Wednesday 31 August 2022

PANTUN @RADIO KLASIK

ASSALAMUALAIKUM


SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 65




PIC RADIO KLASIK (C)

PANTUN D'KLASIK

ALHAMDULILLAH PANTUN PERTAMA DISIAR RKLASIK 022


Radio Klasik RTM

Isnin 29 Ogos 2022.

Pantun dibacakan

 

 

Di tepi huma mengutip cermai,

basahlah baju lalu dijemur;

rukun bersama hidup pun damai,

        negara maju warganya makmur.


 

Tuesday 30 August 2022

HARI LAHIR

 ASSALAMUALAIKUM


SELAMAT HARI LAHIR NOHAS N ABQORI MOGA SIHAT SEJAHTERA MURAH REZEKI DALAM LINDUNGAN ALLAH SUKSES DUNIA AKHIRAT AMIIN YRBA...





AKHIR OGOS

 

Hari lahir

tanah air

anak bangsa

kenang jasa

.

Gigih wira

walau dura

juang bebas

habis libas

.

Gilang  akal

asa cekal

santun budi

akhir jadi

,

Nusa satu

cinta jitu

bagai nyawa

tidak dua


PARIDAH ISHAK

DMS

30/08/022

Monday 29 August 2022

JULIA

 

ASSALAMUALAIKUM



ULASAN BUKU

Judul: JULIA

Genre : Novel Remaja

Penulis : Amir Hamzah Mohd Wazir

Penerbit : Dewan Bahasa Pustaka

ISBN 978-783-49-3082-0

Bilangan mukasurat : 240

Pengulas : Paridah Ishak

 

JULIA novel terbaru novelis Amir Hamzah Mohd Wazir kelahiran Perak yang amat rajin prolifik menerbitkan karya pelbagai genre sastera dengan tema berbeza. Kali ini pemerhatian Penulis ini menjurus kepada persoalan awal remaja dalam usia 15 hingga 17 tahun yang dipapar dalam novel ini.

Watak utamanya ialah Julia seorang gadis serani beragama kristian yang cantik pilihan Penulis sebagai judulnya juga. Julia anak pada Joseph seorang pegawai  polis yang baru bertukar ke pekan yang berhampiran kampung Bakar Bata. Dia bersama bapanya dan Margaret ibunya berkenalan dengan Zuraidah yang ramah melayani tika mereka makan di restoran, tempat Zuraidah bekerja.

Ekoran itu Julia mengeratkan kemesraan mereka dengan mengunjungi rumah Zuraidah, seorang ibu tunggal dan keluarganya. Anak-anak Zuraidah iaitu Kamal Jamilah dan Hashim menerima kehadiran Julia dengan baik. Mereka semua belajar di sekolah yang sama. Kamal dan Julia dalam kelas 5 Sains 1 di situ. Sara merupakan sahabat Kamal sedari kecil juga seorang pelajar yang bijak. Kamal berpekerti mulia dan disenangi kawan-kawannya.

Abu Kassim dan Zaidi cuba memikat hati Julia dengan menulis surat cinta padanya menjadikan Kamal sebagai posmen dengan memberi upah sebanyak lima ringgit. Julia pula semakin akrab dengan Kamal. Margaret, ibu Julia tidak menyenanginya. Dia merancang menghantar Julia belajar ke luar negara sebaik keputusan SPM diumumkan untuk memisahkan mereka.

Samad merupakan kawan baik pada Samad. Kedua-duanya sering memancing ikan di sungai Kinta bersama Muthu bermandi-manda. Kamal akan ke tempat pembuangan sampah menemani Samad mencari bahan-bahan yang boleh dijual semula untuk menambah rezeki kehidupan kerana ayahnya juga berbuat begitu.

Sewaktu bersama Samad menyelongkar longgokan sampah, Kamal menemui bekas kecil berisi sebentuk cincin emas berbatu permata. Dia menyimpannya.

Julia mengajak Kamal ke Ipoh kerana hendak melihat pameran computer di samping itu sempat menghantar Julia ke gereja. Julia mengenalkan Father Fillipe pada Kamal. Father Fillepe memberinya sampul surat berisi wang 50RM pada Kamal.

