Friday, 14 August 2026

DZATUL IMAD

 ASSALAMUALAIKUM



Imej ini secara simbolik gambaran berdasarkan kisah Kaum 'Ad iaitu kaum Nabi Hud a.s yang dibinasakan  akibat kesombongan mereka.

Firman Allah dalam al-Quran surah al-Fajr ayat 6-8 tentang Iram Dzatul 'Imad (kota bertiang tinggi),

 

 

   "Tidakkah engkau memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap kaum 'Ad? (Iaitu penduduk) Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi, yang belum pernah dibina seperti itu di negeri-negeri lain."

Nabi Hud a.s diutus  Allah SWT kepada kaum 'Ad, yang hidup selepas kaum Nabi Nuh a.s. Mereka menetap di kawasan al-Ahqaf, iaitu wilayah berpasir di selatan Semenanjung Arab.

Kaum 'Ad dikurniakan tubuh besar dan kuat, memiliki kemahiran membina bangunan tinggi. Allah SWT mengurniakan mereka tanah yang subur dan kehidupan yang senang. Mereka  semakin sombong, menyembah berhala dan menindas golongan  lemah. Berbangga  dengan kekuatan dimiliki sehingga merasakan tiada siapa mampu mengalahkan mereka.

Lalu Allah mengutus Nabi Hud a.s daripada kalangan mereka. Baginda menyeru kaumnya agar meninggalkan penyembahan berhala dan mentauhidkan Allah. Dan mengingatkan mereka supaya bersyukur atas nikmat yang dikurniakan.

“ Wahai kaumku! Sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya.” Surah Hud, ayat 50.

 

Kaum  'Ad menolak dakwah Nabi Hud. Mereka menuduh baginda seorang yang bodoh, pendusta dan gila. Mereka berkata bahawa kekuatan mereka tidak mungkin dapat dikalahkan oleh sesiapa.

 

Nabi Hud berdakwah bertahun-tahun. Tapi kaum ‘Ad menolaknya. Allah SWT menimpakan kemarau yang panjang.

Baginda menyeru kaumnya bertaubat. Nescaya Allah akan menurunkan hujan yang lebat, menambahkan kekuatan mereka serta melimpahkan lagi keberkatan kehidupan mereka.

 

Namun mereka berdegil. Awan  hitam berarak di langit dan mereka menyangka membawa hujan yang dinantikan.

Sebenarnya  membawa azab Allah. Angin  kencang dan sejuk, bertiup selama lapan hari tujuh malam membinasakan kaum’Ad.

Nabi Hud a.s. bersama orang-orang yang beriman diselamatkan oleh Allah daripada bencana tersebut.

 

Kisah Nabi Hud a.s. disebut dalam beberapa surah al-Quran, antaranya surah Hud, Surah al-A'raf, surah al-Ahqaf, surah asy-Syu'ara', surah al-Haqqah dan surah al-Qamar.


Thursday, 13 August 2026

ASYRAF

 ASSALAMUALAIKUM

ASYRAF



Korang nak tahu tak, sekarang aku dalam mood bersedih. Mungkin untuk dua bulan ni, bukan sebab aku putus cinta eh.
Jangan salah faham.
Aku dah kahwin.
Aku sedih sebab staff kesayangan aku, nama dia Asyraf, tengah “cuti” dua bulan.
“Arrr KJ… dia sorang je ke staff kesayangan kau?”
Tak.
Bukan semua staff aku aku sayang dengan cara yang sama. Setiap orang ada kelebihan masing-masing. Tapi Asyraf ni ada satu benda yang aku paling suka.
Dia selalu ingatkan aku solat.
Kadang-kadang bila aku tengah sibuk gila, dia akan datang depan aku.
“Boss… solat jom.”
Aku pun pernah la satu hari tu nak mengelat. Aku cakap,
“Syaf, kau pergi lah solat dulu. Nanti aku solat.”
Korang tahu dia buat apa?
Dia ikut aku, aku pergi mana, dia ikut. Aku masuk tempat lain, dia ikut. Sambil ulang ayat yang sama
“Boss… solat jom.”
Asyraf ni kalu korang nak tahu dia tak berapa pandai cakap Bahasa Melayu. Aku rasa dia cuma hafal tiga perkataan.
Boss.
Solat.
Jom.
Itu je.
Aku rasa ayat tu dia hafal sebab nak hadap aku seorang je. Tapi sebenarnya, benda macam ni yang buat aku sayang dia.
Dia bukan sekadar staff, dia selalu ajak aku kepada benda yang baik.
Asyraf ni geng tabligh.
Setiap minggu kadang-kadang dia akan panggil geng dia datang kandang. Pakistan ada, melayu ada, cina pun ada.
Duduk ramai-ramai, makan sama-sama, sembang pasal agama.
Dan aku baru tahu, geng dia ni bukan calang-calang orang. Ada yang buat bisnes besar. Tapi bila datang kandang aku, semua duduk macam orang biasa.
Satu lagi benda yang aku suka pasal Asyraf, dia rajin baca Al-Quran.
Pagi baca.
Petang baca.
Malam baca.
Kalau ada masa, dia baca lagi. Aku pula nak cakap macam mana, aku ni tak pandai baca Al-Quran. Jadi kadang-kadang bila dia tengah baca, aku duduk sebelah dia.
Kadang-kadang aku baring atas peha dia, sambil dengar dia baca Al-Quran, kadang sambil usap rambut aku.
Best weh.
Korang bayangkan, korang baring atas peha orang, suasana tenang, orang tu baca Al-Quran perlahan-lahan sambil usap kepala kita.
Memang boleh melayang sekejap.
Mula-mula dulu Asyraf tak boleh brain perangai aku. Aku selalu baring atas peha dia sambil suruh dia belai rambut aku.
Dia mungkin dalam hati,
“Ni boss aku ni kenapa?”
Korang jangan fikir bukan-bukan.
Aku normal.
Aku memang dari kecil kalau nak tidur, rambut kena ada orang belai. Itu je perangai pelik aku. Sampai sekarang dan tua pun terbawa-bawa.
Tapi tu lah, sekarang Asyraf dah tak ada. Hari terakhir sebelum dia cuti, aku sempat cakap dekat dia,
“Asyraf, nanti jangan lupa balik semula ya.”
Dia tak jawab, dia cuma senyum. Aku tak tahu dia faham ke tak apa yang aku tanya.
Tapi aku percaya, dia akan balik.
Sekarang ni baru beberapa hari dia tak ada, rasa macam ada satu benda yang hilang. Kadang-kadang bila nak tidur, aku teringat kat dia.
Terbayang suara dia…
“Boss… solat jom.”
Aku senyum sorang-sorang. Dulu ayat tu kadang-kadang buat aku rasa nak lari. Sekarang bila tak dengar, aku pula yang rindu.
Dan aku rasa, antara rezeki terbesar dalam hidup ni bukan semata-mata duit. Kadang-kadang Allah hadirkan seseorang dalam hidup kita untuk ingatkan kita kepada Dia.
Ada orang hadir untuk tolong kita cari rezeki.
Ada orang hadir untuk buat kita ketawa.
Ada orang hadir waktu kita susah.
Dan ada orang macam Asyraf, yang tugas dia cuma tiga perkataan:
“Boss solat jom.”
Tapi tiga perkataan tu mungkin jauh lebih besar nilainya daripada yang dia sendiri sedar. Aku doa Allah jaga Asyraf sepanjang dia “cuti” dua bulan ni.
Mudahkan urusan dia.
Jaga iman dia.
Murahkan rezeki dia.
Dan, baliklah cepat-cepat Syaf. Kandang ni ada orang rindu kau…

