Monday 2 March 2015

SELIRATAN CINTA BAB 16...

ASSALAMUALAIKUM...



PIC GOOGLE SEKADAR HIASAN.

Hentian Putra begitu sibuk dengan manusia yang mempunyai rencana menuju destinasi pilihan. Sebuah stesyen bas ekspres yang berpusat di tengah kota. Ke mana saja hajat hendak berwisata ke serata stesyen utama di setiap bandar besar tidak susah hendak melakukannya. Banyak syarikat bas yang besar beroperasi di sini.
Sebuah teksi berhenti di depan Hentian Putra. Seorang pemuda menjinjing beg pakaian sederhana besarnya. Dia membayar tambangnya. Dan pemandu teksi itu segera berlalu untuk mengejar penumpang yang akan memberinya rezeki lagi.
Rizal masih tercegat. Memandang bangunan Hentian Putra yang akan di masukinya sebentar lagi. Pandangannya merayau merata arah. Merayapi apa saja yang melintasi pandangannya.
Rizal mula melangkah masuk ke dalam bangunan itu tanpa berfikir panjang lagi. Sibuk sekali suasananya dengan kerenah manusia yang mengisinya membawa tujuan hendak meneruskan perjalanan jauh dengan perkhidmatan bas yang disediakan di sini.
Dia melihat ramai yang sedang beratur hendak membeli tiket di sebuah kaunter untuk perjalanan ke timur. Dia turut beratur dan meletakan begnya di tepi kakinya. Rencananya tidak berubah lagi di antara empat arah yang akan di tujuinya.
Samaada ke selatan ke rumah datuk di sebelah ayah, ke utara ke rumah nenek sebelah ibu, ke barat ke rumah seorang kawan rapatnya yang sama-sama belajar dengannya di US. Hatinya menetapkan untuk ke timur.
Seorang lelaki mundar-mandir berdekatan dengannya. Rizal buat tidak peduli saja. Barangkali lelaki itu sedang berfikir untuk menyelesaikan sebuah masalah yang rumit. Sebab itulah lelaki itu mundar-mandir saja sambil wajahnya menunduk ke bawah. Dia tidak menyangka yang lain selain itu. Dia ralit menyaksikan petugas di kaunter menghulurkan tiket bas yang di beli kepada seorang lepas seorang.
Tiba-tiba saja lelaki yang mundar-mandir itu menyambar beg Rizal. Rizal terpana melihat begnya di bawa lari. Seorang lelaki yang kebetulan melihat insiden itu bertindak berani dengan menampan lelaki itu dengan kaki yang diangkatnya tinggi hingga lelaki yang tersadung kakinya itu jatuh tersembam sewaktu dia melewatinya secara terburu-buru ingin melepaskan diri.
Beg itu segera disentaknya dari peragut itu. Lelaki itu terkaku panik. Dia memandang lelaki yang menjatuhkannya itu dengan pandangan gamam dan geram. Tidak menyangka sama-sekali bahawa strategi jenayahnya kali ini tertewas, tidak menjadi.
Ramai yang datang mengerumuninya. Masing-masing hendak melihat rupa sang penyangak yang kecundang itu dan juga rupa wira yang amat jarang boleh ditemui di dalam era kebanyakannya bersikap individualisti masakini. Hanya mementingkan kemaslahatan diri sendiri.
Rizal segera menerpa untuk mendapatkan begnya semula. Pengawal keselamatan yang ditugaskan menjaga keselamatan bangunan dan isinya segera bergegas menghampiri lelaki yang jatuh tersungkur dan kedua-dua tangannya sedang dikilas seorang pemuda. Pengawal keselamatan itu mengambil alih tugas pemuda itu.
Si peragut segera dibawa keluar dari bangunan itu diiring dua orang lagi pengawal keselamatan kawan setugasnya.
“Terima kasih banyak saudara. Saya Rizalsyah. Saudara?” Rizal bersalaman dengan seorang pemuda sebaya dengannya, berwajah manis berbudi perkerti tinggi dan sanggup menolong sesaorang yang tidak dikenalinyapun. Sungguh mulia peri-lakunya. Demikian Rizal meletakan kayu ukuranya di bahu lelaki itu.
“Saya Fareez.” Dia memperkenalkan dirinya dengan gaya lembut bersopan. Senyumnya terorak manis di bibir. 
“Terima kasih banyak Fareez kerana sudi menolong saya. Jikalau beg saya tu hilang tentunya saya akan tersadai di sini dan tidak akan ke mana-mana.” Sekali lagi Rizal mengucapkan penghargaannya kepada kenalan barunya.
“Sama-sama. Saya menolong pun kerana saya berupaya menolong. Jikalau peragut tu lari ke arah lain tentu juga saya tidak terkejar dan berupaya menolong.” Ujar Fareez lembut merendah diri. Dia tidakpun merasa dirinya adalah wira sejati dan perlu menyombongkan diri.
“Jom lah saya belanja awak minum sebagai meraikan perkenalan kita dan sedikit penghargaan dari saya.” Rizal bersuara seperti kata pepatah orang berbudi kita berbahasa. Dan selari dengan kata pantun;
Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga.
Yang baik itu budi.
Yang indah itu bahasa.

