CERPEN:
OLEH
PARIDAH ISHAK.
PARIDAH ISHAK.
"Kenapa abang tu
kak?"
"Kenapa pulak? Apa
yang peliknya?"
Dia yang bertanya. Tetapi
pertanyaannya dipulangkan tanpa jawapannya. Keresahan melanda hati samaada
masih mahu mengulangi pertanyaan serupa meminta jawapan pasti.
"Suami Ita tidak
pernah bercerita kenapa abangnya begitu?" Suara kakak iparnya agak
mendatar seakan cuba memahami gelodak perasaan adik iparnya itu tanpa
menunjukan kejengkelan hati kerana diterjah dengan pertanyaan yang tidak
disenanginya.
"Kau nak tahu? Adik
Azriff itu bukan ada masalah apa..."
Dia pula yang keliru
dengan penjelasan yang ternyata kabur itu.
'Habis kalau tidak ada
masalah kenapa abang Azriff begitu. Langsung tidak tahu mengurus diri, sehingga
semua keperluannya ayah yang uruskan. Hendak mandi dimandikan, hendak makan
disuapkan, hinggakan pakaiannya pun ayah yang tolong sarungkan. Pelik.Nampak
abang Azriff tu cukup sifatnya macam orang lain. Maksudnya berkaki bertangan
dan tidak lumpuh tapi kenapa sikapnya pemalas begitu?'
Jawapan kepada pertanyaan
tentang itu mesti dicari juga. Wajah kakak iparnya direnunginya tajam.
"Apa nak buat Ita
dah nasib dia nak jadi begitu." Lemah sekali luahan rasanya.
'Dah salahkan nasib
pula.'
"Apa sebenarnya
ceritanya kak? Ceritakanlah pada saya. Saya bukan orang lain. Ahli keluarga ini
juga..."
"Betul nak tahu
ni?"
"Eh!
Betullah...ingat saya main-main pulak..."
Salima menarik nafas dan
melepaskannya perlahan-lahan. Seolahnya ia sedang melepaskan bebanan yang
termengkelan di salur pernafasannya.
'Mesti ceritanya sangat
menarik ni...'
"Adik Azriff tu
mungkin sudah hilang semangat hidupnya. Jadi dia langsung tidak kisah dengan
apa yang berlaku kepada dirinya..."
"Bagaimana pula
boleh hilang semangat hidupnya?" Dia melontarkan pertanyaan sangsinya.
"Kecewa yang amat
sangat kerana gagal dalam percintaannya..."
'Sebab kecewa dalam
bercinta hingga jadi sampai begini. Ingatkan cerita-cerita begini berlaku dalam
filem dan drama saja, Seperti kisah Laila dan Majnun. Rupanya realiti...'
Zunita melayani monolog sepinya. Dia tersenyum sedikit.
'Boleh percaya ke?'
Wajah kakak iparnya
berubah rona. Suram.
"Ita nampak macam
tak percaya dengan cerita kakak. Kalau macam tu tak payahlah kakak nak sambung
lagi..."
"Eh! Kakak ni itu
pula yang disangkanya. Sebenarnya saya pelik kenapa orang yang putus cinta
kecewanya begitu mendalam sekali sehingga merosakan diri sendiri?"
"Entahlah! Kakak sendiri
pun tak faham. Dulu Azriff seorang yang cergas, rajin berkerja. Tapi setelah
kekasihnya dikahwinkan keluarganya dengan orang lain, dia berubah
mendadak..."
Terhenti pula cerita
Salima di situ membuatkan Zunita kehampaan menunggu sambungannya.
"Azriff seolah
terlupa dengan apa yang perlu dilakukan demi hidupnya. Kerjanya setiap hari
hanya mengulangi rumah kekasihnya itu sehinggakan keluarga kekasihnya itu naik
jelak dan menyampah. Kata orang-orang keluarga kekasihnya itu telah membomohkan
Iman sehingga dia menjadi tidak bermaya dan tidak berupaya lagi hendak mengayuh
basikal ke rumah kekasihnya..."
Kali ini dia yang
terkedu. Betapa hebatnya penangan cinta itu sehingga menjadikan seorang wanita
menangis berhari-hari kerana kehilangannya lalu menjadi buta. Itu antara cerita
yang dia tahu.Dan kini dihadapannya seorang pemuda yang kacak lawa telah hilang
kewarasan mental dan semangat hidupnya kerana cinta. Kasihan sungguh. Hebatnya
penangan cinta itu.
Hatinya diserbu perasaan
bimbang pula. Mengapa? Mungkin memikirkan kondisi keluarga suaminya yang
merisaukan penerimaan akal sihatnya.
Kelihatan kepadanya
keadaan ayah mertuanya yang juga agak tidak stabil mentalnya. Sering bercakap
sendirian seolah ada teman di sisinya sambil mengutau-utaukan tangannya
menunjuk ke sana sini. Hatinya cuak. Risau dirinya memikirkan apakah lagi
masalah yang akan membelitinya di tengah keluarga ini.
Suatu ketika dulu sewaktu
dia kecil, dia sering mengelakan diri daripada bertembung dengan seorang gila
yang tinggal berhampiran masjid di kampungnya. Jikalau terjumpa juga dia akan
lari sekuat hati untuk menjauhinya.
Sekarang bagaimana? Ke
mana lagi dia hendak lari. Mertua dan abang iparnya yang berkeadaan begitu.
Tetapi dia tidak pernah lupa mengingatkan dirinya bahawa setiap sesuatu yang
berlaku adalah kehendak Allah jua. Ayah mertua dan abang iparnya tidak pernah
meminta dijadikan sebegitu. Astaghfirullah...
Namun ayah mertuanya itu
dalam keuzuran mentalnya masih mampu berkerja mencari rezeki buat menyara
kehidupannya dan anaknya yang bermasalah lebih teruk daripada dirinya
pula. Kasih sayang seorang ayah itu
masih menebal dalam jiwa ayah mertua Zunita. Dan Zunita mengaguminya amat.
“Ayah tu kenapa pula suka
bercakap seorang diri kak?”
“Banyak rahsia keluarga
ini yang tidak kau ketahui ya Ita?”
“Abang tidak pernah
bercerita apapun kak! Kecuali katanya dia sejak kecil tinggal bersama kakak. Hanya
cerita tentang kakak dan anak-anak kakak, suami kakak yang sering
diceritakannya. Yang lain-lain saya tak tahu.”
“Azmir tidak pernah
bercerita tentang emak, ayah dan abangnya?”
“Tak!”
‘Mudahnya orang sekarang
mengambil keputusan membina rumahtangga tanpa terlebih dahulu menyelidiki latar
belakang keluarga pasangan yang bakal dikahwini terlebih dahulu. Mungkin rasa
cinta yang mendalam terhadap pilihan masing-masing mengatasi apapun kenyataan
yang menimbulkan keraguan.’ Mungkin itu kesimpulan Salima. Cinta yang membawa
kepada perkahwinan atau sebaliknya pula.
Sedih pula dirinya
mengenangkan nasib abangnya Azrif yang tidak sebertuah diri adiknya Azmir yang beroleh kebahgian menyatakan cintanya
dengan pernikahan bersama pasangan yang dicintainya.
“Kenapa ayah tu begitu
kak?”
Tersedar Salima daripada
lamunannya yang panjang.
“Kata arwah mak, ayah
jadi begitu selepas melihat satu tragedi yang sangat ngeri sewaktu mengayuh
basikal melintasi hutan kecil pada suatu senja dalam perjalanan pulangnya ke
rumah.”
“Arwah mak sudah
meninggal? Maaf kak saya tak tahu pun…innalillah.”
Kesayuan hatinya menerima
kabar yang tidak dijangka itu tidak memudarkan hasratnya untuk mengetahui
tragedi misteri yang dialami ayah mertuanya.
“Ayah lihat apa kak?”
Salima tersenyum sekilas
sebelum melayani soalan keterujaan adik iparnya.
“Ayah melihat sekumpulan
orang menyembelih sesaorang.”
“Ish! Seramnya.”
.
“Sejak peristiwa tu ayah
menjadi murung dan sering bertindak kasar terhadap mak.
Emak sering dipukul dan disepak
terajang setiap kali datang bisikan-bisikan yang mengganggunya. Kami
anak-anaknya pun sentiasa menjadi sasaran ayah melepaskan kemarahannya.
Emak bersabar dengan
kerenah ayah yang sering menyakiti dirinya dan perasaannya. Namun emak semakin
murung dan kesihatannya pun merosot hari demi hari. Emak meninggal dunia tika
usia Azrif baru dua tahun. Kakaklah yang menjaganya daripada kecil,
menyekolahkannya sehingga tamat pula pengajiannya di universiti.”
“Hmm…begitu cerita
sebenarnya ya…”
Terkenang pula Zunita
kepada kisah seorang jirannya yang telah hilang sikap diri asalnya yang ceria
kepada suka menyepi, menyendiri dan tidak lagi mahu bertegur sapa dengan
sesiapa termasuk keluarganya lantaran menyaksikan pembunuhan dan darah yang
melimpah dilakukan sekumpulan perompak ke atas keluarga jirannya seorang Cina.
Jiran yang baik dan sering membantunya dan keluarganya itu sudah dianggap
seperti saudaranya sendiri. Dan peristiwa sadis itu amat mengesankan jiwanya.
Menjadikannya trauma dan sentiasa terbawa-bawa mengganggu minda kecilnya
“Abang Zin meminang kakak
walau dia tahu keadaan keluarga kakak yang diserabuti dengan masalah yang luar biasa
begini dan sukar untuk diterima orang lain dalam kehidupan mereka yang sentiasa
inginkan kesempurnaan dan kebahagian dalam segenap segi. Dan Azrif tidak pernah
renggang dari kakak walau di mana kakak berada.”
Terkedu Zunita merenung
bait-bait kata yang terluncur daripada bibir kakak iparnya.
Ternyata kepadanya Salima
ini seorang yang tabah dan bersemangat waja dalam menghadapi masalah kehidupan
seputarnya. ‘Apakah aku juga mampu begitu?’
Tertanya-tanya pula hati
kecilnya.
Harubiru hatinya
menggumpal pelbagai rona rasa yang tidak ketahuan rupanya bersalut kekesalan
yang mencengkam perasaannya.
‘Mampukah aku
memaafkannya kerana kesalahannya yang kurasa telah diperbuat kepadaku kerana
menyembunyikan rahsia keluarganya daripada pengetahuanku selama ini. Jikalau
kemaafan itu tidak dapatku berikan
bagaimana pula ku hendak mengongsi kehidupan bersama suamiku yang telah sah
dengan ijab kabulnya itu? Sekiranya suamiku itu menceritakan seluruh rahsia
kehidupannya kepadaku apakah aku akan
berpuas hati dan menerima seadanya apa saja seperti penerimaan abang Zin
terhadap kak Salima? Apakah aku akan berfikir beribu kali sebelum bersetuju
berkahwin dengannya? Kenapakah aku terlalu pesimis dalam soal ini?
Rupanya inilah takdir
cintaku pula. Cinta duniawi yang tidak hakiki. Walau tidak terlalu besar
pengorbanannya terrpaksa kupikul jua bebanannya.’
Zunita mengusap lembut
perutnya, rahimnya telah mengandungkan benih cintanya dan suami yang
dicintainya. Tidak diragui lagi akan mewarisi nasab keturunan suaminya sejak
lama. Hak cahaya matanya untuk lahir ke dunia tidak harus dipertikaikan. Malah
amat didambakan sebagai penyeri kehidupan, pengikat kasih sayang antaranya dan
suaminya.
Soal masa depan nasab
yang bakal dilahirkan kelak hanya Allah penentunya.
Tamat.
Kita hanya boleh berdoa agar semuanya baik belaka jika begitu keadaannya...
ReplyDeletedgn berdoa bersungguh-sungguh pasti Allah permudahkan walau dlm hidup ni sentiasa diuji-Nya.
DeleteSesuatu peristiwa kalau kita lemah semangat memang mudah jadi jiwa kacau
ReplyDeleteyela yanti kalau jiwa lemah mmg mudah diganggu...ujian Allah juga tu..
Deletetq iryanty.
Adoi...cerpen baru dari PI, tahniah..
ReplyDeletesesekali menulis karya kreatif seronok juga bunda..tq.
DeleteAllah jua penentu segala..Seronok baca cerpen .. lama tak baca cerpen2 ni...
ReplyDeletebenar tu atie...wah minat baca cerpen juga ya..kak saja2 upload di blog sbg simpanan ja..tq atie.
ReplyDeleteTakdir Allah swt penentu segalanya.. Terdapat orang menjadi tidak siuman hanya kerana tragedi yang menyebabkannya trauma..
ReplyDeletebetul tu fidah penyebab kpd gangguan mental xsiapa tahu
Deletetq aiza.
Moga kebahagiaan akan tiba.
ReplyDeleteinsyaAllah fidah..tq
ReplyDeleteSemoga Allah jua yg membantu dengan menurunkan kebahagiaan yg hakiki... aamiin.
ReplyDeletebenartu kebahgiaan milik Allah n banyak ujian yg perlu dilalui sebelum kbhgian menjadi milik hakiki.
ReplyDeletetq KK.
bukan ku pinta lahir ke dunia.. tp kita sbg manusia mestilah bersyukur
ReplyDeleteHMM..BEGITULAH WAN MULIANI..WALAU TERDEETAK DI HATI GITU SUDAH BERDOSA...ASTAGFIRULLAH.
ReplyDeleteTQ..
best cerpen nya kak..last baca cerpen zamn sek mnngah..fizah pun suka layan cerpen nim..hehee
ReplyDeletetiada siapa yg meminta utk dilahirkn ke dunia... tapi...
ReplyDelete