Showing posts with label CERPEN. Show all posts
Showing posts with label CERPEN. Show all posts

Tuesday, 18 August 2026

SEBALIK LUKISAN MEGA

 ASSALAMUALAIKUM




 

SEBALIK LUKISAN MEGA

 

Safura  mengamati persekitarannya. Tenang, aman damai. Bayu lembut menyentuh wajahnya. Dia duduk di serambi menjuntaikan kaki di tangga paling bawah.  Terpana memandang binaan rumah di sini dengan bentuk berbeza yang berdekatan antaranya tersergam cantik. Teguh berdiri dengan flora pelbagai jenis menghias lanskap halaman. Nampak kehidupan mereka di sini begitu mewah dan selesa pada anggapannya. Tentulah tiada sebarang masalah menjadi maslahah menggeluti kehidupan  mereka sebagai peserta skim MAJU. Dia mulai membanding-bandingnya. Kak Ziah duduk di sisi Safura. Mereka berbalas senyum. Bermula bual bicara ringan awal pagi.

"Suka saya tengok kawan saya yang dah lama menjanda,  la ni dia dah jadi isteri peneroka. Hidupnya cek  nampak senang-lenang, mewah makan minum, banyak duit, tinggal kat rumah batu besaq...berbanding cek yang tinggal kat rumah buruk tepi laut yang duk kerja  menjemuq ikan setiap hari di pengkalan nelayan. Untungnya nasib hidup dia bertemu jodoh dengan peneroka MAJU. Senang-lenang macam Mak Long juga." Kak Ziah tersengih saja mendengar ocehan anak saudaranya yang baru tiba dari Kuala Muda ke rumahnya semalam dengan menaiki bas. Safura ke situ untuk menziarahi emak saudaranya itu dan keluarganya pada akhir tahun. Emak saudaranya itu telah sekian lama tinggal di sini. Sebuah  skim MAJU yang telah diteroka pada awal tahun 60-an.

"Senangnya sekejap saja tu. Mak Long pun tak senang mana. Hidup seadanya saja." Selamba sahaja Kak Ziah  menuturkannya. Dia tersenyum tawar. Mungkin ada sesuatu terpendam dalam dasar kalbunya. Mengenangkan mutakhir ini beberapa perkara berlaku luar dari kebiasaannya. Jika dahulu dia dan suami tiasa beroleh wang perbelanjaan tiap kali jelang hari raya, kini tiada lagi. Wang deviden saham yang dilabur dalam agensi itu perlu dituntut. Kalau tidak pandai gunakan teknologi  maklumat terkini sepertinya dan ramai peneroka generasi seangkatan dengannya, jawabnya tentu tidak akan merasa faedahnya.  Berputih mata termangu-mangu.

"Apa maksud Mak Long?" Safura keliru pula. Merenung wajah emak saudaranya yang masih jelita walaupun telah berusia.

“Cuba Mak Long bagi tau sat kat Cek supaya Cek faham. Awat Mak Long kata lagu tu.” Safura membahasakan dirinya sebagai ‘Cek’ iaitu sebutan penghormatan pada yang lebih berusia daripada dirinya dalam loghat utara ketika bersembang..
         "Kawan hang tu kahwin dengan peneroka yang duda. Selagi  laki dia tak mati, senanglah dia sikit. Bila laki dia dah mati, anak-anak dia dengan arwah bini dia yang tertulis dalam surat perjanjian masa nak jadi peneroka akan mai ambil balik semua reta laki dia. Apa dia nak tuntut? Kawan hang tu bukan ada reta sepencarian dengan laki dia. Semua reta yang ada diperolehi dengan arwah isteri pertama. Sudahnya kawan hang tu terpaksa balik kampung jugak." Jelas Mak Longnya dengan yakin justeru dia adalah isteri peneroka yang tidak kering peluh bekerja di kebun sawit bersama suaminya. Tentulah dia ada harta sepencarian dengan suaminya. Sekiranya takdir menentukan suaminya meninggal dunia lebih dahulu daripadanya, dia akan beroleh hak mengurus lot tanah kebun sawit sebagai pewaris kerana agensi MAJU telah menetapkan begitu dalam surat perjanjian yang di tandatangani sebelum memasuki skim tanah MAJU.

“Setelah isteri peneroka meninggal dunia, anak-anak pula akan tanda tangani surat perjanjian pengurusan lot kebun dan memilih soghang yang layak di antara depa selaku wakil. Hasilnya kelak menjadi sebagai pusaka yang mesti dibahagikan sesama depa.” Kak Ziah menjelaskannya lagi pada anak saudaranya itu. 

“Bukankah pembahagian reta pusaka ikut faraid?” Celah Safura mempersoalkannya.

“Adalah sedikit reta faraid bahagian balu peneroka. Tapi manusia dengan reta dunia selalunya tak jujoq. Langsung tak boleh percaya sangat. Adalah soghang dua yang amanah. Sanggup depa bagi adil kat emak tiri depa. Selalunya depa bolot semua.” Kak Ziah menjelaskannya sambil berkalih duduk melega lenguh.


"Lagu tu ka Mak Long?" Safura ingin

pastikannya. Kak Ziah tersenyum sedikit.

