Saturday 30 September 2023

BATAS JAGAT RAYA

 ASSALAMUALAIKUM

SELAMAT BERHUJUNG MINGGU

BATAS DAN BINTANG

.


Khalifah Harun Al Rashid ingin mengetahui dua rahsia alam. Lalu baginda bertanyakan pada semua menterinya. Jawapan yang diberikan para menterinya tidak memuaskan hatinya.

“Di manakah terletaknya batas jagat raya?” Tanya Khalifah dalam satu pertemuan dengan Abu Nawas di istananya.

“Jagat raya itu tiada batasnya. Tapi tetap ada keterbatasannya. Allah telah menentukan sesuatu dengan  batasnya. Kehidupan juga terbatas. Sesuatu  yang terbatas tidak mampu mengukur apa yang tidak terbatas”

“Manakah yang lebih banyak, bintang di langit atau ikan di laut?” Khalifah bertanya lagi

“Ikan di laut!” pantas jawapan yang diberi Abu Nawas.

“Kenapa terlalu cepat kamu menjawabnya. Berikan penjelasannya?”

“Setiap hari hamba melihat para nelayan menangkap ikan dengan jumlahnya yang banyak. Ikan masih tetap banyak. Hamba tidak pernah melihat bintang gugur.”


Thursday 28 September 2023

SALAM MAULIDUR RASUL

 ASSALAMUALAIKUM

SYAIR RASULLULLAH JUNJUNGAN MULIA

 

 


Awal  bismilah melafaz kata,

selawat dan  salam rasul tercinta,

pembawa nur alam semesta,

syair digubah  pena bertinta.

 

Siti  Aminah suri Abdullah,

anakandanya hai Rasullullah,

nabi Muhammad nama menyerlah,

bersyukur limpah kurnia Allah


Di hari Isnin minggu yang awal,

hai dua belas Rabiulawal,

Muhammad lahir akmal terkawal,

di Tahun Gajah wujudnya ehwal.

.

Siti Aminah mendapat mimpi,

sinaran terang di malam sepi;

seluruh alam tidak bertepi,

lahir zuriat sempurna rapi.

 

.

 Ayahanda dulu berangkat pulang,

bondanya pula menyusul jelang,

mengadap Allah tahun berselang,

nabi piatu berulit walang.

 .

Begitu sedih akan kisahnya,

pahit dan getir perjuangannya,

mendakwah Islam keseluruhannya,

utusan Allah maktub tugasnya.

 

 

Malidur rasul ingatan umat,

hari sejarah nabi Muhammad,

jiwanya kamil menjunjung rahmat,

risalah Allah berserta nikmat.

 

Syiar nur Islam syariat julang,

meski berbilang duga menghalang,

tegar berjuang bukan kepalang,

bertumpah darah   berputih tulang.

 

Nabi utusan  Rahim nan Rahman,

kepada umat di akhir zaman

cekal tarbiah ilmu pedoman,

tinggalkan jahil menyerap iman.

 

 

Nabi Muhammad  tersurat sudah,

gagah berjuang Allah permudah,

berhati suci sifat mahmudah,

“demi ummati” di hujung lidah.

 

Begitu  syair nabi bestari,

 riwayat hanya  sekadar beri,

karangan kecil karya sendiri,

ukir  kenangan kekal lestari.


Wednesday 27 September 2023

LANGKAWI LAGI

 ASSALAMUALAIKUM

MIA DAN ABQORI MENAIKI BAS BERSAMA GURU2NYA DAN KAWAN2NYA MENGIKUTI ROMBONGAN SEKOLAH INTAN BAIDURI KE LANGKAWI JAM 2 PAGI...MAMANYA ADA KURSUS DI JCA TERPAKSA NAIK FLIGHT DENGAN PAPANYA MENYUSUL KE SANA KEESOKANNYA.












Tuesday 26 September 2023

TERBANG

 ASSALAMUALAIKUM

TERBANG

 


Khalayak dikejutkan dengan kenyataan Abu Nawas yang disebarkan secara lisan dari seorang pada seorang yang lain. Akhirnya sampai juga khabar itu pada khalifah Harun Ar Rasyid. Baginda ingin mengesahkan khabar itu daripada sumbernya sebenar. Segera Khalifah menitahkan perajuritnya membawa Abu Nawas mengadapnya.

“Benarkah khabar yang diperkatakan orang di sini bahawa kamu hendak terbang?” Tanya Khalifah.

“Benar paduka!” sahut Abu Nawas dengan yakin.

“Oh!  Baiklah, kalau begitu kamu naiklah menara yang tinggi itu dan terbanglah. Beta dan rakyat yang sedang berhimpun tidak sabar hendak melihat kamu terbang.

“Baik paduka.” Abu Nawas menaiki tangga menara sehingga tiba di atasnya. Dia mengangkat tangannya kiri dan kanan seperti burung sedang terbang.

“Terbanglah hai Abu Nawas!” Pekik suara rakyat di bawah menara.

“Apa lagi yang kamu tunggu? Cepatlah terbang!” ujar Khalifah meninggikan suaranya.

“Paduka kan sudah lihat bagaimana hamba hendak terbang. Tapi hamba tidak boleh terbang. Tamsilannya kalau mendengar sesuatu khabar yang mengujakan janganlah terlalu cepat mempercayainya sebelum memastikannya.” Abu Nawas memberi alasannya.



Sunday 24 September 2023

REZEKI NURIMAS

 ASSALAMUALAIKUM


HADIAH SASTERA DARUL IMAN VI

ALHAMDULILLAH TURUT MERASAI KEGEMBIRAAN KAWAN-KAWAN PENULIS YANG MENERIMA HADIAH SASTERA  ANUGERAH KERAJAAN NEGERI TERENGGANU DARULIMAN....PENGHARGAAN TINGGI KEPADA PENULIS YANG GIGIH BERKARYA  DI SAMPAIKAN EXCO KEBUDAYAAN DAN NGO MEWAKILI YAB MENTERI BESAR...ANTARA PENERIMANYA SAHABAT PI IAITU NURIMAS ...PENYAIR NAWAWEE MOHAMAD DLL SASTERAWAN TERENGGANU YANG MEMENANGINYA.

NURIMAS ATAU CIKGU SAMIRON RAHMAT BARU-BARU INI TURUT JUGA MEMENANGI HADIAH SASTERA JOHOR DARUL TAKZIM
TAHNIAH BERGANDA-GANDA UNTUK NURIMAS YG PI KENAL SEBAGAI ALONG. SASTERAWAN PROLIFIK RAJIN BERKARYA PELBAGAI GENRE DI SAMPING GIAT MEMBIMBING PENULIS PEMULA MELAKAR KARYA SASTERA SEBAIK MUNGKIN MERAIH JAYA.

TAHNIAH SEMUA...SEMOGA KEJAYAAN HASDI 023 MEMANGKIN AZAM UNTUK MENGHASILKAN KARYA TERBAIK INSYAA ALLAH.

DALAM MAJLIS INI TURUT DI ADAKAN ACARA PELUNCURAN DUA BUAH ANNTOLOGI TERBITAN PELITA HASIL KARYA PENULIS PELITA ANTARANYA NURIMAS, SABARIAH NOR SALLEH, NOORLAILA GHAFAR DLL.














Saturday 23 September 2023

HAKIM AGUNG

 ASSALAMUALAIKUM



SELAMAT BERHUJUNG MINGGU MOGA TIASA SEJAHTERA BERAKTIVITI

JOM SAMBUNG BACA CERITERA ABU NAWAS YANG CERDIK MENGATASI MASALAH YANG DIHADAPINYA PADA ZAMANNYA


HAKIM AGUNG

 

Hakim agung telah meninggal dunia. Khalifah Harun Ar Rashid merasa amat kehilangan kerana hakim itu merupakan sahabat baginda dan seorang yang amat jujur melaksanakan tugasnya sebagai hakim. Khalifah ingin menggantikan jawatan itu dengan seorang hakim yang jujur persis Hakim Agung dahulu. Tapi baginda tidak tahu hendak memilih siapa.

Lantas baginda terbayangkan wajaah Abu Nawas dan kecerdikannya dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Maka Abu Nawas pun cuba melaksanakan arahan Khalifah. Dia juga merasa bertanggungjawab sebagai rakyat untuk turut membantu Khalifah memilih Hakim Agung yang tempat.

Dia mengenderai keldai ke suatu tempat. Seorang gembala sedang mengembala lembu dan anaknya. Abu Nawas menghampiri anak lembu itu. Tiba-tiba anak lembu itu berjalan mengikuti Abu Nawas dan keldainya. Gembala merasa marah terhadap anak lembu itu dan cuba mendorongnya kembali pada induknya.

“Sudahlah! Jangan kau paksa anak lembu itu. Memang anak lembu itu milikku kerana keldaiku melahirkannya.”

“Memang sah anak lembu itu milikku! Induknya lembuku ini. Bagaimana pula induknya boleh bertukar pada keldai?” kenyataan Abu Nawas membingungkan gembala.

“Kalau begitu, ayuh kita selesaikan masalah ini di hadapan hakim.” Gembala bersetuju.

Kedua-duanya pun menuju pejabat hakim. Hakim itu menyebelahi Abu Nawas  setelah disogok sejumlah wang. Gembala masih tidak berpuas hati. Mereka menuju ke pejabat hakim kedua untuk menghakimi persoalannya. Hakim kedua itu juga memihak pada Abu Nawas setelah disogok sejumlah wang.

Gembala tetap tidak percaya dengan keputusan hakim itu.

“Kalau kamu masih tidak percaya anak lembu itu induknya keldaiku, kita ke pejabat hakim yang lain pula.”

Pada hakim ini Abu Nawas  menyogoknya dengan sejumlah wang sangat banyak. Tapi hakim itu enggan menghakiminya  dengan alasannya sedang datang bulan.

“Bukankah Tuan ini seorang lelaki bagaimana pula boleh datang bulan?”

“Kamu hairan ya? Aku pun hairan juga, bagaimana keldaimu boleh melahirkan anak lembu?”

“Jadi bagaimana keputusan Tuan Hakim?”

“Pemilik anak lembu tentulah gembala. Kamu pulangkan anak lembu itu pada gembala.”

“Baiklah. Esok Tuan Hakim ikut hamba mengadap Khalifah untuk menerima jawatan Hakim Agung!”

 


Tuesday 19 September 2023

AKHIR ZAMAN

 ASSALAMUALAIKUM



AKHIR ZAMAN

 

Sudah dekat

waktu singkat

jalan mati

tanda henti

.

Namun masih

tebal kasih

pada fana

meski rana

.

Kisah lalu

runtun pilu

kala kenang

rusuh tenang

.

Akhir zaman

indah taman

penuh uji

kusut kaji

 


Sunday 17 September 2023

TEKA TEKI

 ASSALAMUALAIKUM


 


TEKA TEKI

 

Seorang saudagar singgah di sebuah warung. Sekumpulan lelaki sedang leka bersembang. Dia menghampiri mereka lalu member salam, bertanya khabar dan turut menyertai mereka. Perbualan menjadi bertambah rancak.

“Cuba sahabat semua menjawa teka teki hamba. Kalau jawapannya betul, hamba akan berikan hadiah seribu dinar.”

“Benarkah? Cuba Tuan katakannya!” sahut salah seorang lelaki di situ keterujaan kerana hadiah yang ditawarkan begitu lumayan.

“Apakah benda begitu berat tetapi terapung?” Tanya saudagar itu.

“Awan!” pantas jawapan diberikan lelaki itu.

“Bukan!” balas saudagar seraya tergeleng-geleng.

Semua lelaki yang berada di warung itu cuba memberi jawapan. Tapi saudagar tetap mengatakannya salah.

