Cerpen:
Warisan moyangku.
Karya:
Paridah Ishak.
Warisan moyangku.
MOYANGKU dianugerahi
Allah berbilangan zuriatnya. Ramai juga. Ada lelaki dan ada perempuan penyeri
rumah tangganya bersama moyangku yang perempuan isteri kesayangannya. Moyangku
itu dalam salah silah keluargaku adalah ayah kepada nenekku dan nenekku pula
adalah ayah kepada atokku. Atok adalah ayah kepada ayahku. Begitulah jurai
keturunanku yang kalau dikira sekali denganku dan anak-anakku sudah enam
keturunan.
Istilah moyang, nenek,
atok itu hanya sebutan keluargaku sahaja. Langsung tiada mengena dengan istilah
salah silah jurai keturunan yang termaktub dalam buku DBP yang sentiasa
dirujuki itu. Dan kebanyakan mereka yang berada dikampungku tidak canggung dan
amat faham jika berkait penggunaan kata-kata itu.
Apabila sudah saling
memahami tiadalah masalah yang perlu dipolemikkan. Yang sebenarnya istilah yang
disebut untuk isteri kepada moyangku dan nenekku itu tidakku ketahuipun. Bagi memudahkannya
kusebut saja isteri kepada moyangku dan nenekku dengan gender diri mereka.
Tidak menjadi kesalahan yang akan didakwa pun.
Jarak masa moyangku dan
kini dikeberadaanku jauh juga. Jadi sukar juga untuk mengetahui fakta yang
tidak ditulis sebagai manuskrip periwayatan seperti nukilan Tun Seri Lanang
yang meriwayat tentang sejarah Melayu. Kisah kesultanan Melayu Melaka daripada
penerokaan Parameswara menuju kegemilangan pemerintahan Sultan Mansur Syah
hingga kepada runtuhnya kesultanan Melaka angkara serangan Feringgi di era
kesultanannya yang terakhir iaitu sultan Mahmud pada tahun 1511.
Fakta-fakta
begini adalah sahih dan dipersetujui. Sedang fakta tentang moyangku itu hanyaku
perolehi secara lisan yang menjadi sejarah warisan keluargaku semata. Yang
diperturunkan ceritanya daripada generasi lama kepada generasi baru.
Menurut ayahku,
moyangku adalah orang terkaya dikampungku. Tanahnya berelong-relong
keluasannya. Rumahnya tersergam indah dan pengurusan harta hasil kerja kerasnya
yang bersungguh-sungguh membawa nikmat kepada warga kampungnya yang turut
menumpang mencari rezeki dengan kerja-kerja tani di tanahnya. Ada yang
menyingsing lengan menoreh getah di kebun-kebun getah moyangku. Ada pula yang
sanggup dibasahi peluh keringat bermain lumpur dan lintah sambil menanam padi
daripada permulaan kerja penyemaian benihnya hingga penuaian hasilnya di sawah
bendang moyangku.
Setiapkali selesai
musim menuai padi moyangku akan mengagihkan zakat tanamannya kepada asnaf yang
ditentukan. Begitu juga zakat pendapatannya daripada lain-lain punca. Tetapi
zakatnya lebih banyak diberikan kepada masyarakat kampungnya yang sangat
dikenali siapa dan kesusahannya pada tahap mana. Bertambah-tambah lagi harta
moyangku itu kerana sikap tidak lokek mengeluarkan zakat itu bukan akan
menyusutkan harta pengeluar zakat itu malah menyuburkannya lagi. Firman Allah,
“Dirikanlah solah dan keluarkanlah zakat,” menunjukan betapa pentingnya ibadah
itu dilakukan bagi umat Islam. Ganjarannya tentu berpahala besar dan diberkahi
Allah kehidupan di dunia dan di akhirat. Janji Allah yang tidak mungkir. Yang
mana satukah nikmat Allah yang akan kamu dustakan?
Demi hari berlalu
moyangku semakin uzur kerana kelelahannya berkerja keras mengumpul harta
daripada usia muda hingga lanjut. Tanda-tanda baginya ke alam baqa meninggalkan
alam fana yang sementara sudah dirasakannya. Mulalah moyangku berkira-kira
hendak mencari pengganti pengurusan baru
kepada timbunan harta yang telah dicarinya dengan amat susah payah itu.
Pilihannya tentulah lebih menjurus kepada anak sulungnya kerana daripada sudut
pemerhatian mata kasarnya anaknya yang ini sangat wara’ dan sentiasa tidak
pernah meninggalkan tuntutan agama dan
rukunnya yang lima itu. Isteri kepada anak pertamanya ini juga alim dan sopan
santun orangnya. Bijak membawa dirinya dalam lingkungan keluarga mertuanya.
Wajahnya yang manis dan mahkotanya yang sentiasa dilindungi kerudung labuh itu
menyejukan hati yang memandangnya.
Kelebihan kewibawaan
anak sulung dan pasangannya tidak pula menyebabkan moyangku tidak menilai
calon-calon pengganti daripada kalangan anak-anaknya yang lain. Kesemuannya
disenarai pendek termasuk anak-anak perempuannya. Pada hemat moyangku anak
perempuan keduanya walau sangat sederhana keterampilannya namun seorang yang
sangat penyabar menangani situasi dan amat bijak mengurusi kewangan milik
keluarga dengan telus lagi jujur. Apa saja pengeluaran wang untuk kegunaan ahli
keluaarganya yang menjadi ahli kepada keluarga yang menyumbang kepada kekayaan
keluarganya perlu melaluinya permohonan itu.
Bendahari kewangan
keluarga yang sangat penting dalam proses keluar masuk wang itu tidak pernah
diremehkan moyangku walau ianya seorang perempuan yang kejadian-Nya bersifat
lemah dan berasal dari rusuk kiri nabi Adam alaihissalam. Bagi moyangku wanita
memang jelas keupayaan mentadbir urusan penting seumpama Ratu Balqish yang
memakmurkan Saba’ yang dicitrakan burung hud hud kepada baginda nabi Sulaiman
alaihissalam.
Dalam keadaan
moyangku yang masih menghalusi
keputusannya dengan lebih teliti, kehendak Allah mendahului perancanganya.
Moyangku dipanggil mengadap Ilahi dalam sujudnya yang lama di dinihari yang
dingin. Kesedihan menyelubungi suasana sepinya perpisahan. Namun kehendak Allah
demikianlah. Walau tangis walau duka tidak akan mengubah apa-apa.
Pengurusan harta
kekayaan moyangku segera diambil alih anak sulungnya demi melancarkan
pengurusan organisasi keluarga dengan janji meneruskan setiap usaha yang telah
dirangka moyangku. Kesemuanya telah tercatat kemas dalam surat wasiat moyangku.
Pewarisan hartanya diagihkan kepada yang berhak. Moyangku tidak lupa mewakafkan
beberapa keping tanahnya yang ratusan relong itu kepada badan-badan kebajikan
yang memerlukannya. Walau pemilikan haknya kepada moyangku tidak berubah tetapi
ahli keluarganya tidak patut menuntutnya.
Moyangku mengambil
sedikit daripada hartanya yang bertimbun
banyak untuk dikekalkan kegunaannya yang abadi di akhirat sana secara
mewakafkannya. Itulah hartanya yang kekal menjadi miliknya yang sebenarnya yang
dibawa mengadap-Nya Yang Esa. Moyangku sangat beringat orangnya. Barangkali
setelah meninggalkan dunia waris-warisnya perlahan-lahan melupakannya tanpa
iringan doa dan amal soleh yang dikirim kepadanya. Dan tiadalah lagi pahala
yang tersalur kepadanya untuk membantunya di alam kubur.
Sebagaimana menurut
cerita ayahku lagi tanpa diduga berubah drastik gaya hidup anak sulung moyangku
setelah berada di atas timbunan harta peninggalan moyangku yang menyilaukan
matanya. Seronok sungguh anak sulung moyangku itu berbelanja sesuka hatinya.
Rugi kufur nikmat dengan hanya mengabaikan harta yang banyak berada di
ribaannya. Mungkin itu yang bermain di fikirannya. Mesti dibelanjakan
sebaik-baiknya rezeki yang dilimpahi Allah itu.
Kalau dulu moyangku ke luar negara untuk mengerjakan wajib haji
dan umrah hanya beberapa kali sepanjang hidupnya kini amalan begitu bukan
pilihannya. Seluruh Asia tenggara dari Indonesia, India, Thailand, Myanmar,
Kemboja, Laos, Vietnam telah dilawati. Kalau hendak ke Singapura hanya lintasi
tambak Johor saja dan boleh dilakukan setiap hari jika dia mahu kerana dekatnya
negara pulau itu dengan kampungnya.
Seronok tidak terkata
dirinya berliburan sambil berhiburan bersama kawan-kawan dan kaum kerabatnya
yang sefikiran dengannya. Tidak hairan untuk menambun hutang dengan membeli
kenderaan mewah yang berbilangan berjenama terkenal bagi kegunaannya
menayangkan kemewahan harta yang diwariskan kepadanya
Isterinya yang
bertudung litup itu juga semakin rajin ke Paris memilih fabrik berkualitii untuk
dijadikan busana yang boleh dipasangkan dengan tudung yang dibeli di Dubai yang
sering menganjurkan fiesta peragaan fesyen sedunia selalu.
Bersungguh hati anak
sulung moyangku itu dan isterinya berbelanja dan bermewah-mewah dengan harta
peninggalan moyangku. Kegembiraannya turut dikongsi bersama suku-sakatnya yang
turut bertandak mengikut rentak lagunya sehingga adik beradiknya yang lain
seakan menyetujuinya juga. Sebab anak sulung moyangku bijak mengambil hati
adik-adik beradiknya yang lain dengan turut mennghamburkan sedikit harta amanah
warisan moyangku itu kepada mereka juga.
Kecuali seorang saja
anak moyangku yang gelisah dan jengkel hatinya kerana wang amanah moyangku yang
diwasiatkan untuk kegunaan semua waris-warisnya dan demi kebajikan kampungnya
yang kecil itu semakin menyusut kira-kiranya. Wang keluarnya besar sekali
jumlahnya mengatasi jumlah wang masuk yang amat sedikit. Jikalau terlalu kurang
wang di dalam akaun amanah warisan keluarga bagaimana mahu membantu anak-anak
waris yang ingin menyambung pelajaran, membantu waris-waris yang miskin dan
menunaikan hajat waris-waris yang ingin beribadat haji seperti yang sering
dilakukan moyangku. Kalut sekali bendahari harta amanah keluarga itu
memikirkannya.
Bendahari amanah harta
warisan moyangku walau berbuih mulutnya menyatakan saranan kepada abang
sulungnya agar tidak berbelanja terlalu berlebihan tidak dipedulikan dan
diambil hirau. Gaya hidup pemegang amanah harta warisan moyangku yang suka
bermewah-mewah dalam berbelanja masih berterusan. Pepatah yang mengatakan
“gunung yang tinggi kalau setiap hari digali lagikan runtuh,” bertepatan sekali
jika menjurus kepada pengurusan harta yang tidak cekap sedang mendekati
kealpaan sikap anak sulung moyangku itu.
Persediaan menghadapi
muramnya suasana kehidupan lantaran tiba-tiba jatuh miskin langsung tidak ada.
Seperti yang dilakukan nabi Yusuf alaihissalam dalam menjaga perbendaharaan negara
Mesir sewaktu baginda sebagai bendaharinya. Setiap tujuh tahun akan berlaku
kemuraman ekonomi setelah tujuh tahun berada dalam suasana mewah yang amat
menyelesakan. Jadi sebelum terperangkap dalam kemelesetan kewangan yang amat
menyulitkan itu haruslah membuat perancangan persediaannya.
Harta berupa wang,
emas, perak harus disimpan dan digunakan saat terdesak memerlukan. Bukannya
dengan berbelanja sesuka hati seolahnya tiada hari esok yang menjelang lagi.
Pendapat yang
disuarakan anak kedua moyoangku selaku bendahari harta warisan amanah moyangku
yang diremehkan saja itu kini telah menunjukkan kesannya pabila tanah-tanah
tani yang subur dan menyumbang kepada penghasilan harta tidak seperti dulu
lagi. Sawah padi yang berelong-relong
tinggalan moyangku tidak boleh lagi dituai hasilnya kerana serangan penyakit
bena perang. Penghasilan daripada kebun getah tinggalan moyangku tidak boleh
diandalkan juga kerana harganya yang amat rendah. Harga komiditi dunia yang
tertakluk kepadaa harga pasaran semasa menurut permintaan pembelinya kini
sentiasa menurun hari demi hari.
Akhirnya apa yang
dibimbangi anak kedua moyangku ternyata. Satu persatu tanah yang
berelong-relong warisan moyangku bertukar tangan kepada pembelinya demi
melunaskan hutang sedia ada dan hutang tertunggak yang dibuat anak sulung
moyangku walau ditegahi adiknya iaitu anak kedua moyangku. Tiadalah lagi harta
amanah warisan moyangku yang boleh diuruskan kira-kiranya oleh bendaharinya.
Dengan sedih hatinya menutup buku-buku kira-kira yang selama ini tersusun kemas
dalam ofis kerjanya.
Namun harta moyangku
yang diwakafkan masih kekal sebagai tanda kepada waris-warisnya bahawa moyang
mereka seorang yang kaya raya. Kaya harta dan kaya hati nurani yang murni
juga. Walau harta-harta wakaf itu telah
cuba untuk diambil kembali anak moyangku yang sulung itu tapi tidak berjaya
kerana moyangku telah mengemaskinikan dengan surat guaman.
“Masjid ini di atas
tanah moyangmu!” Ayahku menunjukkan kepadaku sewaktu kami berdua mengelitari
kampungku.
“Sekolah tahfiz ini
juga atas tanah wakaf moyangmu!” kelihatan kepadaku sebuah sekolah tahfiz yang
ramai sekali pelajarnya yang mundar mandir dalam perkarangan sekolah itu dengan
tujuan yang tidakku ketahui. Yang pastinya mereka menambah di dada ilmu akhirat
bersekali ilmu di dunia. Dan aku tidak pernah lupa kata-kata seorang ustaz yang
memberi kuliah dalam sesi kelas agama dalam syarikatku bahawa seorang yang
mengkilik akhirat, dunia akan bersujud di kakinya. Subhanallah!
“Hospital yang di
kelilingi sawah bendang ini juga atas tanah moyangmu! Besar hospitalnya kan!
Memberi khidmat perubatan kepada yang sangat memerlukan kepada penduduk kampung
dan yang berdekatan daerah sini. Ada masanya kita sihat walafiat dan ada
ketikanya kita perlukan ubat untuk menawar bisa sakit kita. Hidup kita ini
memang tidak akan lepas dengan ujian-Nya. Kesabaran menghadapinya amat penting.”
Ayahku seakan berceramah pula. Aku yang mendengarnya tidak mampu membalas
apa-apa.
Tambah ayahku lagi,
“Setiap harta yang kita
ada berupa tanah wajar kita kekalkan keberadaannya demi anak cucu kita kemudian
hari kelak. Kalau sudah kehilangannya untuk mendapatkannya balik memang tiada
harapan lagi. Jangan sesekali kamu berniat menjual tanah warisan walau apa saja
masalahnya. Ini kamu ada masalah bisnis sedikit sudah nak minta ayah jualkan
tanah warisan untuk membantu menyelesaikan masalah kamu.”
Tambah ayahku lagi.
Tapi kalau ayahku yang merupakan ciut kepada bendahari harta amanah warisan
keluarga moyangku itu siapalah lagi yang dapat membantuku yang diambang
kemuflisan kerana kegawatan ekonomi kini? Hanya kepada ayahku boleh
kugantungkan harapan kerana beliau mempunyai beberapa keping tanah warisan
nenekku yang boleh kusandarkan di bank untuk permohonan pinjaman.
“Agaknya kamupun
mewarisi sikap anak sulung moyangmu yang berbelanja tak ingat dunia bila sudah
berharta dan kaya raya kot. Sudahnya dibelit hutang pula. Kesilapan orang
dulu-dulu jangan diulangi. Jadikan sempadan dan tauladan. Kamu kan generasi
terkini yang bijak mengatur pelbagai strategi perniagaan. Lakukanlah.”
Ayahku berbahasa sinis.
Tamat.
hutang yg menakutkan kannns., huhu2
ReplyDeletehmm...dibelit hutang xtidur malam...tq wak tiga lalat.
ReplyDeletekalau nak berhutang kena fikir dalam2..bimbang hutang keliling pinggang..nauzubillah
ReplyDeleteFIKIR DAHULU SEBELUM NK BERHUTANG KAN YAN...TQ.
DeleteHutang dgn manusia mungkin boleh dibyr...hutangibadah?
ReplyDeleteApa2 pun hutang WAJIB DIBAYAR!
HMM..WAJIB DIBAYAR HUTANG DGN SESIAPAPUN...TQ ANIES.
DeleteKalau boleh jauhkan diri dari berhutang supaya hidup sentiasa tenang.
ReplyDeleteTANPA HUTANG PASTI TENANG...TQ ZAI.
DeleteAsalam PI..terima kasih ..ada unsur peringatan kepada umum dalam cerita itu...moga kita semua dijauhkan dari lupa bayar hutang ya...inshaAllah
ReplyDeleteWSALAM CIKGU ETUZA..TERIMA KASIH SUDI BACA N FHM MAKSUDNYA...
Deletehutang dahsyat.
ReplyDeleteMEMENINGKAN TU...TQ MKL.
DeleteJika nenek moyang
ReplyDeleteTerbiasa hidup berhutang
Buat anak cucu tak tenang
Tapi akan bahagia bila tak warisi sifat hutang...
Jika nenek moyang
ReplyDeleteTerbiasa hidup berhutang
Buat anak cucu tak tenang
Tapi akan bahagia bila tak warisi sifat hutang...
HMM BENAR SEKALI TU ANISAYU...TQ.
Deletebahayanya kalau berbelanja tak ingat dunia.. jangan biarkan hutang keliling pinggang..
ReplyDeleteYA BELANJA BIAR PATUT PADAN JA KAN AIZA...TQ
DeleteMoga menjadi peringatan
ReplyDeleteYang baik jadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan
INSYA ALLAH ITU YG SEPATUTNYA...TQ FIDAH.
ReplyDeletePeringatan yg baik utk kita semua. T kasih atas perkongsian peringatan ini kak PI
ReplyDeleteTQ KHIR KHALID RAJIN SINGGAH N BACA...PERINGATAN UTK DIRI SENDIRI SEBENARNYA....
ReplyDeleteTq PI atas nasihat, insyaAllah wawa beringat..")
ReplyDeleteheh..heh..cerpen jer wawa xniat nk nasihat sesiapa..tq.
ReplyDelete