"Lagu tu la cek oi. Hang tak percaya ka? Selama aku duk sini lama dah, itulah

yang aku  duk tengok berlaku. Hang tak payahlah berangan nak kahwin dengan peneroka walau hang ni janda. Baiklah hang kerja jemuq ikan tu...duit yang dapat  kalau hang tak habis nak makan boleh saja simpan untuk masa depan. Tiap tahun hang boleh berjalan bercuti mai rumah aku.” Berjeda malaikat lalu. Sepi seketika.

         “Banyak  dah yang aku dengaq cerita bini baru terpaksa jaga peneroka yang sakit terlantaq. Lepas  tu mai anak-anak tiri halau dia dari rumah bila ayah depa dah mati...kesian kan." Kak Ziah berkisah. Safura cuba menghadam bicara Mak Long. Merenung ertinya.

         “Awal tahun baru 2023 MAJU dah tetapkan akaun bersama pulak bagi suami isteri yang berpisah tapi masih berhak menuntut hasil lot kebun sawit. Macam-macam masalahnya jadi isteri peneroka ni cek oi. Nampak senang di mata saja. Masing-masing ada kereta, rumah pun besaq. Tapi cabarannya pun besaq jugak cek. Masalahnya pun lagilah besaq cek oi. Tak taulah Mak Long nak habaq kalau tak sabaq. Mula-mula dulu ramai juga yang angkat kaki. Tak sanggup hadap susah hidup kat sini.” Kak Ziah menghuraikan segalanya.
         "Tapi kalau dah jodoh nak buat lagu mana kan Mak Long," balas anak saudaranya itu bersahaja. Tersenyum simpul. Safura masih sembunyikan hasrat rahsia sebelum menyatakannya jelas. Wajah lelaki sebaya emak saudaranya bergentayang di matanya. Lelaki itu suka mengusiknya. Dan mengajaknya berkahwin. Tapi dia masih belum beri keputusan. Dia bercadang minta persetujuan emak saudaranya terlebih dahulu.  Emak saudaranya hanya memandangnya sinis.

         “Ikut suka hanglah kalau duk pikiak lagu tu. Tapi kalau terpaksa mengadap segala masalah yang Mak Long dah habaq kat hang tu jangan pulak nak salahkan takdiaq. Sebagai orang tua Mak Long cuma bagi peringat. Mak Long tak mau hang hadap semua masalah gitu. Hang anak menakan Mak Long. Mak Long tak mau hang susah. Mak ayah hang pun dah takdak.” Kak Ziah kembali ke dapur untuk menyiapkan hidangan makan tengah hari suaminya yang akan pulang dari bekerja di kebun sawit. Meninggalkan Safura di serambi sendirian memikirkan kata pesanannya.

         Sinar mentari melimpahkan bahang di tengah hari. Safura bangkit menjejaki langkah Kak Ziah ke dapur. Turut membantu emak saudaranya menyediakan itu ini. Kedengaran deruman enjin motorsikal di luar rumah. Kak Ziah menjenguk daripada pintu dapur yang dibuka sedikit.

         “Abang dah balik ya!” Suaminya menghulurkan botol air dan bekas bekalan makanan yang dibawanya ke kebun sawit. Dia setiap pagi akan ke kebunnya membantu pekerja yang diberi upah menanam benih sawit kerana telah tiba masa tanam semula. Walau daya upayanya kian lemah kerana faktor usia, dia tetap memilih untuk tidak menyerahkan pada pihak MAJU mengurus tanam semula. Dia mengelak untuk berhutang. Dan tidak mahu hasil kebunnya dipotong untuk membayar hutang pengurusan dan pelbagai lagi yang tidak sedikit jumlahnya. Biarlah dia bersusah-payah sedikit menurutnya tidak mengapa. Lot kebun sawit miliknya bergeran seluas 3.4 hektar diusahakan menanam semula.  Anak benih pokok sawit muda disulam berseli pohon sawit tua sedia ada. Dengan cara begitu dia masih beroleh hasil dari pokok tua sementara menunggu pokok sawit muda membesar dan menghasilkan buah. Semua ongkos pembelian benih, baja dan segala keperluan berkaitan pertanian sawit ditanggung sendiri. Menurutnya tanah itu miliknya. Setiap tahun dia membayar cukainya tanpa bertangguh. Dan dia wajib menjaganya sebaiknya. Kelak akan diwariskan sebagai pusaka pada anak cucunya. Mengapa pula dia wajar menyerahkan pada pihak lain menguruskannya sedangkan dia mampu melakukannya dengan kudratnya. Langkahnya juga diikuti beberapa peneroka yang bersedia menghadapi cabarannya.

Kak Ziah menghidangkan makanan yang sudah disediakannya di atas meja. Dan mengajak Safura menjamu selera. Suaminya menarik kerusi lalu duduk bersebelahannya setelah dia usai tunaikan solat zohor.

         “Tadi Man datang kebun jumpa aku kat kebun nak pinjam duit. Katanya nak buat belanja anaknya masuk universiti.” Kak Ziah mengenali Rahman dan keluarganya yang tinggal di hujung kampung.

         “Abang bagi?”

         “Bagilah sikit setakat yang ada.”

         “Dia kan serah tanam semula pada MAJU PERTANIAN. Tiap bulan kan dapat duit pinjaman sara hidup. Kita ni tak ada pun sebab tanam sendiri.”  

         “Duit sara hidup seribu saja agensi tu bagi, mana nak cukup. Harga barang mahal. Anak-anak ramai nak tanggung. Tiap hari kena guna duit nak buat belanja macam-macam”

         “Jenuh nak pekin belanja kalau duit sikit, rega barang mahai.” Celah Safura.

