Wednesday 28 June 2023

PUISI SYAIR

 ASSALAMUALAIKUM

SALAM AIDILADHA MAAF ZAHIR BATIN SEMOGA TIASA CERIA MENYAMBUT HARI BAHGIA DI SAMPING KELUARGA DI MANA SAJA BERADA.



SYAIR

Syair merupakan genre puisi tradisi  berasal dari Arab dan Parsi. Perkembangan puisi syair ini bersamaan ketika masuknya Islam ke Nusantara. Asalnya puisi syair menggunakan bahasa  Melayu kuno. Tapi berubah seiring perkembangan zaman.

Syair dapat dibahagikan kepada 2 kategori, iaitu yang naratif dan non-.naratif.

Naratif bermaksud puisi syair mencitrakan sejarah, kisah dongeng dan ketokohan persona. Sementara non naratif pula puisi syair berkaitan agama dan nasihat.

Antara syair terawal menurut Overbeck diperolehi di Padang, Sumatera bertarikh 26 Rabiulawal 1301bersamaan 1881 M – rujukan Overback (1914) ISBRAS

Contohnya;

 CONTOH SYAIR

SHAER BURONG PUNGGOK

Dengarkan tuan mula rencana,

Disuratkan oleh dagang yang hina,

Karangan janggal banyak tak kena,

Daripada paham belum sempurna.

.

Daripada hati sangatlah morong,

Dikarangkan shaer seekor burong,

Sakit-nya kaseh sudah ter-dorong,

Gila merawan segenap lorong.

.

Pungguk bercinta pagi dan petang,

Melihat bulan dipagar bintang,

Terselap rindu dendam pun datang,

Dari saujana pungguk menentang.

.

Pungguk menentang dari saujana,

Di dalam hati gundah gulana,

Jikalau ditolong Tuhan yang gana,

Makanya pungguk boleh ke sana.

.

Di atas beraksa berapa lama,

Gilakan cahaya bulan purnama,

Jikalau bulan jatuh ke mana,

Dimanakan pungguk dapat bersama.

 

Bulan purnama cahayanya terang,

Bintang seperti intan dikarang,

Rawannya pungguk bukan sembarang,

Berahikan bulan di tanah seberang.

 

Gemerlapan cahaya bintang kartika,

Beratur majelis bagai dijangka,

Sekaliannya bintang terbit belaka,

Pungguk melihat kalbunya duka.

 

Bintang di langit berbagai rupa,

Pungguk bercinta badan terlepa,

Minta doa tiadalah lupa,

Dengan bulan hendak berjumpa.

.

 

BINAAN PUISI SYAIR

·         Terdiri dari 4 baris serangkap

·         2. Tiap baris terdiri dari 4-6 perkataan

·         3. Tiap baris terdiri atas 8-12 suku kata

·         4. Semua baris adalah maksud

·         5. Rima akhir a-a-a-a, sempurna atau rawak.

·         6. Tanda koma hujung baris satu hingga tiga

·         7. Tanda nokhtah hujung baris 4

·         8. Mengandungi  cerita berkesinambungan  

·         9. Memulakannya dengan awal bismilah.

·         10. Dua rangkap pertama pembuka syair

·         11. Dua rangkap akhir penutup syair

·         12.Jumlah rangkap syair mengikut kesesuaian jalan cerita.

·          

IRAMA SYAIR

Ada banyak juga irama untuk melagukan syair dengan indah dan merdu. Tapi sering menjadi pilihan ialah irama Hiasan dan Selendang Delima

1.    Irama hiasan

2.    Selendang  Delima

3.    Dandan setia

4.    Dodoi

5.    Mayang

Contoh syair;

SYAIR SITI AMINAH

Permulaan dan seterusnya.

 

#1

Awal bismillah syair digubah,

Siti Aminah wanita tabah,

lahir di Mekah dataran lembah,

amal ibadah di sisi Kaabah.

.

#2

Hai bani Zuhrah nasab warisnya,

Wahab ialah ayah kandungnya,

ketua pada suku kaumnya,

Nabi Ismail jalur moyangnya.

 

Dan seterusnya…………………….

 

Dua rangkap penutup

 

 

Tiba di Abwa’ bonda pun gering,

wafat tinggalkan jasad terbaring,

makam bertanda batu yang kering,

Nabi Muhammad sayu mengiring.

.

Nabi menjadi yatim piatu,

Siti Aminah bondanya satu,

kasih abadi sudahlah tentu,

syurga menanti terbuka pintu.


Tuesday 27 June 2023

PUISI GURINDAM

 ASSALAMUALAIKUM


(C) YOUTUBE


PUISI GURINDAM

 

PENGENALAN GURINDAM

Gurindam adalah genre puisi tradisional yang terdiri dari serangkap dua baris atau dalam bentuk kalimah. Selalunya tiap rangkap mengutarakan sesuatu persoalan dan dikuti dengan jawapan atau kesimpulan kepada persoalan yang ditimbulkan.

Gurindam serangkap dua baris terbina dalam rima akhir a-a., dan serangkap baris dalam rima a-b-a-b, serta gruindam rangkap bebas.

(1) Contoh gurindam serangkap dua baris:

Apabila banyak berkata-kata,
di situlah jalan masuk dusta.

(2) Contoh gurindam serangkap empat baris:

Tiada siapa yang besar,
Tiada siapa yang tinggi,
tetap sama sedasar,
tidaklah berbeza lagi.

(3) Contoh gurindam bebas:

Pangkalnya sama dipupuk,
pucuknya sama digentis,
buahnya sama ditarik,
ke bukit sama didaki,
ke lurah sama dituruni,
ke laut sama direnangi.

Isi Gurindam 12

Pasal Satu

Barang siapa tiada memegang agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.

Puisi ini terikat 2 baris. Mengemukakan nasihat dan pengajaran , kebenaran yang ingin disampaikan. Ayat baris  satu dan dua berkesinambungan. Tapi tiada sampiran seperti pantun.

Bilangan suku kata yang digunakan tertakluk pada perkataan yang digunakan. Biasanya lapan hingga 16 suku kata. Rima akhir adalah rima sempurna atau rawak.

Gurindam dua belas adalah susunan gurindam karya Raja Ali Haji  1847.

Gurindam ini terdiri dari 12 pasal sebagai kategori Syi’r Al-Irsyadi  bererti syair petunjuk kerana gurindam ini mengandungi petunjuk serta nasihat agar boleh meraih hidup yang diredai Allah SWT.

Barang siapa mengenal yang empat,
Maka ia itulah orang yang ma’rifat*.

Barang siapa mengenal Allah,
Suruh dan tegahnya* tiada ia menyalah*.

Barang siapa mengenal diri,
Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri*.

Barang siapa mengenal dunia,Tahulah ia barang yang terpedaya*.

Barang siapa mengenal akhirat,
Tahulah ia dunia mudarat*.

http://nettik.net/pengertian-dan-contoh-gurindam-12/

Raja Ali Haji sendiri pernah memberi definisi terhadap gurindam. Beliau menyebut “Adapun gurindam itu iaitu perkataan yang bersajak juga pada akhir pasangannya tetapi sempurna perkataanya dengan syarat dan sajak yang kedua itu seperti jawab” (Abu Hassan Sham, 1993, p. 90). Gurindam jenis ini dipanggil gurindam terikat.

 

Menurut pendeta Zaaba, bentuk penulisan gurindam hampir sama dengan puisi genre seloka namun lebih menjurus pada penyampaian nasihat, pemerian falsafah, keagamaan dan pendidikan.

Za‟aba telah memberikan suatu definisi lain untuk gurindam. Beliau berpendapat bahawa “Perkataan gurindam itu daripada bahasa Sanskrit menerusi bahasa Tamil; ertinya biasa difahamkan rangkap yang telah menjadi bidalan‟atau sebutan yang biasa pada orang ramai, ataupun sesuatu pepatah berangkap disebutkan berpadan dengan tempatnya”. Dalam kaedah karang-mengarang Melayu yang dikatakan gurindam itu ialah; suatu jenis syair melarat yang tiada tetap sukatnya atau rangkapnya, isinya mengandungi fikiran-fikiran yang bernas dengan bahasa yang riang dan suka sebagai nyanyian.(Abu Hassan Sham, p. 90). Definisi ini sesuai dengan suatu bentuk gurindam yang tidak bersukat atau gurindam tidak terikat yang mempunyai bilangan suku kata yang tidak tetap dan rima akhirnya tidak tersusun (Zurinah Hassan, 2012, p. 34). Contoh gurindam tidak terikat adalah seperti berikut:

Awak tua bandar terbuka

Emas habis dagangan mudah

Kerbau kambing sesak di padang

Itik angsa tenang di kuala

Merpati lindungan langit

 

Ibu tangga emas bertitik

Batuan sawa mengulur

Penuh sesak hamba sahaya

Ada yang empat senama

Ada yang lima senama

Dilaung di rumah di tanah menyahut

Dilaung di tanah di rumah menyahut (Dipetik daripada Hikayat Malim Deman)

 

Dalam puisi Melayu klasik, gurindam terbahagi kepada dua jenis, iaitu gurindam terikat dan gurindam tidak terikat. Gurindam terikat perlulah mempunyai dua baris berima serangkap a-a; baris pertama sebagai syarat dan baris kedua sebagai jawab, berisi nasihat, pedoman dan panduan, dan mengandungi pemikiran dan falsafah yang tinggi. Ia juga mengandungi teks yang jelas, tepat, dan tidak kabur, walaupun bahasa yang digunakan diperindah dengan penggunaan metafora dan simile (Zurinah Hassan, p.

 

𝐏𝐄𝐑𝐀𝐓𝐔𝐑𝐀𝐍 𝐁𝐄𝐑𝐊𝐀𝐑𝐘𝐀 :

·         (1) pastikan guna huruf kecil kecuali nama khas

·         (2) pastikan huruf besar di awal baris satu saja

·         (3) pastikan mengikut ejaan standard DBP

·         (4) pastikan disiplin tatabahasa gurindam dipatuhi.

·         Serangkap puisi gurindam terpapar umpamakan ikatan berirama atau karmina oleh kerana hilangnya sifat nasihat yang yang membezakan gurindam dari bentuk puisi lainnya

·          

·         AYAT GURINDAM "Dugaan hidup amat mencabar" ~> ayat ini dalam bentuk penyataan kerana ia memberitahu situasi yang mencabar tentang 'dugaan hidup' - tiada permasalah disasarkan secara khusus. Tukarkan ayat ini kepada ayat gurindam begini: "Andai dugaan hidup mencabar" ~> Ia akan jadi ayat gurindam dengan adanya permasalahan tentang hidup yang akan jadi mencabar, justeru berikan penyelesaiannya di ayat #2. "musibah datang hati bersabar" ~> Ayat #2 menjadi pasif kerana hati hanya *bersabar apabila *musibah datang. Tukarkan ayat ini kepada ayat gurindam penyelesaian begini: "tempuh musibah harus bersabar" ~> ayat #2 meletakkan penyelesaiannya *harus bersabar apabila *musibah melanda diri seseorang itu.

 

·          

·         DUA BARIS BELUM TENTU GURINDAM. EMPAT BARIS BELUM TENTU PANTUN Kalau nak mengusik tulislah seloka. Kalau nak bermain tulislah pantun. Kalau nak berkisah tulislah syair. Kalau tulis gurindam isinya nasihat agama. Kalau tulis nazam isinya hukum hakam. Kalau tulis teromba isinya adat resam, tepatnya pepatih. Semua puisi tradisional ada tujuan tersirat. Malah ada yang menuju makrifat. Puisi tradisional itu ada sifatnya yang tertentu. Jenisnya lebih dua puluh satu. Estetikanya dijaga sejak dahulu. Jangan disamakan semuanya. Jangan terkeliru dengan bentuk dan rima. Misalnya gurindam, belum tentu gurindam jika dua baris serangkap. Sebab dan akibat dalam gurindam mestilah lengkap. Baris pertama apa, baris kedua apa, itu perlu jelas belaka; Pegang agama sekuat hati, Pegang ia sampai ke mati. Kuatkan iman di dalam dada, Kuat beribadat setiap masa. Bentuknya memang gurindam. Ada rima dan ada nasihat. Tapi tidak menepati prinsip sebuah gurindam seperti tradisinya. Memang ada istilah gurindam melarat. Tapi ianya perlu diperjelas juga. Supaya tidak mengelirukan penulis muda. Semua puisi tradisional itu terikat. Gurindam Raja Ali Haji sebagai bukti. Juga syair-syair karangan Hamzah Fansuri. Semua nilai perlu dipelihara dan dikekalkan. Di tangan penulislah tanggungjawab itu terletak. Kehebatannya bukan menghasilkannya dengan jumlah yang banyak. Tapi sejauh mana sastera lisan ini dihormati oleh penulis sendiri. Masuklah ke dalam falsafah dan prinsip puisi tradisional itu. Tulislah ikut tradisi kepengarangan orang dulu-dulu. Hasilnya sangat bermutu. Supaya bila dibaca oleh anak cucu, mereka tidak keliru, sebaliknya dapat membina peribadi yang jitu.

 

·         GURINDAM bukan gurindam kalau tiada nasihat /pedoman dan rangkaian sebab dan akibat.

·          

·         Ayat baris #1 hendaklah mempunyai matlamat atau syarat apa perkara yang disasarkan, seeloknya bukan ayat penyataan. Ayat baris #2 hendaklah mempunyai kaedah penyelesaian atau jawapan kepada ayat baris #1, juga bukan dalam bentuk penyataan.

·          

·         Sikap membazir kalau amalkan, akhirnya nanti hidup tertekan. Huraian: Jika seseorang itu suka membazir akibatnya suatu masa nanti hidupnya tertekan kerana ketidakcukupan wang atau terpaksa meminjam daripada orang lain. Biasakan menyenak gurindam yang ditulis dengan membuat huraian sendiri. Jika.........akibatnya......... supaya jelas pertautan sebab dan akibat. sikap sombong memakan diri, rakan taulan semuanya lari. Sikap sombong memakan diri mirip ayat akibat Lebih sesuai jika diubah kepada Sikap sombong membangga diri

 

·         LAGU GURINDAM

Gurindam juga dinyanyikan mengikut ritma tertentu dalam persembahan teater atau filem. Boleh rujuk nyanyian Roslan Madun melagukan gurindam dua belas @youtube.


Sunday 25 June 2023

SALAM ZULHIJAH

 ASSALAMUALAIKUM


SELAMAT BERHUJUNG MINGGU...ALHAMDULILLAH PUISI TERZARIMA  PI, SALAM ZULHIJAH, DISIAR AKHBAR SUARA SARAWAK HARI INI 25 JUN 023...TERIMA KASIH  BANYAK KESUDIAN EDITOR MENERBITKAN KARYA  PI SEADANYA SAJA ITU 



Thursday 22 June 2023

DARA PINGITAN

 ASSALAMUALAIKUM



DARA PINGITAN

 

Bukan kali pertama dia ke sini. Sudah berulang kali. Sehingga tidak terkira jumlahnya.

Dia duduk di birai titi. Alur sungai di bawahnya. Air mengalir tenang melepasi batu kecil dan besar yang tidak sekata bentuknya juga pelbagai halangannya.

Duduk di sini, berselesa, bersenang-senang, memang kesukaannya. Sewaktu dirinya masih kecil, dia  bersama rakan sebaya akan duduk sebaris di titi.

Kaki   dijatuhkan, mengocak air sambil bercerita apa saja yang terlintas di minda. Di sebelahnya kadang-kadang ada Latipah yang menemani. Suria juga sering bersamanya. Hanya dua gadis sunti itu bersilih ganti menemaninya. Jarang sekali mereka kelihatan bertiga.

 

            Dia tersenyum sendiri. Nostalgia era itu telah lama berlepas. Meninggalkannya. Di sinilah, tempat dia sedang duduk ini, mata kail yang diikat pada tali tangsi di hujung bok batang buluh kuning yang panjang, lurus dan runcing sentiasa mengait ikan. Pancingan yang tidak mengecewakannya. Ada saja rezeki untuknya.

Kala sudah jemu memancing, berdebur pula terjun ke sungai. Mandi-manda dengan hilai tawa riang. Gembira sungguh. Bukan berpanjangan rasa gembiranya.     Pabila sampai di rumah dengan pakaian basah melencun, melekap di badan terimalah habuannya.

Tengking herdik akan riuh bergemuruh, laksana bertih digoreng berhamburan keluar daripada mulut Neneknya.

“Anak dara tidak tahu malu. Kata nak pergi memancing ikan. Ini pula yang dibuatnya. Tak tau malukah mandi di sungai? Di situ tempat orang lalu lalang pergi balik. Awak tu sudah besar. Anak dara sunti. Tidak manis dipandang orang,” leter Neneknya.

Perit telinganya mendengar Neneknya berleter tidak habis-habis. Lebih terhiris hatinya kala sepupu-sepupunya mengerling sinis dengan ekor mata. Tapi tidak berkata apa-apa untuk menyanggah  bahasa tajam neneknya bak pedang menghiris kalbunya. Selain dari turut mengunyah bersamanya. Berusaha pula menghadamkan frasa bermaksud baik tetapi disulami dengan semburan hempedu .

Sikap Neneknya menjengkelkannya. Garangnya umpama singa beranak kecil. Pantang ada mangsa yang melintas di hadapannya akan diterkam dan dipulas tengkuknya hingga patah terkulai. Menurut firasat Sita yang dipengaruhi emosi marahnya kerana kesilapan kecilnya ditegur begitu.

Selama hidupnya dia tidak pernah mendengar emaknya berkata begitu kasar padanya. Sentiasa berlemah lembut menyenangkan jiwanya.

Dia ke sini semata hendak menghabiskan cuti persekolahannya. Bukannya hendak mendengar tengking herdik Neneknya yang hanya membenarkan pendapat saja. Sekalipun ternyata benar namun hatinya tercalar jua.

Setahun dua lalu, dia langsung tidak kisah walau diherdik sekeras mana sekalipun oleh Neneknya. Apatah lagi kerana mandi-manda di sungai. Kegiatan kegemarannya itu tetap juga diteruskan. Degilnya dia. Ketegar sungguh kata Neneknya.

Entah kenapa pula mutakhir ini jiwanya mudah tersentuh pabila dicuit kekata yang kasar walau sepatah. Mungkin kerana usianya sudah menginjak awal remaja mempengaruhinya.

Pagi itu sedang Neneknya menoreh di kebun getah, dia sudah berkemas hendak pulang ke rumahnya. Angah, emak saudaranya dan sepupu-sepupunya mengikut Neneknya ke kebun getah. Mengais sedikit rezeki untuk hari ini dan akan diteruskan kebiasaan itu keesokannya demi kelangsungan hidup.

Keberadaannya di situ seolah tidak dipedulikan. Sama ada dia wujud atau tidak di tengah kelompok keluarga itu seakan tidak mengubah apa-apa. Apalagi setelah dimarahi Neneknya semalam. Bertambah tegar keputusan diambilnya.

Lapang rasa dadanya kala sudah berada dalam bas menuju destinasinya.

            “Tak boleh tengok orang senang sikit!” getus hati kecilnya dengan gumam geram yang masih mengeram panasnya.

            “Tak ingin aku nak ke sini lagi.” Dia menunaikan niatnya. Setiap kali cuti sekolah nenjelang, dia tidak akan menjenguk neneknya. Walaupun diajak emaknya berkali-kali. Keras betul hatinya.

Namun jauh di sudut hatinya, dia terkenang-kenang keseronokan memancing ikan di sungai yang jernih dan kelihatan hampir semua isi yang ada di dasarnya.

Dia rindukan kawan-kawannya. ‘ Apakah khabar Latipah? Tertunaikah hajatnya hendak bersekolah pilihannya di bandar setelah tamat tahun enam? Comel Suria itu ke mana pula agaknya? Angan-angannya hendak ke sekolah tahfiz kerana ramai saudara-maranya berpendidikan begitu.

Ada di antaranya sudah bergelar ustaz dan ustazah. Tercapaikah hasrat Comel Suria itu? Dia tertanya-tanya khabar kawan-kawan sepermainannya. Kawan-kawan yang sudah lama tidak ditemuinya. Dia sangat merindukan kemesraan hubungan yang dahulunya terjalin intim. Rindu itu membawanya ke sini lagi.

‘Bagaimana pula dengan aku?’ Dia bertanya dirinya. Dia tidak pun mencapai apa-apa persetujuan dengan dirinya. Sita bukan Latipah atau Comel Suria. Sita hanya akan bersekolah menengah di pekan. Dekat. Rumah keluanganya pun terletak di pinggir pekan itu. Borangnya pun telah diisi. Ke situlah dia nanti, menimba ilmu apa yang patut.