Tika remaja rakan sepersekolahan tergilakan basikal bukit yang amat mahal harganya, Samad dan Kamal juga teruja untuk membelinya. Mereka berusaha mengumpul wang. Tapi masih tidak mencukupi.

Samad mengajak Kamal ke masjid. Dia cuba hendak mengeluarkan sedikit wang dari tabung masjid. Namun kelakuannya disedari Imam masjid itu. Kamal pula turut terlibat walau sekadar menemani kawan baiknya. Berita itu cepat tersebar. Dan reputasi Kamal sebagai lelaki remaja yang baik telah tercalar.

Bagaimana Pak Imam masjid itu menyelesaikan masalah dua remaja ini?

Apakah Zaidi dan Abu Kassim mampu menjalin hubungan cinta dengan Julia kerana pandangan Julia terhadap Kamal telah berubah?

 

Apa pula peranan Father Filipe dalam kehidupan Julia?

Julia bersama basikal bukitnya dan cincin berbatu permata membawa pada kesudahan novel ini.

Tahniah novelis Amir Hamzah Mohd Wazir justeru berjaya melakar karya menarik sesuai dibaca para remaja khususnya dan semua peringkat usia. Susunan bahasa bersahaja tidak terlalu lunak tapi meninggalkan kesan tarbiah pada jiwa pembaca. Penulis menghantar pesanan berdasarkan kisah yang dikemukakannya.

Sekiranya berminat memiliki novel menarik ini sila hubungi penulisnya @facebook dan DBP Niaga.  

Friday 26 August 2022

SAYANG DISAYANG

 

ASSALAMUALAIKUM

 


ULASAN BUKU

Judul: SAYANG DISAYANG

Genre : Catatan Kenangan/Memorabilia

Penyusun : Mohd Rois Rinaldi

Penyusun: Rohani Din, DKK

Penerbit : GAKSA ENTERPRISE

ISBN 9786025 906794

Bilangan mukasurat : 416

Pengulas : Paridah Ishak

 

Mengapakah SAYANG DISAYANG dipipilih sebagai judulnya? Perlulah dibaca kisahnya yang ditulis sasterawan/editor buku ini.

Menyelak lembaran buku tebal 416 halaman berjudul SAYANG DISAYANG genre catatan kenangan/memorabilia ini kita akan menemukan catatan sekilas pandang lapan penulis Asean iaitu Dato Awang Sariyan – Kuala Lumpur, Ampuan Berahim Tengah – Brunei, Nadiputra Almahdi – Singapura, Dato Roslan Madun – Kajang, Dr Nor Rakib – Thailand, Karmin Abbas – Singapura, Mahroso Doloh – Thailand, Eva Rouli - Vietnam mengujakan tentang pertemuan yang membenihkan ikatan persahabatan antara kesemuanya dengan sasterawan penulis mapan Singapura, Rohani Din yang lebih dikenali sebagai Bunda Anie Din dan suaminya, Jumadi Safar.    

Bahagian dua pula memaparkan coretan kenangan manis berbilang penulis Asean bersama penulis terkenal yang sentiasa bersama suami kecintaannya di mana saja menghadiri pelbagai acara sastera diadakan merata lokasi negara Asean..

Sasterawan Singapura ini sangat aktif menulis pelbagai genre penulisan secara prosa atau puisi. Pelbagai tajuk novel telah diterbitkan. DIARI BONDA antara novel Rohani Din yang laris di pasaran dan telah diulang cetak beberapa kali. Kejayaan seorang isteri sebagai penulis tidak mudah tercapai tanpa seorang suami yang menyokong kesukaan isteri. Jamadi Safar; suami sasterawan Rohani Din bukanlah seorang aktivis sastera tetapi tetap memberi sokongan padu pada isterinya segenap jiwa. Beliau sanggup berkorban wang, masa, tenaga dan pelbagai miliknya yang sedikit demi cinta sucinya.

Antara  127 penulis Asean yang mencoret catatan kenangan pertemuan masing-masing dalam bahagian dua ini;  Addyra Azzahra, Has Yusof, Gabriel Kim Juan, Azizah Mds, Ilhami Hisyam, Khaziah Yem, Warih Wisatna, Handoko, Eunos Asah, Fileski, Ade Novi, Chong Ah Fook, Yatim Ahmad, Popi Risanti, Long Wen Xiong, Tati Sitaim, Jhon Hardy, Oui Bin Sal, Romy Sastera.

Tulisan Rohani Din dalam bahagian ini juga mengungkap secebis kisah pengalaman suka duka kehidupannya bersilih ganti bersama suaminya yang diserang diabetis dan dirinya juga mengalami masalah jantung dan sering keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan pakar. Disamping pelbagai usahanya tidak mengenal jerih payah menceri rezeki sara hidup.

Namun masih memperjuangkan minatnya dalam bidang penulisan sehingga mampu mengasaskan BEBAS MELATA dan TANAH MERAH sebagai kumpulan penulis Singapura yang proaktif berkarya sastera. Pelbagai genre buku telah diterbitkan hasil karya berbilang penulis Asean. Sikap ramah-tamah, berbudi mulia, Bunda Anie Din dan Jamadi Safar meluaskan jaringan kesusasteraan mengeratkan ukhuwah antara penulis segenap peringkat amat mengagumkan. Kedua-dua suami-isteri saling bersama dalam acara sastera menyantuni kenalan penulis sambil membawa bagasi berat berisi buku-buku terbitan Bunda Anie Din walau kedua-duanya agak berusia dan derita menahan sakit.  

Sekilas Kenang pada bahagian 3 ialah coretan pendek penulis Asean tentang kenangan mereka sepintas lalu bersama sepasang suami isteri bak merpati dua sejoli ini.

Bahagian 4 pula menghimpun sajak syahdu puitis nukilan 13 penulis Asean.

Membaca keseluruhan buku walau hati digelut sayu mengenangkan Jamadi Safar suami pendamping setia Bunda Anie Din telah berpulang ke Rahmtullah pada 19 Januari 2020  menginspirasikan betapa sukarnya mengatasi masalah namun kesungguhan usaha mampu melakar nasib.

Al-Fatihah didoakan hamba Allah berhati mulia ini diampuni segala dosanya dan ditempatkan dikalangan solehin kecintaan-Nya. Amiin.

Wednesday 24 August 2022

HARI CUTI

 ASSALAMUALAIKUM


HARI CUTI

 


Suka hati

banyak cuti

sikit kerja

santai saja

.

Boleh libur

tempat hibur

jalan rata

cuci mata

.

Duduk rumah

penuh hemah

tanam ubi

serba serbi

.

Barang mahal

bukan soal

cukup makan

girang sakan



PARIDAH ISHAK

DMS

24/08/022

Friday 19 August 2022

PULAU TAWAR

 ASSALAMUALAIKUM





PULAU TAWAR
.
Tinta sejarah terlakar di sini
kampung terpencil di tebingan sungai Pahang mengalir
berenang nyaman toman patin jelawat tenggalan belida keli
bermain arus petang pagi hilir mudik
belatuk pungguk enggang sewah helang serindit
di rimbunan pauh nyatuh
kuang puyuh
berlarian jauh
Mandala hijau damai belantara sekitar
gajah seladang rusa kijang kancil
fauna berbilang-bilang
Ada istana Sultan Ahmad Pahang
hijrah justeru kemelut porak peranda
angkara Inggeris memutar belit kata nasihat
kucar-kacir sentosa peradaban murni menjiwa jelata
sekian kurun lalu
Di tanah ini juga
tumpah darah kelahiran pejuang bangsa
1847 gerangan lalu
tarikh sebenar lahirnya wujud persona Mat Kilau
milik Pencipta alam semesta
1887 British tingkah merawa Pahang
dicongak kira lebih kurang
kedewasaan pendekar terbilang
pejuang sejati pertahankan tanah negeri
Muncul Jumaat 26 Disember 1969
di masjid Pulau Tawar bersolat mengaji berzikir
lalu ceritera rahsia hilang gelandangan
dalam perburuan musuh menjejak langkah
ungkap segala
Sebelum pulang pada Pencipta
122 usia akhir
lirih menitip pesan,
berjuang demi tanah warisan
pertahan hingga titisan
darah terakhir
Al-fatihah


PARIDAH ISHAK
DMS
1908022

Wednesday 17 August 2022

SI YAMBU

 


ASSALAMUALAIKUM

ULASAN BUKU
Judul: SI YAMBU
Genre : cerita kanak-kanak bergambar/sastera kanak-kanak
Penulis : Amir Hamzah Mohd Wazir
Pelukis: Eddie Alwin
Penerbit : DBP
ISBN 978-983-49-3375-3
Bilangan mukasurat : 30
Pengulas : Paridah Ishak

Buku SI YAMBU terlalu menarik cerita yang digarap penulisnya Amir Hamzah Mohd Wazir terbitan DBP 2022. Judulnya dipilih berdasarkan nama watak seekor anak ayam yang sebenarnya bukan ayam dengan iringan ilustrasi pelukis Eddie Alwin yang cantik sesuai dengan jalan ceritanya. Penerbit menggunakan kertas tebal berkualiti tinggi sebagai cetakan buku kecil comel ini.
SI YAMBU kisah Noni seekor ibu ayam yang sedang mengeramkan empat biji telor sehingga menetas. Anak-anak itu diberi nama mengikut warna mereka iaitu Putih, Hitam, Kelabu. Tapi kenapa pula anaknya yang berbeza bentuk dan warna kebiasaan ayam, Noni namakan Yambu?
Dan adik-beradiknya tidak menyukai Yambu kerana rupanya dan caranya melakukan kegiatan seharian jauh berbeza daripada mereka bertiga. Bagaimanakah Noni menyelesaikan masalah anak-anaknya demi mengeratkan hubungan kekeluargaan mereka sehingga menyebabkan Yambu meninggalkan ibu dan adik-beradiknya?
Apa pula kesudahan kisah anak buaya yang beribukan ayam ini? Cubalah baca buku yang sarat dengan nasihat berguna tentang ukhuwah kasih kekeluargaan yang disampaikan dalam bentuk penceritaan santai sastera kanak-kanak.
Tahniah sdr Amir Hamzah Mohd Wazir semoga semakin proaktif menghasilkan karya terbaru pelbagai genre menyemarakkan susastera.
Berilah sokongan kepada penulisnya dengan membeli karya yang diterbitkan. Boleh menghubungi penulisnya @facebook atau DBP NIAGA…harganya mampu milik insya-Allah



PIC DBP NIAGA (C)

Monday 15 August 2022

RUMPUNAN LALANG

 ASSALAMUALAIKUM



PIC GOOGLE IMAGES(C)


RUMPUNAN LALANG

 

Berumpun lalang malar hijau selama mendongak tegak

terhunus tombak halus tajam mencelah gersang tanah lantas menyucuk

berdarah merah kaki terpijak

meski  ketara sukar mengelak

daunnya keras kejung

menghiris pantang terguris

tanpa maaf lagi sinis

putih bunganya bersepora benihnya merata

membawa semangat juangnya berpijak di bumi nyata

sepelosok alam

Sayang sepsis lalang menjulang garang

tiada yang berani halang

walau menjolok mata memandang

namun gertakan pawana nan berhembus kiri kanan

melentokan diri

kadang kiri

kadang kanan

menyandar kekuatan

tanpa kesipuan

tumbuh celahan padi merunduk

 

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

1 4/08/022


Sunday 14 August 2022

TANAM SEMULA SAWIT

 

ASSALAMUALAIKUM

 


TANAM SEMULA SAWIT

 

Projek tanam semula sawit fasa kedua akan dimulakan tidak lama lagi kata jiranku, Kak Idah. Aku termenung mendengarnya. Terkenang tika tanaman sawit fasa pertama dahulu akan kesusahan kehidupan yang ditempuhi kerana kawan-kawan se blok membuat keputusan tidak mahu terima wang sara hidup bulanan diberi felda sehingga sawit mengeluarkan hasil kerana tidak mahu lagi berhutang dengan felda. Masing-masing berusaha mencari rezeki melakukan pelbagai pekerjaan dengan bersemangat sekali kerana kebanyakannya masih muda dan bertenaga.

Bagaimana dengan diriku? Aku kan sakit dan tidak berdaya. Bagaimana aku hendak menyara kehidupan dan menyekolahkan anak-anakku? Terpaksalah hidup seadanya berjimat cermat. Perbelanjaan sara hidup bergantung sepenuhnya pada simpanan yang dikorek setiap bulan di bank. Sering memikirkan cukupkah duit sedikit untuk melunaskan segala keperluan penting sehingga sawit yang baru ditanam mengeluarkan hasil? Duit simpanan dilabur dalam saham ASN. Kononnya mengharapkan dividennya setiap tahun menampung perbelanjaanku dan anak-anak.

Sekali ekonomi gawat pula, gara-gara George Soros memanipulasi mata wang Asia 1997. Harga saham ASN yang dibeli pada harga 1.60 RM seunit merudum pada 1.00RM kemudian turun lagi sehingga 50 sen seunit. Huh aku terjelepok. Aku sebenarnya suka membeli ASN pada akhir tahun sebelum akaun jual beli ditutup kerana dividennya akan dimasukkan pada awal tahun berikutnya. Sekiranya kulihat ada pertambahan nilai melebehi harga beli akan kupindahkan pula ke ASB.

Tapi nasib baik tidak menyebelahiku kali ini. Hendak dijual terlalu merugikan. Terpendamlah duitku di situ. Dari 1997 hingga 2020 sebelum terpaksa juga dijual kerana menjelaskan suatu urusan kewangan .   

Tanaman sawit fasa kedua belum kutandatangani penyerahan projek pada felda. Tapi seorang jiranku bertekad menanamnya sendiri. Benih sawit dibeli dari PPPTR untuk mempastikan kesuburan dan hasilnya kelak berbaloi. Setiap hari dia akan ke lot kebunnya menanam sawit secara beransur-ansur seluas 3.5 hektar. Walau usianya sudah 70-an namun daya usahanya seperti masih 40-an.

Kerajinan dan semangat generasi lama  mengagumkan. Amat sayangkan tanah seperti nyawa sendiri. Di hadapan rumah jiranku itu Jalur Gemilang sedang berkibaran meraikan jelang 31 Ogos Hari Kemerdekaan.

Saturday 13 August 2022

KE MANE TERH?

 ASSALAMUALAIKUM


SELAMAT BERHUJUNG MINGGU




KEMANE TERH?

(Loghat Raub/Lipis)


Entoh kas nak kemane

raban betui lalu dah ni

abeh terh nak wat mende lageh

bior gasoknye

bedel jerlah

bala wehh, popaleh, letih met

deras sineh kawan kas

 aok terh pedooh senalor meraban lalu

biorlah kas kemanepun

tak payoh disoai

PARIDAH ISHAK

DMS

13/08/022



Wednesday 10 August 2022

NUANSA SEPANTUN PUJANGGA

 

ASSALAMUALAIKUM

SEPANTUN PUJANGGA DAN NUANSA






Empat naskhah antologi terbaru terbitan Akademi SPTA 022 telah selamat kepenerimaan PI kiriman Sifu Tabir Alam. Alhamdulillah! Terima  kasih banyak sifu. Tiga  puisi kakpidah terselit dalam antologi puisi NUANSA. Seramai 35 penulis SPTA turut berkarya puisi pelbagai genre dalam antologi ini. Terharu sekali sifu sudi memilih karya kakpidah  WAKA/HAIKU, LIMERIK PUJANGGA HAIKU, TALIBUN PELITA PANJUT yang disiarkan di grup penulisan GRAHA untuk diterbitkan dalam antologi ini. Tahniah semua penukil karya. Dan SEPANTUN PUJANGGA pula adalah antologi puisi tradisi pantun bertema selenggaraan sifu Tabir Alam. Semua penulis terlibat dibimbing sifu TA cara menukilnya dengan tepat pemilihan pembayang/sampiran bersesuaian maksud. Pantun   puisi tradisi nusantara dibina  empat stanza, empat larik dibina dengan disiplin kandesa lunak sepuluh suku kata. RATNA, TAWAKAL dan UMRAH ialah tajuk pantun pilihan PI dalam antologi comel ini. Terima kasih banyak sifu bimbingan dan perkongsian ilmu. Baik budi dan kesudian amat dihargai.