         “Kat kampung rega barang tak mahai sangat. Boleh lagi nak hidup. Kalau di sini rega barang lebih mahai dari KL.” Tambah Pak Long.

         “Hang duk kampung tak susah kan? Nak makan nasi, tanam padi kat bendang tanah pusaka. Ikan nak buat lauk senang cari dalam bendang, dalam laut. Kat sini semua kena beli walau rega mahai. Tak beli tak makan. Makan kenyang-kenyang Fura. Rezeki kita anak-beranak ada. Allah bagi. Tambah lagi nasi.” Kak Ziah mendekatkan mangkok besar nasi tambah sisi Safura.

 

         Mereka menjamu selera dengan menu kampung biasa. Namun lengkap khasiat seimbang dengan nasi panas berlauk ikan selar kuning goreng, gulai ikan pelaling, sambal belacan berserta pucuk ulam raja.

         Suasana malam hening. Usai solat isyak berjemaah dengan Mak Long dan Pak Long,

Safura duduk bersimpuh di ruang tamu menonton siaran TV. Kak Ziah dan suaminya turut berada bersamanya.

         “Esok cek nak balik dah. Cuti cek hujung tahun sat ja. Cek mai sini nak jumpa Mak Long, Pak Long ja nak tau habak. Sebab lama dah tak balik kampung.”

         “Macam mana la nak balik kampung Fura, Pak Long hang ni duk kalut tanam semula sawit. Tak boleh nak tinggai sebab tanam sikit-sikit. Tak siap-siap lagi.”  

         “Tu yang cek mai nak ajak Pak Long, Mak Long balik kampung makan kenduri cek.”

         Bulat mata Kak Ziah merenung wajah anak saudaranya. Terkejut sungguh.

         “Alhamdulillah dah sampai jodoh hang. Sapalah yang nak jadi menantu Pak Long dan Mak Long ni?” Pak Long tersenyum turut berkongsi kebahagiaan anak saudaranya.

         Kak Ziah masih kebingungan tertanya-tanya. Dia cuma berharap anak saudaranya itu membuat pilihan tepat demi masa depan hidupnya.

         “Awat Mak Long pandang cek lagu tu? Mesti Mak Long sangka cek nak kahwin dengan peneroka kan? Taklah! Cek nak kahwin dengan orang kampung kerja tangkap ikan kat laut ja. Mak Long, Pak Long bukan kenai pun. Kalau Pak Long, Mak Long tak setuju, tak jadilah cek nak buat kenduri kahwin. Hih..hih,”  jelas Safura diakhiri tawa halus.

         “Berkahwin tuntutan sunah. Rezeki dalam perkahwinan amat luas. Pak Long, Mak Long setuju saja. Takkanlah kami tak setuju. Nanti hang talipon bagi tau bila tarikh kenduri nanti Pak Long, Mak Long balik dengan Nani. La ni dia p kursus apa pun tak tau. Kerja cikgu lagu tu la. Bukan lekat kat rumah.” Rahmat memperikan hal anak tunggalnya itu.

         Safura bersyukur kerana Pak Long, Mak Long tidak menentang hasratnya. Dia merasa lega. Tapi masih berat mulutnya memberitahu tentang bakal suaminya pemilik perniagaan tempatnya bekerja menjemur ikan.

.

Tamat

 

Glosari:

Soghang - seorang

Pikiaq - fikir

Mai - datang

La ni – tika ini

Menjemuq - menjemur

Reta - harta

Lagu tu – persis itu

Jujoq – jujur

Pekin - berjimat

Habaq – khabar

Besaq – besar

Takdiaq – takdir

Peringat – mengingatkan

Sabaq – sabar

Depa – mereka

Cek – saya

Hang – awak

MAJU – Maju Ardi Makmur


Thursday, 6 August 2026

KHAYANGAN

 ASSALAMUALAIKUM


NEGERI DI ATAS AWAN

 


Teruja sungguh aku hendak melihat “negeri di atas awan” seperti dikisahkan

Kamarul Zaman padaku. Seolah ceritera pelipur lara dalam banyak hikayat Melayu pernah kubaca. Antaranya hikayat, Malim Deman, Awang Sulung Merah Muda, Inderaputera.

Aku membayangkan akan melihat negeri di atas kayangan. Tentulah

teramatlah indahnya. Tidak sabar rasanya hendak mengikuti Kamarul Zaman melihat “negeri di atas awan.” Teruja  sungguh.

“Jadi kau nak ikut aku melihat “negeri di atas awan”? Aku angguk.

“Iakah? Ingatkan kau tak mahu. Lebih suka di rumah masa cuti semester sambil membaca saja. Selalu aku ajak kau tak pernah mahu. Tapi aku faham.”

“Kali ini aku terasa nak ikut pulak.”

“Tapi kau mesti ingat kalau mengikut aku bukan naik kapal terbang atau kereta. Tapi menapak saja. Dalam perjalanan di hutan banyak agas, nyamuk, pacat, ular, haiwan liar, redah semak-samun, sebelum sampai “negeri atas awan” tu. Sanggup?”

“Aku tahulah. Aku bukan kenal kau sehari dua. Aku tahu kegilaan kau. Aku pun

bukan tak pernah kena hurung agas, nyamuk, pacat. Aku kan selalu tolong ayah di kebun sawit. Macam-macam jenis ular aku dah jumpa. Tak hairanlah semua tu. Tapi hendak sampai di sana perlu berkereta juga. Tempat tu kan di negeri Kelantan. Jauh juga.”