“Wah rumit juga jawapannya! Tapi boleh Tuan tunggu sebentar? Seorang sahabat kami belum sampai. Biasanya sahabat kami ini dapat menyelesaikan teka teki dengan mudah. Dia memang selalu bersama kami di sini. Hari ini lambat pula hadirnya.”

“Baiklah hamba tunggu sahabat kamu hadir.”

Sebaik Abu Nawas tiba di situ, sahabatnya membawanya menemui saudagar itu.

Saudagar mengulangi teka tekinya.

“Masa silam!” jawab Abu Nawas

Saudagar itu angguk. Hadiah yang dijanjikan pun diberikan pada penerimanya.

“Kenapa kamu menjawabnya masa silam hai Abu Nawas?” Tanya sahabatnya kebingungan.

“Masa silam itu sarat dengan kisahnya. Dan ia amat berat. Tapi tetap mengapung dalam kenangan.”


Saturday 16 September 2023

SEKUNTUM MAWAR

 ASSALAMUALAIKUM


Cerita rakyat

Olahan

Paridah Ishak

 



SEKUNTUM MAWAR

Suatu ketika dahulu dalam sebuah taman terdapat pelbagai jenis tumbuhan bunga-bungaan. Taman itu indah berseri suasana sekitarnya. Burung-burung, kumbang dan rama-rama sering singgah di situ menikmati nektar bunga-bunga.

Di pohon kelihatan anggerik melekapkan akarnya di dahan pohon yang tinggi. Bunganya berpancawarna sedang berkembang sangat cantik. Anggerik menjuntaikan bunganya ke bawah sehingga menyentuhi Kenanga.

            Kenanga berkelopak kuning juga sedang mekar Aroma keharuman Kenanga tersebar di persekitarannya. Kenanga tumbuh di sisi pohon tembusu di mana Anggerik berada. Mereka berdua sering bercerita dan berbual mesra.

Daisi dan Dahlia pula tumbuh di sisi kolam Teratai. Juga sering mencelah perbualan Anggerik  dan Kenanga. Persahabatan antara Anggerik, Kenanga, Daisi, Dalia dan Teratai terjalin akrab.

            Tidak jauh dari mereka, pohon mawar tumbuh merimbun. Mawar juga sedang berkembang. Kelopaknya tersusun berwarna merah. Mawar sangat berbangga dengan kecantikannya. Dia merasa  kecantikannya mengkagumkan semua di situ.

            Perasaan itu menyebabkannya menjadi sombong. Dia mengangap dirinya paling cantik antara flora di dalam taman itu. Mawar  tidak mahu berkawan dengan tumbuh-tumbuhan di dalam taman itu.

            Bersebelahan dengan Mawar, kelihatan kaktus tumbuh meninggi. Dedaunnya lebar dan berduri tajam. Kaktus masih belum berbunga.  

            “Kenapalah kau tumbuh di sebelahku, Kaktus? Rupa kau amat hodoh. Kau tidak layak berada di sebelahku yang amat cantik ini.” Berkata Mawar pada Kaktus dengan sombong. Dia  jengkel dan merasa tidak selesa Kaktus berada bersebelahannya.

            “Kenapa pula aku tidak boleh berada di sisi kau?” Tanya Kaktus.

            “Sebab rupa kau tidak seperti aku! Kau sangat hodoh  dan tidak berbunga pula. Tubuhmu bersalut duri tajam. Tentu akan membahayakan aku jika duri kau menusukku kalau kau berdekatan denganku.”

            “Wah kau merasa dirimu terlalu cantikkah? Aku tengok Anggerik, Kenanga, Dahlia, Daisi, Teratai juga cantik. Tapi mereka tidak membanggakan kecantikan diri seperti kau. Mereka berkawan dengan setiap tumbuhan yang berada di sisi mereka. Tapi kau tidak begitu. Banyak pula kerenahnya.” Kaktus membidas sikap Mawar.

            “Diamlah kau. Aku tidak mahu bersembang dengan kau lagi. Kau tidak layak bersembang dengan aku yang cantik ini.” Mawar menegaskannya.

            “ Jika kau tidak mahu bersembang denganku, tidak mengapalah. Aku boleh bersembang dengan Anggerik dan Kenanga walau mereka agak berjauhan dariku.” Kaktus membalasnya perlahan. Dia tidak mahu memanjangkankan pertengkarannya dengan Mawar.

            Kenanga memperhatikan saja gelagat Mawar itu.

            “Apa yang dikatakan Mawar pada Kaktus? Aku tidak mendengarnya kerana aku berada di atas pohon tinggi. Aku lihat wajahnya merah menyala ketika dia berkata-kata dengan Kaktus.” Anggerik bertanya pada Kenanga.

            “Kau bukan tidak tahu akan kesombongan Mawar sejak dari dahulu lagi. Kecantikannya membuat dia tidak sedar diri.” Balas Kenanga.

            “Kita patut nasihatkannya agar mengubah sikap buruknya itu.” Anggerik memberi cadangan.

“Ya aku setuju. Kita patut menegur kesilapannya. Perbuatannya setiap hari menghina Kaktus itu sangat kurang sopan. Dia tidak boleh terus mengamalkan sikap buruk begitu.”  Balas Daisi. Teratai angguk, turut menyetujui cadangan Anggerik.

“Kau cubalah menasihatinya. Lagipun kedudukan kau berhampiran dengannya.” Saran Dahlia. Kenanga berfikir seketika.

“Baiklah Dahlia, aku akan cuba menasihati Mawar.” Kenanga memberi persetujuannya.

            Pada suatu pagi Kenanga merendahkan rantingnya agar lebih berdekatan dengan Mawar.

            “Selamat pagi Mawar. Cantik sungguh kau Mawar. Kecantikanmu menyerikan lagi suasana taman ini.”

            “Selama ini kau tidak tahukah bahawa aku adalah yang tercantik di antara semua flora di sini.” Jawab Mawar dengan angkuh. Kenanga walau terasa meluat dengan sikap Mawar yang sombong itu namun dia masih bersabar.

            “Aku hendak sampaikan amanah daripada kawan-kawan kita, Anggerik, Daisi, Teratai, Dahlia agar menegur sikap buruk kau suka menghina Kaktus. Perbuatan begitu amat tidak baik. Biarlah kita hidup di taman ini dalam keadaan  damai. Kita patut saling membantu antara satu sama lain. Bukan pula  menghina kekurangannya.” Wajah Mawar masam mencuka setelah mendengar Kenanga berkata begitu padanya.

            “Tidak perlulah kau bersusah-payah hendak mengajar  aku, Kenanga. Apa salahnya aku menghina Kaktus? Sudah keadaan dirinya memang hodoh. Tentulah aku akan mengatakannya hodoh. Kenyataannya begitu.” Mawar enggan menerima nasihat Kenanga dengan alasannya.

            Kenanga merasa kecewa kerana tidak berjaya mengubah sikap Mawar. Tapi dia tetap mendoakan semoga suatu ketika kelak Mawar akan berubah sikapnya,

            Hari berganti hari. Hujan sudah lama tidak turun. Langit terang tidak berawan. Cahaya matahari menyinari alam. Panasnya berbahang. Tumbuhan yang berada jauh hendak mencapai sumber air mulai kelihatan kelayuan.

Mawar juga tidak terkecuali. Kelopaknya layu tidak bermaya. Wajahnya kehilangan seri. Dia amat perlukan air untuk mengekalkan kesegarannya. Tapi dia tidak tahu di mana hendak mendapatkan air.

            Dia melihat Kenanga, Anggerik, Daisi, Dahlia masih segar kerana mereka semua tumbuh berhampiran kolam Teratai. Perubahan cuaca tidak menjejaskan kesuburan dan kesegaran mereka. Lantaran mereka mampu mendapatkan bekalan air untuk keperluan mereka. Tapi kedudukannya agak jauh untuk meminta air daripada Teratai.

            Kaktus juga tidak sepertinya. Masih segar tegak berdiri.Di celah daunnya yang berduri, mekar bunga berwarna warni. Terpesona pula Mawar memandang kecantikan Kaktus. Mawar terpinga-pinga melihat burung pipit seakan sedang menyedut air dari tubuh Kaktus.

            Dia mengagak tentu Kaktus menyimpan banyak air. Tetapi mngenangkan kesilapannya, selalu menghina Kaktus, dia tidak meneruskan hasratnya meminta air daripada Kaktus. Dia cuba bertahan. Namun kelopaknya sudah ada yang gugur. Dia terpaksa juga meminta pertolongan Kaktus untuk membantunya.

            “Boleh kau tolong berikan aku sedikit air, Kaktus? Jika aku tidak mendapat air tentu aku akan mati kekeringan.” Mawar bertutur lembut.

            “Boleh! Ambillah sebanyak mana  kau perlukan.”

            “Baik sungguh hati kau Kaktus. Kau masih mahu menolong kesusahanku walau selama ini aku selalu menghina kau. Aku sungguh menyesal akan perbuatanku terhadap kau selama ini. Maafkanlah semua kesilapanku itu.”

            “Ia aku maafkan semua kesilapan kau terhadap aku. Dan aku mengharapkan semoga kita akan terus berkawan selamanya.”

            “Wah baguslah kamu berdua sudah berkawan baik. Bersyukur aku pada Pencipta kita kerana telah makbulkan doaku dan sahabat kita semua di taman ini.” Ujar Kenanga mencelah.

            “Terima kasih Kenanga sudi mendoakannya. Aku telah melakukan kesilapan juga terhadap kau. Jadi kau maafkanlah aku. Lain kali aku tidak akan menyombong diri lagi. Aku baru sedar setiap kita ada kelebihannya. Seperti Kaktus aku menyangka dia tidak berbunga. Tapi bunganya yang  cantik hanya terbit pada musim panas.” Ujar Mawar memuji-muji kecantikan bunga Kaktus.

            “Baguslah kau sudah menyedari kesilapan kau selama ini. Kawan-kawan kita semua tentu amat bergembira dengan perubahan sikap kau. Dan semoga kita semua akan hidup aman sentosa dalam taman ini tanpa sengketa.” Ujar Kenanga dengan rasa gembira.

             


Friday 15 September 2023

API! API!

 ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA



API! API!

.

Khalifah Harun Ar Rashid memerintahkan Abu Nawas membaca khutbah Jumaat.

“Hamba kan penyair bukannya khatib, tuanku.’

“Sudah! Lakukan saja perentah beta!”

“Baik. Hamba menurut perentah.” Sahut Abu Nawas, akur.

“Kamu mesti pastikan jemaah tidak tidur. Kalau mereka tertidur kamu akan beta hukum!” titah khalifah dengan tegas.

Sebaik masuk waktu zohor pada hari Jumaat, Abu Nawas berdiri di mimbar membaca khutbah agak gementar. Dia menghuraikan tafsiran iqra’ dan menasihatkan makmum sentiasa membaca untuk mempelajari ilmu.

Kelihatan padanya beberapa orang terlentok dan matanya terpejam.

“Api! Api!” Khatib menjerit.

Terkejutlah mereka yang terlelap. Pandangan melilau sekelilingnya.

Khatib meneruskan khutbahnya.

“Sesiapa yang alpa melakukan ibadah ketika hidup di dunia dan tidak beriman akan dibakar api neraka setelah mati kelak. Azab api neraka itu amatlah pedih.”

 

TASBIH

 

Seorang sahabat mengunjungi rumah rumah Abu Nawas pada suatu petang. Ketika itu angin sedang berpuput lembut. Sahabat terdengar bunyi seperti dinding rumah Abu Nawas berkeriuk di sana sini.

“Rumah kamu ini sudah tidak kukuh sahabatku. Bunyinya berkeriuk selalu. Eloklah kalau kamu memperbaikinya atau membina rumah yang baharu.” 

“Oh itu yang kamu fikirkan. Sebenarnya rumahku ini sedang bertasbih. Dalam al-Quran surah al-Israq ayat 44 telah menyatakan Allah berfirman bahawa setiap ciptaan-Nya akan bertasbih terhadap-Nya.” Abu Nawas  menjelaskannya.

Tiba-tiba angin bertiup agak deras. Dinding di rumahnya riuh berkeriuk.

Abu Nawas lari meninggalkan rumahnya,

“Kenapa kamu lari meninggalkan rumahmu yang sedang bertasbih itu sahabatku?”

“Aku bimbang jika rumahku itu terlalu kusyuk bertasbih, dia terus bersujud.”

 

 


Wednesday 13 September 2023

PERBIDALAN

 ASSALAMUALAIKUM


PERBIDALAN

 


Cemerkap lagi gerutu  embong,
remunggai bugar  galau sengkalan;
bercakap tinggi begitu sombong,
bagai tagar di pulau sembilan.

.

Ke pekan lembah lapar merenyut,
bersungkan kala sebarau anjang;
selangkan bah kapar tak hanyut,
inikan pula kemarau panjang

.
 Kelisa abung hendak diratah,
keladi sulur lupa sayurnya;
semasa rebung tidak dipatah,
dah jadi aur apa gunanya

.

Bertukar lampung tersalah kasap,
menukar ganti tiada mahu;
terbakar kampung nampaklah asap;
terbakar hati siapa  tahu

.

Dirikan pangkin kapaknya sumbing,
alih sekendi renak merlimau;
manakan mungkin anaknya kambing,
boleh menjadi anak harimau


Tuesday 12 September 2023

BLOG KARYAKU

 ASSALAMUALAIKUM


BLOG KARYAKU

 


Aku menulis blog setiap hari jika berkesempatan dan tiada sebarang gangguannya. Kandungannya berupa semua genre sastera telah kuhasilkan sesuai niche pilihanku iaitu karyaku.

Mulai September 2023 masukannya banyak anekdot kisah seorang sufi cendiakiawan di Baghdad. Tokoh ulama dan sasterawan ini berada pada zaman khalifah Harun Ar Rashid menurut hikayat seribu satu malam.

Kalau aku rajin kadangkala kuteliti juga laporan tentang jumlah pelayar maya yang singgah membaca karyaku dari seluruh dunia mengikut catatan Google.

Rupanya lebih seribu pelayar yang singgah menelusuri kisah Abu Nawas. Ramai juga berminat membaca karyaku tentang sufi olahanku secara santai cuma.

 

 

entri  September –

hikayat Abu Nawas

gubahan karya


Monday 11 September 2023

TASBIH

 ASSALAMUALAIKUM







TASBIH
.
Seorang sahabat mengunjungi rumah rumah Abu Nawas pada suatu petang. Ketika itu angin sedang berpuput lembut. Sahabat terdengar bunyi seperti dinding rumah Abu Nawas berderak di sana sini.
“Rumah kamu ini sudah tidak kukuh sahabatku. Bunyinya berderak selalu. Eloklah kalau kamu memperbaikinya atau membina rumah yang baharu.”
“Oh itu yang kamu fikirkan. Sebenarnya rumahku ini sedang bertasbih. Dalam al-Quran surah al-Israq ayat 44 telah menyatakan Allah berfirman bahawa setiap ciptaan-Nya akan bertasbih terhadap-Nya.” Abu Nawas menjelaskannya.
Tiba-tiba angin bertiup agak deras. Dinding di rumahnya riuh berkeriuk.
Abu Nawas lari meninggalkan rumahnya,
“Kenapa kamu lari meninggalkan rumahmu yang sedang bertasbih itu sahabatku?” tanya sahabatnya kehairanan melihat kelakuan Abu Nawas.
“Aku bimbang jika rumahku itu terlalu kusyuk bertasbih, dia akan terus bersujud.”

MyBloglist