“Gitu ke? Boleh saja. Tidak jadi masalah,” sahut Fareez mengatur langkah untuk memenuhi pelawaan Rizal. Mereka berjalan beriringan memasuki sebuah restoran kecil. Kali ini Rizal amat berhati-hati dengan beg yang dibawanya. Dia perlu lebih berwaspada agar kejadian yang berlaku sebentar tadi tidak berulang lagi. Begnya dipegang kemas dalam rangkulannya dan kejap.
Fareez dan Rizal sedang minum di medan selera Hentian Putra. Fareez memberitahu tujuannya berada di sini. Dia ingin pulang ke kampungnya setelah grad dari sebuah universiti awam di KL.
Sudah lama pula menumpang di rumah saudaranya menunggu peluang perkerjaan untuk dijawat tetapi langsung tidak ada. Kebanyakan temuduga yang dihadirinya di firma awam atau swasta menuntut pengalaman yang tiada padanya sebagai syarat utama.
Sekian lama menumpang di rumah saudara tanpa sebarang perkerjaan terasa juga tebal kulit mukanya. Hari ini dia bertekad untuk kembali ke kampungnya. Sungguh tidak diduga suratan hari ini menemukannya dengan sesaorang yang baik budi pada firasat hatinya ekoran insiden itu. Agaknya demikian yang tertulis di loh Mahfuz.
“Bila kau grad?” Rizal bertanya sambil tangannya mengacau air sirap bandung di dalam gelasnya agar sekata semua adunannya.
“Sudah lapan bulan. Aku tinggal dengan makcik aku di sini. Sudah banyak kerja yang dipohon, haram nak dapat. Semua kata aku tiada pengalaman kerja. Macam mana hendak ada pengalaman kerja kalau tidak pernah diberi peluang.” Protes Fareez pada alasan penolakan yang sengaja diada-adakan itu.
Dia pernah mendengar cerita jawatan yang diiklan itu hanya sebagai syarat semata-mata. Tetapi yang sebenarnya memang sudah ada pengganti. Kebanyakannya kroni kerabat staf dalam jabatan itu sendiri.
Dia tidak pasti kebenarannya. Tetapi jika ramai yang berkata demikian, susah juga hendak menyangkal wasangkanya. Memangpun dimaklumi setiap jabatan kerajaan atau swasta kebanyakan penjawatnya mempunyai relasi antara satu sama lain. Jikalau di dalam keluarga itu emak-ayahnya menjadi guru anak-anaknya juga semuanya terdorong ke lorong itu.
Begitu juga dalam bidang ketenteraan, polis atau sebagainya. Sedangkan dia yang dilahirkan sebagai anak petani di sebuah kampung pedalaman ingin mengubah persepsinya. Tidak mahu menjadi petani. Waima moden atau ortodok.
Susah sangat ke dapat kerja?” wajah teman di hadapannya direnung seluruhnya, tidak berkelip. Selama ini dia tidak pernah terfikir sampai begitu sekali keadaannya. Baginya peluang kerja sentiasa ada di syarikat milik bapanya.
Pokoknya samaada dia mahu berkerja dengan tidak saja. Bila-bila masa saja dia boleh menjadi jurutera kanan di syarikat perkapalan ayahnya.
“Sebab susah sangatlah aku nak balik kampung. Malu juga setelah merantau mencari kerja balik pula ke kampung dengan tangan kosong. Habuk pun tarak. Tapi takkan hendak menumpang rumah orang selamanya. Baiklah balik kampung. Boleh juga tolong ayah aku kait buah sawit. Sekarang ni peneroka tanah RKTP (Rancangan Kemajuan Tanah Persekutuan) sedang menuai hasil yang lumayan kerana harga BTS (Buah Tandan Segar) 520 RM bagi satu metrik tan. Jangkaannya harga komuditi itu akan melonjak lebih tinggi lagi. Ayah aku sekarang ni tentu tidak kisah sekiranya aku balik menolongnya di kebun. Ada juga hasil.”
