BUNGA-BUNGA ASAP
-
Karya: Paridah Ishak.
Syida Alia menyoroti langkah Akram bersama dua orang rakan
sekelas mereka yang kian menghilang di hujung simpang. Ke mana agaknya mereka
pergi, hatinya tertanya-tanya. Bagaimana hendak mengabarkan keberadaan Akram,
jikalau Mak Midah dan Pak Mizi jiran sebelah rumah bertanyakannya. Mereka
adalah rakan sekelas dan tentulah jikalau dia pulang apabila tamat waktu
persekolahan, Akram juga turut sampai ke rumahnya seperti biasa.
“Pandai-pandailah kau menjawabnya
Akram! Jangan sampai ayah kau melibas kau dengan getah paip sebab marahkan kau
merayap merata selepas waktu sekolah, sudah. Risau juga sebab Pak Mizi ayah kau
memang terkenal dengan sifat garang dan tegasnya.” Monolog Syida Alia, cuba
menutup gelisah hati sendiri.
Sejak kecil, Akram menjadi teman
sepermainan Syida Alia. Sifat ayah jirannya itu tidak asing kepadanya. Walau bagaimanapun Pak Mizi sering tersenyum,
tertawa dan bergurau senda dengan anak-anak mengikut situasinya. Namun
ketegasan mendidik anak-anaknya amat ketara.
Kesemua anak-anaknya mesti belajar bersungguh-sungguh
untuk mencapai kejayaan cemerlang. Ena
anak sulungnya kini di semester akhir pengajiannya di sebuah universiti
tempatan di utara. Anak keduanya Eni pula menyambung pelajarannya di utara, di
sebuah universiti tempatan juga. Anak-anaknya yang cuma tiga orang itu diberi
nama yang pendek saja untuk memudahkan dia menyebutnya. Pak Mizi sangat
praktikal dengan hidupnya. Tidak mahu perkara-perkara yang leweh.
“Kau dah pulang Syida? Tapi kelibat
Akram tak nampak lagi.” Mak Midah
menegur Syida Alia.
“Kami memang balik sama-sama tadi
tapi dia melencong ke tempat lain pula. Mungkin ada urusan penting tu…” Syida Alia menjawab sejujurnya.
“Apalah urusan pentingnya tu. Tak
ingat nak balik makan, lepas tu ke sekolah agama pula.”
“Sekejap lagi sampailah tu, Mak Cik. Sempat
lagi dia nak bersiap ke sekolah agama.”
Beberapa minit kemudian, kelihatan
Akram sedang melaju ke arah mereka dengan basikalnya.
“Cepat masuk, mandi, makan, solat.
Lepas tu gi sekolah agama. Lambatnyalah balik. Merayau ke manalah tu. Jangan
buat gitu lagi, Ayah kau duk perhati tu. Apa saja dia nampak kau buat silap,
siaplah kau.” Ibunya tegas mengingatkannya. Risau akan berulang peristiwa
anaknya itu dilibas rotan kerana ralit bersama rakan-rakannya hingga lewat
malam.
“Kau jangan rapat sangat dengan budak
berdua tu Akram.” Syida Alia turut menegur Akram.
“Maksud kau tentu Zulkifli dan
Firdaus kan. Apa pula salahnya Syida. Mereka tu elok baik .” Akram cuba memberi
penjelasan.
“Elok baik sangatlah tu! Kau fikir aku tak tahu perangai budak
berdua yang dah pandai merokok tu. Syida bimbang kau akan terpengaruh.”
“Mana ada! Kau ni pandai-pandai saja
buat cerita Syida.”
“Kalau mereka tu merokok aku tak
heran sebab keluarga mereka memang gitu. Mak ayahnya, abang-abangnya perokok.
Kau jangan-jangan dah belajar merokok dengan mereka.”
“Mana ada!” Akram menyanggah tuduhan
Syida Alia.
“Kau jangan buat gitu Akram….merokok
kan membahayakan kesihatan.”
“Aku tahulah! Tak payah susah-susah
nak beritahu aku.” Masam wajahnya ditegur begitu.
“Akram, jangan salah faham.
Syida beri nasihat sebab kau tu kawan
baik, jiran terdekat. Syida tak mahu kau
hilang arah dan tujuan. Kitakan msih muda. Jalan hidup kita masih jauh, macam
yang cikgu selalu cakap tu.”
“Iyalah, mak nenek!”
Mak nenek ini sedang setia berada di
sisimu Akram. Monolog Syida Alia
menguasai mindanya menerawang ruang kenangan masa yang telah lama dilewati.
Perpisahan telah lama berlaku di
antara kedua-duanya. Syida Alia diterima bersekolah di asrama penuh ternama di
Johor Baharu. Akram pula menyambung
pelajaran di sekolah berasrama penuh di Kuantan. Kedua-duanya adalah pelajar
cemerlang kebanggaan keluarga.
Kini, masing-masing berjaya
menghabiskan pengajian mengikut jurusan pilihan di universiti. Akram memilih bidang pendidikan sebagai kerjayanya.
Syida Alia pula sebagai doktor setelah tamat pengajiannya
selama tujuh tahun di fakulti perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.
“Kau pasti sangat letih setelah
jalani kimo kan…” Akram angguk saja tanpa sepatah kata.
“Rawatan sakit kau ternyata berkesan
setelah jalani pembedahan, kimoterapi dan makan ubat yang hospital
beri. Sel kanser berjaya dimatikan dan In
Sya’ Allah kau pasti dapat jalani kehidupan seperti biasa dan boleh mengajar
semula. Mujur cepat kau dapatkan rawatan di hospital sebelum kanser tekak kau
merebak ke bahagian lain.” Syida Alia menyambung kata.
Akram
hanya mampu mengangguk lagi. Suaranya tidak kedengaran lantaran peti
suaranya telah rosak diganggu virus kanser. Bergunung-gunung penyesalan
menyesak dada kerana perbuatan menzalimi diri sendiri.
“Menyesal kemudian tiada ertinya, aku
yang degil sangat. Syida selalu beritahu aku, jangan sesekali merokok. Tapi
itulah yang aku curi-curi buat di belakang emak ayahku. Niatku cuma hendak
bersuka-suka mencuba sesuatu pengalaman baru. Perbuatan ini pasti mudah
ditinggalkan bila-bila saja. Itu kataku. Rupanya tidak semudah itu.” Monolog
Akram mengimbau kenangan lalu.
Di sekolah berasrama penuh, Akram
bertemu pula dengan rakan-rakan yang sekepala, seiring sejalan dengan pemikiran
remaja yang ingin bebas berbuat apa saja konon tersangat dewasa dan terlebih
bijaksana. Pantang tidak dilihat guru atau pengawas sekolah, rokok sentiasa berasap
di mulut. Nikmatnya menyedut asap nikotin yang berbunga-bunga kepulannya hanya
mereka yang merasai.
Beberapa kali Akram pernah ditangkap dan
dilibas warden asrama kerana kesalahan merokok , tetapi dia tidak pernah rasa
serik. Tabiat buruk itu berterusan. Tabiat yang tidak jemu diulang-ulangi. Di
dalam kenormalan fikiran pernah juga dia berfikir, untuk meninggalkan tabiat
buruk yang tidak disukai oleh sesiapa yang pentingkan kemasyhlahatan hidup
sempurna dan kesihatan yang baik. Mungkin setelah berada di ruang universiti
kelak perilaku buruk itu akan ditinggalkannya.
Namun, niat hanya tinggal niat yang tidak tertunai juga.
Di universiti tiada langsung gangguan apa-apa.
Tiada larangan merokok. Merokok
di mana saja dibolehkan, kecuali di dalam dewan kuliah atau kelas tutorial.
Tiada siapa yang menegah waima melarang. Asap rokok berkepul dihembus dan
disedut tanpa rasa bersalah sedikitpun. Seronok dan nikmat. Nikotin rokok pun
menebal, menadi salur darah.
Wang yang banyak di tangan setelah
berkerja memudahkan Akram tidak berkeputusan merokok. Badan dan nafas berbau rokok, bibir menjadi hitam
lebam . “Apa aku kisah?”
“Kata kawan-kawan yang tidak merokok aku
membazir wang yang banyak dengan membakar puntung rokok saja. Dengan wang yang
terbakar itu jikalau dikira-kira aku sudah mampu memiliki rumah atau kereta
mewah. Cakaplah apa saja aku tidak pedulipun. Keseronokanku dan keperluanku
tidakku kongsi dengan mereka yang bijaksana bercakap saja tu. Di mana saja atau
buat apa saja pasti terjepit puntung rokok di bibir kecuali tidur atau masuk
kelas. Aku seorang guru. Walaupun aku perokok, tetapi aku tidak pernah merokok
di hadapan pelajar-pelajar. Malah aku sering menasihatkan mereka menjauhi
tabiat merokok yang membahayakan kesihatan itu. Kena ikut apa yang cikgu ajar
bukan ikut apa yang cikgu buat. Heh! Heh! Begitulah kesimpulan guru yang
seorang ini. Akulah tu.” Monolog Akram berlarutan.
Sehingalah Akram disahkan ditulari
kanser tekak kerana sering demam dan tidak hadir ke sekolah melaksanakan
tugasan guru . Yang pasti faktor utama 90 peratus kerana keghairahannya
merokok.
Akram berulang alik ke hospital
ditemani kakak-kakaknya Ena atau Eni . Hanya saudara terdekat yang setia
menemani saat susah payah. Kepayahan yang
dicipta akibat kecuaiannya mengambil mudah nasihat emak ayah dan
kakak-kakak yang sangat menyayangi. Dan Syida Alia juga.
Akram sedar, Syida Alia sangat
prihatin dengan nasibnya. Tetapi tentu saja dia tidak boleh menyayangi dirinya
seperti kakak-kakak. Syida Alia yang
sering memberinya semangat melawan penyakit dan tidak menyerah kalah
walau pasrah dan reda dengan takdir Allah.
“Setiap penyakit ada ubatnya. Hanya
perlu ada usaha dan ikhtiar mencarinya.” Kata Syida, merujuk kepada sabda Nabi
Muhammad s.a.w.
Walau penyakit ini kronik dan merbahaya
tapi dengan izin Allah ramai pesakitnya berjaya dipulihkan dengan rawatan yang
berterusan. Itu yang Syida Alia beritahu. Syida Alia tidak pernah menempelak
kebodohan Akram. Bicaranya selalu manis dan melegakan hati lelakinya yang rusuh
mendepani permasalahan penyakit .
Selain jalani rawatan kimoterapi yang sangat meletihkan itu,
Akram juga mengamalkan cara hidup sihat
tanpa rokok lagi. Apa saja yang disarankan, makanan atau herba yang boleh merencatkan
pembiakan kenser akan diambilnya. Sentiasa saja berulamkan dedaunan hijau yang
berkhasiat kala makan tengahari atau malam seperti ulam raja dan buah-buahan
yang diakui amat baik untuk merawati kenser iaitu durian belanda. Jus daun buah durian belanda juga dikatakan
dapat merawat kanser dengan izin-Nya.
Mudah saja mendapatkan bekalan durian
belanda yang sering dijadikan jus tanpa gula untuk merawat penyakit Akram. Beberapa pohon yang ditanam ayah di belakang
rumah mereka di kampung berbuah lebat. Kalau dulu , langsung tidak pedulikan
buah tersebut. Hanya menjadi makanan
burung atau gugur sendiri kala masak, kini sebaliknya. Sentiasa ditunggu
bunganya berputik dan menghasilkan buah untuk dijadikan jus yang enak . Mendapatkannya
di pasaran agak susah juga dan mahal harganya.
Makanan segera seperti sosej, burger
dan yang berlabel sodium nitrate, potassium nitrate mesti dielakan kerana akan
menghasilkan karsinogen yang menggalakkan kanser. Nampaknya makanan segera
menyebabkan kematian segera juga. Kematian itu urusan Allah. Namun kita wajib menjaga kesihatan diri.
Merosakannya tentulah berdosa hukumnya.
Allah tidak menyusahkan hamba-Nya
dengan dugaan yang sukar dilepasi dan luar kemampuannya. Akram memanjatkan kesyukuran. Ujian Allah itu
penuh hikmahnya, membuat dia terasa dekat kepada-Nya. Bermusahabah diri dengan
menyesali segenap kesilapan diri dan dosa-dosa yang dilakukan.
Setiap malam, Akram menggagahkan diri
untuk bertahajjud di sepertiga malam, sesuatu yang tidak pernah dilakukan
ketika sihat dahulu. Dalam sujud dia
mengadu dan memohon keampunan.
