Kancil berurna
oren itu memasuki garaj yang tersedia untuknya. Majmin menjuntaikan kakinya ke
jubin kasar sebaik saja pintu keretanya ternganga. Dia baru saja pulang dari
pasaraya membeli beberapa keperluan seharian untuk kegunaan rumahnya.
Mak Kiah menolong
memunggah barang-barang yang dibelinya dari boot kereta.
“Hati-hati Mak
Kiah dengan telor tu. Jangan macam hari tu, saya bukan main jaga lagi semasa
dalam kereta, sampai saja di rumah berderai satu sarang.” Mak kiah tersengih
apabila Majmin mengingatkannya tentang kesilapannya memecahkan sesarang telor
kerana kainnya terkait duri pokok bunga
kertas yang menyebabkan imbangan badannya menjadi tidak stabil kerana berat
membawa banyak barang-barang lain termasuk se sarang telor. Apa yang ada di
tangan jatuh bertaburan. Telor se sarang pecah berderai.
‘Benda nak
terjadi, terjadi juga. Bukan disengajapun. ‘Kun payakun.’ firmanNya. Semuanya
ada rahsia yang tersirat. Mana boleh hendak menidakkannya.’ getus hatinya.
“Lama Datin ke
supermarket hari ni?”
“Saya singgah di rumah kawan saya sekejap.
Anak dia hendak kahwin. Dia minta cadangan saya bagaimana nak buat perhiasan
bilik pengantin.”
“Oh patutlah
lambat.” Mak Kiah bersuara perlahan. Kakinya mulai mengatur langkah penuh
berhati-hati. Tentulah tidak mahu cerita dia memecahkan sesarang telor berulang
kembali. Cukuplah sekali tersalah langkah. Kali yang kedua kenalah beringat.
“Kenapa Mak Kiah? Ada masalah ke sebab saya
balik lambat?” wajah pembantu rumahnya itu dijengahnya dengan kilatan matanya.
Menuntut penjelasan yang segera.
“Datuk bising
tadi, bila dia turun Datin dan Rizal tidak ada. Hinggakan tidak menjamah
sarapan. Katanya tidak berselera makan seorang.” Mak Kiah pantas menuturkan
jawapan yang dinantikan. Majmin merenung kosong.
“Masa saya keluar
tadi dia sedang nyenyak tidur… bila masa pula pandai hendak marah macam
tu…kalau dia tiada saya tidak pernah bising pun,” wajah Mak Kiah ditenungnya. Ada kegawatan di dalam
matanya yang merusuhkannya. Mudahan ianya tidak bertukar menjadi masalah yang
merungsingkannya. Begitu harapannya.
“Mak Kiah bagi tau
dia pasal Rizal? Pertanyaan itu dipasakan ke dalam gegendang pembantu rumahnya
yang setia menadah kuping lebarnya itu.
“Tidak Datin. Bila
Datuk tanya saya jawab saya tidak tahu.” Jawapan yang jujur tulus itu
menyenangkan hati yang bertanya.
“Bagus.” Ada senyum puas meniti di
bibir. Yang terpancar di takungan kelopak anak matanya adalah sinar kelegaan
yang mendamaikan perasaan kerana rahsia anak yang menjadi amanah masih
tersimpan kemas. Belum bocor.
Majmin dan Mak
Kiah bersama-sama bergerak membawa semua barang-barang yang dibeli dengan
banyak sebagai peruntukan kegunaan selama seminggu itu hingga ke dapur untuk menyusunnya pula di
tempat yang sepatutnya.
Datin Majmin tidak
membiarkan Mak Kiah yang menyusun atur barang-barang itu bersendirian. Dia
turut sama turun tangan membantu. Kerja yang berat akan menjadi ringan kerana
sikap saling berkerjasama antara kedua-duanya.
* * *.
Pelanggan-pelanggan
Mewah Café memenuhi setiap meja. Kesibukan yang ketara kerana
pelanggan-pelanggan yang terdiri dari kaki-tangan kerajaan dan swasta sedang
turun dari pejabat masing-masing untuk menjamu selera tengahari. Kelumrahan
yang berlaku kecuali pada hari Sabtu yang agak lengang dan Ahad pula
perniagaannya ditutup seperti kebanyakan premis perniagaan yang lain.
Fadillah meneliti
gerak kerja yang dilakukan pekerja-pekerjanya. Dua orang pelanggan yang duduk
di set meja paling tepi di suatu serokan mencuri perhatiannya. Dia mengamatinya
untuk memastikannya.
‘Datuk Shaari
sedang tunggu siapalah agaknya? Nadia kut..’ hatinya menggumam. ‘Agh… lantaklah
dia hendak tunggu siapa pun. Yang aku sibuk hendak ambil tahu hal orang lain,
apa ke jadahnya,’ dengusnya mengkritik sikapnya sendiri.
