Friday 16 December 2011

komen si kecil

si kecil sesak nafasnya
bulat retina mata menyapa bundar wajah mama
hatinya diragut sayu ingin dikongsi cerita haru yang baru saja
mengejutkan naluri kasih yang keliru...
kenapa mama?
kenapa apa?
kenapa orang itu campak babynya...
kesian babynya di atas rumput...
abang sayang adik...
abang tak akan buang adik ke atas rumput...
berdosa...
nasi masuk api neraka...

Monday 12 December 2011

Orkid-orkid cantik kat pesta flora putrajaya


Rasanya orkid ni tentu jenis butterfly. Harganya mahu ratusan ringgit. Tak mampu nak milikinya. setakat dapat pandang fotonya sajalah.

Orkid-orkid yang dimuatnaik ke sini tiada kata secantik bahasa untuk mengungkapkan keindahan dan kecantikannya. Hanya Subhanallah....

Thursday 8 December 2011

Jiran-jiran yang baik

Hidup kita ini memang saling bergantungan dan perlu memerlukan di antara satu sama lain. Tidak kira samaada mereka itu jelas hubungannya dengan kita umpamanya ibu ayah, adik beradik, saudara mara terdekat atau sesiapa saja yang berada di sekeliling kita.

Selain itu tentulah jiran-jiran tetangga kita. Jiran-jiran itu adalah saudara kita yang paling akrab sehinggakan mereka dirasakan seolah berhak ke atas harta kita menurut Nabi SAW. Namun tidaklah sampai begitu sekali.

Aku merasa amat bersyukur justeru sepanjang hidupku ini, aku di kelilingi jiran-jiran yang amat baik lagi prihatin terhadap aku dan keluargaku. Mereka ini membantu apa saja kesulitanku tanpa imbalan apa-apa. Bukan senang hendak hidup sebagai OKU sekiranya tiada tangan-tangan yang sudi menghulur pertolongan.

Jiranku yang di sisi kanan rumah adalah kak Idah dan suaminya Jusuh serta anak-anaknya. Kak Idah ini pantang melihat laman rumahku diserabuti rumput-rumput atau anak-anak pokok, beliau tidak senang duduk untuk membersihkannya. Aku boleh buat juga. Tapi tentu saja kerja-kerja yang dibuat OKU lambat siapnya. Dengan pertolongannya bertambah mudah kerja-kerja yang perluku buat.

Beliau ini juga gemar sekali menghantar apa saja penganan yang dibuatnya kepadaku. Bersusun pinggan makanannya yang tidak sempatku pulangkan di rumahku. Jikalau aku ditimpah musibah banjir, pokok-pokok tumbang atau apa saja beliaulah yang pertama akan muncul di muka pintu. Terima kasih banyak-banyak kak idah kerana seringkali membantuku. Dan aku pasti jiranku yang sangat baik ini akan terus membantuku selagi aku hidup dan beliau masih bernafas.

Demikian kisah salah seorang daripada jiran-jiranku yang kesemuanya baik-baik. Baru-baru ini aku mengadakan kenduri akikah cucu bersekali dengan sambut menantu. Kesemua jiran-jiranku satu peringkat 4 datang membantu menguruskan majlisku sehingga selesai segala-galanya. Mereka berlenggeng tangan bergotong royong menyiapkan semua keperluannya sedang aku cuma memerhati. Aku berterima kasih sungguh kepada semua jiran-jiranku yang bersusah-payah membantu menyempurnakan majlisku itu.

Syukur Alhamdulillah. Terasa bertuah sungguh hidupku berada di tengah-tengah masyarakat dan jiran-jiran yang baik lagi prihatin terhadap OKU seperti aku.

Monday 21 November 2011

HAPPY BIRTHDAY TUAN ARIFF TUAN UZAINI

SELAMAT ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG PERTAMA CUCUNDA NENDA YANG COMEL...SEMOGA TUAN ARIFF BERADA DI BAWAH LINDUNGAN DAN RAHMAT-NYA...SENTIASA BEROLEH KESIHATAN YANG BAIK SEPANJANG HIDUP...MEMBAHAGIAKAN MAMA/PAPA NENDA-NENDAMU, SAUDARA-SAUDARAMU DAN MEREKA YANG MENGASEHIMU.


KELAK AKAN MEMILIKI KEJAYAAN DI DUNIA DAN AKHIRAT SEBAGAI USTAZ YANG PAKAR BIDANG DUNIAWI DAN UKHRAWI...INSYAALLAH..

Sunday 20 November 2011

Langkah-langkah meniti kedewasaan...

SELAMAT BERTUNANG AHMAD GEMAYEL ANAKANDA TERSAYANG RASHIDA OTHMAN DAN PASANGANNYA...SEMOGA JENJANG PELAMIN MENGAKADKAN JODOHNYA DAN KEKAL BERBAHAGIA SELAMANYA...AMIN.
HENDAK KE TANJUNG LINTASI PAYA
CENDERAWASIH BERTERBANGAN
SIRIH JUNJUNG LENGKAP SEMUA
DULANG KASIH MEMBAWA LAMARAN...

Thursday 17 November 2011

Anehnya cinta...

Kata ibunya, "Tak payahlah kau berkahwin dengan dia sebab mak rasa dia ni tak berapa ok hendak diadikan isteri. Tak ingat ke dulu sewaktu kita sibuk-sibuk buat persiapan nak pergi meminang dia, dia boleh kata tak payah...sedangkan dia yang beria-ia meminta kita masuk meminangnya. Ini setelah dia putus dengan kekasih barunya dia datang pula mencari awak menagih cinta kononnya tak mahu kehilangan awak. Kecurangannya pada awak dulu apa maknanya. Mak dengar awak pun sudah ada pengganti dia...takkan nak tinggalkan sidia untuk berbalik dengan kekasih lama...tak masuk akal langsung..."

Friday 4 November 2011

SALAM AIDILADHA....

ASSALAMUALAIKUM......

SELAMAT  HARI RAYA KORBAN  10 ZULHIJJAH 1436 HIJRAH BERSAMAAN 24 SEPT 2015
MAAF ZAHIR BATIN BUAT SEMUA PENGUNJUNG BLOG, KAWAN-KAWAN BLOGGER DAN PARA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DI MANA SAJA BERADA.

TERUTAMA BUAT SAUDARA MARA YANG SEDANG MENUNAIKAN IBADAH HAJI
SEMOGA SEGALA AMAL SEMPURNA DILAKUKAN DAN MEMPEROLEHI HAJI YANG MABRUR




Thursday 3 November 2011

Subuh sunyi

Subuh memang sunyi pun. Hanya suara serangga-serangga yang tidak ketahuan jenisnya mersik halus. Kalau hujan tentu kita pasti suara katak yang menggema. Bukan katak-katak tu memanggil hujan kot...tapi mungkin sedang berzikir dan memohon hujan agar berhenti justeru hujan yang lama mencurah menyebabkan makhluk-makhluk Allah itu kedinginan amat.

Dan subuh yang hadir mutakhir ini menjadi terlalu sunyi kerana suara muazin tidak mengumandangkan azan daripada surau yang berhampiran menyeru menunaikan solat untuk menuju kejayaan. Kenapa jadi begitu? Tentulah ada sebabnya. Jikalau tidak tentu tidak terabai surau dengan suara yang penuh hikmat itu.

Sebenarnya tok bilalnya tiba-tiba demam dan tidak dapat nak menapak ke surau pada setiap subuh hari. Betapa berharga suara tok bilal yang sering mengumandangkan azan itu dirasakan setelah suaranya tidak terdengar lagi. Begitu kehilangan sekali.

Dahulu tukang azannya adalah jiranku Md. Rodi. Setiap subuh akan terdengar langkahnya yang diatur dengan derap yang serupa ritmanya. Dan kami semua jirannya sangat kenal dengan derap langkah yang teratur mencelah subuh sunyi itu.Kini tidak ketara lagi ritma langkah itu lantaran beliau telah melangkah jauh meninggalkan kenangan murni itu untuk menemui Ilahi yang menjanjikan kejayaan.

Al-fatihah untuk arwah Md. Rodi yang sangat baik itu. Dan tempatnya yang istimewa itu diganti jiranku bang Din dengan segera. Surau itu tidak sempat sunyi dengan laungan azan. Tiba-tiba bang Din demam pula. Demam urat kata isterinya kerana terlalu rajin berkerja. Tidak ada lagi suara azan yang menerjah subuh sunyi walau tetap kedengaran azan dari masjid yang sayup-sayup kejauhan.

Aku pula yang kegelisahan justeru merasakan azan yang tidak kedengaran menemani subuhku adalah suatu kehilangan yang tidak tahu bagaimana hendak digambarkan...

