Thursday 29 February 2024

KESOMBONGAN

 ASSALAMUALAIKUM

29 FEB SEJARAH TAHUN LOMPAT 2024

KESOMBONGAN

 

 

 


.

rundingan damai curiga

gencatan senjata adikuasa dunia

.

Zionis arah henti

kehancuran Gaza puing berserak

.

jelang Ramadan mulia

Muslimin aman damai beribadah

.

Rafah sendat ruang

warga asal Gaza kembali 

.

ringan beban derita

sandaran pohon ihsan patah

.

harapan kosong hanya

penjarah sombong mengusir terus

.

genosida menghapus hak

istilah gencatan senjata manipulasi

.

Allah  penentu segala

doa untai demi Gaza


Wednesday 28 February 2024

IBADAH UMRAH

 ASSALAMUALAIKUM



IBADAH UMRAH

 

Musim cuti sekolah memang ramai Muslimin beribdah umrah dan ziarah di tanah suci Mekah. Alhamdulillah walau aku tidak berdaya hendak ke Mekah  menunaikan ibadah itu, insya-Allah ada insan mulia yang sudi melakukannya untukku. Syukur pada-Nya yang mengurniakan saudara-mara dan sahabat handai yang prihatin masalahku. Adikku Pazilah dan Patimah telah juga mengerjakan ibadah umrah untukku. Begitu juga sahabatku, Noorlaila Ghafar dan anaknya Ahmad sudi beribadah umrah untukku. Ahmad ketika itu menyambung pengajiannya di universiti Madinah dan berkesempatan ke Mekah menunaikan umrah untuk dirinya juga untukku sahabat ibunya. Bermakna sudah empat kali aku telah menunaikan ibadah umrah. Budi baik adik-adikku dan sahabatku Noorlaila Ghafar, anaknya Ahmad, tidak mampu kubalas. Harapanku Allah sahaja menganugerahkan pahala ganjaran terbaik buat  yang sanggup berbudi untukku. Sekadar ucapan terima kasih tentulah tidak senilai budi telah kuterima. Kini sahabatku itu berada di sana lagi beribadah umrah dan ziarah. Hanya doa kukirimkan semoga dikurniakan Allah kesihatan sempurna dan dipermudahkan semua urusan amalan, selamat semuanya. Aamiin.

 

 

ibadah umrah –

musim cuti sekolah

silaturahim


Tuesday 27 February 2024

PERKAHWINAN

 ASSALAMUALAIKUM


 

 


PERKAHWINAN

.

Deru semilir halus

pengantin berbusana putih seluruh

acara sejarah bermula

.

Utusan langit tiba

ruang hening hiba

.

Jemput tunangan pulang

kala janji jelang

#2

Akad nikah abadi

lafaz kata kedu syahdu

hela nafas terhenti

..

Rohani  lintas alam

tinggalkan dunia silam

.

Bertemu Kekasih sejati

cinta Rabbul Izzati


PARIDAH ISHAK

DMS

27/02/024

Sunday 25 February 2024

SINIS

 

ASSALAMUALAIKUM

 



Dua  naskhah antologi terbaru terbitan Akademi SPTA 024 telah selamat kepenerimaan kakpidah kiriman Sifu Tabir Alam. Alhamdulillah! Terima  kasih banyak sifu. Empat   puisi PI terselit dalam antologi puisi palindrome SINIS.Terharu sekali sifu sudi memilih karya kakpidah; Jihad, Khabar, Luka, Persinggahan. Puisi asal bahasa Yunani ini boleh ditulis beberapa bentuk seperti palindrome kata, palindrome nombor, palindrom cermin, palindrome terbalik. 26 penulis, menulis empat puisi dalam antologi ini dengan bimbingan sifu TA. Walau agak rumit menulis puisi ini namun berkat bimbingan sifu, kakpidah dan semua penulis Akademi SPTA terlibat berjaya menyelesaikan tugasannya. Semua puisi indah dan unik karya pemuisi Akademi SPTA mengagumkan. Ralit menikmati puisi hasilan Sifu Tabir Alam, Rozeline Vitalis, Syidah Ida, Zalina AR Seti Zaleha, Salmah Amir, Yuyuf Sufali, Zuraida Dewi, Ana Cik Kamal, Pak Ngah, Lanz Azlan, Dewi Sukma, Abd Aziz Ali, Bayu Pagi, Adziah Abd Aziz dll. 

TAHNIAH SIFU TA selaku pembimbing, penyelenggara, penerbit dan semua penulis terlibat.

Sekiranya ingin miliki buku dengan kulit dan isinya yang cantik segera pm sifu Tabir Alam@FACEBOOK

Saturday 24 February 2024

DAYANG SENANDONG

 ASSALAMUALAIKUM


PIC GOOGLE IMAGES (C)


DAYANG SENANDONG

.

Kasturi saja di atas para,

mayang di anjung siat di talam,

handai gergaji memahat baji,

berjeda gara tersalah dadu,

kenjah serata terselit ketam,

dihambat lari rana tertahan,

memakan tepus ringan berurat,

gejala lelah serba terleka;

puteri raja di Ratnapura,

Dayang Senandong riwayat silam,

pandai mengaji sifat terpuji,

nada suara amatlah merdu,

wajah jelita berkulit hitam,

akibat dari kena sumpahan,

akan terhapus dengan bersyarat,

            pabila telah tiba ketika.

 

.

Kurma di taman saudara simpan,

mayang terlindung henti mengikat,

latar jajaran selalu  tingkah,

lewa mengulang ketara kesal,

dilanda dura menaruh kunci,

merangkum jenuh sulam ikatan,

rapi bertanda hendak pastikan,

mahir mengira salah merundung,

segera tempa menambah pitih,

ganda sekali akan jumlahnya;

Kamaruzaman putera tampan,

Dayang Senandong hati terpikat,

hantar lamaran lalu menikah,

dibawa pulang negara asal,

bonda putera menaruh benci,

dihukum bunuh di dalam hutan,

tapi petanda tidak lakukan,

lahir putera telah dikandung,

ketara rupa berubah putih,

            bonda sesali perbuatannya.


Wednesday 21 February 2024

PERASAN

 ASSALAMUALAIKUM

PERASAN

.


Perasan sungguh diri tercantik

mata menjeling kening melentik

.

Menyombong diri lupa segala

minda celaru tak tentu hala

.

Ditimpa rasa serba terbaik

ego segera melambung naik

.

Merasa sudah terlalu bijak

pijak tak jejak jauh terlajak

.

Limpah rezeki terlalu mewah

terhasil harta lantaran pawah

.

Tidak tersedar jatuh perasan

tolak tanggapan dengan alasan

.

Kala dipesan ubahlah sikap

ergegar gema memintas cakap

.

Terus perasan menjajah jiwa

dipandang sinis mencetus tawa


Monday 19 February 2024

HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA 2021/2022

ASSALAMUALAIKUM



 MAKLUMAT PENCALONAN UNTUK KARYA ECERAN (Majalah, Akhbar, Jurnal dan Buku (Antologi) HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA (HSPM 2021/2022)


1. Pencalonan harus isi 1 borang untuk 1 karya.

2. ⁠Jika karya itu tersiar di buku, hendaklah si calon isi dalam borang maklumat pada bahagian karya (contoh; Buku Cerpen ABC (Antologi), Buku Puisi ABC (Antologi)

3. ⁠Andai kata dalam masa 2 tahun karya si calon hanya tersiar satu kali saja,hendaklah si calon guna 1 borang untuk 1 pencalonan serta 6 salinan kepada pihak penilai. (Ada 2 sampul)

4. ⁠Untuk yang tersiar di akhbar, perlu diingatkan lagi. Hanya salinan asli saja pihak penilai akan terima. Penilai tidak akan terima dari salinan A4.

5. ⁠Keratan asli haruslah difotokopi (berwarna atau hitam putih).

6. ⁠Karya yang tersiar di majalah DBP dan Jurnal juga kena ada salinan fotokopi cover depan majalah dan juga karya asli.

7. ⁠Karya yang tersiar di buku antologi harus buat salinan fotokopi cover depan, nombor ISBN (rujuk muka surat kulit pertama) dan karya.

8. ⁠Karya yang tersiar di akhbar harus buat salinan fotokopi dari keratan asli. Jika bukan dari keratan asli pihak penilai sukar mencari atau membuktikan asal usul karya itu tersiar. Karya asli yang telah ditampal di kertas A4 boleh difotokopi dan diterima oleh penilai.

9. Karya yang tersiar di akhbar, majalah, dan jurnal pastikan mempunyai nombor ISSN. Nombor ISSN juga perlu difotokopi sebagai bukti.

10. Untuk E-Buku, E-Majalah dan E-Jurnal pula perlu dapatkan maklumat nombor ISSN dari pihak penerbit. Jika tidak ada nombor ISSN. Si calon print screen layar karya artikel itu dan print macam biasa kemudian buat 6 salinan fotostat. Print screen dari laptop dan copy paste ke dalam word. Setelah itu baru boleh print word itu.


NOMBOR ISSN SURAT AKHBAR MALAYSIA


Berita Harian

PP414/10/2012 (030686)


Mingguan Malaysia

PP19528/09/2019 (035122)


Harian Ekspres - Sabah

PPH8/12/2012 (031085)


Utusan Borneo - Suara Sarawak

PPK474/02/2019 (035042)


Selangor Kini

PP19570/07/2020 (035196)


Sinar Harian

PP19559/01/2020 (035173)


WilayahKu - Wilayah Persekutuan

PP19441/12/2018 (035014)


Utusan Borneo - Sabah

PPK/220/12/2012(031414)


Contoh Bilangan Karya

(Untuk hantar salinan copy kepada penilai HSPM)


1 karya x 6 salinan = 6 salinan + 6 borang

5 karya x 6 salinan = 30 salinan + 30 borang

10 karya x 6 salinan = 60 salinan + 60 borang

15 karya x 6 salinan = 90 salinan + 90 borang

20 karya x 6 salinan = 120 salinan + 120 borang

…dan seterusnya jika ada karya yang lebih dari di atas


Jika saya salah dengan hitungan ini tolong tegur


CNP GABRIEL KIM JUAN 

(C)

Saturday 17 February 2024

BERBALAS PANTUN

 ASSALAMUALAIKUM

SELAMAT BERHUJUNG MINGGU


BERPANTUN BERSAMA SIFU TA TERIMA KASIH SIFU SUDI FREM GRAFIK CANTIK




Pantun dibacakan dj Radio Klasik


Pagi  berkabut mula bertugas,

menyusun takar dengan teliti;

biar berlembut tetapi tegas,

sepantun akar selirat erti.


TERIMA KASIH DJ ADI SUWARDY SUDI KKEUDARAKAN PANTUN PI


Wednesday 14 February 2024

PEMUISI

 ASSALAMUALAIKUM

PEMUISI



Jenuh berfikir karya nak gubah

kalut serabut pula bertambah

menulis pantun

sampiran lantun

tajuk diberi maksud berubah

.

Cuba menulis puisi haiku

lariknya tiga ingatan paku

mencari kigo

sebalik logo

kata tersirat otaknya beku

.

Beralih pada mencipta syair

rasanya mudah bak minum air

menyusun rima

hujungnya sama

melengung lama ilham tak cair

.

Pemuisi pun merasa sangsi

pening berpusing mengatur diksi

karya terbiar

pandangan liar

dicengkam dungu terbujur lesu

  


Tuesday 13 February 2024

 ASSALLAMUALAIKUM

AIR PANAS

 


“Beta mahu kamu minum air panas yang menggelegak hai Abu Nawas.” Abu Nawas terpana mendengarnya.

“Minum air panas yang menggelegak akan merosakkan organ dalaman dan boleh menyebabkan kematian paduka.” Khalifah termangu. Baginda hanya bergurau. Tapi setiap kata yang dilafazkan merupakan titah. Dan Abu Nawas menyedarinya.

“Baiklah paduka. Hamba menurut perintah. Tapi izinkan hamba pulang ke rumah hamba dulu untuk bertemu isteri dan anak-anak hamba.” Khalifah mengizinkannya.

