Sunday, 1 November 2015

ORKID MENANGIS?

ASSALAMUALAIKUM...

ORKID MENANGIS.

Leka dia membelek orkid-orkidnya yang bergantungan berbunga cantik di rumah orkidnya yang kecil saja setelah pulang melaksanakan tugasnya menorah getah selazimnya. Hendak membela orkid perlu disediakan tempat yang bersesuaian juga. Perlu ada bumbung yang khas untuk melindungi orkid daripada cuaca panas dan hujan yang keterlaluan lebatnya, Tidak boleh diletak saja ikut suka bimbang akan mati pula.

Benih orkidnya ada yang dibeli. Ada yang diperolehi daripada jiran-jiran yang kebetulan sealiran minat sepertinya yang sukakan orkid. Dan banyak juga yang ditemuinya di hutan bila dia mencari daun-daun herba atau akar kayu yang diperlukan ibunya seorang pembuat jamu tradisi. Kadangkala ditemuinya di atas pohon getah atau di atas tanah di dalam kebunnya. Akan diambilnya dan dibawa pulang. Sudah lama kebiasaannya itu berterusan.

Anggerik hutan ini amat cantik dan mudah dijaga tapi  kehidupannya yang alami perlu disesuaikan. Mesti ditumpangkan pada pohon besar yang redup naungannya.

Dia terkesima memandang orkid yang berbunga kuning yang amat cantik lebat sekali gugusannya hingga mencecah tanah dari celah pohon getah yang tinggi. Harum aromanya menyebar ruang sekitarnya. Selama ini memang selalu juga dia menorah getah meliputi pohon getah miliknya seluas seekar lebih itu tapi dia tidak pernah perasan keujudan orkid itu di situ.

Walau agak tinggi dia akan memanjatnya untuk mengambilnya. Kalau dibiarkan saja tentu ada yang berminat mengambilnya. Rezeki di depan mata rugi sangat kalau dibiarkan saja
.
“Aku gantung kau di sini hai orkid cantik. Duduk molek-molek. Harap kau suka dengan tempat baru di sini. Berbunga dengan rajin ya.” Ujarnya perlahan. Dia memang gemar bercakap dengan orkid-orkidnya sambil membelai bunga-bunganya yang berkembang. Tumbuhan pun ada rasa dan memahami apa yang dituturkan kepadanya menurut kefahamannya.

Dia menggantungkan orkid kuning berkelopak besar yang diambilnya di kebun getah itu di sudut rumah orkidnya yang redup yang didirikan bersandar tiangnya dengan pohon manggis. Selesai sudah kerjanya. Harapannya orkid itu akan hidup subur seperti orkidnya yang lain itu.

Malam yang menabiri suasana selepas senja gelita sunyi sepi. Cengkerik mula berbunyi sahut menyahut. Sudah menjelang tengah malam tapi Din masih berjaga menemani ibunya memasukan daun dan akar kayu herba ubatan yang diisi ke dalam kapsul. Ubat-ubat itu akan dijual kepada mereka yang berlanggan denganya.

“Eiik eeik..eiik..eiik..”

“Suara apa tu? Kau dengar tak?”

“Iyalah mak macam suara orang menangis…”

“Siapalah yang menangis tengah malam buta begini…masa ni kan semua orang dah tidur.”

“Aih! Kita pun belum tidur lagi.”

“Kita tu lainlah sebab ada kerja yang nak dibuat.”

“Hmm…betul juga tu…”

“Cuba kau dengar baik-baik, bunyi suara menangis tu datang daripada mana? Mak rasa dekat sangat bunyinya. Macam di luar bilik kau saja. Jom kita pergi tengok.”

Emaknya membaca ayat kursi dan beberapa potong ayat suci yang menjadi amalannya sambil meraup ke wajahnya. Nalurinya merasakan dia akan berdepan dengan sesuatu yang singgah mengganggu keharmonian ketenangannya.

Din mengekori emaknya menuju pintu rumah lalu membukanya.