Monday 31 October 2011

Cinta dan perkahwinan

"Kenapa kau tak pilih dia? Dia kan kaya, ada syarikat guaman sendiri dan seorang yang berjaya di dalam hidup kau tentu senang lenang kelak..." Kawannya itu masih meneruskan komentarnya lagi.

"Atau kau pilih saja sidia yang kau ceritakan pernah melamarmu tapi kau tolak. Aku tengok dia pun hebat orangnya, seorang kontraktor tahap jutawan. Kenapalah kau ni menolak tuah...sah-sah kau akan bermandikan wang ringgit kelak...tak faham betul aku..."

Kawannya itu dijeling sekilas dengan senyuman berbunga.
"Dah habis omel kau ke...kau tak payah nak susah-susah faham aku, aku sendiri pun kadang tak faham diri aku sendiri tapi bolehlah aku cerita sedikit setakat yang aku faham tentang diri aku ni..."
"Ceritalah...aku dengar ni..."

"Aku tak pilih sidia-sidia yang kaya-raya tu bukan sebabnya aku tak suka jadi kayaraya segera. Cuma aku rasa  aku pun boleh cari kekayaan tu dengan usaha aku sendiri. Tak payah nak bergantung hidup dengan kekayaan orang lain. Lagipun kau nak kalau suami kau kata lepas kita kahwin nanti awak duduk saja kat rumah...takpayah nak kerja. Sedangkan mak ayah kita yang miskin tu dah melabur banyak duit untuk pengajian kita. Takkan kita taknak berkerja membantu mak ayah kita. Dibuatnya jodoh kita tak panjang dengan sidia...ditinggalkannya kita, macamana kita nak hidup kalau tak berkerja.

Alasan aku yang kedua mudah saja...sebab aku tak cintakan mereka. Aku akan pilih seorang sidia yang baik, berbudi bahasa,bertanggungjawab, hormat orang tua. Walaupun tak kaya. Kebaikan tu sangat penting tau. Dalam dunia sekarang tidak ramai lagi lelaki yang baik tau...Lagipun aku dah ada sidia yang sangat cintakan aku..."

'Patutlah pun. Moga apa yang direncanakan menjadi kenyataan. Kadangkala memang amat payah menolak takdir justeru jodoh pertemuan itu Allah yang atur sahabatku.'

Friday 28 October 2011

Sakit dan ubat

"Kita ni bila dah berumur ni macam-macam sakitnya yang menyerang yer...darah tinggi, kencing manis, sakit jantung...yang paling takut tiba-tiba menjadi lumpuh pula...risau betul..."

"Sihat tentulah lawannya sakit...kan dah lama hidup sihat....bila diserang sakit sedikit janganlah merungut. Kalau dah sakit kenalah cari ubat. Kan Allah kata setiap penyakit itu ada ubatnya kecuali mati. Pabila dah mati dah tak boleh nak kata apa lagi..."

Zai dan Idah leka bertukar kata sambil menjeling aku yang terkedu di sisi mereka.

"Kak Pidah ni ok saja...tak pernah pulak kita dengar dia sakit teruk yer..."
"Ok apa...kau tak ingat dulu kak Pidah kena darah tinggi...masuk wad dekat sebulan...badannya menggelembong macam belon..."

"Betullah...tapi lepas tu kak Pidah dah tak ada darah tinggi lagi kan...apa yang kak Pidah makan yer?"
'Kau nak tahu ye Zai...biarku ceritakan...'
"Kak Pidah dulu lepas balik daripada hospital terus dia makan akar petawali yang pahit sangat tu...aku tahulah sebab aku yang tolong blendkan untuk dia...punyalah pahit akar tu sanggup dia minum..." Idah menolongku menjelaskan yang sepatutnya.

PETAWALI/AKAR SERUNTUN...PIC GOOGLE.

"Tapi pahit-pahitpun mujarab akar tu. Tengok sampai sekarang kak Pidah dah takde darah tinggi lagi."

GAMBAR HIASAN
Selain akar petawali banyak lagi herba2 alam yang boleh mengurangkan tekanan darah tinggi sekiranya diamalkan tanpa jemu seperti pokok akar cerita, daun rambutan, daun manggis yang gugur, daun sabung nyawa dan lain-lain lagi yang tidakku ketahui

Wednesday 26 October 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN - bab 4

BERMULALAH hidupnya di sebuah tanah rancangan yang baru dibuka. Suasananya baru. Segala-galanya baru. Hidupnya berjiran dengan rakan-rakan baru yang berhijrah daripada pelbagai negeri yang berbeza. Jiran di sebelah kanannya sepasang suami isteri beranak tiga berasal daripada Kelantan. Jiran di kiri pula datang daripada Selangor dan pasangan itu miliki seorang anak lelaki. Hamimah dan Aris adalah jiran di hadapan rumahnya berasal daripada Pulau Pinang dan miliki sepasang anak lelaki/perempuan. Dan sepasang lagi jirannya yang terdekat adalah kelahiran utara. Orang Kedah. Kesemua mereka ini adalah kawan-kawan barunya  yang menghuni lembah ini. Pertempatan ini memang lembah. Sebuah lembah yang sunyi lagi damai.

Masing-masing bersama-sama membina penghidupan yang diharapkan jauh lebih cerah setelah merantau daripada tanah kelahiran asal. Walau di sini  kehidupannya tidaklah sesenang mana namun tergantung juga setakat mana usaha yang dipertaruhkan. Jikalau mengharapkan hasil daripada kebun sawit semata tentulah setakat boleh hidup saja. Perlu juga ada usaha sampingan untuk menambah penghasilan.

Suaminya mula mengatur visi. Isterinya hanya boleh mengangguk saja. Rencananya walau disanggah akan menjadi juga. Berniaga, Bukan mudah hendak berniaga. Banyak yang perlu difikirkan sebelum melaksanakannya. Susah sungguh hati isterinya. Belum hilang rusuh hatinya, suaminya sudah membawa pulang sebuah lori pickup kecil yang dibeli dengan wang simpanannya.

Rupanya tekadnya hendak menjadi bisnesmen bukan main-main. Isterinya itu hanya menarik nafas lelah disamping berdoa mengharapkan setiap rancangan suaminya untuk meningkatkan taraf hidup dipermudahkan urusannya.

Tuesday 25 October 2011

Kehilangan

1.    Pusara itu kembali meraup sepi. Setelah berteleku, membaca yasin, berdoa dia melangkah meninggalkan pusara arwah anak kesayangannya dalam hujan yang turun renyai-renyai di awal pagi. Hatinya yang masih robek ditinggalkan bertambah nyilu diselimuti dinginnya suasana. Telah sekian tahun anak itu mengadap Ilahi namun dia merasakan insiden itu seolah baru semalam. Cinta dan kasih sayangnya yang mendalam terhadap anak yang telah dibelai, dimanja, dididik sebaiknya tidak langsung hapus walau sedikit. Perasaan itu menderanya pula,melanyaknya hingga tidak bermaya. Kesedihan lantaran kehilangan yang tersayang terus diratapi. Menjadikannya murung.

2.    Dia merenung siling. Sekujur tubuhnya lesu. Tiada daya upaya menolong diri sendiri. Hanya terbaring saja mengharapkan kesudian orang lain menghulurkan pertolongan lantaran kelumpuhan yang memenjarakan pergerakannya. Anak-anak yang masih kecil mengelilinginya. Dia hanya memandang pilu wajah anak-anak yang sayu tanpa dapat berbuat apa-apa untuk mengurusi kemasylahatan mereka sebaiknya.Tidak dapat lagi menyayangi apalagi memberi didikan menurut kemahuannya. Semata-mata mengharapkan belas kasih keluarganya terdekat untuk memberi mereka perhatian. Dia amat menyesali kehilangan saat-saat indah berceria bersama anak-anak kesayangan walau anak-anak itu tetap tumbuh membesar dan berada di sisinya...

Wednesday 19 October 2011

Berwuduk






Jangan membazir air tika berwuduk. Juga tidak was-was tika melakukannya. Tetapi mesti teliti. Memadai hanya menggunakan 3 liter air. Hukum berlebihan menggunakan air tika berwuduk adalah harus.

Berwuduk pada setiap kali hendak sembahyang' Hadis riwayat Anas; Nabi SAW berwuduk setiap kali hendak sembahyang tetapi para sahabat tidak melakukannya.

Allah menulis sepuluh kebajikan setiapkali kita berwuduk sebelum wuduk terbatal


Tuesday 18 October 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN - bab 4

Allah memang mengasehi setiap hamba-Nya. Pintu rezeki sentiasa terbuka luas walau ada yang merasanya peluang untuk itu sudah tertutup. Tiba-tiba tanpa disangka-sangka dia dan suaminya mendapat tawaran untuk menyertai skim tanah rancangan FELDA yang banyak dibuka di sekitar sini.

