Saturday 24 October 2015

RUMAH AGAM PONDOK RUMBIA......

Cerpen:
Rumah agam pondok rumbia.
Karya:
Paridah Ishak.
                                       

                                               RUMAH AGAM PONDOK RUMBIA..

BERADA di tengah masyarakat di kampung pedalaman jiwanya mungkin terasa tenang. Kebanyakan pemastautin di sini adalah daripada keturunan Jawa dan Banjar. Suaminya juga dilahirkan ibunya yang nasabnya Melayu tetapi ayahnya Jawa. Suaminya tidak mahir bertutur jawa tetapi dapat memahami lawan penuturnya dengan baik sekali. Sedangkan dia hanya melopong setiap kali mendengar mereka bertukar kata tatkala berkunjung ke teratak buruknya.

'Mereka ini mengata aku kot, Siapa tahu...' Barangkali hatinya memutuskan begitu untuk menggambarkan ketidaksenangan yang tertera di wajahnya yang suram keliru lantaran tidak faham suatu apapun tentang dialek bahasa jiran-jirannya itu. Cuma kalau jirannya yang Jawa bertemu jirannya yang Banjar mereka akan menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantara. Hanya beberapa patah kata bahasa Jawa yang difahaminya ; wedok/anak perempuan, lanang/anak lelaki, kembang/bunga. Tapi lebih banyak yang dia tidak tahu daripada tahu.

Daripada pemerhatiannya dia menaksirkan kehidupan mereka ini sangat sederhana sekali. Rumah-rumah mereka kebanyakannya bertiang kayu, berdinding papan atau rumbia dan beratap nipah yang disemat. Lebih kurang sama dengan teratak yang dihuninya kini bersama suaminya. Itupun ihsan daripada mbah saudara suaminya. Mbah Joko adik kepada mbah Jiman iaitu datuk kepada suaminya yang bermurah hati membenarkannya dan suaminya menumpang tinggal di tanahnya di mana terdirinya pondok buruk itu.

Keadaannya sangat daif sekali. Sekadar boleh dijadikan sebagai tempat berlindung daripada panas dan hujan. Namun kalau hujan lebat mencurah atapnya yang banyak lompong menyebabkan kebasahan di mana-mana. Ruang kecil itu tetap dikongsi bersama sambil mendoakan dan mengharapkan titis hujan segera berhenti. Amat merimaskannya keadaan sebegitu. Namun demi kasih dan sayang terhadap suaminya yang tercinta dia bersedia menerimanya tanpa berkeluh-kesah.

Kadangkala terbayang juga lintasan keselesaan hidup yang pernah dinikmati suatu ketika dulu. Tiada siapa yang tahu apa yang tersimpan kemas di sudut hati isteri muda itu lantaran tidak pernah zahir sebagai bicara bibir mongelnya. Namun taraf keselesaan hidup bersama keluarganya bak langit dengan bumi tidak pernah melunturkan niatnya untuk bertahan menghadapi rencamnya kehidupan di daerah sini.


Suaminya meneruskan visinya. Dia mengusahakan kebunnya dengan sangat rajin. Dan isterinya yang setia itu membantunya setiap hari. Sebenarnya suaminya tidak pernah memaksanya untuk berlenggeng tangan bermandi peluh di kebun.

Lagipun suaminya bimbang keadaan isterinya yang sedang hamil muda itu akan terganggu kesejahteraannya sekiranya berlasak di kebun membantunya dengan kerja-kerja tani yang agak berat juga. Dan menasihatkannya agar berihat saja di pondok demi menjaga kandungannya..

Kebosanannya sendirian di pondok menyebabkannya lebih selesa berada di kebun bersama suaminya. Ada juga kawannya buat berbeka menghibur hati sunyinya. Tidaklah hatinya tertunggu-tunggu kepulangan suaminya dari kebun setelah usai memasak hidangan tengah hari mereka di dapur kayu pondok itu.


Rona kehidupan kedua-duanya kini begitulah berlangsung  setelah berpindah dari bandaraya ke kampung halaman sendiri ekoran kegawatan ekonomi yang melanda menyebabkan kedua-duanya kehilangan pekerjaan. Dan pampasan yang diberikan syarikat yang menamatkan perkhidmatan mereka berkerja digunakan sebagai modal untuk memajukan tanah pusaka milik suaminya dengan bertanam kelapa sawit.