TAHNIAH SIFU dan SEMUA PENUKIL puisi Akademi SPTA

Sekiranya ingin miliki buku dengan kulit dan isinya yang cantik segera pm sifu Tabir Alam@FACEBOOK

Tuesday 9 August 2022

PERHENTIAN FANA TERAKHIR

 ASSALAMUALAIKUM





EMAKKU

Emakku Hajah Siti Rokiah Arshad, berkulit putih, berambut kerinting halus. Cantik rupa parasnya. Awal persekolahannya di sekolah perempuan Yan. Aku tidak tahu bagaimana emak boleh bersekolah begitu jauh dari kampungnya di Pauh. Mungkin emak saudaraku, mak jang Tom yang menghantarnya berbasikal ke situ. Jaraknya sejauh 15 kilometer. Tika itu akhir tahun 40-an. Emakku pelajar yang pintar. Kata guru nazir yang menyelia sekolah di situ, emakku akan dijadikan guru setelah tamat persekolahan di situ.  Tapi tidak terjadi begitu. Emakku berkahwin dengan bapaku dan terkubur cita-citanya hendak menjadi guru. Bapaku tidak mengizinkannya walau sekadar menjadi guru dewasa di kampungnya. Maklum tika itu kadar celik huruf sangat rendah. Sedang emakku telah menguasainya.

Aku bercerita kepada kawanku bahawa emakku dulu pernah bersekolah di sekolah perempuan Yan yang letaknya bersebelahan dengan rumahnya. Hasnah pula menyampaikan cerita itu pada guru yang mengajar kami. Sibuk pula cikgu Fazidah, cikgu Rabiatul, cikgu Hanisah bertanya tentang emakku. Cikgu bertiga itu rupanya sekelas dengan emakku. Tika itu aku bersekolah di SMY. Kata cikgu Fazidah emakku garang orangnya.

Emakku dan kami anak-anaknya mengikut bapaku berpindah menyertai skim FELDA pada tahun 1967. Hidup secara sederhana demi merubah tahap kehidupan agar bertambah baik. Emak bekerja di kilang sawit untuk menambah rezeki. Kadang terpaksa bekerja sebelah malam mengikut gilirannya. Kata emak sedih hatinya melihat anak-anaknya yang masih kecil tidur dalam kelambu dengan disinari cahaya pelita.

Kalau emak tidak bekerja pada sebelah malam, emak akan menemani kami menjadi penglipur lara bercerita pelbagai riwayat lama. Aku sudah terlupa pula. Cuma aku ingat kisah Melor Dan Ular Sawa yang kujadikan skrip purbawara dan disiarkan Radio Klasik. Apabila kutanyakan pada emak tentang kisah yang pernah diceritakan dulu, emak menggelengkan kepala.  Sudah terlupa, katanya.   

Emak berulang ke kilang sawit dengan motorsikal yang dibeli tika ekonomi semakin baik. Ditunggangnya  seorang diri sehingga usia tamat perkhidmatannya. Dan kami anak-anaknya telah dewasa. Pelbagai cabaran hidup ditempuhinya bersama bapaku demi membesarkan kami anak-anaknya. Kini emak semakin uzur diserang stroke tika terjatuh di bilik air. Semua keperluan dibantu adikku. Kesal hatiku berbongkol kerana aku langsung tidak berdaya membantu apa-apa selain hanya mengirim doa setiap hari.

Adik-adikku bergilir-gilir menjaga emak, turut membantu kak ngah mereka menguruskan emakku sesempurna mungkin. Kami empat beradik saja. Aku anak yang sulung, kakak mereka langsung tidak boleh diharap.

Tiba-tiba adikku Pazilah menelefon memberitahu emakku sedang tenat. Aku dan anak-menantu dan cucu-cucu bergegas pulang. Dalam perjalanan Ilah telefon lagi memberitahu emakku telah tiada. Hanya sempat menatap wajah putih bersihnya dalam linangan air mata. Sedih pilu terlalu. Aku pula tiba-tiba sakit perut. Entah apa yang masuk ke dalam perut. Terkilan sungguh tidak dapat mengikut bersama ke pusara menyaksikan pengebumian jenazah. Tapi anak menantu dan cucu turut bersibuk menguruskan semua urusannya hingga selesai. Anakku Mayasari dan adik-adikku turut memandikan emak. Mengafankannya lengkap sempurna. Abqori cucuku yang ketiga selamba saja duduk di sebelah pemandu van jenazah mengirng perjalanan emak ke persemadian abadi. Tika Pak Iimam membaca talkin Abqori di sebelahnya kusyuk mendengar.

Perjalanan emakku di dunia fana berhenti di sini. Begitu juga dengan bapaku yang mendahuluinya beberapa tahun lalu. Kehilangan sesiapa saja tidak mahu dirasakan pedihnya. Apalagi kedua emak bapa tercinta. Didoakan semoga emak bapaku diampuni Allah segala dosa berada di sisi-Nya di kalangan para solehin dan berhagia dicucuri rahmat-Nya ..amiin    

 


Sunday 7 August 2022

PERJALANAN #2

 ASSALAMUALAIKUM


PERJALANAN #2

 


Negeri   sinonim   Indera Kayangan

jalan-jalan luaskan pandangan

bertukar suasana
sawah bendang menghijau  dari Sanglang ke Arau

baru ditanam usai kemarau

sejuk mata memandang tenang jiwa

luruh keletihan seharian
terhenti perjalanannya di Abi 14

sebuah inapdesa pinggir bandar raya Kangar

ruang luas selesa tampung keluarga

cuma 100 RM sewa semalam

 

gerai-gerai jual makanan berdekatan

sarapan pagi tersedia jua malam.
berehat pada dengan tenang

keesokan paginya jelajah Perlis dalam sehari
disinggahi awal pagi adalah di sini

gerai mempelam harum manis  

dan pelbagai produk yang berkaitan dengannya. ada dadih harum manis, jus harum manis dan pulut lemak dimakan bersama mempelam harum manis.

kebun mempelamnya luas di sisi

hanya meninjau-ninjau
sekilo harum manis 30RM

...hmm mahal juga kan
tapi kualiti tinggi

manis sangat rasanya.
minum jus harum manis tanpa gula tapi sangat nikmati dadih harum manis

perjalanan tentulah perlu
diteruskan pula

"kak di mana letaknya kebun anggur?" tanya anakku kepada wanita muda pemilik gerai harum manis itu.

"jalan straight saja jangan kona-kona, sampailah..." jawapan mudahnya membuat anakku tersenyum.

rupanya tidak jauh pun dari situ...

beberapa puluh meter saja kot..

 

terpesona melihat anggur merah kuning hijau bergayutan di tangkainya.

tapi usah gatal tangan memetiknya

membawanya ke mulut sesuka hati.

peraturannya hanya memandangnya saja
tarikan baru pelancongan ke Perlis

bayaran  dikenakan untuk melihat anggur
dalam kebun di sini

 hari masih pagi

santai sekejap di taman anggur

roda kereta berputar menuju Wang Klian

sekilas pandang empang Timah Tasoh

lembu-lembu  meragut rumput
di kaki bukitbukaunya

Wang Klian agak mendaki

sepanjang jalan tiada hamparan bendang

ladang getah dikiri kanan hutan tebal

sempadan Siam

kononnya sangat murah harganya tidak satu  berkenan

harga  dinyatakan penjual hanya tahu berbahasa Siam mahal tak terbeli kelihatan

motor teksi Siam penunggangnya berbaju hijau keluar masuk membawa penumpangnya ke Siam

Melaju  ke padang besar

terkenal  tempat beli-belah barang-barang Siam harga murah

la ni dah tak murah lagi

berhenti sebentar melihat  ostrich di tepi jalan

Perut sudah berkeroncong

tapi tak terasa hendak makan di sini

laju saja kereta bergerak ke Kuala Perlis pula. menjamu selera dengan laksa

lazat lidah merasa

sehingga anak-anak mengulangnya sekali lagi dalam perjalanan pulang

 


MyBloglist