“Lumayan juga hasilnya. Berapa luas kebun ayah kau?”
“Adalah lebih kurang 3.4 hektar atau dekat 10 ekar.”
“Tentu senang-senang boleh dapat 10 metrik tan buah sawit setiap bulankan? Jika 520RM harga BTB satu tan metrik maknanya ayah kau akan dapat 5200 RM untuk sekali tuaian. Wow hebat tu. Kalah gaji pengarah syarikat. Betul kata kau daripada jadi gelandangan di kota baiklah kau balik kampung jadi pengurus kebun sawit ayah kau tu. Tetapi kerjanya tentu sangat berat dan perlukan kudrat yang kuat.” Rizal terangguk-angguk menyetujui saranan kawannya.
Di samping memberi komen sebagai seorang anak yang tidak pernah merasa susah walau sedikit pun semenjak menjengah dunia..
“Kau jangan ingat pokok sawit tu akan sentiasa mengeluarkan hasil 10 metrik tan setiap bulan. Atau kali tuaian. Pokok pun ada moodnya. Ada masanya dia malas berbuah. Walau ditabur baja bertan-tan. Melawaslah dia. Kena musim buah sawit melawas melongolah peneroka macam ayah aku. Hasil yang ada pun cukup-cukup saja untuk sara-hidup. Bagi yang sentiasa beringat menabung semasa mewah tentu tidak akan merasa sebarang masalah sekiranya datang masa susah.” Rizal mendapat pengetahuan baru tentang satu sisi kehidupan manusia di negaranya yang selama ini tidak pernah diterokainya.
“Habis… sudah muktamat keputusan untuk balik kampung jadi graduan pengurus kebun sawit?” Tanya Rizal kepada Fareez yang sudah menghabiskan suapan terakhir mi goreng di pinggannya.
Dia meletakan garfu dan sudu di atas pinggan dan menyodorkan nya ke tengah meja. Milo ais di dalam gelas tinggi dihirup pula sehingga tinggal ketul-ketul ais di dasarnya yang bakal mencair sendiri.
“Nampaknya sudah tiada alternatif lain, terpaksalah ke situ. Seperti ikan pulang ke lubuk. Sirih pulang ke gagang. Pinang pulang ke tampuk. Tak gitu?” tersengih Rizal mendengarkan perumpamaan atau bidalan entah yang mana satu kartegorinya ditutur teman itu.
Dia minat juga dengan subjek bahasa Melayu semasa bersekolah tetapi baginya amat rumit memahami segenap perkara yang bersangkut-paut dengannya. Dia amat keliru hendak membezakan antara perumpamaan, pepatah-petitih, peribahasa, bidalan, simpulan bahasa atau kosa kata.
Baginya semua sama. Bahasa Melayu yang sangat indah itu sudah menjadi sesuatu yang menyulitkan daya fikirnya pula. Dia lebih suka subjek sejarah kerana hanya perlu mengingat fakta yang tetap.
Tidak perlu terlalu berfikir kreatif untuk menghasilkan pantun atau syair. Lebih-lebih lagi gurindam atau puisi yang puitis. Biarlah mengkaji sejarah yang restrospektif sifatnya. Dia suka. Dia merasa dia bukan dilahirkan untuk menjadi seorang sasterawan.
“Aku ni sudah lama berada dalam suasana yang sama sejak lama dahulu. Bila aku lahir saja, aku sudah nampak pokok sawit menghijau di hujung kampung. Sentiasa bermain-main di ladang sawit, menolong ayah aku membersih ladang, membaja, pruning, meracun semak dan berbagai kerja lagi. Macam kau kata kerjanya berat dan perlukan kederat. Kalau boleh aku nak juga mencuba dan merasai suasana yang baru selain berada di sekeliling pokok-pokok sawit. Kata cikgu aku semasa aku sekolah dulu, luaskan sikit pandangan jangan hanya berfikir di lengkongan mandala sawit saja.” Lirih sekali graduan Kejuruteraan Alam Sekitar itu bersuara.
“Eh… begitu pula… kalau gitu apa kata kau ikut aku saja? Selesai masalah kau.” Spontan saja saranan itu meluncur di bibirnya. Seakan jawapan sebegitu memang ditunggu-tunggunya.
“Nak buat apa? Sepatutnya aku yang ajak kau ikut aku. Kau pun bukan ada kerja. Kalau kau ikut aku kita boleh sama-sama menolong ayah aku menguruskan kebun dan ternakan lembunya. Banyak juga lembu yang ayah aku bela. Lebih dari 100 ekor rasanya. Ayah aku tu tidaklah kaya tapi hidup kami sekeluarga tidak susah.
Bagaimana kalau kita buka perniagaan yang berasaskan tani? Kita buka ladang ternak lembu secara besar-besaran. Sekarang ini permintaan untuk daging lembu sentiasa meningkat. Terutama untuk musim perayaan dan musim kenduri kahwin. Banyak lagi yang sedang aku fikir untuk majukan lagi usaha ternak ayah aku tu. Apa kata kau join aku. ”Fareez membuat usulan yang amat meyakinkan sambil merenung Rizal memohon kata putusnya.
“Soal perniagaan tu kita fikirkan kemudian. Aku memang nak beritahu kau dari tadi tap…i,” ujar Rizal tersekat-sekat. Fareez tersenyum dan segera mencelah.
“Kenapa? Apa dia? Kau tidak ada duit hendak bayar minuman dan makanan ni? Tak ada hal..aku ada duit... tapi nampak gaya dressing macam anak lord je.” Fareez merenung Rizal dari hujung rambut hingga hujung kaki. Maknanya menyeluruhi dari atas ke bawah. Sungguh segak bergaya.
Tetapi dia hairan kenapa penafsiran tentang teman barunya itu bercanggah dari penilaiannya. Nampaknya keupayaan seseorang itu tidak boleh diukur dari penampilan luarannya saja. Fareez memutuskannya begitu.
“Bukan begitu.” Sahut Rizal tersenyum melihat gelagat Fareez yang memandangnya seperti seorang Pegawai Polis sedang menginterograsi seorang pesalah berat. Dia pasti Fareez telah menanam benih prasangka serong terhadapnya. Dia tidak menyalahkan Fareez kerana berpemikiran sebegitu.
“Nampak gayanya, aku terpaksa tukar cara aku berpakaian.” Sahut Rizal tersengih dan serba tidak kena.
“Kenapa pulak. Okaylah tu apa.” Fareez semakin menyedari sikapnya itu membuatkan temannya itu tidak senang duduk. Dia cuba untuk menjernihkan suasana kembali. Tidak mahu menimbulkan ketegangan di tengah perkenalan yang mula hendak terjalin dengan mesra.
“Apa pun aku hendak kau ikut aku. Nanti kita tengok apa yang boleh kita sama-sama buat untuk mengubah penghidupan kita. Kau kata kau dah jemu tinggal di kebun sawit kan? Kau nak pula rasa pengalaman baru?”
Fareez terangguk-angguk mengakuinya. Memang itupun pengharapannya.
Rizal mengangkat tangannya membawa ke hadapan mukanya memerhati jarum jam yang berputar setiap detik.
“Aku rasa bas ke timur sudah hendak bertolak ni. Elok kita cepat-cepat ke stesyen sana, nanti terlepas bas susah pula.”
Rizal membayar harga minuman dan makanan yang telah dimakan sebentar tadi. Kedua-duanya melangkah meninggalkan restoran kecil itu menghala ke setesyen bas yang terletak di bahagian bawah bangunan itu.