“Subhanallah … Ampuni hamba-Mu ini ya
Allah. Selama ini hamba-Mu ini terlalu lalai dan alpa. Nikmat kehidupan yang
kau limpahkan kepadaku tidak kusyukuri.
Dan aku membuat kerosakan dengan menzalimi diriku sendiri. Kini aku bertaubat
sesungguh hati dan berjanji dengan-Mu tidak akan sesekali mengulangi kesilapan
lalu walau sekecil mana. Berkati niat suci murniku ni ya Allah.”
“Ya
Allah, kurniakan kepadaku pengakhiran hidup yang baik. Ya Allah,
kurniakan kepadaku taubat nasuha sebelum aku mati. Ya Allah, Tuhan yang
membolak-balikkan hati, Kau tetapkan hatiku di atas jalan agama-Mu. Tetapkan
hatiku sentiasa taat kepada-Mu. Aamiin.”
“Aku hantar kau balik ya, kerja
akupun dah selesai. Kena tunggu nak on
duty shift malam pula.” Kata-kata Syida Alia memancung khayalan Akram.
“Aku tak kisah pun. Takut kau yang bermasalah. Aku
masih lama bercuti hingga sakit aku sembuh.” Akram tersengih cuma. Sengihan
yang memudahkan Syida Alia menafsir maksudnya.
“Untunglah kau dapat lama bercuti
hingga dua tahun. Macam aku jangan harap nak dapat bercuti lama gitu. Dapat
bercuti sehari dua pun tak terlepas duty
call. Emergency selalu.”
Akram menarik nafas dan melepaskan
kelelahannya yang dirasai menyucuk dadan.
“ Syida, apalah ertinya cuti yang
panjang, terpaksa bergelut dengan masalah kesihatan yang barangkali akan
merenggut nyawa bila-bila saja. Kau,
lebih beruntung. Sentiasa boleh bergerak cergas ke mana saja sambil menabur
bakti kepada pesakit-pesakit yang begitu ramai memerlukan rawatan dan
perhatianmu. Termasuk akulah tu.”
Senyuman Akram dirasakan Syida Alia
bagai menyatakan persetujuan bicara monolognya
sebentar tadi. Monolog kenangan itu bagai terapung dan bersatu dalam
jiwa mereka. Meskipun tiada siapa yang mendengarnya.
Syida Alia dan Akram, beriringan
bergerak meninggalkan ruang menunggu di hospital yang masih kelihatan ramai
pesakit menunggu giliran menjalani rawatan. Langkah yang diatur sudah menjejaki
tempat parkir kereta.
Ketika hendak membuka pintu kereta,
Akram menyandarkan dirinya ke kereta Syida Alia sambil mengurut-ngurut dadanya
dan mengangakan mulutnya luas.
“Mengapa Akram?”
“Aku rasa aku dah tak boleh nak
bernafas Syida…dadaku ini terasa kosong. Ya Allah apakah hayatku akan berakhir
saat ini? Aku berserah dengan ketentuan-Mu ya Allah… Ampuni hamba-Mu ini ya
Allah.”
“Kau duduk dalam kereta, berehat
seketika. Mungkin nafasmu terganggu sebab tersedut asap rokok berkepul sewaktu
kita melewati beberapa orang lelaki yang
sedang merokok tadi. Kau memang tidak boleh terhidu asap rokok. Sabar ya, sekejap lagi pernafasan kau akan
kembali normal. Aku hantar kau balik dan
berehat saja. Jangan lakukan aktiviti yang memenatkan.” Syida Alia menenangkan
Akram dan menyapu dahinya yang merenih berpeluh.
“Terima kasih Syida kerana berada di
sisiku di saat aku memerlukan teman yang mengerti dan mengongsi susah payahku.”
Kata-kata itu hanya terluah dalam monolog Akram, bagai tersekat dikerongkongan,
tak dapat diluahkan.
Akram mengerti Syida Alia sangat
prihatin kepadanya. Sebagai doktor dia juga sangat prihatan kepada pesakit-pesakitnya
dan sesiapa saja. Tetapi ramai yang
langsung tidak prihatin kepada orang lain dengan berwenang-wenang sesuka hati
merokok dan menghembuskan asap rokok beracun ke persekitaran awam yang
mencemarkan udara maya dan menyebabkan orang lain turut menderita dengan
pelbagai kanser merbahaya, walaupun mereka tiada kena mengena dengan kegilaan
ini. Ah… orang lain yang melakukan, orang lain turut menanggung akibatnya.
“Kalau hendak merokok pergilah
jauh-jauh. Dalam hutan ke. Racun diri semahu-mahu dan jangan libatkan sesiapa.
Apabila sudah di serang kanser seperti aku, barulah puas hati. Begitulah
sikapku kini yang cepat naik darah kala melihat orang lain perlahan-lahan
membunuh diri dengan merokok. Aku tidak
mahu mereka mengulangi kesilapanku yang sangat memudaratkan kesihatan itu.
Penderitaannya terlalu memeritkan bagai
nyawa di hujung tanduk. Hidup ini perlu dinikmati sebaiknya dengan nawaitu yang
benar.” Akram menyambung monolog
hatinya.
Akram menghantar emel kepada Syida Alia,
menyatakan hasrat murni ingin menyunting gadis itu sebagai suri hatinya. Dia berharap sangat Syida Alia tidak akan
menolak huluran cintanya. Istikharahnya telah membayangkan jiran sejak kecil
itu adalah jodohnya.
“Benarkah apa yangku lakukan ini.
Terasa malu pula mengenang sikapku yang keterlaluan drastik mencurahkan hasrat
yang terpendam. Aku ternyata tidak
terdaya menipu diriku yang telah jatuh cinta terhadapnya. Justeru sikap baik
budinya terhadapku selama aku mengenalinya.”
“Pasti Syida Alia terkejut hingga
terduduk membaca emelku itu. Emel cinta seorang pesakit terhadap doktor yang
merawat sakitnya. Kesian kau Syida. Maafkanlah ketelanjuranku Syida Alia.
Jikalau kau menolak hasrat hatiku pun aku tak kisah Syida. Aku faham siapalah
yang mahu berkongsi hidup dengan pasangan yang akan meninggalkannya bila-bila
masa menyahut seruan Ilahi lantaran kanser.”
Hati Akram berbunga-bunga ceria.
Tidak diduga jawapan Syida Alia yang amat mengejutkan. Gadis itu bersedia dengan
senyum manis menyambut huluran piala haruman kasihku. Terima kasih Tuhan.
Ena dan Eni pula yang tergamam
apabila Akram menyatakan hajatnya untuk melamar Syida Alia. Kedua-dua kakak ku
itu turut bergembira dengan kegembiraan adik mereka yang seorang ini.
“Syida memang dah setuju. Itu akak
tak ragu. Tapi bagaimana dengan mak ayah dia? Sanggupkah mereka benarkan
pesakit kanser menjadi anak menantu mereka. Persepsi orang kita ni lain sikit
dik, mereka anggap orang yang terkena sakit kanser akan mati esok lusa saja.
Sedangkan kematian tak kenal siapa atau bila.” Kak Ena meluahkan
kebimbangannya.
“Betul kata kak Ena tu. Adik bukan
hanya hendak berkahwin dengan Syida saja tapi dalam erti sebenarnya adalah
seluruh keluarganya.” Akram tidak menolak kebimbangan kakaknya.
“Jom kita balik kampung berbincang
dengan mak ayah kita dan mak ayah Syida sebelum rasmi masuk merisik.” Kak Eni
mencelah.
Ena dan Eni, saling mengangguk
menyetujui keputusan yang dibuat, demi solusi permasalahan adik kesayangan
mereka.
“Mak ni terasa malu pula nak bertanya
kepada Makcik Ita dan Pak cik Razi kamu tentang hasrat Akram tu. Kita kan hidup
berjiran dah lama. Nanti apa pula kata jiran-jiran kita yang lain.”
“Apa yang nak dimalukan mak, walau
kita jiran dekat tapi tiada hubungan mahram yang membatalkan perkahwinan.” Ena
menyanggah pandangan emak.
“Syida dan adik sudah sama-sama
bersetuju nak berkahwin. Apa masalahnya pula? Mak dan ayah uruskan
sajalah. Bukankah menjadi tanggungjawab
emak ayah mengahwinkan anak-anak apabila mereka hendak berkahwin?” Eni pula
melontar tanya dengan senyuman nakal.
Emak menarik muka. Muncung saja. “Habis
kamu berdua tu bila nak kahwinnya? Ini adik kamu pula yang nak berkahwin dulu.
Melangkah dua bendul sekali gus.”
Ena dan Eni berbalas senyuman.
“Emak ni itu pula yang disibukkan. Kita kan nak menyelesaikan
masalah adik ni. Biarlah adik kahwin dulu dan kami berdua akan kahwin
selepasnya. Mungkin tahun depan jodoh kami berdua akan sampai. Jodoh pertemuan
ketentuan Allah, emak.” Ena terus memujuk emak.
“Hmm! Ialah tu. Mak tak faham dengan
sikap kamu berdua. Risau mak fikirnya. Orang nak masuk minang, kamu tak mahu.
Ada saja alasannya. Sudahnya tak kahwin sampai sekarang.”
“Mak tak payah fikirkan masalah kami,
kita selesaikan masalah adik ni dulu.”
Eni turut memujuk.
“Mak ni.. tidak boleh tidak tetap
terpaksa memikirkan masalah anak-anak mak. Sentiasa mendoakan kesejahteraan
kamu semua. Adik kamu sakit, mak tidak putus-putus berdoa, bersolat hajat,
mohon Allah sembuhkan sakitnya.”
“In
Sya Allah doa mak sudah dimakbulkan Allah. Syukur Alhmdulillah. Mak tentu tak lupa berdoa agar Ena
dan Eni bertemu jodoh dalam waktu terdekat ni. Dapat pula kami berkahwin tiga
beradik serentak dan tinggallah mak dan ayah berdua saja di rumah ni.
Ha..ha..ha..” Ena ketawa geli hati.
.“Mak pun dah lama tinggal berdua
dengan ayah kamu. Sejak kamu semua bersekolah jauh dan berkerja pula. Tak heran
mak semua tu. Yang penting mak harap sangat anak dara berdua ni cepat
berkahwin.”
Akram hanya ralit mendengar bual
bicara emak dan kakak-kakaknya yang kadangkala serius dan adakalanya membuatnya
tersenyum simpul. Baginya hidup ini perjuangan. Memperjuangkannya dengan
mengharung ranjau onak duri sebelum kejayaan dalam kehidupan dikecapi. Sentiasa
tegar dan tabah walau sebenarnya kita ini hamba yang lemah. Permasaalahan hidup
ada saja, begitu begini selagi hayat dikandung badan.
“Kini aku gigih memperjuangkan
cita-cita menyunting bunga idamanku. Bunga yang bakal mengharum seluruh
hidupku. Syida Alia, satu-satunya bunga pujaanku. Semoga bunga itu terus
berkembang di taman hati. Tidak seumpama
bunga-bunga asap yang pernah kusedut dan kuhembus nikmatnya, tapi kini yang kurasa hanya keperitan dan derita jiwa
ragaku.”
TAMAT.
Kredit cikgu Sham ilham mengongsi kisahnya.
http://shamdisini.blogspot.my/
nice posti sista ... :)
ReplyDeleteSeronok pula baca..nice entri
ReplyDeleteYEKE..SESEKALI BERCERPEN ACIK..INSYA ALLAH...TQ ACIK AP.
DeleteYEKE...INSYA ALLAH..TQ FIU S.
ReplyDeleteKeperitan dan derita
ReplyDeleteSemoga hanya cerita
Yang sebenarnya
Bahagia berasap bunga...
DERITA DAN KEPERITAN HIDUP DIRASAI BERSILIH GANTI KAN ANIS AYU...TQ.
DeleteAkak ni ada tulis buku ke....selalu tulis cerita yang memang macam dalam novel.....seronok baca....saya belum selongkar blog akak lagi....tak dan....
ReplyDeleteXDERLAH FIDA..MENULIS SUKA2 JER...DLM BLOG KAK YG BERNICHE KARYA NI FIDA SEMUA ADA...CEK LABELS TU KALAU RAJIN...TQ.
ReplyDeletebest cerpen ni kak paridah.. semoga kak paridah terus menulis.. ;)
ReplyDeleteyeke..insyaAllah aiza..tksh.
ReplyDeleteteruskan menulis kak :-))
ReplyDeleteTERIMA KASIH YANTY...INSYA ALLAH.
ReplyDeleteigt kn sempat menjamu nasi myk ;-)
ReplyDeleteSEMPAT TU INSYA ALLAH...TQ ANIES.
ReplyDelete