Tuesday, 22 September 2026

KENANGAN YANG TERKESAN

 ASSALAMUALAIKUM



KENANGAN YANG TERKESAN

.

Genre: Antologi Anekdot & Travelog
Penyelenggara: Nurimas SN, Sarimah Abu Bakar
Penulis: 34 orang
Penerbit: Akademi Sanggar Nurimas
ISBN: 978-6299-600985 (Sastera Kehidupan)
Bilangan halaman: 240 halaman
Harga: RM30.00
Tahun terbitan: 2026
Pengulas: Paridah Ishak

.

Antologi KENANGAN YANG TERKESAN terbitan Akademi Sanggar Nurimas merupakan himpunan karya 34 orang penulis tanah air dalam dua genre pilihan, iaitu anekdot dan travelog. Karya-karya yang dimuatkan merakamkan pengalaman, kenangan, peristiwa serta kisah kembara para penulis, sama ada di dalam mahupun di luar negara. Naskhah ini diselenggarakan oleh dua penulis, iaitu Nurimas SN dan Sarimah Abu Bakar.

Sebanyak 20 penulis, iaitu Almas Kirana, Daud Abd. Razak, Eiza Nashwa, Farah Izati, Fateh Rais, Fauziah Mohd. Yusuf, Hidayah Azhar, Jaime Kangoi, Laila M, Murley Giman, Noor Rafidzilliah, Norina Mohd. Nor, Rajawali, Sal Omar, Serikandi Medikasi, Syarifah Fariah, Tinta Kencana Dewi, YG Yusri, Zir Iman dan Nurimas SN, menampilkan karya berbentuk anekdot. Ada yang mengetengahkan tiga tajuk, manakala sebahagian yang lain memilih satu atau dua tajuk berdasarkan pengalaman yang ingin dikongsikan.

Anekdot yang dipersembahkan cukup pelbagai dan menghiburkan. Setiap penulis mempunyai cara tersendiri dalam mengolah pengalaman menjadi cerita yang menarik untuk ditelusuri pembaca. Unsur kelucuan, kejutan, pengalaman peribadi dan pengajaran menjadikan karya-karya tersebut lebih dekat dengan kehidupan.

Antaranya ialah anekdot Syarifah Fariah yang mengetengahkan pengalaman bersama anak cucunya menaiki roller coaster di Kuala Lumpur. Pengalaman yang mendebarkan itu bukan sahaja menggambarkan rasa takut dan cemas, malah diselitkan dengan unsur kelucuan yang mencuit hati. Pengalaman sebegini memperlihatkan bahawa sesuatu peristiwa yang mencemaskan pada ketika berlaku boleh bertukar menjadi kenangan manis untuk dikenang dan dikongsikan.


Bahagian kedua pula menghimpunkan catatan pengalaman kembara yang ditulis oleh Asyifa Syauqina, Bunga Melor, Hakimah Maziah, Jamilah Rejab, Jenny Omar, Mohd. Khairudin Lim, Noorlaila Ghafar, Noridah Shaari, Noris61, Rosnani Mat, Siti Aminah Mohamad, Timura Hamid, Wardah Chili, Sarimah Abu Bakar dan Sabariah Eyda Yaakob.

Catatan-catatan ini membawa pembaca menyusuri pelbagai destinasi di dalam dan luar negara, antaranya Thailand, Vietnam, Indonesia, Perancis, Korea, China, Iran dan Mekah. Setiap perjalanan mempunyai cerita serta pengalaman tersendiri yang memberikan warna kepada antologi ini.

Sabariah Eyda Yaakob, misalnya, memilih Kuala Lipis sebagai destinasi kembaranya. Bunga Melor pula merakamkan kenangan indah di Melaka, manakala Noorlaila Ghafar berkongsi pengalaman menunaikan ibadah haji bersama suaminya. Beliau turut merakamkan peristiwa kebakaran khemah jemaah haji di Mina yang menjadi sebahagian daripada pengalaman perjalanan tersebut.

Jamilah Rejab pula mengetengahkan pengalaman kembaranya di Iran, sebuah negara yang mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang tersendiri. Catatan seperti ini memberikan peluang kepada pembaca mengenali sesebuah tempat bukan sahaja melalui gambaran alam dan destinasi pelancongan, tetapi juga melalui pengalaman peribadi penulis.

