Jam di dinding
sudah menunjukan angka sembilan pada jarum pendeknya. Maknanya waktu pagi sudah
berada di angka itu. Shaari turun ke ruang tamu. Riuh suaranya berteriakan nama
isterinya.
“Majmin..Majmin.”Serunya.
Senyap. Tiada kedengaran balasan sahutan.
Mak Kiah bergegas
mendapatkan tuannya. Bimbang tuannya itu memerlukan sesuatu dan dia akan tolong
mendapatkannya dengan seberapa segera.
“Kenapa Datuk?” Mak
Kiah sudah berhadapan dengan Datuk Shaari. Di tangannya ada sehelai tuala kecil
kerana sebentar tadi dia sedang mengelap pinggan-mangkuk di dapur. Kerja-kerja
yang menuntut perhatiannya tidak pernah diabaikannya.
“Datin ke mana ni?
Puas saya panggil tadi.” Matanya melingas sekeliling ke serata ruang. Kepalanya
di toleh kanan dan kiri sedang tangan mengikat tali leher yang berurna sepadan
dengan kemejanya.
“Datin pergi
supermarket Datuk.”Mak Kiah menjelaskan kalut.
“Rizal belum
bangun lagi ke?” Beralih pula topik pertanyaannya. Soal ketiadaan isterinya
telah dilupakannya.
“Rizal pun sudah
keluar. Saya tidak perasan pula bila dia keluar. Selepas Datin keluar, saya
naik ke atas hendak kejutkan Rizal sarapan. Tengok-tengok dia sudah tidak ada.”
Mak Kiah bercerita urutan peristiwanya satu persatu..
Datuk Shaari
merengus keras mendengarkan keterangan Mak Kiah. Sepasang matanya bersinar
menerjah pandangan Mak Kiah yang serba tidak kena jadinya.
“Macam manalah aku
hendak lekat di rumah ni kalau pagi-pagi lagi semua orang sudah tidak ada di
rumah. Kalau selalu macam ni aku tidak balik langsung baru tahu.” Di kala itu
perasaannya sebal sungguh. Datuk Shaari berjalan ke pintu membawa rasa dongkol
hatinya. Mak Kiah menahannya dengan pertanyaannya..
“Datuk tak nak
sarapan ke?” dia sudah menyediakan di atas meja, roti, telor separuh masak,
mentega, jem dan satu teko air kopi panas. Itu adalah menu kebiasaan sarapan
pagi Datuk Shaari.
“Kau kan tahu aku tidak
pernah sarapan seorang diri di rumah.”
“Sesekali apa
salahnya Datuk.” tukas Mak Kiah dengan sengihnya. Cuba hendak mendinginkan kepanasan
hati tuannya yang tiba-tiba saja mencanak kemarahannya di pagi hari.
“Kau ni ada saja.
Aku hendak ke pejabat ni. Kau bagi tahu Rizal, malam ni dia jangan kemana-mana.
Tunggu sampai aku balik.”ujarnya berbaur arahan yang mesti dipatuhi pembantu
rumahnya itu.
“Baik Datuk.”
Balas Mak Kiah dengan nada suara yang perlahan, akur menurut perintah. Di
biarkan Datuk itu berlalu melepasinya hingga keluar dari pintu masuk utama.
Shaari sudah
menapak hingga keluar dari rumahnya. Drebarnya sedang menunggunya. Lelaki itu
menyambut briefcase yang dibawanya. Handphonenya
berdengut. Dia menancap nombor yang tertera. Kemudian menekan butangnya dan
menjawabnya.
“Hah...apa kau nak
ni?” Dia sudah tahu siapa yang memanggilnya kerana itu dia menjawabnya
halai-balai sahaja.
Dia terdiam
memberi fokus kepada berita yang akan disampaikan kepadanya.
“Oh Ya ke...kau
memang cekap. Tunggu aku di sana .”
Dia tersenyum lebar kerana berpuas hati dengan apa yang masuk ke gegendang
telinganya. Kabar yang sangat menggembirakannya.
Drebar itu tidak
menghiraukan apa yang diperkatakan tuannya dengan komponen kecil yang boleh
bersuara itu. Dia setia menunggu tuannya mengisi perut kereta untuk membawanya
ke pejabatnya di jalan Ipoh .
