Cerpen:
Perjalananku.
Karya:
Paridah Ishak.
PERJALANANKU.
BAGAIMANA hendakku mula perjalananku berwisata ke benua Eropah yang
sudahku rancang sebaiknya untuk
menghabiskan percutianku di musim bunga di sana? Apa pula masalah yang
mendepaniku sehingga aku merasa kesulitannya memberatiku? Bukan tidak pernah
pun ke sana tapi memang aku minat mengulanginya terutama pada musim bunga-bunga
mengorak kelopak dan menebarkan keharumannya di setiap ruang. Sangat indah dan
mendamaikan suasana alamnya kurasakan.
Asyik sekali melewati jalan beraspal di
desa-desa tradisi Inggeris yang indah damai dengan hati digayuti kekaguman
melihat epal merah hijau, peach yang hijau kuning, anggur yang merah ungu hijau
juga serbaneka buah-buahan yang tidakku kenali namanya. Dan ingin kunikmati
saat itu lagi setelah merasainya sekian tahun sehingga tamat pengajianku di
university Manchester.
Pulang ke tanah air dengan ijazah
pengurusan perniagaan tentulah aku akan berkerja dalam bidang yangku pelajari
dengan sangat gigih itu. Tidak susahpun aku hendak menjawat jawatan yang
penting bersangkutan bidang tersebut kerana jawatan GM/general manager memang
telah tersedia untukku. Buat sementara waktu sepanjang aku meneruskan
pengajianku di Manchester, mamaku yang
memangku jawatan yang Allahyarham dedi telah wasiatkannya kepadaku. Perlulah aku
mengisi ilmu di dadaku dengan perkara yang menyangkut bisnis dalam segenap
aspek sebelum aku digalaskan dengan tanggung jawab menguruskan syarikat dedi
yang agak terkenal di antara syarikat-syarikat terkenal di Malaysia dalam
bidang alatan perubatan.
Mama yang menggalakan dedi untuk
menceburi bidang ini setelah perniagaannya dalam bisnis impot ekspot kenderaan
pelbagai jenis mengalami kerugian kerana persaingan sengit pemain-pemainnya
yang aktif dalam bidang ini. Prospek perbekalan alatan perubatan kepada pihak
hospital dan lain-lain pihak yang memerlukannya amat baik menurut mama kerana
tidak ramai anak bangsa yang menceburinya.
Mamaku memang tahu soal itu kerana
mamaku bergelut dalam bidangnya sebagai doktor di sebuah hospital kerajaan.
Keperluan perbekalan pada alatan perubatan memang kritikal dan hanya bergantung
kepada syarikat-syarikat dari luar negara semata. Apa salahnya sekiranya anak
bangsa turut menyumbang sedikit kepada keperluan semasa dengan turut bergiat
sama. Beberapa kilang dedi dirikan untuk memproduksi barang dagangannya yang
pada mulanya hanya memenuhi keperluan alatan perubatan tempatan tapi
menjangkaui pasarannya hingga ke negara luar juga justeru ada permintaannya.
Perniagaan dedi berjalan lancar dan
kukuh stabil sehingga dedi meninggal dunia dalam kemalangan udara tika
menghadiri majlis perkahwinan anak salah seorang sahabat perniagaannya. Cessna
yang dinaiki dedi bersama mamaku terhempas di dalam belantara Bentong. Mamaku
masih panjang umurnya dan ditemui selamat dalam usaha pencarian yang dilancarkan
anggota keselamatan negara justeru tercampak keluar daripda Cessna sebelum
Cessna itu meletup dan mengorbankan dediku dan juruterbangnya. Tragedi sadis
yang menimpa dedi membuatku meratap kesedihan. Apalagi mamaku.
Bertahun-tahun juga mamaku
mengalami tekanan jiwa, kemurungan lantaran kehilangan suami kecintaanya iaitu
dediku. Mamaku seorang pakar psychiatris tapi jiwanya yang lemah ekoran insiden
yang merentap jantungnya itu membuatnya jatuh terjelepuk. Semakin dia memahami kondisi mereka yang
mengalami masalah tekanan jiwa yang mampu dikawalnya hanya dengan bantuan
ubat-ubatan. Ubat yang mampu melemahkan emosi umpama harimau yang disuntik
pelali.
Seorang pesakit mamaku juga hilang
kewarasannya kerana tertekan dengan tragedi kehilangan suaminya dalam insiden
yang seakan sama dialami mamaku. Dan mamaku prihatin sekali dengannya lantaran
diabaikan keluarganya kerana sikapnya yang suka mengamuk dan memberontak
tiba-tiba meledak bagai bom jangka itu. Setelah diberi rawatan emosinya kembali
normal dan dihentikan rawatannya dengan dibekali pil aneka jenis yang perlu
diambil. Tapi wanita sebaya mama, pesakit jiwa mamaku itu dikembalikan semula
ke hospital oleh keluarganya setelah beberapa hari saja berada di rumahnya. Begitulah
perulangan kisah itu berlaku sehingga mamaku jatuh kasihan dan simpati amat
terhadap pesakitnya itu.
Mamaku mengambil keputusan untuk
membawa pulang aunti Syarmila ke rumah kami dengan niatnya tentulah hendak
memberi rawatan terbaik yang mampu diberikan seorang doktor kepada pesakitnya
yang satu itu. Menurut pemahamanku begitulah. Aunti Syarmila boleh dipulihkan
kemurungan jiwa yang dialaminya dengan ubatan dan perhatian mereka yang
prihatin kepada dirinya kata mamaku kepadaku. Janganlah biarkan dirinya diganggu
dengan gangguan emosi yang bercelaru dalam delusi sentiasa di dunia fatamorgana
yang luas tiada penghujungnya. Walau
hatinya sedih dan menangis tapi sentiasa berketawa tidak tentu masa.
Berhalusinasi sambil berdialog sendirian seolah berteman dan alogia adalah
petanda psikosis skizofrenia.
Skizofrenia yang dinadapi auntie
Syarmila boleh diubati dengan sentiasa mengambil pil Ahalorbedol dan
Akhlorbernazzin di samping cara pemakanannya yang nutrisinya adalah omega 3 dan
omega 6.
Mamaku merasa dialah yang
selayaknya memberi pertolongan kepada pesakit jiwa itu lantaran dia sangat
memahami kondisi pesakitnya. Aku ikut saja apa keputusan mamaku kerana mamaku
berhak membuat keputusan apapun yang terbaik difikirkannya. Dan aku yakin aunti
Syarmila tidak akan menimbul masalah kepadaku kerana di rumah kami ada ramai
pembantu. Di dapur ada dua pembantu yang
kerjanya cuma memasak dan menguruskan tentang dapur saja. Mak cik Inah dan kak
Sari memang pandai memasak menu kegemaran mamaku dan keluargaku. Kak Sari asal
Indonesia dan mak cik Inah pula adalah seorang saudara jauh dengan Allahyarham
ayahku. Kedua-duanya amat kusenangi dan mereka juga pastinya menyenangiku.
Pengemas rumah keluargaku dua orang
juga. Kedua-duanya orang Filipina. Kerja mereka tentulah mengemas saja di
segenap ceruk dan penjuru untuk memastikan kekemasannya agar majikan mereka
iaitu keluarga kami berpuas hati. Elli dan Eva memang pakar dengan kerja yang
diberi kepada mereka.
Penjaga dan pengurus ruang halaman
rumah mamaku hanya Pak Leman saja. Seorang yang pendiam dan suka menyendiri.
Hanya leka melakukan pembersihan laman rumah dan menjaga pohon-pohon dan
bunga-bunga yang kesemuanya adalah tanamannya.
Pemandu pula hanya seorang saja.
Tugas abang Kadir hanya menghantar mamaku ke hospital dan kemana saja mamaku
hendak berpergian. Sedang aku memandu sendiri sahaja ke pejabat walau mama menyarankan kepadaku
untuk menggunakan khidmat pemandu berbayar bagi memudahkan semua urusanku.
Tidaklah aku perlu terkocoh-kocoh setiap pagi bergegas menghidupkan enjin
terlebih dahulu untuk memanaskannya kemudian baru mempersiapkan diri seadanya
sebelum bersarapan dan bertolak ke pejabat.
Lebih mudah kalau ada pemandu sendiri
dan aku cuma perlu masuk kereta dan menghenyak ponggong di sit belakang dan
tangan menyelak lembaran akhbar The Edge atau Financial Times. Kejora mata
menyorot berita urus niaga ekonomi sedunia dengan amat selesa tanpa perluku
perhatikan jem di jalan raya yang amat sibuk setiap pagi pada waktu berkerja.
Yang penting sampai dengan selamat dan tepat masuk pejabat mengikut masa
berkerja yang ditentukan.
Tapi itu kisah kebanyakan karyawan
pejabat yang punyai kedudukan tinggi dalam organisasi mereka yang sentiasa menarik perhatian umum namun
tiada kena mengena denganku. Kalau boleh aku hanya hendak bermotosikal saja ke
pejabat sesuai dengan naluri usia mudaku tapi mamaku tidak sesekali membenarkan
puterinya nan seorang ini melakukannya. Bimbangkan aku kepanasan dan kehujanan
atau alami kemalangan dihimpit kenderaan
besar yang menguasai jalanraya tanpa mempedulikan keselematan pemandu-pemandu
kenderaan kecil samada motor atau kereta kata mamaku.
Sebelum memulakan perjalanan mamaku mengajarku doa-doa
perjalanan yang perluku hafal agar perjalananku dilindungi Allah daripada
sebarang mara bahaya sehingga selamat sampai ke destinasi yang ditujui. Dan
perjalananku yang lebih jauh ke benua Eropah akan ku atur tidak lama lagi.
Tapi!
Ada rasa termengkelan dan
kemusykilan yang menyesak rongga rentetan frasa pendek itu. Auntie Syarmila
menimbulkan gara-gara pula. Aku pula yang menjadi tidak keruan dibuatnya.
Sedang mamaku yang sepatutnya berada di sisiku untuk membantu menyeselesaikan
permasalahan auntie Syarmila tidak ada kerana sedang mengikuti kursus mengenai
kerjaya yang sedang dipraktikkannya di sebuah pusat perubatan yang
terkenal di India.
Auntie Syarmila sering mengganggu
kerja-kerja kak Suri dan mak cik Inah di dapur secara dengan pantas mengambil
pisau yang digunakannya untuk meracik apa saja. Jikalau dilarang sikapnya
bertukar agresif dan menakutkan sekali adu mereka kepadaku. Membuatkan
kedua-dua tukang masak itu tidak berani berada di dapur kerana risaukan keselamatan
diri sekiranya aunti Syarmila tiba-tiba mengamuk menggunakan peralatan dapur
yang kebanyakannya tajam dan perlu dikendali sebaiknya. Memasak tentulah
menggunakan api dan tabung gas yang menyalurkan api ke dapur bolehjuga
menyebabkan kebakaran banglo besar di
pinggir kota itu sekiranya aunti Syarmila bermain-main dengan api di dapur.
Sudahnya pintu dapur sentiasa perlu
dikunci ketika kedua-dua pembantu dapur itu mahu memasak atau meninggalkannya.
Ruang dapur tidak lagi tempat yang menyelesakan buat kak suri dan mak cik Inah
seperti yang dirasakan mereka selama ini.
Kala malam pula auntie Syarmila
kelihatan susah hendak lelapkan mata dan dia menghala langkahnya ke segenap
ruang sambil tangannya membongkar apa saja dan menyepahkannya di lantai. Habis
berserak buku-buku di library mama dan Allahyarham dediku digeledah dan
dilambakkannya merata. Merungut pula Eva dan Elly kepadaku kerana aunti
Syarmila menyebabkan kerja-kerja yang mereka perlu buat bertambah banyak. Aku
cuba memahami masalah mereka dan ligat memikirkan solusi kepada
permasalahan aunti Syarmila ini. Kenapa
agaknya aunti Syarmila berperangai begitu? Sepanjang ada mamaku tidak pula
sikapnya menyusahkan sesiapa. Nampaknya tenang dan normal saja. Mungkin
barangkali auntie Syarmila tidak mengambil ubat-ubat sebetulnya mengikut
jadual. Jikalau ada mamaku pasti mamaku akan sentiasa mengingatkannya.
Keperluan kepada ubat yang mengawal kecelaruan emosi pesakit mamaku itu
ternyata begitu penting.
Tiada mamaku tiada sesiapa yang memerhatikan
keadaan auntie Syarmila. Hendak diharapkan aku sukar juga. Masa sentiasa
mencemburui dan aku terpaksa berkejar dengan masa lantaran kesibukan
mengendalikan syarikat peninggalan dediku. Seawal 7.00 pagi sudah ke pejabat
dan pulang keletihan kadangkala lewat malam. Masaku untuk memberi sedikit perhatian kepada autie Syarmila kurasa
tidak ada. Aku cuma mengharapkan pembantu-pembantuku di rumah sepanjang
ketiadaanku dan mamaku menguruskan apa saja masalah aunti Syarmila. Tapi
sebaliknya pula jadinya.
Terpaksalah aku menyerah kalah
kerana aku tidak mampu menjadi sebaik mamaku dalam mengurusi seorang skizofrenia.
