagum dengan ketabahan Umi hingga saat
ini masih tidak berkahwin lain. Dia kagum dengan kesabaran Umi bertahun-tahun
menjaga Walid yang sakit hingga Walid dijemput Illahi.
Kehadiran
Azrul dalam hidup Noralia bagai dinantikan. Barangkali kekosongan yang
ditinggalkan oleh Walid membuatkan dia begitu mudah menerima cinta lelaki.
Nasihat Umi supaya menyelesaikan dahulu kuliahnya yang hanya tinggal setahun
lagi tidak dihiraukan. Pujukan Azrul
untuk segera mengakhiri cinta mereka dengan akad yang suci, meyakinkan hatinya
bahawa lelaki itu benar-benar ikhlas. Azrul terus merayu, walau pun telah bergelar
isteri, lelaki itu akan terus memberi izin dia meneruskan kuliah. Lebih-lebih
lagi apabila ibu Azrul menemui Umi. Akhirnya Umi terpaksa akur dengan cintanya.
Umi merestui cinta mereka dengan ijab dan kabul. Harapan Umi, menantu lelaki
ini boleh menjadi payung pelindung. Menantu boleh menjadi dahan kukuh tempat
berpaut.
Tetapi
kebahagian yang diimpikan tidak menjadi realiti. Harapan bahagia hanya tinggal
mimpi. Realiti rumah-tangganya hanya
kengerian. Rumah-tangganya dipagari tembok cemburu suami yang tinggi bagaikan
tembok besar Negara China. Noralia terpenjara di dalamnya. Noralia terpisah
dari dunia luar. Paling melukakan dia dipisahkan daripada insan-insan yang
disayangi. Dipisahkan daripada Umi... Dipisahkan daripada Adik...
Mengingatkan
tembok besar Negara China yang pernah dibaca daripada buku-buku sejarah negara
itu, dia terbayang nasib gundik-gundik
Maharaja China. Tetapi nasib mereka pastinya lebih baik daripada takdir
dirinya. Malahan ramai gadis-gadis China zaman itu, berebut ingin menjadi gundik
Maharaja. Tinggal dalam mewah istana, dilayani dayang-dayang. Tubuh bersalut
indah kain sutera dan emas permata menghias diri. Pastinya mereka gembira walaupun hanya
setahun sekali menerima giliran dikunjungi Maharaja. Aduhai betapa ramainya
gundik Maharaja China!
Noralia hanya
mampu memandang kegelapan malam dari dalam rumah. Rumah yang baru dirikan
setelah beberapa bulan usia perkahwinan mereka, bersebelahan rumah ibu
mertuanya. Semua barang kemasnya pemberian Umi digadaikan oleh Azrul untuk menyiapkan
rumah ini. Gelang, cincin, subang dan rantai leher dengan loket yang berukir
nama Noralia dipajakgadaikan. Malah
cincin tunang pemberian lelaki itu turut diambil semula. Cincin tunang juga
dipajakgadaikan.
Sebelum itu Azrul sudah menunjukkan tembelangnya.
Meminta semula mas kahwin yang diberi,
dengan alasan untuk membeli kereta. Baru disedari Myvi yang sering dipandu
suaminya adalah milik abang ipar. Noralia berkeras tidak mahu mengeluarkan wang
tersebut yang telah disimpan di dalan bank. Tetapi akhirnya dia terpaksa akur
setelah kedua-dua pipinya menerima tamparan demi tamparan dari tangan sasa
lelaki yang baru seminggu bergelar suaminya. Baru seminggu mereka diikat akad,
Merah pipinya terasa perit. Merah inai di jari masih belum hilang, dirinya telah
menjadi mangsa.
Noralia hanya
mampu bersabar. Bersyukur masih diberi izin meneruskan kuliah. Setiap pagi
Azrul akan menghantar ke kampus, yang kebetulan tidak berapa jauh dari rumah.
Kerana cemburu atau barangkali takut rahsia rumah-tangganya terbongkar, setiap
hari Azrul sanggup menunggu di dalam kereta hingga kuliah berakhir. Noralia
tidak berani membantah. Meneruskan kuliah sudah cukup memberi sedikit kebebasan
kepadanya. Apa yang ada dalam minda fikirnya ketika itu, hanya ingin
menggenggam segulung ijazah. Dia gigih berusaha untuk lulus peperiksaan, walau
terpaksa mengharungi gelora ombak rumah-tangga yang membadai. Dia yakin doa Umi
sentiasa mengiringi.
Hanya kepada-Mu
ya Allah, syukurnya melimpah apabila menatap
keputusan peperiksaan yang tertera di skrin komputer. Ketika itu, Noralia dibenarkan Azrul
mengikutnya ke Siber Cafe milik mereka. Azrul telah meminjam wang Umi dalam
jumlah yang agak besar untuk membuka perniagaan Siber Cafe itu. Noralialah yang
menjadi orang tengah memujuk Umi supaya memberi pinjaman itu. Dengan alasan
setelah tamat pengajian, Noralia akan bersama Azrul menguruskan Siber Cafe.
Demi kasih Umi kepada anak-menantu, Umi sanggup membuat pinjaman. Sebagai kaki
tangan kerajaan, tidak sukar untuk Umi membuat pinjaman peribadi daripada Bank
Rakyat. Pastinya Umi terpaksa berjimat kerana setiap bulan gajinya dipotong
untuk melunaskan pinjaman itu.
“Oh.. Umi,
maafkan Along. Abang Azrul yang mendesak Along. Along tidak pernah berpeluang
menceritakan ketidakjujuran suami kepada Umi. Hidup Along dikawal rapi dan
sentiasa diintip. Kalau membantah, sepak teranjang sebagai hadiah. Memikirkan kuliah, Along terpaksa mengalah.
Menelan segala kepahitan ini.”
Dia tahu,
suaminya tidak segan-silu bertemu pensyarahnya kalau ada yang tidak berkenan di
hatinya. Dia takut kalau dibuang dari kolej. Dia tidak mahu mengecewakan Umi
andainya gagal dalam pelajaran. Dengan
rasa ketakutan itulah dia memujuk Umi membuat pinjaman, walaupun sebenarnya dia
telah mengecewakan Umi. Azamnya setelah tamat pengajian dia akan melarikan diri
daripada cengkaman lelaki yang sudah tidak dicintainya lagi.
Sejak petang
tadi, Azrul menunaikan fitrah di rumah isteri yang lain. Sebelum keluar Azrul
telah mengunci rumah mereka dari luar!
“Apa dayaku
kerana aku perempuan. Bagaimana kudrat wanitaku untuk merungkai kusut masalah
ini.” Sebelum bernikah, sesungguhnya Noralia tidak tahu Azrul telah beristeri
dan telah mempunyai dua orang anak. Sungguh bijak sandiwara Azrul. Norlia yang
masih mentah, tertipu oleh lakonan lelaki itu. Malah ibu Azrul turut memainkan
peranan dalam sandiwara itu. Lebih mengejutkan, apabila Noralia mendapati
dirinya merupakan wanita ketiga menjadi isteri Azrul! Isteri abang iparnya juga
memaklumkan bekas isteri pertama Azrul lari dari rumah, dan kini mereka telah
bercerai.
Kemudian Azrul
menikah lagi di sempadan. Noralia tidak menyangka, dia telah merampas suami
orang! Dan kini Azrul telah merampas seluruh hidupnya... Dia juga dimaklumkan
madunya tidak dapat menuntut penceraian kerana pernikahan mereka tidak disahkan
di Malaysia. Tanpa surat nikah yang sah, bagaimana umtuk menuntut penceraian?
Aduhai bagaimana nasib wanita itu? Sesekali terdetik pertanyaan di hatinya.
“Apakah dia juga
seperti diriku? Apakah dia juga tidak dibenarkan memiliki telefon bimbit?
Apakah dia juga sering dipukul dan disepak-terajang?”
Hasrat untuk bercerai masih buntu. Usaha
melarikan diri menemui kegagalan. Noralia pernah keluar rumah sehelai
sepinggang tanpa sesen di tangan. Untuk
menghubungi Umi juga tidak mampu kerana telefon bimbitnya dibawa suami. Mujur
Pakcik pemandu teksi yang dinaikinya mempercayai dirinya dan sanggup menghantar
ke rumah dengan janji akan membayar tambang teksi apabila sampai di rumah Umi.
Sepanjang perjalanan pulang, yang mengambil masa hampir dua jam dirasakan terlalu lambat.
Tidak berhenti-henti bibirnya berselawat dan berdoa agar perjalanannya selamat.
Umi terkejut
melihat kehadirannya. Mereka saling berpelukan dan tenggelam dalam banjir air
mata. Kesedihan jelas terpamer di wajah Umi. Bimbang Azrul menjejaki
langkahnya, Umi membawa Noralia menumpang buat sementara waktu di rumah Pak
Ngah, di kampung berhampiran.
Benar, telahannya. Azrul datang
menngamuk-ngamuk mencari Umi di tempat kerja setelah gagal mencari Noralia. Umi
terpaksa minta izin pulang awal, untuk
melayani kerenah Azrul kerana malu. Malam itu Azrul tidur di rumah Umi. Umi
cuba menghubungi pihak polis, tetapi pihak polis tidak dapat berbuat apa-apa
kerana Azrul masih menantunya. Undang-undang apakah ini?
Dengan
bersembunyi-sembunyi Pak Ngah membawa
Noralia ke bandar dengan kereta seorang kawannya, untuk menemui seorang peguam
wanita. Setelah berbincang, peguam itu bersetuju membawa kes Noralia ke
mahkamah untuk membuat tuntutan fasakh. Setelah selesai menandatangani
borang-borang yang berkaitan, Noralia ke utara tanah air, ditemani Pak
Ngah. Pak Su dan isterinya telah
dimaklumkan tentang kehadiran mereka. Dia bersembunyi di rumah Pak Su,
sementara menunggu dipanggil ke mahkamah untuk sebut kes.
Beberapa minggu
kemudian Pak Ngah datang mengambil dirinya untuk hadir ke mahkamah. Pak Su
sengaja tidak menghantar Norlia pulang, untuk mengelakkan Azrul menghidu tempat
persembunyian ini. Umi, Adik dan beberapa orang keluarganya turut hadir ke
mahkamah. Betapa terkejutnya mereka, apabila Azrul hadir bersama berpuluh-puluh
keluarga dan kawan-kawannya. Malah Azrul turut membawa bomoh ke mahkamah!
“Aduh...
sakitlah, lepaskan.. lepaskan...” Noralia menjerit saat Azrul menerpa dan
memegang pergelangan tangan kanannya. Semakin dia cuba meronta semakin kuat
cengkaman tangan sasa lelaki itu.
Suasana di dalam
mahkamah menjadi kecoh. Semua mata di dalam mahkamah tertumpu kepada mereka.
Norlia amat malu. Azrul bagai orang hilang akal. Tanpa malu dan segan cuba
memeluknya. Azrul merayu-rayu supaya Norlia menarik balik tuntutan fasakh. Tuan
Hakim terpaksa memanggil mereka ke dalam bilik untuk Sebutan Kes tuntutan
fasakh itu. Sepanjang berada di dalam bilik di depan Tuan Hakim, Azrul tidak
melepaskan pergelangan tangan kanannya. Masih terngiang-ngiang di telinga
Norlia, kata-kata Tuan Hakim;
“Oh.., Sayang
sangat kat isteri. Tapi pukul isteri?”
Setelah selesai
urusan Sebutan Kes. Azrul mengheret Norlia keluar dari mahkamah. Norlia
meronta-ronta ingin melepaskan diri. Pihak polis terpaksa dipanggil . Azrul diberkas
dan dibawa ke balai kerana membuat onar di mahkamah.
Pak Ngah
menghantar semula Norlia bersembunyi di rumah Pak Su. Hidupnya bagai pelarian.
Dirinya ibarat pendatang tanpa izin. Takut untuk keluar rumah. Takut untuk
mencari kerja. Kadang-kadang untuk bersiar-siar bersama keluarga Pak Su pun
takut. Takut seharian di rumah, ketika Pak Su dan isterinya bekerja. Dia takut ditemui Azrul, kerana dia masih
bergelar isteri kepada lelaki itu.
Ketakutan itu
menjadi kenyataan, apabila suatu pagi, saat Norlia bersendirian di rumah
tiba-tiba wajah bengis Azrul muncul. Belum sempat dia menjerit, Azrul telah
menerkam dan menutup mulutnya. Seorang lelaki lain, pastinya rakan Azrul
menekup hidungnya dengan sehelai sapu tangan yang lembab. Sesaat dia terhidu
bau yang asing daripada sapu tangan itu.
Kepalanya tiba-tiba terasa berat. Alam sekeliling bagai
berpusing-pusing. Tangn sasa Azrul
memaut tubuhnya yang hampir rebah. Terasa tubuh diangkat. Dalam pandangan yang
berpinar-pinar itu, dia nampak seorang lelaki sedang menunggu di dalam sebuah
kereta di tepi pagar. Noralia terasa dirinya dicampakkan ke dalam kereta
bahagian penumpang. Azrul segera melabuhkan diri di sisinya. Kedengaran
pintu-pintu kereta ditutup kuat dan terasa kereta melunjur laju. Selepas itu
dia tidak ingat apa-apa.
Sedar-sedar
dirinya terlantar di atas katil di dalam bilik tidur yang telah dua bulan
ditinggalkannya. Barangkali dia pengsan hampir lapan jam. Azrul ketawa kuat
tanda dia telah menang. Di tangannya sehelai kertas putih, surat daripada
mahkamah untuk hadir perbicaraan. Dengan ketawa yang masih tersisa, tangan
rakus itu mengoyak-ngoyakkan kertas, berkecai-kecai. Hati Norlia bagai
dikoyak-koyak seperti kertas itu., berkecai-kecai. Dia ingin menjerit tetapi
suara itu bagai tersekat di kerongkong.
“Sayang...Pak Su
buat laporan polis, sayang diculik.” Azrul ketawa sambil mengelus-ngelus kepala
Noralia. Mahu saja Noralia menepis tangan itu. Tapi, sesungguhnya dia tidak
berdaya.
“Apa yang polis
boleh buat kalau isteri diculik oleh suami sendiri??” Ketawa ego lelaki itu
semakin kuat. Dia hanya mampu memandang kosong. Di sebalik pintu bilik, senyum
sinis ibu mertua menikam jantung hatinya.
Ketika azan
maghrib sayup-sayup dari surau Noralia bangun untuk menutup daun tingkap.
Pandangannya sempat dilemparkan ke luar dari tingkap bilik yang kini telah
dipagari grill. Oh, di keliling rumah itu kini telah berpagar tinggi. Pagar
yang dibina itu turut memagari rumah ibu mertua di sebelah kanan, rumah abang
ipar di sebelah kiri. Semua tingkap dan pintu telah dipasang grill. Noralia
yakin pasti suami dan ibu mertua membuat perancangan ini, untuk menghalang dia
lari dari rumah. Setiap kali dia dan suami bergaduh, pasti ibu mertua akan
menyebelahi anak lelaki bungsu kesayangannya. Sudahlah badannya sakit-sakit
disepak terajang oleh lelaki yang tidak berhati perut itu. Ibu mertua menambah
kesakitan itu dengan sindiran: Tak pandai jaga suami!
“Bagaimana aku hendak hadir ke Mahkamah pada
hari pembicaraan? Bagaimana aku hendak meneruskan tuntutan fasakh ini?” Bisikan-bisikan
hati Norlia hanya disambut oleh titis-titis hujan di luar, yang lebat menimpa
bumbung rumah. Laungan batinnya hanya disambut oleh keras tiupan angin Monsun
yang menampar-nampar dinding rumah.
Sebelum kejadian
melarikan diri, sesekali Noralia boleh juga menghubungi Umi walaupuan Azrul
akan mendengar perbualan mereka. Pastinya Azrul mahu memastikan dia tidak
mengadu apa-apa kepada Umi! Sesekali Azrul akan membawanya pulang ke rumah Umi,
terutama jika perlu bantuan kewangan. Sesekali Umi dan Adik datang berkunjung.
Tetapi sejak Azrul berjaya menjejaki tempat persembunyiannya, hidupnya semakin
terpenjara. Hidup di sebalik jeriji memeritkan amat. Azrul tidak membenarkan
dia menghubungi Umi. Malah Umi dan Adik tidak dibenarkan datang... Polis tidak ada
kuasa mengambil dirinya atau menangkap Azrul kerana mereka masih suami isteri!
“Oh... di mana
keadilan? Bagaimana aku hendak menuntut keadilan? Bagaimana aku menuntut hak,
andai diri terus berada di sebalik jeriji ini? Ya Allah, tolonglah hamba-Mu
yang lemah ini... Berilah aku kekuatan menghadapi ujian-Mu ini...” Norlia hanya
mampu berdoa dan mengharap.
Tarikh perbicaraan telah berlalu. Norlia tidak
dapat hadir ke mahkamah.
“Azrul, aku tahu
kau gembira. Aku derita dalam kurungan ini. Tapi apa dayaku? ” Norlia hanya
mampu menghitung hari-hari dukanya. Hanya masa yang akan menentukan.
TAMAT.
Hmmm.. Kiranya akak ni pengikut setia Majalah Mingguan Wanita jugakla yer. Sesekali belek-belek memang ada juga cerpen-cerpen yang menarik ditulis hasil nukilan penulis-penulis tempatan.
ReplyDeleteheh...heh..kak xikuti sgt majalah ni cuma kalau ada karya penulis yg kak kenali barulah diintai juga...tq sylarius yusof.
DeleteinsyaAllah...tq MKL.
ReplyDeleteBaru membaca setengah nih kak, nanti diterusin lagi ya :)
ReplyDeletePANJANG CERITANYA TAPI MENARIK MBAK SUSI...TQ
ReplyDeletesalam PI, itu la kesan dari jealousy ek...kuat cemburu.. dulu kawan saya suka bercerpen, dapat duit banyak juga, emaknya pun somebody, penulis majalah apa tah..minang timang...eee sori tak ingat..
ReplyDeleteWSALAM ..YEKE..MEWARISI BAKAT PENULISAN IBUNYALH TU...TAMBAH MUDAH MEMAPARKN IDENYA DLM MAJALAH KELOLALAAN IBUNYA MCM KAK N RAMAI PENULIS LAIN TERPKSA BERSAING UTK DPTKN PERHATIAN EDITOR AGAR KARYA DISIAR...MCM KAK MUDAH JER BUAT BLOG, TULIS N PUBLISH SENDIRI...HEH..HEH..TQ BABYPOSE.
ReplyDeleteAlahai cerpen ini membuat mata kakak dibanjiri air mata.
ReplyDeleteKezaliman begini mungkin masih ada
Pandai penulis mengolah rentetan cerita - menarik!
YA SEDIH MEMBACANYA...BIASANYA APA YG DITULIS ADALAH PEMERHATIAN PENULIS SENDIRI TERHADAP APA YG BERLAKU DI SEKITARNYA...TQ KAKZAKIE.
Deletedialeknya sedikit kurang saya fahami, soalnya terlalu melayu, hehehe tapi ceritanya bagus
ReplyDeleteBAHASA MELAYU TU LUNAK N INDAH XSUSAH MEMAHAMINYA...TQ ZULHAM EFENDI.
DeleteBAHASA MELAYU TU LUNAK N INDAH XSUSAH MEMAHAMINYA...TQ ZULHAM EFENDI.
DeleteZalimnya Azrul tu... Apalah nasib Norallia jika dia kekal di dikurung sebegitu...
ReplyDeleteENTAHLH ZUMAL...TAPI BEGITULAH CERPEN, PENULISNYA TINGGALKAN PERSOALAN UTK DIFIKIRKN...TQ ZUMAL.
Deletebacanya belom beres lumayan panjang, bentar komen dulu entar pasti diterusin lagi bacanya :D
ReplyDeleteXPALAH NABIL FAYADH NANTI DISAMBUNG BACAANNYA...TQ.
ReplyDeletemelankolik...
ReplyDeletebenartu....tq abuya.
ReplyDeleteSangat Jogja bermanfaat Untuk Jogja terimakash Kami tunggu Lawatan baliknya di maklumat kesihatan Khasiat Jelly Gamat Gold G untuk Obat Rematik dan Obat Asam Urat info -> Cara Pemesanan Jelly Gamat Gold G
ReplyDelete