                                           *    *    *

Rizal memandang keluar bas dari jendela yang dibiarkannya terbuka. Menikmati panorama alam sekitar di sepanjang lebuhraya. Lembah Kelang sudah ditinggalkan. Kini laluan bas sedang memasuki lebuhraya Karak arah ke timur.
Lebuhraya yang dibina dengan teknologi tinggi Korea itu melalui banjaran Titiwangsa yang menjadi mangsa tarahannya.Di kiri-kanan jalannya terserlah kehijauan hutan belantara yang di selangi di antaranya ladang sawit dan getah juga dusun-dusun buah-buahan. Tidak ada sebarang bangunan yang tegak berdiri di sepanjang lebuhraya kecuali plaza tol dan kawasan rehat dan rawat berdekatan bandar Temerloh.
 Di sisinya Fareez sedang membelek-belek sebuah majalah hiburan yang dibelinya di kedai di Hentian Putra.
 Wajah yang tertera di kulit luarnya tersenyum kepadanya. Cantik dan manis orangnya pada pandangannya. Rizal hanya mengerling gelagat temannya itu yang mula menyelak sehelai demi sehelai lembaran majalah itu.
Ketika itu juga lantas ia terkenangkan mamanya. Mamanya yang gemar membaca majalah seperti Fareez. Hatinya diserbu sayu mengenangkan kesedihan mamanya yang ditinggalkan hanya kerana kepentingan dirinya ingin mencari ketenangan jiwa. Menyesal pula rasanya. Tetapi langkah yang dibuat, pantang undur baginya.
Dia cuba melelapkan matanya, cuba melupakan gangguan-gangguan yang mengasak jiwanya. Bas terus melaju di lebuh raya pantai timur yang baru saja siap pembinaannya.                 


6 comments:

  1. Makin seronok pulak kakak baca kisah ini
    Nampak gaya Fareez akan jadi kawan baik Rizal lepas ini.

    ReplyDelete
  2. ya semakin menarik kisah seterusnya kakzakie...fareez jd kwn baik rizal....tq kakzakie selalu ikutinya.

    ReplyDelete
  3. Kak Paridah, ini akak tulis sendiri ke? Wahhh!! Hebat akak.. Zaman sekolah ada cita-cita ak jadi penulis novelis tapi tak kesampaian...tulis dalam blog ajee la...hihi

    ReplyDelete
  4. ha'ah akak tulis adaptasi skrip drama tv fauziah samad...dialognya fauziah tulis n kak tambah sikit2...xdelah hebat pun saja suka2 menulis...kalau aisyah minat nk jadi novelis mulakan berkarya perlahan-lahan..tulis di blog pun ok...tq aisyah.

    ReplyDelete
  5. YEKE...TQ ZUMAL SUDI IKUTINYA.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist