Cerpen:
Hujan.
Karya:
Paridah Ishak.
HUJAN!
Hujan....hujan...hujan...
Musim tengkujuh sudah
memasuki fasanya. Mengulangi rentak serupa saban tahun. Justeru hujan pun akan
menghujani kawasan-kawasan yang tertakluk kepada perubahan cuaca alam.
"Kalau hujan ni
berterusan lebat selama 2 jam pasti akan banjir kawasan kita..." Jiranku
Idah bersuara gusar. Hujan mulai menitis halus di halaman rumah dan
masing-masing yang seronok berbeka di serambi rumahku di petang yang redup
mulai berkira-kira mengangsur diri.
“Hujan renyai begini
sekejap saja rentinya tu. Duduklah dulu, minum kopi dan jamah kuihnya!”
" Ialah kak Idah.
Lagipun sungai kecik kat belakang rumah kita ni nampaknya dah dipenuhi tanah
tebingnya yang runtuh dan dah semakin cetek. Macamana air nak lalu. .."
Sela Imah jiranku terdekat. Menambahkan fakta yang merisaukan kedua-duanya.
"Nampaknya setiap
tahun kita akan menghadapi masalah serupa. Terpaksa menyapu selut dan mengemas
perabot. Penat ooo...tambah kita ni dah tua...kudrat pun tak seberapa...."
"Orang yang penting
tu bila kita kena banjir barulah sibuk nak mendalamkan sungai. Dah tu habis
pokok pokok yang kita tanam dikorek dan dihumban sesuka hati pemandu bulldozer
tu. Kononnya rizab sungai. Rizab sungai kemenda, batu pancang sempadan kan ada.
Tak nampak ke...main korek ikut suka dia je..." Kak Idah melepaskan
kekesalannya.
"Tak patut tu.
Setiap tahun kita yang bayar cukai tanah. Cukai dibayar sedangkan tanah kita
sudah jadi rizab sungai."
"Tahun ni kalau
banjir lagi tentu orang penting tu suruh korek lagi sungai tu.
Korek...korek...korek....sudahnya
sungai tu melebar sampai
ke tepi rumah kita..." Imah menambah kegurutuannya yang terlampir dalam
suaranya.
"Sepatutnya ada
seseorang yang ditugaskan menjaga sungai kita ni. Memerhatikan keadaannya.
Jangan biarkan semak samun yang menghalang laluan air atau bina batu-batu
penghadang yang dibuat macam kat sungai Gombak tu..."
Idah seolah menggambarkan
pengalamannya melewati jalanraya KL dan suasananya sewaktu dalam perjalanannya
ke rumah anak-anaknya di sekitar Ampang.
Begitulah rungutan para
suri rumah jiran-jiranku yang sentiasa terdengar seiring dengan hujan lebat
yang turun di kampungku. Tetapi jeritan dan rungutan suri suri yang keletihan
mengurusi tamu yang berkunjung setiapkali musimnya tiada siapa yang peduli.
Kecuali gangguan itu menimpa orang orang kota. Maka banyaklah terowong terowong
SMART yang dibina.
“Tok Ketua kampung kita
tu apa dibuatnya ya? Orang asyik komplen tak berhenti tak kan dia tak perasan
kot?”
“Bukan dia tak perasan
bukan dia tak dengar tapi rasanya diapun banyak masalah yang nak difikirkannya.
Anaknya dua orang sedang belajar di luar negara. Seorang di Mesir seorang di
London. Banyak belanja untuk biaya anak yang belajar di luar negara walau ada
biasiswa. Tambah nilai duit kita yang
rendah sangat masa ni.
Agaknya tok ketua kita
sedang pening fikirkan duit yang perlu ditambah untuk cukupkan keperluan
anak-anaknya setiap bulan. Setakat nak harapkan elaun ketua kampung tu berapalah
sangat. Tok ketua pun macam kita juga, orang kampung yang hidup dengan hasil
tani kampung. Lainlah mereka yang ada perniagaan yang maju macam kawan kita yang bermahligai besar
atas bukit tu..”
“Kaya sungguh kawan kita
tu kan! Tapi yang peliknya diapun dapat bantuan banjir setiap kali tempat kita
dilanda banjir. Sedangkan rumahnya kan di atas bukit. Manalah naik air.”
Idah dan Zai tersenyum
pula seolah memahami maksud apa yang dituturkan kedua-duanya.
“Dengar kabarnya tok
ketua tu akan diganti dengan tok ketua yang baru sebab ramai yang kata tok
ketua tu tak buat kerja dia menjaga kesejahteraan kampung kita ni.”
“Yeke! Gitu pula ya. Mana
kau tahu? Pandai-pandai saja kau ni Zai!”
“Eh! Aku tahulah, kan
laki aku tu ahli JKKK…Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung yang rajin hadir
bermesyuarat setiap bulan. Apa saja masalah kampung kita dibincangkan di sana.”
“Hmm! Termasuk masalah
nak menukar ketua kampung kita dengan ketua kampung yang baru? Takkanlah kot.
Sebab setahu aku mesyuarat JKKK akan dipengerusikan ketua kampung yang dilantik
tu. Mana boleh buat usul pemecatan jawatan tok ketua dalam mesyuarat yang
dipengerusikannya. Sungguh kurang sopan sekali. Tiada langsung adab dan budi
bahasanya.”
“Entahlah! Mungkin usul
pemecatan dibuat tika tok ketua tidak dapat hadir mesyuarat baru-baru ni sebab sibuk menguruskan isterinya yang
tiba-tiba jatuh sakit dan masuk wad pula.”
“Hmm…Kak Nah isteri tok
ketua tu masuk hospital pula. Aku baru tahu. Apa pula sakit kak Nah isteri tok
ketua tu Zai? Baru ni aku jumpa dia elok je. Nampak sihat!”
“Kak Nah tu masuk wad
sebab keletihan sangat kot. Dia kan terlalu rajin berkerja membuat kuih-muih
yang ditempah kepadanya. Agaknya dia terpaksa turut berkerja keras untuk
membantu tok ketua menambah pendapatan untuk membiayai pembelajaran
anak-anaknya yang di luar negara tu. Tak pasti pula apa penyakit kak Nah yang
sebenarnya.”
“Kalau ada masa kita
pergi melawatnya nak? Kau ajaklah laki kau tu, boleh aku ikut tumpang sekali.
Maklum aku dan laki aku kan tak ada kereta. Harap boleh nak menumpang jiran
sebelah yang baik ni je!”
“Boleh sangat! Kau pun
memang selalu menumpang kereta aku kalau nak kemana-mana. Hidup kita berjiran
ni mestilah ada sikap tolong menolong kan…”
Berbalas senyuman pula
kedua-dua kawan baik yang tinggal berjiran itu.
“Tapi kalau tok ketua
kita tu dipecat jawatannya, siapa pula nak menggantikannya?”
“Siapa lagi kalau bukan
jiran kita yang bermahligai besar atas bukit tu?”
“Hmm…dia rupanya! Tapi
kau rasa bolehkah dia selesaikan semua masalah kampung kita ni? Terutama
tentang sungai cetek di belakang rumah kita ni. Dan macam-macam lagi masalah
sosial di kampung kita ni? Masalah penagihan dadah! Masalah kecurian. Masalah
kemiskinan! Masalah ibu tunggal! Pendekata macam-macamlah masalahnya.”
“Itu aku tak jamin. Tapi
aku pun cuak juga. Dibuatnya dia pun tak mampu nak galas semua masalah kampung
kita ni. Maklum dia kan sangat sibuk menguruskan bisnisnya yang segala
macamtu. Ada restoran, ada mini market,
ada bengkel kejuruteraan dan lain-lain bisnis yang tak semua aku tahu.”
“ Dia kan orang muda lagi
tentu lebih kuat berkerja dan berminda yang ligat berfikir untuk maju ke
hadapan. Bukan macam kita yang seusia tok ketua dan tak lama lagi akan digelar
warga emas. Lagipun dia tu ramai pula pembantunya. Setakat nak dalamkan sungai
aku rasa langsung tiada masalah baginya. Dia pun ada jengkaut yang boleh buat
semua kerja korek-mengorek sungai tu. Tentu
lepas ni projek mendalamkan sungai kampung kita ni dia yang dapat.