Antologi ini menjadi lebih menarik kerana setiap penulis membawa perspektif yang berbeza. Ada yang menekankan keindahan tempat yang dikunjungi, ada yang merakamkan pengalaman lucu dan mencemaskan, manakala ada pula yang mengangkat nilai kekeluargaan, persahabatan, keinsafan dan pengalaman kerohanian.

Kenangan yang dilalui ketika berkelana, walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran, merupakan pengalaman yang amat mahal harganya. Pengalaman tersebut tidak dapat diulang dengan cara yang sama, tetapi dapat diabadikan melalui tulisan untuk dikongsi bersama pembaca.

Selain catatan berbentuk naratif, antologi ini turut dilengkapi gambar-gambar berwarna yang berkaitan dengan peristiwa dan destinasi yang dirakamkan. Kehadiran gambar tersebut membantu pembaca membayangkan suasana serta menghidupkan lagi pengalaman yang diceritakan.

Secara keseluruhannya, KENANGAN YANG TERKESAN merupakan sebuah antologi yang menghimpunkan pelbagai pengalaman penulis dalam bentuk anekdot dan catatan kembara. Kepelbagaian gaya, pengalaman dan destinasi menjadikan naskhah ini sebuah himpunan kenangan yang bukan sahaja menghiburkan, malah memberikan ruang kepada pembaca untuk melihat kehidupan melalui pengalaman orang lain.


Monday, 21 September 2026

DIARI

 ASSALAMUALAIKUM







DIARI

 

Waktu  dahulu telah berlalu

pena menulis pengalamannya

bersilih rasa ceria pilu

lembaran buku penuh kisahnya

.

Setiap hari tiada jemu

berganti minggu jelma purnama

niat menaruh segala ramu

hajat diselak helaian lama

.

Di susun tinggi dalam lemari

antara jilid tiada ruang

ketara lusuh dimamah hari

hasrat mencapai kala terluang

.

Semakin usang tintanya pudar

diselak baca jenuh merenung

mengenang dasawarsa beredar

wajah menunduk lama bermenung

.

Menitis berderai air mata

atma umpama kaca meretak

mengulang baca bayang derita

dituris luka perih disentak

 

Sunday, 20 September 2026

ZIKIR MUNAJAT

 ASSALAMUALAIKUM






ZIKIR MUNAJAT

 

Bermula Isnin hingga Jumaat

penghulu hari penuh berkat

berzikir bertasbih bermunajat

 

Awal Muharram hingga Zulkaedah

tiada sudah tawakal reda

mengulit pasrah

menanti musim bunga Ramadan

melimpah-ruah hasil di jannah

 

Segalanya terpulang kepada-Nya

takdir-Nya tiada daya menolaknya.

dengan restu-Mu

dengan rahmat-Mu berkah selalu

 

Bertamu  ke rumah-Mu

Mekah al-Mukaramah beribadah haji

Madinatul munawarah menziarahi  makam jejak Nabi

resah usir gundah di taman Raudah

tangan menadah doa

Subhanallah! Alhamdulillah! Lailahaillallah!

Allahu Akbar!

 

Bersujud dalam tawadduk kusyuk
nawaitu kalbu luhur

abadi bersemi kasih sejati
dakap cinta-Mu melerai sendu

dini hari berkeluh-kesah
menyerah nasib menyerah resah

.

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

17/9/026


HUJAN MALAM

.

Hujan rintik-rintik

basah tanah gersang

mersik lanting gugur

ritma lagu sekata

masih belum seriyat

dingin cengkam malam

selimut membungkus diri


.

Limpah keruh genang rata

lupus ruang lembah

bangkit langkah langgas

angkut capai semampu harung pantas

banjir kilat

Saturday, 19 September 2026

SAHABAT SASTERA

 ASSALAMUALAIKUM


SAHABAT SASTERA




.



Lafaz bismillah demi Yang Esa,

mohon diampun segala dosa,

di dalam aman nyaman senosa,

syair dikarang meluah rasa.

.

Kisah sahabat kenalan maya,

jarak usia bukan sebaya,

bersatu minat menulis karya,

meninta ilham upaya daya.


Berkenal mesra sudah takdir-Nya,

graha sastera sambung talinya,

lama bersama faham ragamnya,

berkongsi rasa susah senangnya.

.

Ketawa ria bersulam duka,

jadi penawar merawat luka.

gumpal masalah usaha buka,

manfaat ilmu cuba teroka.

.

Dunia fana akhirat jaga,

saling membantu durjana duga,

bersama-sama siap siaga,

seiring jalan menuju syurga,


.

Berakhir syair irama syahdu,

jauh berpisah menanggung rindu,

pahit terasa bagai hempedu,

gerimis tangis berurai sendu,

Friday, 18 September 2026

SAYEMBARA PUISI HARI MALAYSIA

 ASSALAMUALAIKUM




Salam Jumaat penghulu hari
ceria wajah senyum berseri
Alhamdulillah kakpidah lulus sayembara puisi HARI MALAYSIA @SPTA ...terima kasih Sifu Tabir Alam sudi pilih puisi akrostik karya kakpidah antara yang lulus; tahniah sahabat tersenarai...tahniah semua peserta,
❤️ KEPUTUSAN ❤️
SAYEMBARA PUISI HARI MALASIA
---------------------------------------
[01] PERTAMA
💟 Paridah Ishak
| HARI MALAYSIA (Akrostik)
[02] KEDUA
💟 Ana Cik Kamal
| HARI MALAYSIA (Sajadah)
[03] KETIGA
💟 Syidah Ida
| MALAYSIA TERCINTA (Sonian)
pic

Thursday, 17 September 2026

TANJONG PENAGA

 ASSALAMUALAIKUM



TANJONG PENAGA

.

Ketika aku kecil dahulu, aku sering mendengar perbualan saudara-saudaraku tentang perjalanan mereka ke Tanjong. Aku pula tidak tahu di manakah Tanjong itu. Sungguh naif pengetahuanku ketika itu.

Setelah ilmu bertambah sedikit, seiring usia, barulah aku memahami bahawa Tanjong yang dimaksudkan ialah Pulau Pinang, khususnya kawasan yang kini dikenali sebagai George Town. Dahulu, Pulau Pinang dikenali sebagai Tanjong Penaga, sempena nama pokok penaga yang tumbuh di sekitar kawasan Fort Cornwallis. Nama Tanjong juga dipercayai masih digunakan dalam geran tanah sehingga sekitar tahun 1800.

Pulau Pinang pada asalnya berada di bawah Kesultanan Kedah. Pada tahun 1786, Francis Light mengambil alih penguasaan Pulau Pinang bagi pihak Syarikat Hindia Timur Inggeris. Dalam surat Sultan Abdullah Mukarram Shah bertarikh 31 Ogos 1785, antara syarat yang diminta ialah bayaran tahunan sebanyak 30,000 dolar Sepanyol serta bantuan ketenteraan bagi menghadapi ancaman musuh, khususnya Siam dan Burma.

Namun, syarat tersebut kemudiannya tidak dilaksanakan sebagaimana yang diharapkan oleh pihak Kedah. Ketegangan memuncak apabila Sultan Abdullah berusaha mendapatkan semula Pulau Pinang pada tahun 1791, tetapi serangan dipatahkan oleh pihak British kerana tali barut membocorkan rahsia rencana itu. Perjanjian 1791 kemudian mengiktiraf penguasaan Syarikat Hindia Timur Inggeris terhadap Pulau Pinang. Pada tahun 1800 pula, Seberang Perai diperoleh melalui perjanjian dengan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II. Kedah kehilangan Seberang Prai dan Kerian.



.

Tanjong Penaga -

lautan bergelora

galur sejarah

Wednesday, 16 September 2026

HARI MALAYSIA

 ASSALAMUALAIKUM

SELAMAT HARI MALAYSIA NEGARA INDAH PERMAI NYAMAN LAKSANA PUSPA MEKAR INDAH


 









HARI MALAYSIA

.

Selamat  Hari Malaysia

Semenanjung, Sabah, Sarawak

raikan bahagia bersama

.

Laut  China Selatan

jarak pisah jauh

dekat dalam kalbu

.

Beza  loghat etnik

senyum wajah iras

redup dalam rumpun

.

Salam  kasih cinta

coret setia wangi

enam belas September

.

Janji  ukhuwah erat

taut tali suratan

dengan izin Allah

.

Ganding  langkah beriring

pertahan nusa warisan

bersatu tegak teguh


Tuesday, 15 September 2026

SIMFONI DESA

 ASSALAMUAILAIKUM


 








 

SIMFONI DESA

 

Bayu   hembus gemalai

langkah menyongsong pagi hening

sapa desa damai

.

Semai anak benih

siram air jernih

.

Sabar tunggu bertunas

bertahan bahang panas

ii/

 

Subur  segar merimbun

budidaya tanah gigih bersungguh

gantung harapan tinggi

.

Menuai hasil asa

demi esok lusa

.

Rezeki musim kering

kala jatuh gering


MyBloglist