Harga komiditi itu berbanding getah agak setabil juga kini dan ramai petani yang bergantung hidup dengan produk tani mulai beralih mengushakan tanaman ini untuk menambah rezeki. Dia bersetuju  dengan apa saja keputusan suaminya itu dan sedia setia saja menyokongnya sambil membantu setakat kemampuannya.

Tidak lama dia berada di sini. Hanya lima bulan sahaja. Tatkala kandungannya sudah tiba saat untuk dilahirkan, suaminya menghantar isterinya pulang ke rumah mertuanya. Leganya rasa hatinya. Mungkin. Dia berada di tengah keluarganya kembali.

Dengan bantuan seorang kenalan baiknya yang juga seorang bidan kerajaan dia dibawa ke hospital di bandar berhampiran untuk melahirkan anak sulungnya. Dia terjerit-jerit melepaskan kesakitan yang terlalu dan tidak berdaya untuk menahannya tanpa rasa malu.

Ketika itu dirasakan suaminya terlalu mengasihinya. Suaminya itu menjaganya dengan sebaiknya.
Mungkin dia juga sangat teruja hendak bergelar bapa. Anak pertamanya itu sangat comel. Kulitnya putih melepak seputih kulitnya.

Suaranya  nyaring pabila menangis dan esakannya menjadi-jadi seolah-olah usianya sudah beberapa bulan. Sedangkan baru semalam dilahirkan. Berbahagia sungguh pasangan itu menerima anugerah Allah yang sangat istimewa itu di dalam kehidupan mereka.

Mereka mula merancang sesuatu demi sebuah keluarga yang baru saja terbina. Tanpa sebarang penghasilan bagaimana mereka hendak menyara kehidupan. Apalagi dengan kehadiran cahaya mata penyeri rumahtangga mereka. Masakan hendak mengharapkan hasil dari kebun sawit yang baru saja ditanam.

Setelah selesai tempohnya berpantang dijaga ibu ayahnya, suaminya kembali mengambilnya bersama anak kecilnya ke teratak buruk mereka di kampung Pulau Mekarsuli. Sebuah kampung yang asalnya adalah pulau yang akhirnya bercantum dengan tanah besar daratan menurut cerita orang dulu-dulu. Melihat kepada alam persekitarannya ternyata ada kebenarannya walaupun terletak jauh ke hulu tapi tanahnya seperti berselut laut dan banyak pokok berembang yang tumbuh. Kebiasaannya pokok berembang ini hanya tumbuh di pantai tepi laut.

Kampung yang terpencil di sebuah negeri yang termaju di negara kita yang tiada fasalitas kehidupan terpenting masakini iaitu bekalan air bersih dan api eleterik. Untuk mendapatkan minuman air dirawat penduduknya terpaksa ke kampung yang lebih jauh.  Mengisinya ke dalam tong besar lalu mengangkutnya dengan motor atau basikal pula. Air setong itu bolehlah disimpan selama seminggu sebelum habis digunakan mereka yang berkeluarga kecil. Dan berulanglah rutin yang sama dilakukan demi penghidupan dan kebergantungan kepada air tidak mampu dipersoalkan.

Hendak mandi, memasak dan lain-lain keperluan masing-masing akan menggunakan air telaga saja. Termasuk  dirinya dan suaminya juga tidak terkecuali. Dengan seorang anak kecil di sisinya bertambahlah kesukaran dirinya untuk menjaga anak itu yang sudah mulai merangkak dan dibimbangi anak itu terjelus di lantai kayu pinang yang dibelah-belah dan kini berbubuk pula. Kayu yang sudah berbubuk telah menyatakan kereputannya. Bila-bila masa saja akan patah jika ada sedikit beban yang tidak mampu ditampungnya.

“Agaknya sampai bila kita hendak berteduh di pondok mbah abang ni? Wahidah pun sudah mula merangkak. Tidak lama lagi akan bertateh belajar berjalan pula. Risaulah bang! Lantai pondok ni bukannya sama, berlubang sana sini…dibuatnya terperlus ke dalam lubang mesti sakit tercedera. Anak kita pun tak lama dah nak tambah jadi dua ni.”
“Bersabarlah Ani. Tidak lama lagi pasti kita akan berpindah dari pondok mbah ini ke rumah kita di tanah sendiri. Abang sudah rancang nak bina sebuah rumah yang lebih baik sekiranya tabungan kita dah mencukupi kelak.”

Ani tidak menambah lanjutan persoalan yang dikemukakan kepada suaminya lantaran dia sangat memahami akan situasi kini yang didepani mereka. Suaminya itu seorang yang sangat rajin berkerja untuk menambah rezeki agar yang secupak menjadi lebih segantang dengan berniaga pula.

Pepatah rezeki secupak tidak akan jadi segantang tidak mempengaruhi jiwanya. Bukankah rezeki Allah itu maha luas dan apa saja yang diizinkan-Nya akan berlaku. Tergantung kepada sebanyak mana usahanya yang dilakukan untuk menggapainya.

Suami kepada Ani itu membeli hasil pertanian jiran-jirannya di kampung Pulau Mekarsuli seperti pisang, kelapa, buah-buahan, sayur mayur kampung dan membawa dengan lori pikap kecilnya untuk dijual di pasar borong bandaraya KL. Setakat ini perniagaannya yang kecil saja itu mampu mengalirkan rezeki yang diharapkan untuk menampung kehidupannya yang sederhana di samping membantu jiran-jirannya juga menambah pendapatan dengan  hasil tani mereka yang dijual kepadanya. Walau pada mulanya memang agak sukar juga dirinya hendak mencelahi ruang perniagaan begitu justeru telah didominasi peniaga-peniaga yang lama bertapak dan berpengalaman. Berkat usahanya yang bersungguh-sungguh tanpa jemu berbudi bahasa menegur sapa mereka yang berkenaan tanpa malu akhirnya dia berjaya memperolehi apa yang dihajatinya. Tentulah dengan izin Allah jua.

Ani terjaga daripada tidurnya kala malam teramat sunyi. Suaminya kelihatan tertidur pulas. Amat jenera sekali. Barangkali teramat keletihan sekembali daripada menghantar barang-barang dagangannya kepada peraih-peraihnya di pasar borong bandaraya KL. Menoleh sekali lagi ke sisi kanan membuat jantungnya berdebar kencang. “Kemana anak-anak aku ni! Hish budak-budak ni!” segera di kejutkan suaminya dengan menggoyang-goyangkan badannya.

Kerisauan hatinya mengenangkan keselamatan anak-anak kecilnya membuatnya mulai menitiskan air mata. ‘Mudahan-mudahan Allah melindungi keselamatan kamu berdua daripada sebarang musibah anak-anakku.’  
Segera Ani bingkas mencari anak-anaknya itu dengan menjenguk setiap sudut ruang pondok kecil itu sambil melaung nama mereka.
“Wahidah! Hidayah di mana kamu nak?”
Terdengar rengekan halus seakan menyahut suara Ani. Suaminya yang telah juga bangun terkocoh-kocoh kerana keributan suasana gara-gara isterinya yang kerisauan Segera mencapai lampu picit yang sememangnya sedia ada untuk digunakan tika diperlukan menyuluh ke arah suara rengekan itu.

“Anak-anak kita ada di bawah pondok Ani. Agaknya terjatuh sebab terlalu buas bergolek sana sini dalam tidurnya hingga terpeleset ke dalam lubang.”
Segera suaminya menuruni pondok dan mencempung kedua-dua anak-anaknya itu membawa kedua-duanya naik ke pondok.

“Mujur antara pondok dan tanah tak tinggi sangat. Tidaklah mereka kenapa-napa.”
“Sakit ya nak?” Wahidah dan Hidayah yang terpinga-pinga langsung tidak menyedari apa yang telah berlaku kepada mereka hanya menyembamkan wajah ke dalam pelukan emaknya yang amat erat dirasakannya.
“Itulah bang, memang tak silap apa yang dikata mulut saya kan? Pondok ni dah tak berapa selamat lagi untuk diduduki.”
“Iyalah tu! Sebulan dua lagi siaplah rumah kita yang sedang didirikan tu. Bolehlah kita berpindah ke sana. Janganlah risau sangat. Bersabar sajalah dulu.”

Ani menaiki tangga pondoknya dengan menjinjing secekak pucuk paku dan pegaga yang banyak tumbuh melata dan subur secara alami dan dikutipnya di dalam kebun sawitnya yang bersempadan dengan tanah mbah Joko. Atok saudara kepada suaminya itu telah berpulang ke Rahmatullah pada tahun lepas. Sedih dan hiba hatinya mengenangkan kepergian insan yang telah banyak berjasa dalam kehidupannya dan keluarganya selama ini. Semoga Allah mencucuri rahmatnya ke atas roh arwah mbah Joko dan mereka yang telah mendahuluinya ke sisi-Nya. Begitu doanya selalu.

Pegaga hijau berdaun lebar kerana kesuburannya itu diletakan di dalam besen pelastik kecil. Tangannya mulai mericis pucuk paku pula. Batangnya yang keras dipotong buang. Yang diambil cuma daun dan batangnya yang lembut lagi muda. Mindanya merencana masakan kegemaran anak-anak dan suaminya.

Dia bercadang pucuk paku akan dimasak lemak bercampur udang kegemaran anak sulungnya Wahidah. Dan membuat kerabu pegaga kesukaan Hidayah anak keduanya itu. Sedangkan suaminya dan dirinya tidak pernah menentukan menu selera pilihan. Apa saja yang menjadi rezeki hidangan tengahari mereka akan dicicipi bersama dengan penuh kesyukuran.

“Abang dah balik dari masjid ya? Jomlah makan. Saya masakan makanan kesukaan kita dan anak-anak abang ni!”
‘Ani! Ani! Tidak pernah lupa dia dengan masakan anak-anak kesayangannya itu. Tapi ingatkah Wahidah dan Hidayah kepada ibu dan ayahnya ini setelah lama bermastautin di luar negara. Sweden negara yang  dan ketat undang-undang kekeluargaannya itu memang cantik tempat Wahidah dan keluarganya tinggal. Apalagi negara pelancongan Switzerland yang sejuk sentiasa itu yang menjadi negara mastautin Hidayah. Sangat mengujakan sekali keindahannya bagaikan syurga. Apapun takkan langsung tidak ingat hendak balik menjenguk ayah ibu mereka yang sudah tua ini walau kehidupan mereka sangat berbahagia dan selesa di negara orang.  

Segeralah kembali anak-anakku. Ibumu ini teramat merindukan kamu berdua. Hidupnya dipenuhi kesepian yang menyiksakan jiwanya. Hingga menyebabkannya memaksa ayah kamu mendirikan pondok di tengah kebun untuk mengingati kenangan kita bersama yang bahagia dan indah suatu ketika dulu. Rumah agam yang ayah dirikan untuk kita sekeluarga kini ditinggalkan. Terbiar sepi tanpa penghuni. Nampaknya ayah dan ibumu ini hanya akan menghabiskan sisa hidup ini di pondok ini menunggu kepulangan kamu anak-anaku.’

Monolog suami Ani terhenti. Mulai menghenyakan ponggongnya di atas tikar pandan yang terbentang untuk menikmati hidangan tengahari mereka seadanya tanpa bicara.

Tamat.



12 comments:

  1. tumben artikel rumah agam rumbia nya panjang belumlah setengah membacanya sudah tepar deh saya nyah

    ReplyDelete
    Replies
    1. SESEKALI TULIS PANJANG SIKIT AGAR PUAS CHILEMBU THEA MEMBACANYA...TQ.

      Delete
  2. di bookmark dulu belum selesai membaca.......

    ReplyDelete
  3. XMENGAPA NANTI SAMBUNG BACA LAGI AKH..TQ

    ReplyDelete
  4. Assalam. Tahniah kerana memenangi Joint Giveaway dianarashid and mamalink!

    Saya nak hantar hadiah. tolong bagi details: nama, alamat, dan no contact untuk tujuan penghantaran kepada:
    ida@mamalink.com.my

    terima kasih atas sokongan anda!

    ReplyDelete
    Replies
    1. wsalam ...terima kasih banyak ya ida honda..nanti kak beri.

      Delete
  5. wah panjang bangat belum sempt baca lgi ni kena bookmark jugak ni P satni bca lain nooo

    ReplyDelete
  6. xpa noor..kalau rajin bacalah...tq

    ReplyDelete
  7. Rumah besar mana sekalipun jika tak bahagia tak seronok juga. Moga anak-anak diperantauan tu ingatlah keluarga di kampung yang menanti kita...

    ReplyDelete
  8. wah zumal memahami maksud cerpen kak ya...tq...betul sgt tu.

    ReplyDelete
  9. pulanglah...di sana dunia sdg menantimu

    ReplyDelete
  10. ya pulanglah menikmati keindahan dunia sebenarnya...tq anies.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist