Friday 31 March 2023

ZIKIR RAMADAN

 ASSALAMUALAIKUM



SALAM JUMAAT MULIA RAMADAN KESEMBILAN

ZIKIR RAMADAN
Kala hujan merintik halus membasahi rekahan bumi, bergemalah alunan katak sahut-sahutan.
Melagukan simfoni zikir kegembiraan syahdu. Setiap hela nafasnya adalah zikir. Tidak pernah terlupa meski di mana hadir. Walau asyik melompat ke darat dan ke air senantiasa. Demikian kehidupan bernyawa fauna, flora, unggas, serangga, apapun jua, lafaz zikir tiada mungkir. Berzikirlah sebanyaknya, basahkan lidah tiada sudah, serikan Ramadan beramal ibadah, tanda syukur kepada Allah, pinggir segala duga mengolah masalah. Sepantun gemaan katak memanggil hujan

Tuesday 28 March 2023

RAMADAN INDAH

 ASSALAMUALAIKUM



RAMADAN INDAH


Ramadan indah hadir berseri

sinar purnama menyerlah berkah

menghulur rahmat sehari-hari

menggalak umat giat ibadah. 


Bersolat khusyuk sempurna wuduk

puasa wajib seraya ratib

bersujud syukur penuh tawaduk

berjiwa hamba sopan bertertib.


Amal ibadah ikhlas lakukan

Allah janjikan ganjar berganda

bermohon tulus demi ampunan

kasihnya Allah berserta reda.


Purnama Ramadan sinar cerlang

aura mulia gilang-gemilang.


 


PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah


27/03/023

Monday 27 March 2023

MENU MUDAH

 ASSALAMUALAIKUM



MENU MUDAH

.

Siap saja

atas meja

abuk- abuk

bubur lambuk

.

Buah kurma

wajib sama

air serbat

sisi ubat

.

Dalam talam

nasi ulam

ikan kering

goreng garing

.

Menu mudah

harga rendah

santap saja

gaya raja


Sunday 26 March 2023

CITRA RAMADAN

 ASSALAMUALAIKUM



CITRA RAMADAN

.

Niat

tasdiq hati

sahur  gara pantas

sebelum imsak berganti

subuh

.

Maghrib

masuk sudah

waktunya berbuka

puasa kala bergema

azan

.

Makan

serba sikit

menjana tenaga

solat segera mengadap

Allah

.

Gelut

pula atur

langkah bertarawih

di masjid ataupun surau

dekat


Saturday 25 March 2023

2303023

 ASSALAMUALAIKUM



TARIKH

 

Hari

ini susun

angka dua tiga

kosong tiga kosong dua

tiga

.

Bulan

tiga pada

kalendar Masihi

sedang berakhir berganti

April

.

Lebih  

uja sambut

Ramadan mulia

orak senyum bawa mutiara

ganjar

.

Dakap

erat enggan

lepas dia pergi

tinggalkanku tak kembali

lagi

 


Wednesday 22 March 2023

HARI PUISI SEDUNIA

 ASSALAMUALAIKUM


SALAM RAMADAN MAAF ZAHIR BATIN

SELAMAT HARI PUISI SEDUNIA


BUAIAN PUISI

 

 

lena dibuai puisi

ayunan bayu lemah gemalai

.

antara dahan sastera

lisan bicara dulu kala

.

hikayat susun mantera

antara negara lantun erti

.

indah nilai bahasa

dunia dalam nuansa tersendiri

.

syair ritma berlagu

senikata mengiringi senandung sunyi

.

patah kata coret

sajak mangkin asa perjuangan

.

genre puisi berbilang

pilihan santun erat suasana

.

sebati emosi kendiri

membelai cinta mengusir benci


Tuesday 21 March 2023

ADIWIRA NEGARA

 

ASSALAMUALAIKUM

 


 Alhamdulillah PI terima kiriman naskhah puisi kiriman seorang . Penulis  tanah air yang amat kakpidah kagumi karya puisinya nan sarat satira bersahaja. Terimakasih banyak sudi selalu hadiahkan PI terbitan karya terbaru.

Naskhah ADIWIRA NEGARA 69 muka surat hasil karya penulis mapan prolifik, sasterawan Ladin Nuawi ini menghimpun 46 puisi tradisi Melayu dan genre puisi moden pelbagai tema bersesuaian. Tema pilihan penulis naskhah ini seperti keagamaan, patriotism, pendidikan dan kasih sayang dinukilkan dengan sempurna menurut kehendak disiplin puisi tradisi yang tidak mengikat jumlah suku kata hanya sepuluh namun rima hujungnya sama Teguh, Muafakat dan Pukon sebagai tajuk utama yang menyenaraikan puisi berkenaan..’Pukon’ apa maksudnya ya? Hendak mengetahuinya perlulah membaca naskhah comel ini.

Penulis mengolah diksi frasa aksara sangat berhati-hati pilihannya agar hasilnya karya ternyata indah dibaca disamping menyerap pelbagai unsur positif menyegarkan jiwa raga, menuatkan semangat kecintaan pada negara.

Sekadar sedikit petikan beberapa rangkap puisi  yang terdapat di halaman 27naskhah ini;

MAHKOTA BUANA

 

Mahkota Buana mahkota Melayu

amanah Allah rukun bersatu

 

Mahkota Buana Tanah Melayu

bangsa Melayu bahasa Melayu

 

Mahkota Buana mahkota daulat

raja dan rakyat hidup muafakat

 

Raja berdaulat rakyat selamat

hidup berkat penuh rahmat

Bersambung….

Tahniah sasterawan Ladin Nuawi semoga sentiasa aktif dan sukses menerbitkan karya sastera terbaru untuk tatapan khalayak.

Sekiranya ingin mendapatkan buku ini dll karya yang diterbitkan sila hubungi beliau @facebook

 

.

 

 

Saturday 18 March 2023

PULAU PANGKOR

 ASSALAMUALAIKUM



PULAU PANGKOR

 

Pertama kali aku ke Pulau Pangkor merentas lautan, menaiki bot penambang, mengikuti suamiku membeli pelbagai jenis ikan bilis dan lain-lain jenis ikan kering sebagai bahan dagangan yang diedarkan serata kedai runcit di wilayah Jengka. Kalau hendak membeli aneka sumber makanan laut dengan harga agak murah, di sinilah tempatnya. Membeli secara borong tentulah tidak sedikit jumlahnya. Penuh selori bertayar enam itu dimuatkan dengan keranjang  ikan masin dan juga lain-lain bahan jualan. Pemilik perniagaan pengumpulan aneka bahan sumber laut itu berbangsa Cina. Katanya pada suamiku, “Tiap minggu lu mari sini beli ikan, mesti maju lu punya niaga!”

“Insya-Allah.” Balas suamiku.

“Kalau gua masuk niaga sana. Lu mesti tak boleh niaga lagi. Mati woo!” aku dan suamiku tersengih saja mendengarnya.

 

di Pulau Pangkor -

pemborong ikan bilis

saingan dagang


Friday 17 March 2023

INDAH BAHASA BANGSA MULIA

 ASSALAMUALAIKUM

Salam Jumaat mulia.
Allahamdulillah rezeki Syaaban jelang Ramadan, puisi syair PI berjudul INDAH BAHASA BANGSA MULIA disiar dalam majalah Dewan Sastera edisi Mach 023. Terima kasih banyak kesudian editor menyiarkan karya PI seadanya itu.

Pic kiriman CT Nurza(c)



Wednesday 15 March 2023

SAYEMBARA SAJAK FEBRUARI ASN 023

 ASSALAMUALAIKUM


Alhamdulillah TUNAS MUDA puisi sajak karya PI diplih memenangi tempat ketiga dalam sayembara Simfoni Puasi Februari anjuran grup Akademi Sanggar Nurimas @facebook. Terima kasih juri ASN sudi memilih karya PI yang seadanya antara pemenang. Tahniah semua peserta dan pemenang.




Monday 13 March 2023

TAPAI PULUT

 ASSALAMUALAIKUM



TAPAI PULUT

 

Kadangkala untuk sarapan pagi Tuk akan sediakan tapai pulut. Bukan sedikit tapai pulut yang dibungkus dengan daun pisang itu jumlahnya. Penuh sebakul besar. Bakul besar biasanya dianyam daripada daun mengkuang dan digunakan untuk mengangkut padi atau mengisi beras.

 

Proses menyediakan tapai cara dahulu agak rumit sedikit.  Langkah pertama perlu menumbuk padi pulut sehingga menjadi beras. Setelah itu dikukus. Setelah masak dibiarkan sejuk seketika. Diratakan dalam talam dan ditabur dengan ragi yang dihaluskan dengan lesung batu. Ayak  sehingga semua pulut terkena ragi. Lalu dibungkus berbentuk kun seperti nasi lemak.

 

Tuk akan mengisinya ke dalam bakul besar dan di simpan di bawah katil selama dua hari. Setelah pasti tapai telah masak barulah dikeluarkan untuk hidangan keluarga. Tapai enak di makan bersama kelapa kukur sambil menghirup secawan kopi panas.

 

sarapan pagi –

sebakul tapai pulut

 berselang hari

Sunday 12 March 2023

MANJA WANITA

 ASSALAMUALAIKUM

SELAMAT BERHUJUNG MINGGU




MANJA WANITA

 

Tersurat takdir ada pasangan

pilihan hati semoga pasti

sepenuh kasih atas junjungan

setia cinta sehingga mati

.

Sering bersama saling membantu

kala berpisah terlalu resah

rusuh bagaikan galak menghantu

doa bertemu usai gelisah

.

sikap mandiri ternyata hilang

bergantung daya pada suami

malam berlalu siang menjelang

berdetik saat berganti semi

.

Yakin berpaut kuasa Allah

bermanja-manja tiada salah


Saturday 11 March 2023

MELAKA

 ASSALAMUALAIKUM



MELAKA
.
negara terbilang
wujud lama sebelum tiba Parameswara
.
pusat perdagangan
ekonomi timur jauh berkembang seantero
.
Selat Melaka
bahasa Melayu komunikasi lingua franca
.
syiar Islam
Raja Seri Iskandar Syah memeluknya
.
seratus tahun
kesultanan Melaka bergantian pewaris memerintah
.
Portugis tiba
armada mencari rempah semata berdagang
.
alasan cuma
komplot petualang rampas kuasa terancang

musnah sudah
negara Melaka terjajah angkara pengkianat

Wednesday 8 March 2023

KEJUTAN MACH 023

 ASSALAMUALAIKUM


Alahai tiba-tiba along @AKADEMI SANGGAR NURIMAS pilih PI menjadi sifu grup penulisan ASN..isyh mampukah agaknya huhu...tapi sifu TA sudah izinkan PI berkongsi ilmu puisi yang dipelajari daripada sifu TA selama bertahun-tahun...terima kasih banyak sifu budinya... agaknya bolehlah kut heh heh...terima kasih along NURIMAS apresiasi n penghargaannya.




Tuesday 7 March 2023

TASIK KENYIR

 ASSALAMUALAIKUM




TASIK KENYIR

 

tasik buatan terbesar Asia Tenggara

empangan  air

.

menjana kuasa hidro-eletrik jutaan pengguna

hantaran pencawang

.

projek agensi Kemajuan Terengganu Tengah

ekonomi berkembang

.

tenggelam kampung halaman hutan rimba

abadi kenangan

.

muncul ratusan pulau kecil indah

air menghijau

.

daerah Kuala Berang tumpuan pelancong

wisata alam

.

wajah asalnya telah jauh berubah

aturan masa

.

jagung manis produk petani mandiri

lestari jua


PI

Desa Melor Serendah

3/7/023


MyBloglist