Tiadalah lagi masalah banjir kalau hujan turun lebat sangat. Masalah yang lain
tu aku tak pasti juga.”
“Betul juga tu ya!
Biarkan orang muda pula yang meneruskan semua kerja-kerja penting tu demi
kesejahteraan kampung kita ni. Jangan terlungkup sudah.”
Pesimis pula kenyataan
Idah itu walau disertai rasa hatinya yang positif pada mulanya.
“Tentulah tidak
terlungkup diuruskannya atau keadaannya lebih kurang sama saja.
Pengganti tok ketua yang baru mesti nak tunjukan kewibawaannya melebehi
yang lama. Barulah bergaya sebagai tok ketua. Tak perlu nak teruskan cara urus
tok ketua yang lama yang dah ketinggalan masa tu. Mesti berfikir di luar kotak
seperti ceramah pakar motivasi kat TV tu.”
Memang perlu berfikir di
luar daripada kebiasaan jikalau ada kemampuannya diri melakukannya. Itupun
perlu dengan hidayah Allah jua. Hatiku yang bersuara begitu.
Hujan yang rintik renyai
telah seriat sebaik senja menjelang. Bicara jiran-jiran tetanggaku tidak
bersambung lagi. Masing-masing telah melangkah pulang ke kediaman
masing-masing. Pasti akan akan ada
pertemuannya antara mereka sekiranya masih berkesempatan.
“Kak Nah dah meninggal
dunia Idah, Zai!”
“Iyalah! Tahu juga. Kan
subuh tadi diumumkan di masjid. Kamipun nak pergi melawatlah ni. Jom ikut
sekali. Nak ajak Imah sekali ni.”
Aku Zai, Imah dan Idah
beremba seiring mengatur langkah ke rumah tok ketua Zaman di hujung kampung.
Kami disambut anak-anaknya dan jiran-jiran sekampung yang telah terlebih awal
tiba dengan niat berziarah juga. Berziarah jenazah yang meninggal dunia itu
sunat muakad hukumnya. Amat berpahala dan mengingatkan yang hidup kepada
kematian. Dan sesungguhnya kehidupan ini hanya sementara.
Zai sudah menyelesaikan
bacaan surah yasin yang dihadiahkan pahalanya kepada almarhummah Kak Nah.
Begitu juga aku dan Idah. Sebelum pulang kami menyalami anak-anaknya yang
ketara di wajah mereka beriak sayu pilu.
“Bila kamu berdua nak
pulang ke Mesir dan London? Mungkin setelah 100 hari ibu kamu berdua
disemadikan kot.” Kedua beradik bertudung gelap itu saling pandang memandang
antaranya.
“Entahlah mak cik Zai!
Mungkin kami berdua tak ke sana lagi kot. Cadang nak sambung belajar di sini
saja. Lebih dekat, lebih mudah. Yang penting lebih murah dan jimat sikit.”
“Eloklah gitu. Lagipun
kesian tok ketua sendirian di rumah setelah ketiadaan ibu kamu. Adik-adik kamu
berdua pun semuanya bersekolah dan tinggal di asrama. Temankanlah ayah kamu tu
saat dia lalui masa dukanya sebelum kamu berdua menyambung pengajian. Mungkin
masa tu jiwanya yang lemah telah pulih sedikit.”
“InsyaAllah mak cik Zai.
Terima kasih makcik makcik semua yang sudi datang menziarah ibu kami.”
Manis sekali anak-anak
tok ketua itu berbudi bahasa. Dan jiran-jiranku menyambutnya dengan segaris
senyuman sambil terangguk-angguk.
“Jomlah kita. Kami balik
dulu ya. Nanti kami datang lagi waktu jenazah nak dibawa ke tanah kubur. Harap-harap hari ni tidak hujan pula ya... sebab nampak hari dah mendung tu.”
Tamat.