* *
*
Di dalam
pejabatnya, Datuk Shaari begitu asyik menatap lembar demi lembar majalah
terbitan terbaru yang dibawa Amin. Sebelum itu dia baru usai menyemak dokumen
perjanjian dengan sebuah agensi kerajaan berhubung dengan pengekspotan minyak
sawit yang separa proses dari pelabuhan Kelang ke negara-negara Kuwait, Qatar,
Syria dan Jordan yang perlukan perkhidmatan kapal-kapal syarikatnya.
Kini dia sedang
memberi penumpuan khusus pada hobi barunya.
“Mak oii..Amin.
kau kontek artis ni cepat. Aii...tak sabar-sabar hendak berjumpa dengan artis
yang jelita sungguh ni.” Pandangannya terpaku pada potret gadis yang menghiasi
kulit majalah yang keras licin itu.
Amin memandang
majalah yang ada di tangan Datuk Shaari.
“Yang sebelah tu
lagi cun Datuk. Saya ada nombor telefon dia. Lagi mudah hendak kontek.” Amin
membelek lembar di sebaliknya, cuba
hendak menepis keinginan Datuk Shaari dari hajat sebenarnya.
Barangkali dia
tidak mahu berurusan dengan sesuatu yang sukar pada jangkaannya kerana dia
tidak mengenali artis yang dimaksudkan. Pada perkiraannya gadis itu adalah
artis baru yang serba-serbinya baru. Baru tersadai di persada seni.
“Yang sebelah ni?
Tidak...tidak...tidak... bukan citarasa aku. Tapi kalau kau ada nombor dia tentu
dia tahu hendak cari si… apa nama dia?”
“Anita Datuk.”
Balas Amin pantas. Nampaknya dia juga sudah mengkaji-kaji maklumat siapa
gerangan artis cantik yang sangat mempesona itu.
“Hah...Anita...
kau memang cekap.” Amin mula terlambung dengan pujian tuannya yang menghargai
kredebilitinya. Mula menunjuk lagak dengan bicaranya yang mendabik dada..
“Ala ..Datuk. kan saya ni orang kuat Datuk. Datuk sebut
je, mesti ada depan mata punya.” Pantang dipuji segera menyerlah keegoan sifat
pembantu peribadinya itu. Ini yang membuat Datuk Shaari tidak berapa berkenan
dengan perilaku Amin.
Datuk Shaari
menyelak lembar yang lain. Niatnya hendak menduga dan mengena pula.
“Yang ni boleh
dapat juga ke?”
“Tidak payah
hendak bermimpi di siang harilah Datuk.” Amin bagai digeletek hatinya
mendengarkannya, seronok tertawa terbahak-bahak. Potret Sitti Nurhalliza yang
tersenyum ayu, manis dan manja seakan menjeling dua karekter manusia yang
sangat menjengkelkannya.
* * *
Tengah hari yang
mula menyebarkan bahang habanya. Di sebuah lokasi penggambaran drama, Anita dan
Sarina sedang melakonkan satu babak mengikut skrip yang diberi sutradaranya.
Johan selaku pengarahnya sedang serius dengan kerja-kerja pengarahannya.
Handphone milik sesaorang berdengut,
mengganggu konsenterasi sang sutradara. Dia mula berang. Dipanaskan lagi dengan
bahang panas hari yang menyerap ke tubuhnya. Matanya mulai berpinar-pinar.
“Cut.” Jeritnya.
Keras suaranya.
“Siapa punya handset pulak tu. Kan dah beribu kali aku cakap, kalau sedang shooting offkan handset. Tak reti bahasa Melayu ke?” kasar sekali nada yang
terhambur dari bibirnya. Wajahnya yang merah disambar bahang mentari turut
menyumbang peningkatan digri kemarahannya. Dia bangun dari kerusi yang
didudukinya, berjalan mundar-mandir dengan wajah suram bercampur geram.
Sarina berlari
mendapatkan handsetnya. Kerana dia kenal dengan lagu yang disetkan ke dalam
memorinya. Lantas menjawab panggilan itu dari jarak yang jauh.
Sarina melambai-lambaikan
tangan ke arah Johan selaku memohon maaf. Lelaki itu bertambah meluat dan
menyampah kerana perangai artis yang langsung tidak berdisiplin itu. Selalu
sangat menimbulkan kerenah yang memeningkan kepalanya.
Johan menghenyakan
ponggongnya semula di atas kerusi ‘DIRECTOR’ dengan geram kerana tindakan artis
yang memualkannya dan mengganggu kelancaran tugasnya.
Anita berjalan
perlahan-lahan mendekati Johan.
“Abang hendak air
ke?” lirih suaranya ingin meredakan kepanasan pengarah yang membara.
“Air sekolam pun
tidak akan dapat redakan marah aku ni.” Tukasnya sinis.
“Ala bang...janganlah cakap macam tu. Nanti
habis shooting, kita pergi makan ayam ‘tandoori’ kegemaran abang tu.” Lembut
suara Anita berusaha memujuk sang sutradara dengan umpanan habuan yang
dijanjikan. Bagai memujuk menggula-gulakan seorang anak kecil pula.
Sesaorang itu
sentiasa ada sifat kelemahan dirinya. Kadang-kadang mudah dipujuk dan suka
dipujuk, menurut pertimbangan Anita. Dia tidak merasa rugi melakukannya demi
untuk kebaikan bersama.
“Kau pergi cepat
panggil Sarina kesini sebelum aku jadikan dia ‘tandoori’ aku sekejap lagi.”
Mencerlang matanya menujah anak mata Anita yang bening berkaca.
Anita terus
berlari mendapatkan Sarina. Sarina masih melekapkan handphone di telinganya. Selesai sudah bual bicaranya dengan
pemanggil di gelombang maya itu.
Sarina membisik
sesuatu ke telinga Anita. Anita terdiam. Wajahnya berubah warna. Sarina hanya
tersenyum memerhati reaksi temannya itu.
Johan masih
memandang gelagat kedua-dua artis itu dari jauh. Dia menggaru-garu kepalanya
yang mula kegatalan kerana jemu menanti kedua-duanya memasuki set penggambaran
semula.
Pandangannya
teralih pada kru penggambaran yang juga masih ralit tertonggok di sisi tugasan
yang belum selesai disempurnakan. Jurugambarnya sudah menentukan lensanya
kemana hendak difokuskan dan hanya menanti objek utamanya yang akan melintas di
hadapan kameranya. Begitu juga dengan setiap kru yang lain yang sentiasa
bersedia menerima arahan daripada sang Pengarah.
Dia bangun dari kerusi yang didudukinya.
Tidak mahu lagi membuang masa berjeda hanya kerana tingkah sesaorang yang
sangat memualkan hatinya.
“Sudah. Kemas
barang-barang semua. Kita berambus.” Jeritnya pada kru-kru penggambaran.
Masing-masing lintang-pukang mengemas berbagai peralatan lampu, kamera dan prop
memasukannya ke dalam van yang sedia ternganga pintunya.
Johan melangkah
pantas meredah angin yang bertiup tiba-tiba menampar wajahnya menuju ke
keretanya yang diparkir di pinggir jalan di bawah rimbunan pohon ketapang. Di
sisi ketapang ada pohon dedap yang merah menyala bunganya tapi tidak punya
harumannya.
Dia mendongak
sedikit melihat bunga-bunga dedap yang sedang galak berbunga itu. Dan tersenyum
sinis mengenangkan sesuatu dan memberi tamsil sesuatu berlandaskan pada
kecantikan bunga dedap itu.
Cantik bunganya
tetapi tidak berbau wangi. Tinggi pula letaknya di atas pohon di hujung daun.
Ah! Lupakanlah. Usah difikir keterlaluan. Bisik hatinya.
Penggambaran kali
ini tertunda kerana olah seorang dramatisnya. Situasi sebegini bukan sekali dua
dialaminya. Sudah acap kali. Sangat hairan di hatinya, sikap seseorang yang
dibayar dengan tinggi untuk melaksanakan tugasan yang disangkut ke bahunya
tetapi melakukannya sambil lewa dan tidak ada komitmen yang fokus. Sepatutnya
seseorang itu menjayakan tugasan yang diberi kepadanya dengan penuh
tanggung-jawab.
* *
*
Sarina sedang
memandu Wira hitamnya. Anita di sebelahnya menemaninya seperti selalu. Wajahnya
kelat menggambarkan perasaannya yang suram, tidak tenteram gara-gara perilaku
Sarina. Tetapi Sarina langsung tidak mengambil kisah. Selamba sahaja. Dia tahu
Anita sedang memandangnya dengan sinis. Dia tidak ambil pusing pun.
“Pasal kau lah
shooting kensel hari ni. Kau tidak patut buat abang Jo begitu.” Suara Anita
tinggi sedikit tonasinya seakan hendak menempelak. Tetapi dikawalnya agar tidak
terlalu ketara.
“Apa pulak salah
aku? Tiba-tiba saja dia angin satu badan, aku nak buat macam mana?” Sarina
membalas kata-kata Anita dengan sanggahan alasan yang memenangkan dirinya. Apa
pun dia tidak mahu kalah dan tidak merasa langsung bahawa dirinya yang patut di
persalahkan.
‘Johan tu yang tak
reti nak bersabar. Salah kita sikit nampak je. Nak tunjuk sangat kononnya dia
tu berkuasa dan boleh marahkan orang ikut suka…boleh belah. Ini Sarinalah.’ Dia
menggumam dalam diamnya.
“Memang pun salah
kau. Talipon kau tu asyik berbunyi je. Dahlah tu budak ekstra tu asyik terlupa
dialog je, manalah dia tidak berang.” Anita melepaskan pandangannya ke jalan
raya yang disesaki kereta berjejal-jejal menghala arah yang tidak diketahuinya.
Di pinggiran jalan
anak-anak sekolah beruniform lengkap sedang berjalan ke pondok menunggu bas dan
ada yang telah duduk di bangkunya menunggu bas tiba. Dia terkenang-kenang
melalui saat-saat itu bersama Sarina di kampungnya suatu ketika dulu.
“Ah sudahlah. Elok
juga tidak sambung shooting, kan
kita ada janji hendak bertemu dengan Datuk Shaari.” Ujar Sarina masih
mempertahankan kewajaran sikapnya yang mengambil mudah dalam menangani sesuatu
perkara.
Hilang terbang
memori itu di tepis suara Sarina yang mengawang di ruang maya.. Dia kembali
berhadapan dengan Sarina hari ini. Bukan Sarina sepuluh tahun lalu. Wajah itu
ditatapnya polos.
Anita
terpinga-pinga mendengar tutur bicara Sarina dan sukar menghadam-lumatkan
maksudnyanya. Dia terkeliru dengan nawaitu itu. Apa pula motifnya kali ini. Dia
tertanya-tanya. Siapa pula agaknya watak terbaru yang tiba-tiba berada di dalam
drama hidup peribadi kawannya itu. bingung pula dirinya memikirkan gelagat
Sarina.
“Datuk Shaari mana
pulak ni? Hari tu Datuk Shamsi. Hari ni Datuk Shaari pulak. Sampai bila kau
hendak berhenti kerat orang-orang tua tu hah?” rasa jengkel hatinya yang tidak
senang dengan tingkah temannya itu terhambur juga.
Mudah-mudahan niat
baiknya hendak menegur sikap kawannya yang keterlaluan pada pandangannya tidak
di salah-ertikan. Hatta Sarina mahu menerimanya dengan baik. Seorang rakan yang
baik wajar menegur rakannya sekiranya tingkahnya itu semakin keterlewatan dari
batas-batas hidup yang bernilai. Anita memegang kepada prinsip itu.
“Kau cakap tu
baik-baik sikit. Mulut kau tu ada insuran ke? Bila masa pula aku kerat
orang-orang tu. Datuk-datuk tu yang murah hati sangat. Sanggup berhabis duit
kerana aku. Dia orang bagi, aku ambil. Rezeki jatuh ke riba, buat apa hendak
ditolak. Membazir saja. Membazir tu bukankah kerja syaitan.” Dia tersenyum
senang.
Bijak pula
mengutip firman yang terbiasa pada pendengarannya setiap kali menjelang bulan
Romadan. Alim ulama, ustaz, ustazah sering mengingatkan muslimin-muslimat
jangan menyediakan juadah secara berlebihan sewaktu hendak berbuka puasa kerana
tidak semuanya habis dimakan.
Bila tidak habis
dimakan tentulah dibuang dan membazir. Janganlah membazir kerana membazir itu
kesukaan syaitan. Dan mencemari kesucian bulan yang mulia. Pantas saja dia
mengutip kalimat itu dan mengulangi menyebutnya di hadapan kawannya yang
terkedu. Terkesima.
Langsung tidak mempedulikan ocehan temannya
yang sentiasa dianggap hendak mengatur cara hidupnya. Dia merasa dia jauh lebih
berpengalaman dari Anita dalam mengharungi hidup sebagai artis. Dia cukup arif.
Dan Anita tidak perlu menegurnya begitu begini. Sebaliknya Anitalah yang
sepatutnya mendengar dan menuruti apapun katanya.
“Kau hantar aku
balik dulu. Aku penat. Hendak berehat. Lagipun banyak kerja yang hendak dibuat
sebelum kita bertolak ke pulau. Kau hendak pergi jumpa Datuk mana sekalipun kau
pergi. Aku tidak akan ganggu urusan kau. Dan jangan pandai-pandai nak libatkan
aku pulak.” Anita tidak kuasa lagi hendak bertegang leher dengan Sarina yang
sukar dirubah sifat kebiasaannya itu.
“Ala Nita please…Ini kali pertama aku jumpa Datuk
tu. Kawan aku si Amin tu baik dengan Datuk tu. Dia jadi pembantu Datuk tu. Kau
ikutlah aku temankan aku. Aku tidaklah malu seorang diri.” Dia menyentuh bahu
Anita dengan tangan kirinya lunak. Sementara tangan kanannya kemas memegang
stereng keretanya, mengawal pergerakanya agar tidak tersasar dari laluan
sebenar..
“Selama ini bila
kau keluar bertemu datuk-datuk, aku tidak pernah pun temankan. Kau tidak pernah
sebut pun kau malu hendak berjumpa datuk-datuk yang kaya raya tu? Pelik
sungguh. Kalau malu tidak payah jumpa. Lagipun kawan kau Amin tu kan ada. Tentulah dia
boleh menjadi teman kau.”
Sarina sibuk
mencari alasan untuk meyakinkan Anita agar mahu menemaninya.
“Eh Amin. Amin kata dia tak ada. Tolonglah
aku. Bukankah kau ni satu-satunya kawan baik aku. Susah senang kita sentiasa
bersama.” Di matanya terawang-awang gelagatnya yang sentiasa mengganggu Anita
membuat kerja-kerja sekolah yang diberi gurunya dengan mengajaknya mencari ikan
di tengah sawah atau ronda-ronda di kuala melihat nelayan pulang dari laut.
Sewaktu kecilnya
dia tidak langsung memperhatikan tentang pencapaian pembelajarannya di sekolah.
Dia selesa dengan cara hidupnya yang sentiasa bersenang-senang dan mengabaikan
kepentingan pelajaran.
Tetapi sikap Anita
berbeza. Meski dia berkawan baik dengan Sarina tetapi sikap Sarina yang
merugikan dirinya itu tidak mempengaruhinya.
“Ah itu bukan
masalah aku.” Sarina terpana, menarik wajah masam mencuka demi mendengar buah
bicara temannya. Dia tidak gemarkan jawapan yang singgah di cupingnya itu. Dia
memecut keretanya dengan laju tanpa memperdulikan Anita yang kecut perut dan beristigfar
bertali-temali.
“ Astagsfirullah. Hati-hati
sikit memandu tu Ina. Apa yang hendak kau kejar. Datuk tu memang tak lari. Dia
sedang tunggu kau tu. Dengan senyum manis dan rezeki yang melimpah-limpah
hendak dicurahkannya ke riba kau.” Anita merasa kecut perutnya lantaran
ketakutan bimbangkan aral yang akan menggangu kerana sikap Sarina memandu
dengan tidak berhati-hati itu.
Memandu dengan
berwaspada untuk mengelakan kemalangan dari terjadipun belum tentu terjamin
keselamatannya, apa lagi jika memandu dengan cuai. Seakan dengan sengaja hendak
mengundang nahas. Anita ngeri sekali memikirkan itu. Wajahnya pucat lesi. Kata
orang ditoreh tidak berdarah. Hanya sekadar kata.
Sarina tersenyum
polos. ‘Rasakan kau Nita. Tahu kau kecut perut.’ Dia menarik kakinya dari
menekan pedal minyak. Kelajuan kereta yang dipandunya menurun normal.
Anita menghela
nafas panjang dan mengurut dadanya.
salam pagi PI, bila datuk berminat, bagitau ja, orang lain tolong siasat ;)
ReplyDeleteWSALAM BABYPOSE..HEH..HEH..KENA SIASAT TU...TQ
ReplyDeleteHanya sekadar kata
ReplyDeleteSelaratan cinta
Menjadi lembaran cerita
Asik dibaca mata...
YEKE..TERIMA KASIH ANISAYU..
ReplyDeletenice sharing
ReplyDeletetq MKL.
ReplyDeleteWalau terlewat baca tetap kakak nak kena baca sebab dah mengikuti dari awal
ReplyDeleteMenyampah betul dgn Datuk Shaari tu - tak sedar dah tua hihi...