Saturday 30 July 2022

SALAM MAAL HIJRAH

ASSALAMUALAIKUM


MAAL HIJRAH
Takwim Islam
sejak silam
tarikh mula
susun aula
.
Doa baca
jernih kaca
lepas asar
kusyuk sasar
,
Masuk maghrib
erat karib
doa mohon
awal tahun
.
Langkah hijrah
tuju arah
teguh iman
nyaman aman

PARIDAH ISHAK
DMS
3007022

Wednesday 27 July 2022

BALADA BUAT SN TONGKAT WARRANT

ASSALAMUALAIKUM


 BALADA BUAT SN TONGKAT WARRANT



Adakah jika kukatakan
sahabatku figura ternama
lewat lembar warkah yang dikirim padaku kelmarin dulu
Kau ketawa tidak yakin konon ilusi
angan bermimpi siang hari tapi itu
adalah kebenaran usah menafikannya
bukan sekadar dakwa dakwi reka cipta
semata
Akhirnya kau terkesima
kala kulayangkan warkah istimewa itu ke mukamu
dan kita bersama menatapi wajah tampan sasterawan lunak perawakan
kembaran foto kiriman
sambil berusaha meraih markah tertinggi sastera tahap SPM kala yang lain sibuk menyurati artis femes
sedang aku tertunggu-tunggu kunjungan balasan warkahku kepada sasterawan yang dikirim berminggu lalu
Berkat dorongan sasterawan terbilang
melonjak genre karya dianugerah sekolah pencapaian terbaik sastera 75
TONGKAT WARRANT membimbingku menulis ulasan tentang antologi sajak DURI DAN API menelaah karya novelnya TULANG TULANG BERSERAKAN lewat surat serta buku rujukan karya sasterawan itu
Sayangnya kenanganku hanya milikku
akuanku diceberkan aku peduli apa
rakaman sekelumit nostalgia indah bersejarah seorang penggemar sastera bersama figura idolanya kala masih anak sekolah
Dengan izin Allah bertemu seketika bertukar senyum ramah dalam acara sastera tidak terduga
Usai persekolahan terputus hubungan dengan kawan kawan sealiran bertebaran membawa nasib diri
Puluhan tahun berpisah kau masih mengungkit warkah sahabat pena itu di sisi pertemuan semula sekolah kita
Terjeda malaikat lalu diiring doa dan lafaz suci al-Fatihah semoga dilimpahi karunia-Nya Sasterawan Negara Usman Awang yang berjasa menyantuni rumpun sastera berada di sisi-Nya di kalangan solehin yang dicintai-Nya berbahagia dilimpahi rahmat-Nya
Tika kehilangan Sasterawan Negara kenangan lalu terawang air mata pun bergenang


PARIDAH ISHAK
DMS
2707022

Saturday 23 July 2022

MAT KILAU

 ASSALAMUALAIKUM


PIC GOOGLE IMAGES (C)


SYAIR MAT KILAU

#1

Bermula syair kisah pahlawan,

pejuang bangsa gagah melawan,

salah silahnya jalur bangsawan,

citra riwayat seorang ikhwan.

#2

Pada lapan belas enam lima,

di pulau Tawar tahun yang lama,

lahirlah waris wira utama,

akan Mat Kilau diberi nama.

#3

Imam Rasu ataupun Tok Gajah,

nasab warisan berseri wajah,

akan ayahanda jauh jelajah,

bijak orangnya pintar berhujah.

 #4

 

Bondanya pula ialah Mahda,

Tok Kaut Burau namanya nenda,

di dalam kampung sama berada

hidup gembira bergurau senda.

#5

Telah dewasa anak remaja,

membantu ayah bonda bekerja,

seawal pagi sehingga senja,

cari rezeki buat belanja.

#6

Mahir sekali ilmu mengaji,

berdikir maulud  suka berzanji,

merdu bersyair bakat teruji,

santun budaya sifat terpuji.

#7

Berminat juga bermain gasing,

cekap melilit pangkah berpusing,

bentuknya cantik terukir asing,

tatkala menang senyum kerising.

#8

Kekar  sekali bangun tubuhnya,

ramai terpikat ketampanannya,

telah bertemu pula jodohnya,

Yang  Chik jadi  suri hatinya.

#9

Hai Imam Daud guru agama,

di Pulau Tawar termahsyur nama,

bapa mentua juga ulama,

ajar menantu mensuci atma.

#10

Allah kurnia cahaya mata,

penyeri hidup sinar permata,

mencerlang terang suluh gelita,

mengerat kasih sisih derita.

#11

Saing  sahabat menimba ilmu,

Pawang Nong, Teh Ibrahim tiada jemu,

Mat Ali Awang turut bertamu,

Mat  Kelubi juga Mat Tahir temu.

#12

 

Disamping itu belajar silat,

mengguna keris, parang berkilat,

ilmu batinnya sempurna solat,

langgas langkahnya sepantas kilat.

#13

Menuntut ilmu alim gurunya,

dengan Tok Gajah juga ayahnya,

Haji Uthman bin Senik di antaranya,

Mufti Pahang jawatan tadbirnya.

#14

Di dalam Gua Kota Gelanggi,

Mat Kilau cekal melangkah pergi,

diam bertapa malam ke pagi,

menyerap akil tahap yang tinggi.

 

#15

Gua Gelanggi di dalam hutan,

penghubung Pahang dengan Kelantan,

Terengganu sisi berdekatan,

menurut kisah ada kaitan.

#16

Tika  Tok Gajah pergi ke Pekan,

datang Hugh Clifford berhujah sakan.

petah Mat Kilau seolah rakan,

pendapat jitu telah khabarkan.

#17

Residen British dalam sejarah,

Pahang dikawal tiap daerah,

Mat Kilau rasa terlalu marah,

sanggup berjuang bertumpah darah.

#18

Negeri Pahang mula bergolak,

 

rakyat semua tak dapat elak,

tindakan British riuh tempelak,

mengutip cukai sungguhlah galak.

#19

Di kampung Budu British menyerang,

tabah Mat Kilau melawan garang,

rakan setia menangkis serang,

bersilang keris melibas parang.

 

#20

Beratus orang askar upahan,

hanya mengikut kata arahan,

pejuang Pahang hendak ditahan,

namun semua kekal bertahan.

#21

British semakin rasa terdesak,

merata sudut mereka asak,

lincah mat kilau tidak terpasak,

jerangkap samar tingkahnya lasak.

#22

Tok gajah, Dato Bahaman berpadu

British tewas di kampung Budu,

sifat durjana syaitan memandu,

berakhir dengan kisah yang sendu,

#23

Kampung nan indah menjadi mangsa,

dibakar marak tiada sisa,

terkorban insan tidak berdosa,

kejam penjajah rampas kuasa.

#24

Mat Kilau rasa amat berduka,

saudara-mara  nahas celaka,

British isytihar si penderhaka,

sedih berundur ke Ulu Cheka.

#25

Berpindah-randah sembunyi geri,

di dalam hutan rentas negeri,

British memburu tercari-cari,

berbagai nama samaran diri.

#26

Akhbar The Free Press siar berita,

di Singapura menyusun kata,

Mat Kilau mati terbujur leta

kala di Siam tembus senjata.

#27

Tatkala muncul sekurun hilang,

kisah sebenar lantas diulang,

berjuang hingga berputih tulang,

di Pulau Tawar tempatnya pulang,

#28

Di dalam masjid hari Jumaat,

lidah berzikir setiap saat,

buka rahsia terlalu cermat,

jelas Mat Kilau sehingga tamat.

#29

Pesan Mat Kilau pahlawan bangsa,

cintakan nusa luar biasa,

dendangan syair teguhkan asa,

andai terjajah hancur binasa.

 

 


Friday 22 July 2022

HIDAYAH

 ASSALAMUALAIKUM



HIDAYAH

.

Taufik

pimpin tunjuk

jalan lurus cerah

tidak sesat arah tuju

benar

.

Iman

dakap erat

semai tumbuh segar

dalam tanah lembah kalbu

tauhid

.

Bolak

balek rasa

merobah akidah

fitnah dunia semoga

tangkis

.

Kala

akhir zaman

pesona dugaan

selaru amalan Islam

syumul

 


PARIDAH ISHAK

DMS

22/07/022

Tuesday 19 July 2022

KOMENTAR SASTERAWAN TENTANG MURAI

 ASSALAMUALAIKUM

 

 


MURAI

 

Sentuhan pagi murai terjaga

dingin sang bayu selimut diri

hening ruangan santunan raga

lena sehingga separuh hari

.

Sudahkah hilang kata bicara

usrah wacana gamat selalu

bagai tiada lagi suara

rindu berderu bersalut pilu

.

Mungkinkah murai terlalu penat

semakin malas mahu berkicau

gara durjana dengki kianat

saran nasihat meracau-racau

.

Biarkan hari berlalu pagi

terbanglah murai tinggal masalah

layangan jauh ranggi meninggi

pasrah adanya tiada salah

.

Daya upaya sekadar mampu

telah berbuih riuh omelan

jujur amanah isih menipu

pesanan murai lagu siulan

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

1307022

KOMENTAR SAJAK MURAI @grup wasap esastera

OLEH SASTERAWAN HAMIZON SHAH

 


[6:10 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Saya memilih sajak MURAI apabila pertama kali membacanya, segera saya teringat sajak sajak Pak Usman Awang.

[6:12 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Kak Paridah, dgn melambangkan keresahan murai pada situasi semasa yang memang meresahkan dgn penuh memujuk.

[6:13 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Kemudian memperlihatkan sikap sesetengah kita yang sudah tidak mampu diubah cara kerja dan fikir

[6:14 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Akhirnya ramai yang terpaksa pasrah dgn situasi semasa yang langsung tidak menyenangkan sesiapa.

[6:15 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Banyak pesanan baik sekadar lagu murai bersiul. Tidak banyak perubahan yang lebih selesa dapat diharapkan dari berbagai pihak

[6:16 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Murai pun tinggalkan semua masalah tadi terbang tinggi dan pasrah seadanya

[6:16 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Siapa murai di sini?

[6:17 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Pemimpin, penyair, pejuang bangsa atau pejuang agama?

[6:19 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Tak peduli siapa pun 'murai', mengapa murai itu kecewa?

[6:21 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Jawab saya begini: tak peduli siapa pun Murai itu, tetapi sajak ini memperlihatkan sikap sebenar masyarakat yang sememangnya tidak mudah berubah mencapai sesuatu yang lebih selesa, sesuai dgn ajaran agama; pasrah adanya!


Sunday 17 July 2022

JUARA SYAIR FIGURA KLASIK DBP 022

 ASSALAMUALAIKUM

TAHNIAH SIFU TABIR ALAM ADMIN AKADEMI SPTA DINOBATKAN SEBAGAI JUARA SYAIR FIGURA KLASIK DAN TEMPAT KEDUA DIMENANGI USTAZAH ANA  JUGA PENULIS SPTA...ZALINA AMAT ROSMAN MEMENANGI HADIAH SAGUHATI...TAHNIAH SEMUA PEMENANG..PI CUBA JUGA SERTAI TAPI MENAIP MENGGUNAKAN HP MEMANG SUKAR NAK EDIT FILE WORDS...HEH HEH ALASAN SEBAB TAK MENANG!





Wednesday 13 July 2022

LAGI LAUK LAGI NASI...

 ASSALAMUALAIKUM



PERIBAHASA

 

Jintan seloyang lumat di rakit,

hilir ke hulu gerangan lohor;

pendapatan yang amat sedikit,

bak air lalu kubangan tohor.

.

Mengeruk nangka ramin sebelah,

melalap turi campurkan kerang;

bak buruk muka cermin dibelah,

silap sendiri salahkan orang.

.

Pandaklah sudah bangkut dilihat,

di situ kabus akan bertompok;

tidaklah mudah ikut nasihat.

batu direbus masakan empuk.

.

Menyinggai janggi sauk kebasi,

yakin sahaya minyak dibebat;

bagai lagi lauk lagi nasi,

semakin kaya banyak sahabat.


Monday 11 July 2022

KAK CIK

 ASSALAMUALAIKUM



KAK CIK

 

Kebetulan pulang menghadiri kenduri kahwin sepupuku Syafikah anak makcikku di Dulang Kechil, adik-adikku yang turut bersama mengajakku dan anak-cucu menziarahi sepupu yang tinggal di perkampungan nelayan Sungai Udang. Bukan ke rumahnya tapi sekadar singgah di gerainya di tepi jalan. Kak Cik berniaga cendol, nasi lemak dan kuih-muih masakannya. Melihat kegigihan ibu tunggal dengan anak tunggal berniaga mencari rezeki, gugur air mataku. Tambahan pula rindu bermukim lama lantaran sekian tahun tidak bersua. Kak Cik bertongkat menghampiri aku di kereta. Manis senyumannya menyapa aku bertanya khabar. Aku walaupun kenyataannya bisu tapi sekali terantun suaraku menyebut “anak!” Kak Cik menangis tersedu-sedu. Aku kehibaan. Turut menangis.