Aku pun bukan mamaku yang sangat arif dan pakar dalam kerjaya yang dijiwainya
selama ini. Keputusan yang kuambil untuk kemasylahatan auntie Syarmila dan
semua yang berada di bawah tanggungjawabku tentu mamaku akan mempersoalkannya.
“Kenapa kembalikan aunti Syarmila
kepada keluarganya? “
“Kan mereka itu keluarganya
terdekat. Kenapa mama dan kita pula yang perlu menjaga aunti Syarmila. Sedang
mereka senang-senang saja lepas tangan. Tugas mama tu mama perlu selesaikan di
hospital saja, kenapa perlu mama bawa pulang ke rumah pula?”
“Sebenarnya kau langsung tak faham
apa yang mama sedang lakukan sebagai tanggungjawab mama sesama manusia dan amal
kebajikan mama demi Allah Sayang.”
“Ish! Mama ni ada saja.”
“Sayang nak tahu ya? Biar mama
jelaskan.”
Penjelasan mamaku dinantikan aku
dengan sabar.
“Auntie Syarmila seorang yang baik.
Sebenarnya dia kawan mama juga walau tidak terlalu rapat. Dia tidak minta
ditakdirkan begitu namun ketentuan Allah tidak mampu untuk kita duga bagaimana
bentuknya yang terjatuh di lorong hidup kita hari ini atau keesokannya. Peranan
kita sebagai hamba-hamba-Nya adalah membantu setakat terdaya untuk meringankan
bebanan yang mereka tanggung. Mama ingin membantu auntie Syarmila kembali
kepada kehidupannya sediakala dengan bantuan ubatan yang ditentukan dan
perhatian.
Keadaan dirinya yang alami serangan sakit
saraf mental tidak boleh dibiarkan. Ramai pesakit skizofrenia yang telah pulih
dan kembali normal menjalani kehidupan seperti ramai yang lain. Sakit mental
pun seperti sakit-sakit yang lain juga yang perlu diubati untuk kesembuhannya
Sayang! Cepat atau lambat pemulihannya tergantung kepada kita yang berusaha
dengan izin Allah jua. Setiap kita yang berusaha pasti ada kejayaannya.
Mama dulupun berusaha keras untuk
hidup di tengah belantara seorang diri kala eksiden Cessna berlaku dengan tidak
putus-putus berdoa kepada-Nya agar mama dapat kembali menemui Sayang dan semua
yang mama sayang. Hanya kuat bergantung dengan tali-Nya sesungguh hati.”
Mama terkedu. Sebak di dadanya yang
beriak di wajahnya yang pilu sayu membuatku drastic memeluknya. Mama pasti
teramat sedih mengenangkan pengalaman yang menyebabkannya trauma yang masih berbekas
di hatinya. Apalagi insiden penuh tragik itu mengorbankan dediku, suami
kecintaannya. Air mata kelihatan bergenang bening di kelopak mata mamaku namun
tidak tumpah.
Tiada bicara lagi bagai malaikat
lalu kata orang dulu-dulu. Mamaku sedang berusaha menenangkan jiwanya yang
berkocak tiba-tiba. Menyesal pula aku bertindak bodoh tanpa pengetahuan mamaku
terlebih dahulu terhadap aunti Syarmila.
“Sayang minta maaf banyak-banyak ya
mama. Kalau mama masih mahu merawat aunti Syarmila di rumah kita, Sayang boleh
minta abang Kadir mengambil aunti dari rumah keluarganya.”
“Tak mengapalah sayang. Mungkin
aunti Syarmila juga rindu untuk kembali ke rumahnya dan bersama keluarganya. Kita
tengoklah dulu bagaimana perkembangan hidupnya selanjutnya sementara ini.”
Mama menggenggam tanganku erat dan
kejora matanya menikam wajahku.
“Mama rasa hendak berehat pula
sebelum hujung tahun ini dan berhajat mengerjakan umrah di tanah suci.”
“Elok juga mama bercuti sambil
merehatkan diri. Selama ini mama asyik berkerja saja.”
“Sayang mahukah temankan mama.?”
“Sayang bercadang hendak ke
Manchester sambil keliling Eropah hujung Disember ini.”
“Kan sudah selalu Sayang keliling
Eropah semasa menuntut di sana dulu? Buat apa nak ke sana lagi? Mama rasa
Sayang tidak pernah lagi ke tnah suci Mekah.
Mama dan dedi selalu juga ke sana tika Sayang sedang belajar di
Manchester dan merasa terkilan tidak dapat membawa Sayang bersama.”
Aku merasa amat berat hati hendak
menolak permintaan mamaku ini walau aku rasa mamaku amat mengerti jika alasan
yang kureka boleh diterimanya. Dan tidak memaksaku mengikutinya.
“Kita ke sana bertamu ke rumah Pencipta
kita. Kenapa tidak mahu pula. Di sana kita terlalu dekat dengan Dia walau
dimana saja kita dekat dengan-Nya tapi di tanah suci yang kita jejak kaki lebih
istimewa lagi. Sambil kita beribadat dengan banyak memohon doa Allah meredai
kita, mengampuni semua dosa-dosa kita yang telah lalu, yang tersembunyi atau
yang tidak kita ketahui dan semua amal ibadah kita diterima-Nya, bolehlah kita
melawat peninggalan sejarah rasullullah saw menyebarkan syiar Islam dengan
penuh kesukaran.”
Mama memelukku erat. Kehangatan
kasih sayangnya kurasakan menyerap hatiku.
“Jom temankan mama ya. Sekali
Sayang sudah ke sana Sayang pasti akan sentiasa hendak mengulanginya
berkali-kali. Dan mungkin terlupa hendak ke Eropah, Amerika, Jepun, China dan
serata tempat indah di dunia yang telah Sayang kunjungi selama ini.”
Teruja mendengar kata-kata lunak syahdu
mamaku membuatku membatal hasratku berwisata ke Eropah seperti rencanaku pada
mulanya. Rupanya bukan aku seorang yang mam ajak menemani perjalanannya ke
tanah suci Mekah. Seisi rumah kami termasuk kak Suri, mak cik Inah, abang
Kadir, Pak Leman pun ikut sekali. Elli dan Eva tidak ikut kerana mereka pulang
bercuti ke Zamboanga Filipina kampung halaman mereka.
Mamaku tidak lokek berkongsi rezeki
dengan mereka yang selama ini berkhidmat dengan jujur kepadanya dan keluarga
kami dengan tidak hanya mengaut seorang rasa bahagia beribadat sambil berziarah
ke tanah suci. Tapi turut diberi kepada mereka yang tidak mampu melangsaikan
niat suci berumrah ke tanah suci kerana masalah kewangan. Dan baruku tahu pula
bahawa kak Suri, mak cik Inah, abang Kadir dan pak Leman adalah bekas pesakit
skizofrenia yang pulih dirawati mama dengan izin-Nya jua. Subhanallah! Maha
suci Allah.
Tamat.
assalamualaikum ...kak..
ReplyDeletesinggah petang kat cni
wsalam yanty selamat ptg...tksh rajn singgah.
ReplyDeleteAssalamualaikum...Paridah...
ReplyDeletePa khabar ?...mana yg dipilih ke Eropah atau ke Mekah ?
wsalam agusman rizal...kak insyaAllah ok jer tksh ingatannya ...hrp dik agusman juga sht sjhtra hndaknya...
Deletehati perlu buat pilihan tepat.
suka cerpen mcm ni..
ReplyDeletetksh nohas sudi baca...
ReplyDeleteBilalah kita dapat jadi tetamu Allah ni :) Rajinnya akak berkarya..macam mana dapat idea tu kak...senang ke...
ReplyDeleteinsyaAllah wa tentu ada tika n waktunya...kak bukan rajin sgt wa...tapi sebelum kak merapu di blog kak tulislah karya kreatif dulu...berhari-hari juga nak siapkannya...ideanya dgn banyk membaca n ilham yg Allah beri ...kdg2 blank no idea juga...tq wa.
ReplyDeletebest juga layan cerpen malam2 ni sambil pekena kopi o secawan :)
ReplyDeletetksh fidah sudi juga layan cerpen biasa2 kak ni...
Deletebetul tu sekali terlayan dan terbuai jugak kan Fidah Shah...
ReplyDeleteyeke bunda..tksh bunda sudi layan juga cerpen kak ni..
ReplyDeleteorg filipina?
ReplyDeleteheh,,heh,,kan ramai filipinas kat Msia ni anies.
ReplyDeleterajin Pi mencatat cerpin ..semoga berjaya juga nanti ke mekah..amin
ReplyDeletenak tulis artikel xberapa reti cikgu, tulis cerpen jerlah...tq cikgu etuza.
ReplyDeleteCerpen terbaik ^-^
ReplyDeleteYEKE? XLAH ZUMAL BIASA2 SAJA...TQ.
ReplyDelete