Inilah saat-saat yang ditunggunya selama ini untuk mendirikan kehidupan berkeluarga di rumah sendiri. Di skim ini memang sudah disediakan rumah untuk dihuni pesertanya dan diberikan pula tanah seluas 3.4 hektar yang telah ditanami dengan tanaman kelapa sawit. Setelah sawit itu mengeluarkan hasilnya para peneroka pun dipanggil untuk menyertainya.

Suatu ketika dulu dia dan suaminya sering meronda-ronda kawasan skim melihat persekitaran perumahan dan mengunjungi rumah saudara maranya yang tinggal di situ. Mereka ini sudah lama menjadi peserta skim dan taraf kehidupan mereka jauh lebih baik dari sebelumnya. Dan ada diantara mereka yang berjaya menguruskan perniagaan yang menguntungkan.

Saudara-maranya ini dulu pernah ditolongnya mengisi borang dan urusan-urusan yang bersangkutan dengannya kerana kebetulan dia tika itu berkerja di pejabat pentadbiran FELDA wilayah. Dan mereka itu amat berterimakasih kepadanya.

Kini gilirannya pula untuk bergelar penerokawati dan suaminya adalah peneroka. Rentak hidup baru sedang diteroka.

Monday 17 October 2011

GEGARAN BUMI

12 Apr 05

Gunung berapi Talang di Sumatera mula mengeluarkan laharnya. Sebelum ini berlaku gegaran gempa bumi yang meranapkan Nias di Sumatera barat. yang mengorbankan beribu nyawa. Gegarannya tidak menyebabkan ombak tsunami tetapi tetap menimbulkan was-was dan prasangka yang tidak terduga.



Sejak awal tahun hingga kini gegaran melebehi 6 skala Richter beberapa kali berlaku menggusarkan hati penghuni yang mendiami Sumatera dan negara-negara yang berkongsi perairan lautan Hindi.

Seketika dulu ramai yang tidak peduli atau beringat tentang apa yang berlaku di daerah sini kerana langsung tidak nembawa kesan yang mudharat. Namun setelah gegaran yang menghasilkan tsunami yang menelan banyak korban dan melibatkan banyak negara Asean, masing-masing tidak memandang ringan lagi.


Justeru ada fadilatnya Allah menguji hamba-hamba-Nya dengan dugaan yang langsung tidak pernah terfikir. Allah memberi peringatan bahawa segenap ciptaan manusia itu tidak seberapa daripada apa segi sekalipun. Cuma digegar gempa sedikit saja sudah ranap semuanya. SUBHANALLAH

Wednesday 12 October 2011

30 MACH 05

30 Mach 05

Umum sibuk bercerita tentang subjek yang dimulakan pembelajarannya sejak 3 tahun lalu sebagai  usha terakhir Dr.Mahathir selaku PM iaitu pembelajaran math dan sains dalam bahasa Inggeris tidak releven lagi kini. Banyak alasan yang diberikan kononnya penguasaan bahasa itu tidak membawa manafaat apapun.

Dr.M walau pada mulanya bersikap mendiamkan diri tetapi berbunyi juga pabila usahanya untuk menjadikan manusia Malaysia bijak pandai untuk merenangi arus globalisasi disanggah dan dikritik ideanya.

Begitulah manusia secara semulajadinya memang sukar untuk menerima perubahan meskipun membawa kebaikan' Sentiasa merasa selesa dalam sarung sendiri dan tidak mahu mengubah diri mempelajari sesuatu yang akan memenafaatkan mereka kemudian hari.

Tuesday 11 October 2011

HARTA DUNIA

Harta yang diperolehi daripada jalan haram tidak boleh disedekahkan atau dijadikan amal ibadat. Pelbagai penipuan yang berlaku untuk memperolehi harta itu.
Hukumnya ternyata haram.

Jual beli mesti sohih agar pembelinya redha.

Harta yang ada mesti disucikan dengan zakat dan disuburkan dengan sedekah.





Monday 10 October 2011

ASSIGNMENT PUNYA PASAL



Sambil memicit-micit kakinya dia tersenyum sendiri mengenangkan insiden lucu tika melakukan tugasan yang diberi pensyarahnya dr. Nordin yang tegas tapi berwajah manis itu.

Seorang wanita sebaya emaknya kelihatan kalut dan gelabah sekali tika dia dan temannya menghampiri gerainya.
"Tolonglah cik...janganlah roboh gerai saya...saya baru saja buat gerai ni nak berniaga. Saya orang susah cik...anak-anak ramai yang nak disara..."

Dia dan kawannya berbalas pandangan. Tersenyum pula.
"Kenapa kak...jangan risau...kami ni bukannya pegawai DEWAN BANDARAYA yang datang nak meroboh gerai kak. Kami ni daripada UPM Serdang buat kajiselidik sikit tentang alam sekitar kat kawasan pinggir bandaraya ni. Dah penat berjalan menemuramah orang tekak pun rasa kering...itu yang kami berdua singgah kat gerai akak ni..."

"Begituke...kak ingatkan awak semua orang-orang DEWAN BANDARAYA tadi...hati dah tak sedap. bimbang saja gerai kak kena roboh..."

"Kenapa kak risau sangat dengan orang-orang DEWAN BANDARAYA...kak tak ambil lesen berniaga kat sini kot?"

"Kita nak berniaga mestilah mohon lesen berniaga kan. Dah banyak kali dipohon...tak adapun jawapannya...banyak sungguh kerenahnya..Kita ni nak cari rezeki halal...nak hidup. Bukannya nak mencuri...itupun jadi masalah..." Wanita itu melepaskan rungutan tentang tidak kesetabilan hidup yang melengkunginya kini...

Sunday 9 October 2011

Dia memandu perlahan. Melepasi stesyen bas,  Pejabat Pos, Talikom dan akhirnya berhenti di lampu isyarat yang merah sebelum bergerak setelah lampu itu bertukar hijau. Wira ungu kelabu itu membelok pula ke jalan yang menghala ke kampungnya dan beberapa kampung felda yang lain.

Hujan merembas renyai dan angin berhembus halus menyentuhi wajahnya. Dingin. Daun-daun hijau kemilau jernih disinari caha mentari yang cerah kembali. Tadi situasi alamnya redup saja.


Suara Raihan merdu bernasyid beralun daripada keset keretanya.

Kini sudah berada di beranda rumahnya menikmati flora indah alam yang menyegarkan sambil memicit-micit kakinya yang terasa lenguh kepenatan. Betisnya terasa sengal sekali.

Friday 7 October 2011

Kapal yang bocor


Kapal itu telah meninggalkan pelabuhan
sarat muatannya berat bebanannya


kadang melinglung dipukul ombak ganas
kadang tersasar laluan dihempas badai


Namun terus belayar dengan sabar
meredah situasi demi situasi
tanpa mengira nasib diri


Di tengah lautan pelayarannya terhenti
segara luas nan tidak bertepi 
tidak gagah lagi direnangi



Dan
tiada yang menangisi nasib dirinya
mahu berpayah membaiki kebocorannya


Kini sendirian bermain gelombang
bertemankan camar yang singgah di tiangnya
yang pasti bakal tenggelam
ke dasar lautan perlahan-lahan
untuk menjadi tukun ikan ikan





Tuesday 4 October 2011

Dah lama rasanya tak bercuti. Sesekali dapat cuti seronok juga. Terlepas sekejap daripada kefardhuan. Boleh berehat panjang. Asyik baring saja. Bermain-main dengan hp pun boring juga, tu. Apalagi nak dibuat.

Pabila dah tua minat menonton TV pun dah kurang. Suara nyanyian artis-artis tidak lagi merdu mempesona. Drama/cerekarama TV tengok pun mengantuk.

Itu baru keseronokan mata dan telinga yang beransur-ansur hilang. Belum lagi bab selera. Rezeki melimpah-ruah tapi selera makan pula tidak ada. Jikalau ada keinginan hendak makanpun tidak boleh sebarang. Mesti berfikir banyak kali sebelum menyuapnya ke mulut..

Bimbang akan makanan itu jenisnya boleh meningkatkan kolesterol dan menyebabkan hipertensi
atau lain-lain penyakit kronik yang menyerang dalam diam.

Setiap hari langkah yang diatur semakin lemah dan goyah. Akhirnya terhenti sendiri....

Monday 3 October 2011

Memang segar bunga yang mekar
warna menarik banyak kelopak
Memang sukar perkara sukar
memilih yang baik antara banyak

Anggerik ini Cataleya
dibawa gadis dari Temerloh
Hari ini moga ceria
jangan bersedih jangan mengeluh



MyBloglist