“Abang Long anak Kak Cik dah meninggal adik Pidah. Eksiden jatuh motor.”Kak Cik bersuara sebak bersambung tangisannya. Terharu sungguh aku. Menyesal pula aku cuba bercakap. Sedangkan aku tahu juga bahawa Kak Cik telah kehilangan anak lelakinya dua tahun lalu. Kak Cik dan dua lagi adiknya memanggilku adik Pidah walaupun aku lebih berusia daripada mereka. Arwah mak ndak Yah, emak saudaraku mengajar sepupu-sepupuku sebutan begitu untuk mengeratkan kemesraan ukhuwah yang sekian lama terjalin.     


Thursday 7 July 2022

KEPALA AIR BALING

 ASSALAMUALAIKUM






kepala air

deruan hujan lebat –

malapetaka

 

penternak ayam –

harga siling pasaran

bajet nilaian

 

Julai pertama –

lebuh raya utara

walimatul-urus

 

gerobok usang –

kelambu benang kapas

renda memori

 

krisis makanan -

tanaman ubi kayu

sambungan hayat

 

rimbunan nipah

tabung tadahan nira

rezeki pagi

 

awal Zulhijjah -

juadah gula apong

senyuman manis

 

Dewan Pelajar –

Lelabah Pinggang Ramping

penulis graha


dua puluh  Jun –

layar filem Mat Kilau

pesona tonton

Tuesday 5 July 2022

PUTERI GUNUNG LEDANG

 ASSALAMUALAIKUM


 


 

PUTERI GUNUNG LEDANG

(Puisi talibun)

.

Merenung pandang kasturi layu,

dilumat serta ragi di cawan,

layur durinya sena di sana,

catan direka sintar di peran,

mengikat rendah sisa meranti;

di Gunung Ledang puteri ayu,

amat jelita lagi rupawan,

masyhur kisahnya di mana-mana

Sultan Melaka hantar lamaran

terpikat sudah rasa di hati.

.

Berbuah sawa sisinya rotan,

mandak sempaya laki tercenung,

segerah cermat lurus simpulan,

terkapa-kapa menyigai cempa,

peria miang menggalas antun;

Hang Tuah bawa hajatnya sultan,

tidak terdaya mendaki gunung,

arah Tun Mamat terus berjalan,

disapa puspa pelbagai rupa,

ceria riang berbalas pantun.

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

0507022


Monday 4 July 2022

WISATA SANTAI

 ASSALAMUALAIKUM


JUMAAT LEPAS PI BALIK KAMPUNG KUALA DULANG KECHIL YAN KEDAH MEMENUHI UNDANGAN KENDURI KAHWIN SEPUPU ...SAMBIL TU ZIARAH SEDARA MARA MANA SEMPAT DI SAMPING TAK LUPA MENYAMPAIKAN HADIAH BUKU TERBITAN SPTA, ESASTERA, PENA PADU, PERPUSTAKAAN PAHANG DLL PENERBITAN KEPADA PUAN HAJJAH FARIDAH MUDIR SMA ALKHIRIAH HALIMIAH (PONDOK PAKYA) DI GUAR CHEMPEDAK...ALHAMDULILLAH PERJALANAN PERGI DAN PULANG SELAMAT ADANYA INSYA-ALLAH


RUMAH PENGINAPAN GUAR HOMESTAY








PANTAI RUAT YAN


DI TANJUNG DAWAI



PUAN HJH FARIDAH MUDIR SMA AL KHIRIAH HALIMIAH/PONDOK PAK YA SUDI TURUN TEMUI PI UNTUK MENERIMA HADIAH BUKU-BUKU DARI PI DI KERETA...INI KALI KEDUA PI BERTEMU USTAZAH YG BERBUDI TINGGI AMAT MESRA DAN HALUS BUDI BAHASA MENYANTUNI PI YG TIDAK BERDAYA







MyBloglist