Bunyi tangisan mendayu-dayu semakin jelas kedengaran daripada rumah orkid Din.

“Agaknya ada orang sedang menangis di rumah orkid Din mak..”

Emaknya tidak berkata apa-apa.

“Ish! Tiada siapa pun di sini. Siapa yang menangis.” Bunyi suara esakan menangis terdengar lagi. Din dan emaknya  terpempan memandang orkid kuning berbunga lebat  itu yang menangis sayu pada anggapan mereka kerana suara tangisan itu jelas daripada anggerik itu.

“Rupanya kau yang menangis ya. Kau tidak selesa tinggal di sini ya. Jangan menangis lagi. Esok pagi Din akan hantar kau balik ke tempat asal kau.”

Sebaik emak Din berkata begitu tidak kedengaran lagi esakan tangisan orkid itu.
Kedua-duanya melangkah masuk ke rumah dengan rasa lega kerana situasi  luar biasa itu mampu didepani sebaiknya dengan izin-Nya.

“Kau lain kali kalau kau nak ambil orkid hutan baca sikit-sikit ayat suci. Jangan main ambil saja. Kalau nampak cantiknya ganjil jangan ambil. Takut ada yang menjaganya ikut pulang. Kalau dia mengganggu susah pula kita …” Pesan emaknya.





 pic kelab pecinta orkid Kelantan.


26 comments:

  1. Orkidnya cantik kenapa menangis
    Buat pemilik terhiris
    Kembalilah tersenyum manis
    Seperti pelangi sebaris

    ReplyDelete
    Replies
    1. orkid menangis sedih sbb terpisah dgn suasana alam yg disukainya...tq anisayu...

      Delete
  2. Suka bunga orkid....kalau wangi lagu suka...suka cium baunya....

    ReplyDelete
    Replies
    1. yeke bunga2 orkid hybrid n cataleya mmg harum fida...tq.

      Delete
  3. Suka bunga orkid....kalau wangi lagu suka...suka cium baunya....

    ReplyDelete
  4. Cantik sangat buka orkid ni kak.tapi wa tak tanam pokok orkid sebab tak reti nak jaga.

    ReplyDelete
    Replies
    1. orkid xsusah nk jaga wa..siram pagi sekali dah n jgn dedahkan pada panas mentari...tq wa.

      Delete
  5. hmm..didasarkan drpd kisah benar tu zumal..tq.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebab tu jadi macam2 kalau kita masuk hutan yer akak

      Delete
    2. heh..heh..yela zumal...hutan tu dihuni makhluk Allah yg berlainan ujudnya dgn kita..tq

      Delete
  6. gmbr kelab pencinta orkid rupanya., chantekk

    ReplyDelete
    Replies
    1. hmm...bnyk pic orkid2 cantik kat fb tu mak share jer tapi minta izin dulule..tq wak.

      Delete
  7. Ya Allah, cantiknya.. Patut laa akak minat orkid..

    ReplyDelete
    Replies
    1. kak minat sgt dgn orkid wawa..cantik...tq

      Delete
  8. Kalau anggerik hutan, mesti nampak lebih unik dan cantik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. orkid hutan ni asli fidah xsama dgb orkid hybrid yg kawin2 tu...tq.

      Delete
  9. tetiba tingat kat mama yg skrg tgh giler orkid ;-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. yeke...ralit sgt membela orkid ni lega stres...tq anies.

      Delete
  10. Bila ambil kt hutan mmg kena jaga2 kan Kak... tak boleh juga main ambil sebarang orkid ni.... huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. yela atie kalau kita rasa hati lain mcm jgn berani2 nk ambil...tq.

      Delete
  11. Alahai... takut la pulak lepas baca cerita ni nak ambil orkid kat kebun tu...huhu

    ReplyDelete
  12. kena hati2 juga nk ambil orkid2yg kelihatan ganjil cantiknya di hutan BM ni...jgn main2 heh..heh...tq.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist