ASSALAMUALAIKUM
Cerita rakyat
Olahan
Paridah Ishak
SEKUNTUM MAWAR
Suatu ketika dahulu dalam
sebuah taman terdapat pelbagai jenis tumbuhan bunga-bungaan. Taman itu indah
berseri suasana sekitarnya. Burung-burung, kumbang dan rama-rama sering singgah
di situ menikmati nektar bunga-bunga.
Di pohon
kelihatan anggerik melekapkan akarnya di dahan pohon yang tinggi. Bunganya
berpancawarna sedang berkembang sangat cantik. Anggerik menjuntaikan bunganya
ke bawah sehingga menyentuhi Kenanga.
Kenanga berkelopak kuning juga sedang mekar Aroma keharuman
Kenanga tersebar di persekitarannya. Kenanga tumbuh di sisi pohon tembusu di
mana Anggerik berada. Mereka berdua sering bercerita dan berbual mesra.
Daisi
dan Dahlia pula tumbuh di sisi kolam Teratai. Juga sering mencelah perbualan
Anggerik dan Kenanga. Persahabatan
antara Anggerik, Kenanga, Daisi, Dalia dan Teratai terjalin akrab.
Tidak jauh dari mereka, pohon mawar tumbuh merimbun.
Mawar juga sedang berkembang. Kelopaknya tersusun berwarna merah. Mawar sangat
berbangga dengan kecantikannya. Dia merasa
kecantikannya mengkagumkan semua di situ.
Perasaan itu menyebabkannya menjadi sombong. Dia
mengangap dirinya paling cantik antara flora di dalam taman itu. Mawar tidak mahu berkawan dengan tumbuh-tumbuhan di
dalam taman itu.
Bersebelahan dengan Mawar, kelihatan kaktus tumbuh
meninggi. Dedaunnya lebar dan berduri tajam. Kaktus masih belum berbunga.
“Kenapalah kau tumbuh di sebelahku, Kaktus? Rupa kau amat
hodoh. Kau tidak layak berada di sebelahku yang amat cantik ini.” Berkata Mawar
pada Kaktus dengan sombong. Dia jengkel dan
merasa tidak selesa Kaktus berada bersebelahannya.
“Kenapa pula aku tidak boleh berada di sisi kau?” Tanya
Kaktus.
“Sebab rupa kau tidak seperti aku! Kau sangat hodoh dan tidak berbunga pula. Tubuhmu bersalut
duri tajam. Tentu akan membahayakan aku jika duri kau menusukku kalau kau
berdekatan denganku.”
“Wah kau merasa dirimu terlalu cantikkah? Aku tengok
Anggerik, Kenanga, Dahlia, Daisi, Teratai juga cantik. Tapi mereka tidak
membanggakan kecantikan diri seperti kau. Mereka berkawan dengan setiap
tumbuhan yang berada di sisi mereka. Tapi kau tidak begitu. Banyak pula
kerenahnya.” Kaktus membidas sikap Mawar.
“Diamlah kau. Aku tidak mahu bersembang dengan kau lagi.
Kau tidak layak bersembang dengan aku yang cantik ini.” Mawar menegaskannya.
“ Jika kau tidak mahu bersembang denganku, tidak
mengapalah. Aku boleh bersembang dengan Anggerik dan Kenanga walau mereka agak
berjauhan dariku.” Kaktus membalasnya perlahan. Dia tidak mahu memanjangkankan pertengkarannya
dengan Mawar.
Kenanga memperhatikan saja gelagat Mawar itu.
“Apa yang dikatakan Mawar pada Kaktus? Aku tidak
mendengarnya kerana aku berada di atas pohon tinggi. Aku lihat wajahnya merah
menyala ketika dia berkata-kata dengan Kaktus.” Anggerik bertanya pada Kenanga.
“Kau bukan tidak tahu akan kesombongan Mawar sejak dari
dahulu lagi. Kecantikannya membuat dia tidak sedar diri.” Balas Kenanga.
“Kita patut nasihatkannya agar mengubah sikap buruknya
itu.” Anggerik memberi cadangan.
“Ya
aku setuju. Kita patut menegur kesilapannya. Perbuatannya setiap hari menghina
Kaktus itu sangat kurang sopan. Dia tidak boleh terus mengamalkan sikap buruk
begitu.” Balas Daisi. Teratai angguk,
turut menyetujui cadangan Anggerik.
“Kau
cubalah menasihatinya. Lagipun kedudukan kau berhampiran dengannya.” Saran
Dahlia. Kenanga berfikir seketika.
“Baiklah
Dahlia, aku akan cuba menasihati Mawar.” Kenanga memberi persetujuannya.
Pada
suatu pagi Kenanga merendahkan rantingnya agar lebih berdekatan dengan Mawar.
“Selamat pagi Mawar. Cantik sungguh kau Mawar.
Kecantikanmu menyerikan lagi suasana taman ini.”
“Selama ini kau tidak tahukah bahawa aku adalah yang
tercantik di antara semua flora di sini.” Jawab Mawar dengan angkuh. Kenanga walau terasa meluat dengan sikap Mawar yang
sombong itu namun dia masih bersabar.
“Aku hendak sampaikan amanah
daripada kawan-kawan kita, Anggerik, Daisi, Teratai, Dahlia agar menegur sikap
buruk kau suka menghina Kaktus. Perbuatan begitu amat tidak baik. Biarlah kita
hidup di taman ini dalam keadaan damai.
Kita patut saling membantu antara satu sama lain. Bukan pula menghina kekurangannya.” Wajah Mawar masam
mencuka setelah mendengar Kenanga berkata begitu padanya.
“Tidak perlulah kau bersusah-payah
hendak mengajar aku, Kenanga. Apa
salahnya aku menghina Kaktus? Sudah keadaan dirinya memang hodoh. Tentulah aku
akan mengatakannya hodoh. Kenyataannya begitu.” Mawar enggan menerima nasihat
Kenanga dengan alasannya.
Kenanga merasa kecewa kerana tidak
berjaya mengubah sikap Mawar. Tapi dia tetap mendoakan semoga suatu ketika
kelak Mawar akan berubah sikapnya,
Hari berganti hari. Hujan sudah lama
tidak turun. Langit terang tidak berawan. Cahaya matahari menyinari alam.
Panasnya berbahang. Tumbuhan yang berada jauh hendak mencapai sumber air mulai
kelihatan kelayuan.
Mawar juga tidak terkecuali. Kelopaknya layu tidak bermaya.
Wajahnya kehilangan seri. Dia amat perlukan air untuk mengekalkan kesegarannya.
Tapi dia tidak tahu di mana hendak mendapatkan air.
Dia melihat Kenanga, Anggerik,
Daisi, Dahlia masih segar kerana mereka semua tumbuh berhampiran kolam Teratai.
Perubahan cuaca tidak menjejaskan kesuburan dan kesegaran mereka. Lantaran
mereka mampu mendapatkan bekalan air untuk keperluan mereka. Tapi kedudukannya
agak jauh untuk meminta air daripada Teratai.
Kaktus juga tidak sepertinya. Masih
segar tegak berdiri.Di celah daunnya yang berduri, mekar bunga berwarna warni.
Terpesona pula Mawar memandang kecantikan Kaktus. Mawar terpinga-pinga melihat
burung pipit seakan sedang menyedut air dari tubuh Kaktus.
Dia mengagak tentu Kaktus menyimpan
banyak air. Tetapi mngenangkan kesilapannya, selalu menghina Kaktus, dia tidak
meneruskan hasratnya meminta air daripada Kaktus. Dia cuba bertahan. Namun
kelopaknya sudah ada yang gugur. Dia terpaksa juga meminta pertolongan Kaktus
untuk membantunya.
“Boleh kau tolong berikan aku
sedikit air, Kaktus? Jika aku tidak mendapat air tentu aku akan mati
kekeringan.” Mawar bertutur lembut.
“Boleh! Ambillah sebanyak mana kau perlukan.”
“Baik sungguh hati kau Kaktus. Kau
masih mahu menolong kesusahanku walau selama ini aku selalu menghina kau. Aku
sungguh menyesal akan perbuatanku terhadap kau selama ini. Maafkanlah semua
kesilapanku itu.”
“Ia aku maafkan semua kesilapan kau
terhadap aku. Dan aku mengharapkan semoga kita akan terus berkawan selamanya.”
“Wah baguslah kamu berdua sudah
berkawan baik. Bersyukur aku pada Pencipta kita kerana telah makbulkan doaku
dan sahabat kita semua di taman ini.” Ujar Kenanga mencelah.
“Terima kasih Kenanga sudi mendoakannya.
Aku telah melakukan kesilapan juga terhadap kau. Jadi kau maafkanlah aku. Lain
kali aku tidak akan menyombong diri lagi. Aku baru sedar setiap kita ada
kelebihannya. Seperti Kaktus aku menyangka dia tidak berbunga. Tapi bunganya
yang cantik hanya terbit pada musim
panas.” Ujar Mawar memuji-muji kecantikan bunga Kaktus.
“Baguslah kau sudah menyedari
kesilapan kau selama ini. Kawan-kawan kita semua tentu amat bergembira dengan
perubahan sikap kau. Dan semoga kita semua akan hidup aman sentosa dalam taman
ini tanpa sengketa.” Ujar Kenanga dengan rasa gembira.
Allahu Akbar!
ReplyDeleteKisah Sekuntum Mawar yang menginsafkan.
Tahniah Kak PI, hasil karya yang sarat mesej dan pengajaran.
tksh amie sudi baca n sokongannya
Deletewaduhhhh i'm touching kakkkk
ReplyDeleteBanyak spesis seperti bunga mawar di dunia ini.
ReplyDelete