“Okey. Kalau begitu  bersiaplah. Bawa keperluan penting untuk selama tiga hari.

Jangan pula kau bawa buku-buku sekampit. Sebab aku tahu kau memang suka membaca di mana saja.”

“Ialah. Aku bawa buku nota dan buku yang sedang kubaca saja.”

“Sebenarnya aku risau juga nak bawa kau ikut aku. Bimbang kau keletihan. Kau

kan tak biasa berlasak.”

“Kau jangan risau sangat, Insya-Allah aku tak akan menyusahkan kau.”

Awal pagi di kaki Gunung Stong. Ekspedisi pendakian bermula.

“Siapa bersama Kamarul  tu?”

“Kau tanya aku, manalah aku tahu. Bukannya aku kenal pun. Suka hati dialah. Hak dia nak bawa sesiapa pun, dia kan ketua tim ekspedisi kita. Kenapa? Kau jeles? Aku memang tahu kau suka Kama kan?”

“Sedapnya kau mengata aku ya Tika! Bukannya apa, bimbang dia menyusahkan kita saja nanti. Sebabnya aku tengok orangnya ayu sangat. Agaknya sanggupkah redah hutan, rempa semak samun nak naik gunung. Kita ni nak mendaki tiga gunung tau, Gunung Baha, Gunung Ayam, Gunung Stong. Stamina dan semangat perlu kuat.”

“Tak payahlah kau susah-payah fikirkannya       Nad. Itu masalah dia. Pandai-pandai dialah.”

Soksek-soksek antara dua gadis itu kedengaran juga padaku. Mereka

berdiam sebaik aku dan Kamarul Zaman menghampiri mereka.

“Ini Kamaria anggota baru ekspedisi kita. Berkenalanlah.”

“ Saya Kartika.”

“Saya Nurnadia.” Aku bersalam dengan kedua-duanya. Berbalas senyum.

“Ini Rizal, Farid dan Syafiq. Jadi

bersama Maria, tim kita seramai tujuh orang. Maria ni tidak pernah berekspedisi mendaki sebelum ini, jadi sama-samalah kita membantunya. Perjalanan kita akan lebih mudah  jika kita saling membantu.”

Sambil kaki melangkah menuruti jejak mereka agak laju mendahului, mulai aku

terasa kepenatannya. Beg kusandang di bahu berat membebani, melemahkan kecergasanku bergerak. Menyesal pula aku mengikuti Kamarul Zaman  lantaran keterujaan hendak melihat “negeri di atas awan.”

Tiba-tiba menggema bunyi bagai guruh tidak putus jelas kedengaran tika kakiku meniti batuan berlumut hijau menyusuri denai.

“Hati-hati melangkah Maria. Batu-batu ni licin.” Kamarul Zaman cuba menahan tubuhku daripada terjatuh kerana tergelincir. Mujur tika itu Kamarul Zaman berada di belakangku.

Nurnadia yang sudah jauh di hadapan menoleh melihat aksi aku dan Kamarul Zaman. Dia berbisik dengan Kartika. Apalagilah umpatannya kepadaku.

“Bunyi apa bergema tu Kama?”

“Oh! Itu bunyi air terjun Jelawang. Tak  jauh dari sini. Air terjun tertinggi di Asia

Tenggara tau. Tingginya 303 meter. Sebelum sampai ke puncak kita akan masuk melihat Gua Tali, Gua Keris, Gua Gelap dulu.”

 

Air terjun Jelawang sangatlah indah alam sekitarnya. Terpesona aku memandangnya. Susunan batunya besar, bertingkat-tingkat. Tujuh tingkat semuanya Dan ada tujuh kolam berair jernih.

“Kolam itu tempat puteri puteri “negeri di atas awan” turun bersiram,” Ujar Kamarul

Zaman bersahaja. Terpana aku mendengarnya.

“Syafiq, Rizal,Farid, marilah sini. Kita makan dulu bekalan kita bawa ni.”

Syafiq mengeluarkan beberapa bungkus mi segera daripada beg sandangnya.

“Nad, Tika, jangan pandang saja cepatlah masak air. Kan kita nak rebus mi ni. Periuknya  minta kat Syafik, dia  bawa semua peralatan memasak.” Aku membantu Kartika dan Nadia memasak air. Farid menyusun batu untuk dijadikan

tungku buat memasak mi segera. Nurnadia pula mengisi periuk itu dengan air diceduk di kolam berdekatan. Ranting kayu kecil kering kususun bersilang di bawah dapur segera itu, Syafiq menyalakan api dengan lighter dibawanya. Sebuah  periuk kecil berisi air telah ditenggek di atas api yang mula marak menyala.

“Kama! Aku dan Tika nak mandi di sini.”

“Tak payahlah dulu. Di atas sana ada tempat elok untuk mandi,” balas

Kamarul Zaman berdasarkan pengetahuannya.

“Aku nak berehat sekejap atas batu bawah pokok ara tu. Nanti kau panggil aku ya Kama.” Kamarul Zaman angguk.

Aku membaringkan diri di atas batu besar terhampar itu; menyelak lembar buku

Hikayat Malim Deman yang kubawa.