Emaknya tidak pernah bertanya tentang persekolahannya. Pandaikah? Tololkah? Hanya dia yang menilainya. Abang-abangnya pun tidak pernah bertanya. Sekian tahun bersekolah, begitulah situasinya. Dia menguruskan dirinya sendiri sebagai seorang pelajar. Akan ke sekolah setiap hari menurut jadualnya.

Walaupun emaknya hanya tahu membaca jawi dan ayahnya buta huruf tetapi dia lepas juga hingga tingkatan enam dan boleh meneruskan pengajian ke universiti jika dia mahu. Rasanya dia sudah jemu hendak belajar.

Kata bijak bestari ‘belajarlah setinggi mana, di mana saja ilmu itu boleh dicapai’. Dia pula tidak mahu begitu. Barangkali sudah lelah mengusung nota yang diberi guru. Cukuplah setakat itu.

            Mudahnyalah dia berpuas-hati. Katanya, tak payahlah masuk U. lepasan U pun ramai yang menganggur. Itu pula alasannya. Lebih baiklah tak usah. Mak ayahnya bukannya senang benar. Sekadar hidup cukup makan dan tidak menyusahkan sesiapa saja.

Dia harus bertimbang rasa juga dan tidak hanya mementingkan kemahuanya semata. Tapi menyusahkan emak ayahnya telah sekian lama berkorban untuknya dan membebankan kedua-duanya pula.

Lagipun dia sudah berjaya mendapat tawaran sebagai jururawat pelatih di sebuah hospital universiti di bandar. Elaunnya mencukupi untuk menampung kehidupannya seorang. Bagi Sita, elaun yang tertera dalam surat tawaran itu sudah memadai untuk hidupnya masakini

Buat masa ini biarlah setakat itu saja pencapaiannya. Pada masa hadapan belum terfikir lagi. Keputusan yang menjadi pilihannya mungkin berubah pula.

Sita ambil mudah saja.  Hari  ini biarlah cerita untuk hari ini. Sudah tentu hari ini adalah miliknya sepenuhnya. Sedangkan esok belum tentu lagi dan lain pula kisahnya.

            “Masih di sini lagi dia. Ingatkan datang awal tentu dah sampai rumah Nenek,” gumam Emaknya. Sapaan Emaknya mencemperakan lamunannya. Berserakan merata.

“Mak dan Ayah pergilah dulu. Sita nak duduk di sini sekejap.”

“Kamu tu yang patut cepat ke rumah Nenek. Hari dah nak senja ni.”

Motorsikal kapcai yang ditunggangi Emak dan Ayahnya bergerak semula setelah berhenti sejenak.                    

‘Jangan hendak cari bala.  Aku  ke rumah Nenek hendak menyambut hari raya haji sambil bersama Nenek dan Emak Ayahku melakukan ibadah korban menumbangkan lembu keesokannya. Nasib tak baik aku pula  terkorban dipagut ular. Senja begini ular bisa biasanya menjalar celahan daun kering tanpa disedari.’

Sita melangkah pantas menurut bijak bicara hatinya. Dia sudah terlupa pada keindahan panorama sungai kecil  dikaguminya sebentar tadi. Semakin suram kehilangan cahaya nuansanya. Lintasan firasatnya mengatakan dia perlu segera sampai ke rumah Neneknya. Mudah-mudahan tiada aral menghalangnya. Dia menapak kalut. Tergesa-gesa amat. Mengejar masa siang yang akan meninggalkannya sebentar lagi.


Monday 19 June 2023

KENAPA

 ASSALAMUALAIKUM

ASSALAMUALAIKUM



 

KENAPA?

 

Tiada angin tiada ribut

rasa bagaikan dilambung-lambung

segala lihat jadi serabut

selirat lilit bersambung-sambung

.

Aduhai hati kenapa gundah

berhiba sayu kerana apa

menangis sedih tiada sudah

berfikir jauh  terkapa-kapa

.

Kutip aksara menggubah makna

gangguan kusut memuncak murung

bergelut siksa hindar pesona

bersilat tangkis ligat bertarung

.

Sebenar lemah berlagak cergas

sekadar mahu menipu diri

teruja terbang laksana unggas

jatuh terhempas tertusuk duri

.

Riwayat lama baca selalu

bermula pasti akan berakhir

biarkan silam terus berlalu

tiba ketika akan tersingkir


MyBloglist