Wednesday, 12 August 2026

MEMILIH

 ASSALAMUALAIKUM



MEMILIH

.

Silap pilihan termangu-mangu,

gelut berfikir bertambah dungu.

.

Sibuk mencari wahana baru,

intai fungsinya pening keliru.

.

Mengusir  durja porak peranda,

menempuh sukar datang melanda.

.

Neraca minda menyusun rancang,

punah terhapus agenda pincang.

.

Biarkan saja apa berlaku,

menjadi batu diam terkaku.

.

Akibat bosan hendak memilih,

kekal di situ tidak beralih.

.

Akhir dipaksa beralih juga,

ralit berlena baru terjaga.

.

Apalah guna sudah terlambat,

mula berlari letih dihambat.


Tuesday, 11 August 2026

TABUNG HAJI

 ASSALAMUALAIKUM



TABUNG HAJI

.
Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji ditubuhkan pada November 1962 dan mula beroperasi pada 30 September 1963. Penubuhannya berkait rapat dengan penerimaan kertas kerja Yang Mulia Profesor Diraja Ungku Aziz yang bertajuk Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-Bakal Haji pada tahun 1959.
Aku pula mula menyimpan wang dalam Tabung Haji atau Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) pada tahun 1990-an atas nasihat ibuku. Katanya, dengan menabung di Tabung Haji, urusan menunaikan ibadah haji kelak akan menjadi lebih mudah.
Pada tahun 2020, aku menerima tawaran daripada Tabung Haji untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci. Anak-anak dan adik-adikku membawaku bertemu pegawai Tabung Haji di ibu pejabat bagi menyelesaikan beberapa urusan kerana aku bercadang membawa tiga orang adik bersamaku. Maklumlah, sebagai OKU, aku sememangnya memerlukan bantuan dan kemudahan tertentu.
Namun, walaupun segala urusan telah diselesaikan, Allah menentukan sebaliknya. Hasratku tertangguh apabila wabak COVID-19 merebak ke seluruh dunia. Wang yang dikhususkan untuk perbelanjaan haji itu masih tersimpan.
Dalam pada itu, pelbagai berita dan maklumat media massa tentang pengurusan serta pelaburan Tabung Haji mula kedengaran. Ada yang menimbulkan persoalan dan kebimbangan. Setelah sekian lama, pelbagai isu dan penglibatan pihak tertentu pula menambahkan kecoh. Aku memilih untuk bersangka baik. Hujan ribut pun ada hentinya, begitu juga setiap kemelut pasti ada jalan penyelesaiannya.
.
wang Tabung Haji -
jelang Hari Merdeka
audit luaran

Monday, 10 August 2026

RINDU KEKASIH

 ASSALAMUALAIKUM




RINDU KEKASIH
.
Terpaku fikir rasanya jemu,
bersandar nona perdunya mesta;
kasihku ukir hanya untuk-Mu,
pudar gerhana tulusnya cinta.
.
Tergesa-gesa dara berlari,
jalan terentang hendak ke pura;
rasa berdosa mendera diri,
sesalan datang tidak terkira.
.
Di seni temu duku dan terap,
tandus kesemu tiada lemba;
murni kasih-Mu daku mengharap,
kudus cinta-Mu kepada hamba.
.
Jerlus di tamu laku cemerkap,
lelah terlelap di pohon rimbun;
tulus sayang-Mu inginku dakap,
salah dan silap mohon diampun.
.
Beringin tua jurai di perdu,
petik melati di pangkal palma;
ingin bersua melerai rindu,
detik dinanti bakal bersama.


MyBloglist