 

“ Terperanjatlah Malim Deman ketika melihat tujuh bidadari tengah mandi di kolam yang terletak di belakang pondok Mandeh Rubiah. Malim Deman sangat terpesona melihat kecantikan tujuh bidadari itu ketika wajah mereka terkena sinar rembulan yang tengah purnama. Malim Deman juga melihat tujuh selendang tergeletak di dekat kolam itu. Malim Deman menerka, tujuh selendang itu digunakan para bidadari untuk terbang dari khayangan ke kolam itu. Maka, dengan berjalan mengendap-endap dia mendekati tujuh selendang itu dan mengambil salah satu selendang. Segera disembunyikan selendang itu dan dia kembali mengintip tujuh bidadari yang tetap mandi tersebut.”

“Jom ikut aku lalu jalan pintas untuk ke “negeri di atas awan”. Tidak perlu penat nak mendaki gunung.” Aku terkejut disapa suara itu. Segera terpanggung daripada buku sedang kutatapi. Mencari-cari keberadaan suara itu.

Ingin  memastikannya kakiku mula melangkah. Mataku  melingas merata.

Kakiku  tersadung akar ara. Tersembam mencium tanah. Aku  merasa terlalu lemah dan tidak berdaya. Seorang lelaki cuba hendak membangunkan aku semula. Kutolak pertolongannya. Lagipun tidak kukenali siapa dia. Aku mengharapkan Kamarul Zaman akan segera datang menolongku.

Kuseru  sekuat suara memanggilnya. Lelaki itu hilang  entah ke mana.

Sekujur tubuhku lemah. Aku berbaring di atas tanah. Kepalaku  berbantalkan banir ara. Perasaanku bercelaru. Mengenangkan keadaan diriku sebegini, bagaimanakah aku hendak mendaki Gunung Stong dan melihat “negeri di atas awan”?

Benar kurasakan kata-kata Nurnadia bahawa aku hanya membawa masalah kelancaran langkah kumpulan ini mendaki seperti sering mereka lakukan sebelum ini.

“Eh! Maria kenapa tidur di atas tanah ni? Tadi kan kau kata nak tidur atas batu? Puas kami memanggil mencari kau. Rupanya kau tidur di balik batu besar ni.” Tiba-tiba saja aku melihat Kamarul Zaman dan anggota tim mengelilingiku. Kartika menyapu debu tanah dan daun-daun kering melekat di pakaianku. Aku terpinga-pinga.

“Minum air ni. Bismillah dan selawat. Basuh muka kau. Lepas tu makan sikit sebelum kita mula mendaki. Kau perlu ada tenaga.” Setelah meneguk air dan meraup muka dengan air daripada bocong air dibawa Kamarul Zaman, terasa tubuhku semakin meringan; aku bangun menuruti langkah mereka.

          “Kau dah lupa apa  kupesan pada kau?” Aku terdiam memikirkannya.

Mengenangkan kisah pengalaman kembaranya di hutan kala mendaki gunung merata pelosok negeri. Pelbagai cabaran dan gangguan rohani, jasmani ditempuhinya. Mungkinkah kini detik itu sedang mendugaku?

“Ada peminat Maria di sini.” Celah Nurnadia.

“Kau jangan kita gitu Nad, kita ni dalam hutan. Nasib perjalanan kita pun kita tak

pasti takdir-Nya. Reda dan tawakal saja, berdoa moga tiada aral melintang mengganggu kita. Langkah kita  memang banyak cabarannya.”

Aku mendengarkan sahaja bicara Kamarul Zaman dan Nurnadia. Sedang tanganku galak menguak daun paku resam dan mengelak rumput jelatang yang membuatku kegatalan.

Kini berada di hadapan muka gua. Eksplorasi menjelajah ruangnya bermula. Lanskap gua dengan pelbagai bentuk susunan batu stalaktit serta stalagmit. Di Gua Keris, aku melihat  kawanan kelawar dan menemui satu formasi batu berbentuk keris.

Dadaku berombak kelelahan.aku; mengurutnya perlahan. Namun kaki tetap tegar meneruskan langkah.

“Kita berkhemah di sini ya.” Seiring dengan pegucapan Kamarul Zaman bermulalah gerak kerja pantas dilakukan keempat anggota tim lelaki. Terdirilah dua buah khemah kecil. Satunya untuk anggota tim lelaki. Satu lagi untuk aku, Nurnadia dan Kartika.

“Kalau nak mandi bolehlah mandi di kolam hujung sana.”

          “Jom Maria, Nad, kita pergi mandi.” Ajak Kartika. Aku mengikuti langkah mereka

menghampiri kolam mandi yang sangat jernih. Dingin  airnya menyentuhi tubuhku. Angin senja berhembus halus. Dedaunan pohon rimba bersentuhan. Segera kusudahkan mandian.

Tubuhku memberi rangsangan  merisaukan. Tanganku tidak lepas mengurut dada. Bibirku menggeletar.

“Kau kenapa Maria? Sejuk sangat ya?” Tanya Kartika kalut.

“Dadaku sakit. Susah hendak bernafas.”

“Biar aku panggil Kama ya!”

Sebentar kemudian Nurnadia kembali bersama Rizal, Syafik, Farid dan Kamarul Zaman. Rizal memeriksa tekanan darahku dengan tensimeter dan meletakkan steteskop.di dadaku.

“Kau kenapa? Tak makan ubat ke?” Kamarul Zaman memegang tanganku dan mula memicit-micit bahuku. Ketara dia amat risaukan keadaanku.

“Tak sempat lagi nak makan.”

          “Patutlah! Cepat makan ubat tu!”

Kamarul Zaman mengeluarkan ubatan daripada beg sandangku dan kuambil untuk menawar sakitku. Nurnadia menghulurkan cawan plastik berisi air. Perlahan-lahan kutelan satu persatu pil-pil itu .

“Sakit apa Maria ni Kama?”

“Adik aku ni sakit kanser paru-paru. Hidup bergantung dengan ubat. Kalau tak makan ubat  ikut jadual, ginilah jadinya.” Nurnadia dan Kartika berpandangan. Mungkin tidak menyangka bahawa Kamarul Zaman ialah abangku dan berfikir, kenapalah aku sanggup beraktiviti lasak mendaki gunung sedangkan aku sakit.kronik.

 Sebenarnya aku tidak mahu terlalu melayani sakitku dengan hanya menunggu kematianku. Aku juga berhak merasai nikmat hidup, mengalami kegembiraan dan tidak hanya meratap saja. Kematian itu memang pasti takdir-Nya.

“Nampakya suhu tubuh, degupan jantung Kamaria semakin stabil selepas dia ambil ubatnya.”

“Terima kasih Dr. Rizal. Kau dah tolong pulihkan kesihatan adik aku.”

“Hanya Allah  berkuasa  segalanya. Kita pasrah memohon kepada-Nya.” Dr. Rizal tawaduk.

“Kau dah okey Maria? Tidurlah. Besok pagi bangun awal sebelum fajar. Sama-sama kita semua lihat “negeri di atas awan.” Jangan lupa makan ubat kau ikut jadual. Lepas ni boleh ikut daki Gunung Kinabalu pula.”

Abangku mengingatkan aku tentang program dirancangnya sebagai latihan

mempersiapkan diri dalam pemilihan di kalangan belia-belia negara akan di bawa ke Nepal untuk mendaki gunung tertinggi dunia iaitu Everest. Bagi abangku, mendaki gunung itu adalah fardu kifayah mulia, justeru sanggup mendaki ke puncak tinggi untuk melihat kebesaran Ilahi. Kawan-kawannya daripada pelbagai bidang kerjaya sepakat bersamanya.

Dingin pagi menggigit kulit dan temulangku. Usai  solat subuh berjemaah dengan

dua rakan yang semakin rapat denganku, beriringan kami atur langkah untuk

menyaksikan matahari terbit.

Pancaran cahayanya keemasan sebalik awan; menghidangkan pemandangan

himpunan lautan awan permaidani baldu membentuk “negeri di atas awan”,

Terkesima aku memandangnya. Subhanallah! Amatlah indah mempesona. Seolah-olah  ternyata sebuah negeri di atas  kayangan.

Aku bagai melihat sesuatu bergerak ke sana sini. Dan seseorang berbusana indah

selayak raja. Siapakah itu? Aku merasa pernah menemuinya.

 

TAMAT


Thursday, 16 July 2026

SUATU SENJA

 ASSALAMUALAIKUM


 



SUATU SENJA

 

AQIL HARISS ralit mengetik papan kekunci komputer.  Dia memuat turun permainan kereta kesukaannya. Mulailah dia menolak cursor dan mengetik abjad berfungsi dengan permainan  perlumbaan kereta itu.

 

Perhatiannya tertumpu kepada permainan itu.

“Aqil Hariss!” mamanya memanggil namanya. Dia  tidak menjawab panggilan mamanya. Terlalu asyik dia memintas kereta  dikawal komputer dengan amat laju.

 

“Aqil Hariss!” Ulang mamanya memanggil namanya.

“Apalah mama tu nak lagi. Kacau aku nak main saja.” Dia merungut perlahan.

“Apa ma?”

“Tanya pula dia! “ Mamanya menggumam.

“Naik atas cepat. Tolong jaga adik ni. Mama nak solat sekejap.”

“Ariff kan ada. Suruhlah Ariff tu jaga.” Sahutnya pantas membalas.

“Ariff sedang buat kerja sekolah ni. Abang tu main game saja.” Kedengaran Arif bersuara.

“Naiklah cepat! Mama nak solat ni.” Jerit mamanya justeru dia menyedari waktu solat asar semakin hendak berakhir.

“Iyalah Aqil naik ni,” sahutnya lemah. Dia berlari  menaiki tangga ke tingkat atas. Rumah yang dihuninya bersama ibu bapa dan adik-adiknya bertingkat dua jenis semi-D. Di tingkat bawahnya ada ruang tamu, bilik kecil dan dapur. Sementara di tingkat atasnya ada tiga bilik tidur. Ruang di atas digunakan dengan keperluan yang ditentukan. Seperti untuk bersolat, belajar dan berehat.

 

Adiknya Damia Maisara berusia tujuh bulan itu sudah pandai melonjakkan tubuhya ke mana sahaja untuk mencapai keinginannya. Ariff  sibuk menyiapkan kerja sekolahnya. Aqil Hariss sedang leka mengetik punat kecil  memaparkan permainan “Pokemon”  di telefon tangan kepunyaan mamanya.

Damia Maisara semakin melonjak jauh. Tangannya sudah diturunkan ke anak tangga. Dia hendak melungsurkan tubuhnya menuruni tangga yang menghubungkan tingkat atas dengan tingkat bawah.

 

“Mana adik?” Tanya Ariff  menyedari ketiadaan adiknya di situ. Dia memandang abangnya. Aqil menoleh merata. Tadi dia merasa adiknya itu ada di sisinya.

“Mana Damia ni?” Dia gelabah, bergegas bangun menuju keluar bilik. Mungkin dia mengagak adik kecilnya itu sudah melonjak jauh. Dan telah keluar daripada bilik itu tanpa disedarinya.

Aqil Harris juga mengikutinya. Mereka mulai risaukan keselamatan Damia. Juga bimbang dimarahi mama  jikalau adik mereka ditimpa bahaya.

“Dah sampai sini Damia.”

Ariff segera mendokong adiknya setelah menemuinya.

“Cepatnya Damia melungsur,” tukas Aqil Hariss.

“Mujur Damia tak jatuh tangga. Kalau Ariff lambat tadi mesti Damia dah tergolek ke bawah. Abang ni mama suruh jaga adik sekejappun tak boleh. Kalau adik jatuh tadi, macam mana abang nak jawab dengan mama?” Ariff memarahi abangnya. Mengecam sikap abangnya  mengambil mudah menjaga adik kecil mereka.

“Adik tak jatuh pun lagi,” tukas Aqil dengan rasa serba salahnya.

“Eh! Kalau jatuh macam mana? Kalau terlambat sikit mesti dah jatuh.”  Ariff menjawabnya tanpa ragu. Nada  suaranya berbaur rasa marah dengan sikap abangnya yang cuai itu.

“Dahlah! Tak payahlah nak marah abang. Pergilah buat kerja sekolah kau tu. Damia tak apa-apapun.” Jawab Aqil Hariss sambil lewa seolah kejadian yang berlaku sebentar tadi tidak perlu dikhuatirkan sangat.

“Habis siapa nak jaga Damia?” Tanya Ariff.

“Abanglah!”

“Boleh percaya ke? Abang tu asyik main game saja. Kat tingkat bawah main game komputer. Kat tingkat atas main hp mama atau papa.” Komen Ariff panjang lebar. Ragu pula dia dengan kemampuan abangnya.

“Habis nak buat apa lagi. Kerja sekolah abang dah buat. Nak main di luar mama tak bagi. Takut itulah! Takut inilah! ” Aqil Hariss mengatakan kekesalannya.

“Jagalah adik tu sekejap. Nanti bila petang sikit mama bawalah kita pergi main di taman. Kan mama cakap rumah kita dalam kawasan bandar banyak orang jahat. Jadi kita budak kecik ni kenalah hati-hati.”

“Tunggu mama lambatlah. Asyik terkurung saja dalam rumah. Bosan. Abang nak ikut Aman pergi main bola di taman, mama tak bagi.” Ariff meletakkan adiknya dalam ribaan abangnya. Dan  meneruskan semula kerja sekolah yang perlu disiapkannya.

“Abang berani ke main di padang tanpa ada orang tua  perhati kita? Kan mama cakap kita ni budak  lagi. Orang  jahat suka culik untuk ambil organ kita dan dijual. Tak takut ke? Mesti dengar cakap mama tu.” Ariff mengulangi kata-kata mamanya kepada mereka selalu.

“Abang tengok Aman tu selalu ke taman main bola tak ada sapa pun culik dia.” Tegas Aqil Harris. Dia seakan tidak mempercayai kenyataan mamanya itu.

“Belum kena culik lagi. Harapnya taklah kena culik.” Jawab mamanya. Mamanya tiba-tiba sudah berada di bilik tempat belajar itu setelah dia menyelesaikan solatnya.

Sepasang tangan Damia Maisara sudah mendepa  untuk memeluk mamanya. Mamanya segera memautnya dan mengambilnya daripada ribaan Aqil Hariss.

“Apa yang bising-bising tadi? Sampai mama solat pun tak kusyuk.” Tanya mamanya. Dia memandang kedua-dua anak lelakinya bersilih ganti.

“Adik tu ma, melungsur nak turun tangga. Mujur Ariff cepat sampai.” Jawab Ariff.

“Ha! Kamu berdua ni mama harap jaga adik sorang pun tak boleh.” Puan Sabariah menempelak sikap kedua-dua anak lelakinya itu.

“Bukan salah Ariff ma. Ariff sibuk buat kerja sekolah.”

“Damia tu ma, cepat sangat dia melungsur, sampai Aqil tak sedar dah jauh perginya.” Beritahu Aqil Hariss pula.

“Ada saja alasannya. Mama bukan tak tahu kamu ralit sangat main game. Kalau sehari tak main game tak senang duduk kamu.” Mamanya bersuara dengan nada keras.

Aqil Hariss diam saja kerana dia menyedari kesilapannya. Mamanya yang garang itu pasti akan bertambah marah sekiranya dia masih mengatakan apa saja alasannya.

“Dah siap semua kerja sekolahya Ariff?”

“Dah ma.”

“Simpan semua buku dalam beg. Pilih buku ikut jadual pelajaran sekolah esok. Jangan semua nak bawa, Lepas tu siap. Mama bawa kamu berdua ke taman permainan. Abang kamu dah tak sabar nak bermain bola. Tadi masa kat sekolah tak puas lagi agaknya bermain di padang sekolah.”

Puan Sabariah amat memahami kehendak anak-anakya yang masih dalam peringkat hendak membesar itu. Kegemaran mereka  hanya bermain. Seronok sungguh bermain tanpa memikirkan  lain-lain lagi. Beliau  cuba untuk memenuhinya semampunya. Di samping kesibukannya menguruskan keluarganya dan tugasnya sebagai seorang guru.

“Okey ma.”

Aqil Hariss tersenyum.  Amat bersetuju sekali dengan rancangan mamanya.

“Mama nak tukar baju sekejap. Ariff pegang adik ni.” Puan Sabariah meletakkan anak kecilnya itu ke dalam pangkuan Ariff. Setelah dia bersiap, segera pula mencapai beg tangan yang dibawanya ke mana-mana sahaja.

“Cepat siap Ariff.”Aqil Hariss mendesak.

“Macamana nak bersiap? Tak nampak ke Ariff sedang pegang Damia ni. Abang tu dah siap, tolonglah pegang adik nI kejap. Ariff nak tukar seluar ni dengan seluar trek.”

“Iyalah! Iyalah! Bak sini abang dokong Damia.” Sahut abangnya.

“Abang bawalah Damia turun. Mama dah hidupkan enjin kereta tu.” Ariff memberi saranan.   

“Cepatlah siap. Abang tunggu dalam kereta.” Aqill Hariss mendokong adiknya menuruni tangga dari tingkat atas. Dia membuka pintu rumah kemudiannya grill beranda luar.

“Ariff cepatlah!” Laung mamanya.

“Ya Ariff turun ni.”

“Jangan lupa kunci pintu dan semua grill.” Mamanya bersuara mengingatkan.

Setelah Ariff memasuki kereta kecil Kancil berwarna biru itu, Puan Sabariah menekan pedal minyak perlahan dan menggerakkannya ke jalan utama.

 

Akhirnya sampailah ke destinasi  mereka. Kereta itu diberhentikan di pinggir jalan berhampiran taman permainan itu. Taman diredupi dengan pohon  rimbun  dilengkapi dengan pelbagai alatan permainan bersesesuaian untuk kanak-kanak.

“Tengok tu! Aman bukan main leka main bola dengan kawan-kawannya. Aqill pergi main dengan Aman ya ma. Jom Ariff ikut abang sekali.”

“Pergilah. Jangan lama sangat main tu. Dah petang sangat ni. Nanti ajak Aman balik sekali dengan kita.” Kata mama mereka.  Aqil  Hariss dan adiknya berlarian mendapatkan Aman dan kawan-kawannya yang sedang bermain bola. Ariff dan abangnya turut bermain bola bersama mereka.

Puan Sabariah hanya duduk di bangku batu sambil meriba Damia, memerhati anak-anaknya dan kawan-kawan mereka mengejar bola dan menyepaknya ke sasarannya.

“Damia jom kita pergi main buaian sambil tengok abang-abang Damia main bola.” Puan Sabariah mengagah anak kecilnya. Kakinya sedang melangkah arah buaian yang didirikan berhampiran permainan papan gelongsor. Beberapa orang budak-budak kecil sedang leka menggelongsor di atasnya.

 

Kelihatan seorang  lelaki dewasa dan perempuan berada di situ. Puan Sabariah beranggapan mereka adalah ibu bapa kepada budak-budak itu. Dia sebenarnya tidak mengenali siapa mereka. Sebab kawasan perumahan sekeling taman permainan itu amat luas dan penghuninya ramai.

Suasana semakin beransur senja.  Puan Sabariah menggamit anak-anaknya. Ariff dan abang berhenti bermain setelah menyedari mama mereka mengajak pulang. Kelihatan Aqill Hariss berkata sesuatu kepada Aman. Setelah itu kedua-dua beradik itu berlarian mendapatkan mama  mereka.

“Kenapa tak ajak Aman balik dengan kita sekali?”

“Dah ajak ma. Katanya nak main lagi.”

 

“Ariff, Aqil dokong adik ni.  Mama nak memandu.” Kereta   dipandu Puan Sabariah sudah tiba di hadapan rumah mereka. Mama Aman menegur Puan Sabariah ramah.

“Tak jumpa Aman di taman permainan tadi?”

“Jumpa. Dah ajak dia balik sekali. Tapi dia tak nak. Katanya nak main lagi.” Jawab Aqil Harris.

“Hish! Budak tu dah nak senja pun tak balik lagi.”

“Sekejap lagi baliklah tu kot.”

Selesai Puan Sabariah, suaminya bersolat maghrib, mereka dikejutkan dengan ketukan kuat di pintu.

“Jom temankan saya ke balai polis, buat laporan. Aman hilang. Puas saya cari di taman tapi tak jumpa. Bila saya tanya kawan-kawannya kata mereka Aman dah balik menumpang kereta seorang pak cik dan mak cik, mereka pun tak kenal siapa orang tu. Tapi kata mereka selalu ada di situ masa petang.”

Suami Puan Sabariah tidak bertanya apa-apa dan terus mengikuti papa Aman menaiki kereta. Puan Sabariah memandang wajah anak-anaknya seorang demi seorang. Dia mengurut dadanya dan beristighfar sambil mendoakan anak jirannya itu berjaya ditemui.

Dia terbayangkan wajah seorang lelaki dan perempuan yang berdiri di tepi tempat permainan papan gelongsor ketika dia berbuai dengan Damia. Hatinya berombak curiga. Mungkinkah pasangan itu ada kaitan dengan kehilangan Aman?

 

 

Tamat


MyBloglist