“Adakah makanan yang kamu sediakan untuk hamba hai isteriku?” Tanya Abu Nawas pada isterinya sebaik tiba di rumahnya.

“Hamba telah sediakan makanan yang panas semuanya tadi untukmu suamiku. Tapi kerana suamiku terlambat pulang, semua makanan itu telah menjadi sejuk.” Balas isterinya.

Abu Nawas mulai berfikir dan merencanakan sesuatu demi kebaikannya tanpa mengelakkan perintah Khalifah.

Ketika waktu ditentukan untuk minum air panas yang telah disediakan penjawat di istana Khalifah, Abu Nawas menghadirkan diri bersama anak-anaknya, isterinya dan seluruh jiran tetangganya.

“Kenapa ramai sekali orang yang kamu bawa ke istana, Abu Nawas?” Tanya Khalifah kehairanan dengan tindakan Abu Nawas.

“Mereka semua sahabat handai dan jiran tetangga hamba, paduka. Mereka ingin melihat hamba minum air panas. Mungkin hamba akan mati setelah minum air panas itu. Jadi hamba ingin bersalam dan meminta maaf akan kesalahan hamba pada mereka. Jadi hamba mohon izin paduka membenarkan hamba melakukannya sebelum hamba minum air panas itu.”

“Baiklah! Beta izinkannya.” Sahut Khalifah.

Abu Nawas mula menyalami isterinya, anak-anaknya sambil berpelukan, bertangis-tangisan. Kemudian bersalam pula dengan sahabat handainya dan jiran tetangganya seorang demi seorang hingga selesai akhirnya. Setelah itu dia segera minum air panas yang disediakan dalam periuk hingga habis. Tiada kesan air panas yang telah suam itu kerana terbiar lama pada dirinya.


Monday 12 February 2024

RUNSING

 ASSALAMUALAIKUM



RUNSING
Kenapaku?
bergelut kalut
melayang jauh
gelap ruang suram
kepayahan melara
siksa merana sukma
ketenangan jiwaku damba
membelit keliru runsing selirat
kutenun masih ilham benang pilin karya
kutenun masih ilham benang pilin karya
membelit keliru runsing selirat
ketenangan jiwaku damba
siksa merana sukma
kesakitan melara
gelap ruang suram
melayang jauh
bergelut kalut
Kenapaku?

Sunday 11 February 2024

UNTA

 ASSALAMUALAIKUM

UNTA

.


PIC GOOGLE IMAGES (C)

Abu Nawas mengenderai untanya dalam perjalanan ke Syam membawa barang dagangannya untuk diniagakan di sana. Perjalanannya agak jauh jaraknya melalui padang pasir yang luas menjadikannya keletihan. Dia menghentikan perjalanannya bersama untanya untuk berehat seketika.

Tatkala hari malam Abu Nawas memasang sebuah khemah kecil untuk tidur di situ. Untanya tidur di luar khemahnya. Suasana malam tenang dan amat dingin. Unta di luar khemah kedinginan.

“Hamba merasa amat dingin Tuan Abu Nawas. Kalau hamba jatuh sakit kerana tidak tahan kedinginan tentu hamba tidak dapat membawa Tuan dan barang dagangan ke Syam kelak. Bolehkah hamba menjulurkan kaki hamba ke dalam khemah Tuan?” ujar unta pada tuannya. Abu Nawas memahami bahasa untanya.


“Baiklah.” Balas Abu Nawas lalu meneruskan tidurnya yang terganggu seketika.

Unta pun menjulurkan kakinya ke dalam khemah tuannya. Tapi dia masih tidak selesa tidur di luar khemah.

“Tuan bolehkah hamba masukkan kepala hamba ke dalam khemah Tuan. Sebab hamba rasa seperti hendak demam. Hamba tidak dapat menahan kedinginannya.   Kalau hamba jatuh sakit tentu hamba tidak dapat membawa Tuan berdagang di Syam.” Sekali lagi Unta mengejutkan tuannya.

“Baiklah!” Abu Nawas yang masih  lagi mengantuk membalasnya ringkas.

Apabila hari siang Abu Nawas tersedar dari tidurnya. Dia kehairanan menyedari telah berada di luar khemah. Sedangkan untanya tidur nyaman dalam khemah.

“Mengapa pula kamu tidur dalam khemah, tapi hamba di luar khemah?”

“Bukankah hamba telah meminta izin Tuan untuk tidur dalam khemah. Hamba tidak usir Tuan ke luar khemah.” Balas untanya tanpa rasa bersalah. Abu Nawas termenung memikirkannya.


Saturday 10 February 2024

DASAWARSA

 ASSALAMUALAIKUM

Alhamdulillah PI terima kiriman naskhah DASAWARSA, hadiah daripada Sifu Tabir Alam. Terima kasih banyak sifu. Antologi ini merupakan cenderahati penerbit SPTA sempena sepuluh tahun AKADEMI SPTA menghargai 19 penulis prolific terlibat sekurang-kurangnya 6 genre puisi dibimbing sifu TA. SPTA bermula dengan grup penulisan puisi haiku @facebook 2012. Kemudian berkembang sebagai AKADEMI SPTA pada tahun 2022 atas saranan Pak Engku pemuisi SPTA mapan dan dipersetujui sifu TA. Pelbagai genre diperkenalkan pada pemuisi terlibat dengan bimbingan sifu TA cara berkarya yang tepat dalam grup ini. Alhamdulillah PI dapat ilmu 26 genre puisi bimbingan sifu TA tanpa jemu. Terima kasih banyak sifu menurunkan ilmu bermanfaat. 19 pemuisi pilihan berkarya puisi akrostik, dukotu, gurindam, haibun, haiku, karmina, kuatrin, konkrit, limerick, madah, mantera, pancalrik, palindrome, pantun, pantun dklasik, pantun kanak-kanak, puisi berima, sajadah, sajak, saduka, seloka, sonata, sonian, syair, tautogram dan terza rima.
Enam puisi kakpidah dipilih penerbit dan disiarkan dalam DASAWARSA ialah dukotu KORBN, haibun NASI KELEDEK, limerick PENCURI MASA, pantun RINDU, saduka TAMBAT RINGGIT, syair BUDI BAHASA.
Tahniah sifu selaku penyelenggara/penerbit dan semua pemuisi SPTA terlbat.
Sekiranya berminat memiliki antologi sarat puisi indah genre tradisi dan moden berkualiti tinggi dengan harga mampu milik ini sila hubungi sifu TA @facebook.

All reactio

Thursday 8 February 2024

TEKNIK PENULISAN

 ASSALAMUALAIKUM

GAYA MENULIS


Menulis puisi atau lain2 karya sastera ada gaya dan caranya tersendiri;

Kredit penulis Nursyafiqah Roslan









Wednesday 7 February 2024

ASIMILASI

 ASSALAMUALAIKUM






ASIMILASI

 

Pergaulanku dalam masyarakat majmuk sekitar sosio kehidupanku fenomena biasa pengalamanku. Seorang pegawai FELDA berbangsa Cina menjadi anak angkat bapaku. Bapaku amat terharu kerana pegawai itu menganggap bapaku sebagai bapa angkatnya. Adik angkatku itu memeluk Islam dan berkahwin dengan pegawai wanita SDA FELDA ditempatku juga rapat dengan keluargaku. Suratan takdir siapa tahu. Adikku yang kelima bertemu jodoh pula dengan seorang lelaki Cina. Suaminya menjalankan usaha niaga milik keluarganya. Adikku itu kadangkala balik ke kampung ibunya di Sungai Besar kala berkesempatan. Terutama pada cuti sekolah, Tahun Baharu Cina dll hari cuti yang agak panjang masanya. Dia akan membawa anak-anaknya yang semakin remaja mengail ikan puyu di tali air berhampiran rumah ibunya. Pengalamannya masa lalu ingin dikongsikan pula pada anak-anaknya.

“Nak ajar anak-anak Cina ni mancing ikan puyu, Kak Pidah!” kata Lin padaku. Aku tersenyum cuma. ‘Pandai kaulah dik asal bahagia.’ Aku bermonolog.

 

Hari Wilayah –

anak Cina remaja

asimilasi


MyBloglist