Showing posts with label catatanku. Show all posts
Showing posts with label catatanku. Show all posts

Monday, 28 September 2026

ARTIS BLOGGER FAUZIAH SAMAD

 ASSALAMUALAIKUM



Salam Senayan awal minggu baru
cerita sendu pilu terharu.
Takziah adindaku Pazeli. nanda Nadia n keluarga kehilangan suri hati kecintaan dengan iringan doa moga Allah mengampuni segala dosa mencucuri rahmat atas roh adinda Fauziah Samad yang kembali ke Rahmatullah petang 27 Sept 26....innalillahiwainnailaihirojiun....al fatihah,...LANGKAHNYA MENDAHULUI PASTI DITURUTI INSYA-ALLAH








Friday, 18 September 2026

SAYEMBARA PUISI HARI MALAYSIA

 ASSALAMUALAIKUM




Salam Jumaat penghulu hari
ceria wajah senyum berseri
Alhamdulillah kakpidah lulus sayembara puisi HARI MALAYSIA @SPTA ...terima kasih Sifu Tabir Alam sudi pilih puisi akrostik karya kakpidah antara yang lulus; tahniah sahabat tersenarai...tahniah semua peserta,
❤️ KEPUTUSAN ❤️
SAYEMBARA PUISI HARI MALASIA
---------------------------------------
[01] PERTAMA
💟 Paridah Ishak
| HARI MALAYSIA (Akrostik)
[02] KEDUA
💟 Ana Cik Kamal
| HARI MALAYSIA (Sajadah)
[03] KETIGA
💟 Syidah Ida
| MALAYSIA TERCINTA (Sonian)
pic

Tuesday, 8 September 2026

MEMPERKASA BAHASA MELAYU

 ASSALAMUALAIKUM



MEMPERKASA BAHASA MELAYU

.

Bahasa ialah keperibadian bangsa dan citra sesebuah negara. Untuk mengenali sesuatu bangsa dan negara, kita dapat melihatnya melalui bahasa yang digunakan oleh majoriti rakyat serta bahasa yang termaktub dalam perlembagaan negara tersebut. Selaras dengan ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Bahasa Budaya Bangsa”, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, bahkan menjadi lambang identiti, pemikiran dan kebudayaan sesuatu masyarakat.

Negara kita memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berasaskan sejarah dan kedudukannya yang telah bertapak sejak berabad-abad lamanya. Bahasa Melayu juga pernah menjadi lingua franca dalam kegiatan perdagangan di rantau ini, khususnya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Penggunaannya yang luas menjadikan bahasa Melayu sebahagian daripada khazanah bangsa yang amat bernilai. Oleh itu, kewajarannya sebagai bahasa kebangsaan tidak seharusnya dipertikaikan kerana sejarah telah mengukuhkan kedudukannya.

Namun begitu, masa mampu mengubah banyak perkara. Kini, penggunaan bahasa Melayu semakin memperlihatkan kecelaruan dan campur aduk, khususnya dalam ruang komunikasi moden. Atas alasan untuk mewujudkan keharmonian dalam masyarakat majmuk Malaysia, istilah Bahasa Malaysia pernah digunakan secara meluas dalam sistem pendidikan pada tahun 1970-an. Apa pun istilah yang digunakan, bahasa Melayu tetap memainkan peranan penting sebagai wahana penyatuan rakyat negara yang mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Bahasa Melayu juga semakin dipengaruhi oleh kosa kata bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris. Ada perkataan yang diubah suai dengan penambahan akhiran tertentu seperti -si dan -tif, misalnya situasi dan perspektif. Penggunaannya mungkin bertujuan untuk menjelaskan sesuatu maksud atau menyesuaikannya dengan penggunaan semasa. Namun, penggunaan yang berlebihan tanpa memahami padanan atau istilah yang telah tersedia dalam bahasa Melayu boleh memperlihatkan kelemahan penguasaan kosa kata sendiri.

Kita sebenarnya mempunyai ribuan kosa kata dalam perbendaharaan bahasa Melayu yang boleh dirujuk melalui kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, khususnya Kamus Dewan Edisi Keempat. Oleh itu, sewajarnya kita memperkayakan penguasaan bahasa sendiri sebelum terlalu mudah menerima istilah asing sebagai sesuatu yang lebih tinggi, moden atau berprestij.

Ada kalanya sesebuah tulisan dianggap lebih menarik atau berwibawa apabila diselitkan istilah bahasa Inggeris, walaupun terdapat perkataan bahasa Melayu yang tepat untuk menyampaikan maksud yang sama. Keadaan ini secara tidak langsung memperlihatkan kecenderungan sesetengah pengguna bahasa yang menganggap bahasa Inggeris lebih tinggi nilai dan ilmunya.

Menurut sesetengah pengamalnya, bahasa Melayu terlalu panjang, meleret dan lunak sehingga dianggap kurang sesuai dengan tuntutan dunia moden yang mementingkan ringkas, padat dan tepat. Segala sesuatu mahu disampaikan dengan sesingkat mungkin supaya mudah difahami dan tidak membuang masa.

Ringkas dan padat memang penting dalam komunikasi. Namun, keindahan bahasa tidak seharusnya dikorbankan semata-mata untuk mengejar kepantasan. Bahasa yang baik bukan sahaja menyampaikan maklumat, malah dapat menggambarkan ketepatan pemikiran, kehalusan budi dan kekayaan budaya penuturnya.

Tidak salah meminjam perkataan daripada bahasa asing sekiranya istilah yang tepat belum terdapat dalam bahasa Melayu atau istilah tersebut telah diterima penggunaannya. Bahasa bukan sesuatu yang beku. Bahasa sentiasa berkembang dan bertambah kosa katanya seiring dengan perubahan zaman, ilmu pengetahuan dan keperluan masyarakat.

Kesalahan berbahasa pula merupakan perkara yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Corder (1981), seperti yang dipetik dalam Juriah Long (1990), menjelaskan bahawa kesalahan bahasa merangkumi bentuk pertuturan yang menyimpang daripada bentuk pertuturan penutur jati. Kesalahan tersebut boleh meliputi tatabahasa, ejaan, sebutan, penggunaan perkataan dan istilah. Hal ini menunjukkan bahawa penguasaan bahasa merupakan proses yang berkembang sepanjang hayat.

Kecelaruan penggunaan bahasa juga jelas kelihatan dalam dunia perniagaan. Ada pengusaha yang mahu menampilkan nama perniagaan mereka agar kelihatan moden dan menarik, tetapi pada masa yang sama mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris sehingga menghilangkan kejelasan dan keseragaman bahasa. Antaranya dapat dilihat pada nama seperti Best Trade, Elite Com, Zaman Communication Centre, Halal Ayam Proses, Azrina Restoran, Mewah Café, Nurul Aida Enterprise dll.

Pemilihan nama perniagaan sememangnya hak pemiliknya. Namun, jika kita benar-benar mahu mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang bermartabat, penggunaan bahasa yang baik dan sesuai dalam ruang awam wajar diberi perhatian. Bahasa yang kita gunakan merupakan sebahagian daripada citra diri dan masyarakat kita.

Kecelaruan dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri juga sering berlaku. Menurut Dr. Hassan Ahmad dalam bukunya Bahasa dan Pemikiran Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2016), ramai manusia tidak pernah mempelajari bahasa secara formal. Namun, mereka mampu menggunakan tatabahasa dengan baik dalam pepatah, peribahasa dan rangkap-rangkap pantun yang disampaikan secara lisan. Hal ini membuktikan bahawa penguasaan bahasa bukan semata-mata bergantung pada pendidikan formal, tetapi turut berkembang melalui budaya dan pengalaman hidup masyarakat.

Era alaf baharu dengan perkembangan media sosial pula menyaksikan perubahan besar dalam cara kita berkomunikasi. Bahasa Melayu sering diringkaskan sehingga menjadi sukar difahami. Hal ini bukan sahaja berlaku antara rakan dengan rakan, bahkan antara anak dengan ibu bapa dan murid dengan guru.

Sebagai contoh, terdapat pesanan yang ditulis begini:

“Slm sis. Sy d g rmh sis, tp sis xde. Skunk sy kat cafe. Mai sni klu nk jmpa sy.”

Jika dibaca sepintas lalu, mesej seperti ini mungkin sukar difahami. Penerima terpaksa mengambil masa untuk menafsir setiap singkatan sebelum memahami maksud sebenar. Persoalannya, adakah cara sedemikian benar-benar menjimatkan masa sedangkan penerima pula perlu berusaha meneka maksud yang hendak disampaikan?

Fenomena ini semakin ketara melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, WhatsApp, WeChat, Tik Tok, Instagram, Threads yang banyak mempengaruhi cara generasi muda berkomunikasi dan mengolah bahasa.

Dalam bidang kesusasteraan pula, penggunaan bahasa Melayu yang tidak begitu terikat pada tatabahasa dan gaya bahasa baku semakin mendapat tempat, khususnya melalui penerbitan novel indie yang mempunyai kelompok pembaca tersendiri. Dari satu sudut, kebebasan berkarya sedemikian memang dapat menyemarakkan perkembangan sastera dan membuka ruang kepada kreativiti penulis.

Namun, kebebasan berkarya tidak seharusnya menyebabkan penguasaan bahasa Melayu yang betul dipandang ringan. Penguasaan tatabahasa tetap penting, khususnya dalam bidang pendidikan, kerana kemampuan menggunakan bahasa dengan tepat turut mempengaruhi pencapaian seseorang dalam peperiksaan, dari peringkat sekolah hingga ke universiti.

Justeru, perkembangan karya kreatif hendaklah bergerak seiring dengan usaha memperkukuh penguasaan bahasa. Populariti sesebuah karya tidak semestinya menjadi ukuran bahawa penggunaan bahasanya wajar dijadikan contoh. Penilaian dan bimbingan daripada mereka yang arif dalam bidang bahasa dan sastera tetap diperlukan supaya perkembangan kesusasteraan tidak terpisah daripada asas bahasa yang baik.

Mutakhir ini, ketika negara terus mengalami perubahan dalam landskap politik dan pentadbiran, kita berharap agar turut berlaku perubahan yang positif dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu. Setiap dasar dan tindakan yang berkaitan dengan bahasa sewajarnya mengambil kira pandangan pakar bahasa, sarjana, pendidik dan mereka yang telah lama berkecimpung dalam bidang tersebut.

Semoga segala harapan untuk memperkukuh bahasa Melayu dapat direalisasikan. Bahasa Melayu ialah wahana ilmu, bahasa kesusasteraan dan tonggak budaya bangsa. Oleh itu, bahasa ini hendaklah dipelihara, dimartabatkan dan dimanfaatkan dalam segenap bidang kehidupan.

Bahasa Melayu pasti terus berkembang dan semarak sekiranya kegiatan kesusasteraan sentiasa mendapat sokongan. Usaha memasyarakatkan sastera, menggalakkan penerbitan buku serta memupuk budaya membaca perlu diteruskan. Dengan membaca, kita bukan sahaja menambah ilmu, malah memperkaya kosa kata dan mengasah keupayaan berbahasa.

Akhirnya, bahasa yang baik bermula daripada pengguna yang menghargainya. Jika kita mahu bahasa Melayu terus menjadi bahasa ilmu, bahasa budaya dan bahasa yang bermartabat, kita sendiri perlu membacanya, menggunakannya dan menjaganya dengan penuh rasa bangga.

Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa yang kita tuturkan, tetapi cermin jati diri dan warisan bangsa yang perlu dipelihara sepanjang zaman.

 


Sunday, 30 August 2026

PANJI MERDEKA

 ASSALAMUALAIKUM

.

SALAM JELANG MERDEKA ...SANAH HELWAH BLOGGER NOHAS N ABQORI MOGA TIASA AFIAT SEJAHTERA MURAH REZEKI SUKSES DUNIA AKHIRAT DALAM LINDUNGAN RAHMAT ALLAH.

Alhamdulillah puisi PI disiarkan akhbar SUARA SARAWAK hari ini...terima kasih banyak kesudian editor amat terhutang budi tahniah sahabat penulis prolifik NORIZAM SAMIN, ROZELINE VITALIS dll turut berkongsi ruang karya.





PANJI MERDEKA

 

berlari dalam denai sejarah

membawa panji jalur gemilang

berkibar megah penentu arah

digenggam gagah waris menjulang

.

tarikh keramat berulang lagi

menjelang ogos hingga akhirnya

demi negara uja dahagi

sepenuh hati meraikannya

.

surat merdeka bertinta emas

sekian lama dijajah sukar

wira pejuang begelut cemas

gagah berjuang menyinggkir mungkar

.

jati semangat sendinya diri

sepantun rapat bermuafakat

menempuh seksa menukar ngeri

lara derita langkah disekat

.

tanah merdeka dipertahankan

buang belenggu merata bebas

kunci kuasa mangga rapatkan

silap caturnya bimbang terbabas


Thursday, 27 August 2026

CERITERA RUMPUN PADI

 ASSALAMUALAIKUM







PIC GOOGLE IMAGES (C)




CERITERA MENANAM PADI

.
Suatu ketika dahulu, aku pernah membantu Tokwan menanam padi. Mulanya, Tokwan akan membajak tanah bendang menggunakan pembajak yang ditarik oleh kerbau peliharaannya. Kemudian, tapak semaian benih disediakan. Setelah anak padi tumbuh setinggi sekaki, anak-anak padi itu akan dicabut, diikat dan kemudiannya ditanam di dalam bendang.
.
Jiran sekampung akan bergotong-royong secara berderau menanam anak padi dengan menggunakan kuku kambing. Tokwan pula akan menjaga kesuburan pokok padi dengan menabur baja. Rumput-rumpai yang mengganggu pertumbuhan padi akan dicabut dan diletakkan di atas batas.
.
Apabila padi mula menguning, tibalah pula musim mengerat padi. Setelah padi dikerat, Tokwan, bapaku dan anak-anaknya akan memukul padi di dalam tong. Penuhlah tong dengan padi. Semuanya dimasukkan ke dalam guni. Sebahagiannya dihantar ke kilang padi untuk dijual, manakala sebahagian lagi disimpan di dalam jelapang padi yang dibina seperti sebuah rumah kecil. Simpanan itu digunakan untuk keperluan keluarga sementara menunggu musim penanaman padi yang seterusnya.
.
Kesibukan ketika musim menuai benar-benar memeriahkan suasana. Jika hendak makan nasi daripada beras baharu, Tokwan akan menguroi padi terlebih dahulu untuk memisahkan padi hampa daripada padi bernas ketika angin bertiup lembut. Kemudian, padi itu dijemur di bawah panas terik matahari. Pada waktu petang, padi dikaut ke dalam bakul sebelum ditumbuk menggunakan lesung indik. Aku turut membantu dalam semua kerja yang memerlukan kudrat itu.
.
Itulah suasana yang pernah kulalui suatu masa dahulu. Kini, gambaran itu tiada lagi walaupun tanah bendang pusaka Tokwan dan Tok masih ada. Emak saudara dan bapa saudaraku juga telah tiada. Tinggallah sepupu-sepupu yang menguruskannya.
.
Cara menanam padi kini telah banyak berubah dan kelihatan semakin mudah. Bendang dibajak menggunakan traktor. Benih padi ditabur menggunakan dron, begitu juga dengan kerja membaja. Pengusaha hanya perlu menyelia dan memastikan tanaman tumbuh subur sehingga tiba musim menuai. Padi kemudiannya dituai menggunakan mesin penuai, terus dimasukkan ke dalam lori dan dihantar ke kilang. Hasil jualan padi pula dibayar kepada pengusaha di kilang.
.
Peredaran masa telah mengubah cara mengusahakan bendang. Namun, kenangan menanam padi bersama Tokwan, bergotong-royong dengan jiran sekampung dan membantu keluarga di bendang tetap menjadi kenangan indah yang tidak mungkin berulang. Itulah sebahagian daripada kehidupan masa lalu yang sarat dengan nilai kerjasama, ketekunan dan kasih sayang keluarga.

Sunday, 16 August 2026

FALSAFAH AIR

 ASSAL.AMUALAIKUM


SELAMAT BERHUJUNG MINGGU

grafik sifu TA terima kasih sifu


Alhamdulillah terima kasih banyak Tn Editor DEWAN SASTERA sudi siarkan karya PI puisi talibun seadanya berjudul FALSAFAH AIR dalam JENDELA DBP terharu sungguh sangat terhutang budi.

https://dewansastera.jendeladbp.my/2026/08/14/22426/?fbclid=IwY2xjawTuGKlwZG9mBWV4dG4DYWVtAjExAGJyaWQRMTF5OF



FALSAFAH AIR

.

Pair terhenyak meronda malam,

lugai siakap lada diramu,

berlegar-legar lesung carinya;

air beriak tanda tak dalam,

bagai bercakap tiada ilmu,

berdegar-degar kosong isinya.

.

Meletak pancang lada diretus,

tergedik-gedik galau beranduh,

jeda di pangkin rakan gelisah;

air dicencang tiada putus,

adik beradik walau bergaduh,

tiada mungkin akan berpisah.

.

Mujair legam waspada hiris,

terhenti-henti jila sahaja,

di para ara suar dikuit;

air digenggam tiada tiris,

berhati-hati kala belanja,

berkira-kira keluar duit.

.

Khair meranum markisa cari,

sambil tanamkan benihnya rokam,

redih bercermat gara berulang;

air diminum terasa duri,

nasi dimakan terasa sekam,

sedih teramat selera hilang.

.

Terasa  aneh ciak tersadai,

di sisi kandil terpaku nanar,

padah tatkala meniti sena;

air yang jernih sayak yang landai,

sepantun adil berlaku benar,

mudah segala pasti sempurna.

 



MyBloglist