Demi kelancaran
perniagaannya dia perlu mengambil sikap ada mata pandang ada telinga dengar.
Tanpa mengambil kisah perihal peribadi sesaorang sekiranya tidak
bersangkut-paut dengan periuk nasinya.
Suatu kejadian
yang amat mendatangkan masalah kepadanya apabila demonstrasi penunjuk-penunjuk
perasaan di jalan raya berdekatan dengan premisnya yang berlaku pada akhir
tahun 90-an kerana ketaksuban pengikut terhadap pemimpinnya yang marah metah
kerana pemimpin kesayangan itu dicantas dari kedudukan utamanya. Tentang itu
dia perlu ambil kisah kerana melibatkan kelancaran bisnisnya.
Dia tidak ingin
momok yang menakutkan itu menjelma kembali menjadi peristiwa yang mengerikan
kerana ramai orang ketika itu menjauhi premis perniagaannya. Ramai juga yang
menyangka bahawa dia adalah salah seorang penyokong pemimpin yang tersingkir
itu kerana membiarkan lokasi premisnya menjadi tempat pedemonstrator
berdemonstrasi.
Jangankan di depan
premisnya yang dijadikan tempat bahang marah sakit hati pengikut pemimpin itu
mengeluarkan api marahnya malah di masjid Negara juga ada yang sanggup
menjadikannya gelanggang percaturan politik.
Sungguh berani
orang orang itu meledakan kemarahannya. Hanya kerana telah hilang kuasa dan
ingin berkuasa kembali. Masjid adalah tempat ibadat yang suci dan penguasa yang
amanah tidak sepatutnya membiarkan kemunafikan mencemari ruangnya walau seinci.
Bila ramai yang
menuding kepadanya pula dia mulai gelabah. Bukan begitu sifatnya. Dia hanya
seorang pemerhati politik bukan pemain politik. Hanya seorang peniaga yang
ingin hidup dalam suasana aman damai dan iklim ekonominya stabil.
Dan dia boleh
meraih keuntungan perniagaannya juta-juta RM lagi tahun demi tahun. Bagaimana
perniagaan hendak berkembang maju sekiranya suasananya huru-hara setiap hari?
Orang baik dan lemah lembut sepertinya tidak akan mengkucar-kacirkan alam yang
aman dan menghuru-harakanya.
Bukankah DEB
(Dasar Ekonomi Baru) yang diperkenalkan almarhum Tun Razak Perdana Menteri
kedua Malaysia
menyasarkan tahap 30 peratus pencapaian bumiputera di dalam perniagaan sekali
gus menambah besarkan kek ekonomi yang selama ini dimonopoli non-bumiputera.
Dia ingin turut
menjadi pemain yang aktif di bidang itu, kerana itu orang bisnis sepertinya
perlukan kedamaian dan kententeraman suasananya untuk kelancaran kegiatannya.
‘The economics must sustain as was creat by
the creator’ kata seorang penganalisis ekonomi yang terlupa hendak diingat
namanya. Dia hanya peka kepada situasi yang menyangkut bisnisnya semata. Bukan
hal-hal kecil yang remeh-temeh.
Tangannya dibawa
menyapu muka. Di hadapannya terbentang realiti. Langkahnya dibawa ke ruangan
dapur. Ketika itu tukang-tukang masak sedang sibuk memasak pelbagai jenis
lauk-pauk.
Dia hanya meninjau
sepintas lalu. Dan kembali membawa dirinya memasuki ruang pejabatnya. Tidak
lagi mahu memikirkan siapa yang akan menemani Datuk Shaari tengahari ini.
Samaada Nadia atau bidadari dari kayangan.
“Mentang-mentanglah
dia tengah meletup sekarang, kita ajak dia makan pun sambil lewa saja hendak
datang.” Datuk Shaari meluahkan rasa tidak senang hatinya kerana kelibat
seseorang yang di tunggu belum juga menjelma.
Amin kelihatan
resah. Sering berdiri meninjau-ninjau persekitaran dan tumpuannya melekat di
pintu masuk Mewah Café.
“Kenapa lambat
sangat ni?” desisnya perlahan.
“Mula-mula tadi
Sarina beritahu saya, tidak dapat datang sebab ada shooting tapi..Datuk
tahukan kecekapan saya. Akhirnya dia lantas setuju. Serta-merta.” Ujar Amin
dengan lagak dan bangga diri memperihalkannya. Tersengih-sengih mempamerkan
barisan giginya yang tidak sekata.
“Itu yang buat aku
sayang sangat pada kau. Memang susah hendak cari pekerja yang cekap macam kau.”
Amin terlambung tinggi mendengar pujian Datuk Shaari. Dia menyeringai dengan
sengihnya yang lebar.
“Tetapi di dalam
kecekapan kau ada juga bangangnya.” Intonasi suara Datuk Shaari ketara
perubahannya. Matanya dijegilkan menujah
pandangan Amin yang tersentak dan terkapa-kapa buntu. Tidak memahami apa
yang dimaksudkan Datuk Shaari, tuannya itu.
“Eh apa pulak
Datuk?” panahan anak matanya yang lughu menyorot wajah tegang di hadapannya.
“Lain kali biar
dia orang yang tunggu aku. Bukan aku yang tercongok menunggu dia orang datang,
macam menunggu buah yang tidak gugur.” Amin terkedu menerima penangan bahasa
Datuk Shaari.
Seakan jatuh
terduduk setelah dilambung tinggi. Sakit sekali. Peritnya seakan terjatuh dari
pohon rambutan di kampung. Dia pernah mengalaminya sekali sewaktu zaman
anak-anaknya yang ligat meredah segenap rimba dan dusun, melastik burung dan
memanjat pokok buah-buahan kegemarannya.
Kecuali sebuah
rumah pusaka. Ibu bapanya yang dikasihi telah berpulang kepadaNya. Sayu dan
hiba hatinya tiba-tiba mengenangkan nasibnya yang sebatang kara di tengah
kotaraya. Mencari rezeki dengan memberi khidmat kepada tuannya yang banyak
tingkah ini.
“Ya lah Datuk,
lain kali saya akan usahakan begitu. Janganlah marah sangat Datuk. Lagi pun
bukannya panas lagi bontot Datuk di kerusi …tu ha…tengok dia orang dah pun
sampai.” Amin menuding jarinya ke arah dua orang gadis cantik yang sedang
mengatur langkah menghalanya.
Dia
melambai-lambai Sarina yang manis tersenyum itu. Wajahnya segar kembali dari
kelayuannya. Umpama bunga raya yang merah menyala disiram embun pagi. Cantik
berseri.
Sarina memaut
tangan Anita mengatur langkah menghampiri meja Datuk Shaari. Shaari terpana.
Begitu kagum menatap kecantikan asli semula jadi gadis di hadapannya. Tidak
berkedip matanya merenung setiap inci wajah Anita. Hampir terlupa hendak
mempersilakannya duduk.
Amin menyedarkan
lamunan Datuk itu dengan menyigungnya lembut. Segera dilepaskan tangan Anita
yang lama di dalam genggaman tangannya.
“Maafkan saya.
Silakan duduk. Saya ni terlampau seronok dapat berjumpa dan berkenalan dengan
artis pujaan ramai hinggakan terlupa apa yang hendak dibuat.” Jantungnya mula
berdegup kencang kerana wajah gadis itu seakan aliran listrik yang merenjat
minda sedarnya.
‘Apa yang sedangku
alami ini.’ Dia bertanya kepada dirinya.
Tetapi dia tidak
dapat menolak hakikat bahawa kecantikan Anita benar-benar menggoda hatinya.
Begitu memukau. Pantas saja keputusan yang dibuat hatinya bahawa dia sudah jatuh
cinta dengan gadis ayu ini. Hanya dengan sekali pandangan mata terus jatuh
meresap ke hulu hatinya. Dan ingin memilikinya. Mesti.
“Ini sedikit
hadiah dari saya untuk Sarina dan Anita.” Datuk Shaari meletakan dua bungkusan
kecil di atas meja dan diambilnya satu dihulurkan kepada Sarina. Sarina
tersenyum menyambutnya. Dia begitu gembira kerana menyangka pemberian itu tentu
tidak ternilai harganya.
“Terima kasih
Datuk.” Segera dimasukan ke dalam tas tangannya..
“Ini untuk Anita.”
Anita memandang Sarina. Tidak tergamak dia hendak menerimanya. Hatinya
keberatan hendak mengambilnya. Secebis senyum tawar tertera di bibir tanpa
sepatah kata yang mengiringinya.
Sarina yang
menyambutnya dari huluran tangan Datuk Shaari. Diletakannya di hadapan Anita.
Anita tidak menjelingnya pun.
“Dia ni memang
pemalu sikit Datuk.” Anita merasa tidak
senang duduk kerana dirinya sentiasa diperhatikan lelaki di hadapannya. Dia
tunduk memandang meja. ‘Kenapalah Datuk ni asyik pandang aku saja. Kenapa? Aku
ni ada tanduk ke…’
“Maaf kami lambat
sikit Datuk. Kali pertama abang Amin telefon, memang kami tidak boleh datang
sebab sedang shooting. Tiba-tiba saja
pengarah naik angin dan batalkan shooting.
Saya apa lagilah, terus telefon Abang Amin beritahu kami tiada halangan lagi.”
Datuk Shaari
merenung Amin dengan tajam. Amin serba salah dan kelam kabut. Dia sedar kini
bahawa cerita yang digembar-gemburkannya hanya dusta. Kepalsuan yang terbongkar
gara-gara Sarina yang terlalu ramah bercerita itu.
Mahu saja
ditutupnya mulut Sarina dengan kedua-dua telapak tangannya. ‘Kau ni menyusahkan
aku je Sarina. Becok sangat mulutnya.’ Amin merenung Sarina yang terkapa-kapa
tidak faham dengan bahasa matanya.
“Oh jadi awak
telefon Amin beritahu dia balik sudah
boleh datang pulak ya. Hmp..begitu ya Amin.” Ucap Datuk Shaari sinis. ‘Berani
kau temberang aku ya Amin. Nanti kau.’ Wajah pucat Amin yang gelabah
ditenungnya tidak berkedip.
Amin mengesat
peluh dingin yang bermanik di dahinya.
Anita pula semakin
resah. Dia tidak menduga sama-sekali Sarina bertekad jua membawanya bertemu
dengan Datuk Shaari. Walaupun berbagai alasan yang diberikan untuk menolaknya.
Sarina merayu-rayu agar permintaannya untuk menemankannya bertemu Datuk Shaari
dipenuhi. “Hanya untuk kali ini saja.” Kata Sarina.
Demi menjaga hati
seorang kawan sekampung, dituruti juga kehendak Sarina walaupun hatinya berat
hendak melakukannya. Mungkin sebagai tanda terima kasihnya kerana Sarina yang
mencari peluang perkerjaan kepadanya di bidang ini. Tanpa Sarina mungkin dia
bukan siapa-siapa. Dia mesti tahu mengenang budi kawan.
“Berapa hari lagi shooting ni?” Tanya Datuk Shaari.
“Tinggal dua hari
lagi di KL. Lepas tu kami berpindah sambung shooting
di sebuah resort.”
“Resort, dimana
tu?” Tanya Shaari tertarik. Sarina menoleh
kepada Anita. Bertanyakan tentangnya. Anita hanya angkat bahu. Dia
langsung tidak kisah dengan bualan itu.
Dan dia tidak mahu
terlibat sedikitpun. Dia hanya berharap peristiwa yang sedang dilaluinya ini
akan cepat selesai.
“Datuk tak nak
ikut kami ke sana
ke. Sambil bercuti boleh tengok kami
shooting.”
“Datuk ni sibuk
memanjang Sarina. Maklumlah seorang ahli korporat. Banyak perkara penting yang
perlu diuruskannya.” Tingkah Amin.
“Eh. Apa pulak
sibuknya. Pandai-pandai saja kau ni Amin. Pasal Sarina dan Anita saya sanggup
ketepikan kerja. Cakap saja resort di mana. Banyak lagi resort yang cantik di Malaysia ni,
saya belum jejakan kaki.” Tukas Shaari sambil membeliakan matanya memandang
Amin.
Amin kehairanan.
Selalunya begitulah alasan penolakan pelawaan sesiapa saja yang dirasakannya
hendak meningkatkan hubungan yang lebih jauh. Datuk Shaari sentiasa
menyetujuinya. Kali ini lain pula jadinya.
Sarina teringat
sesuatu. Cepat-cepat begnya dicapai dan dibuka. Isinya diselongkar. Dia
mencari-cari di sebalik lambakan isi beg yang tercurah di atas meja itu.
“Saya ada tulis
dalam organizer saya ni. Hah..resort Sri Jelapang!” Mencerlang anak matanya
menerima kabar itu. Dia langsung tidak menduga. Hatinya bernyanyi riang.
“Hmm…Sri Jelapang
di Pulau Sioman kan. Eloklah tu… Cantik...” Datuk Shaari tersenyum dan
mengenyit matanya pada Amin Amin terbangun dari kemuramannya kerana sindiran
tuannya yang memedihkan hatinya itu.
Dia turut tumpang
merasai kegembiraan Datuk Shaari. Terasa pula kepercayaan tuannya yang sirna
kembali sediakala. Lega sungguh perasaannya.
Anita menjeling
Sarina. Dia tidak berkenan langsung perbuatan Sarina mempelawa Datuk itu untuk
turut bersama ke pulau peranginan itu. Memanglah dia tidak patut menegah
kemahuan sesaorang untuk membelanjakan wangnya di mana saja tetapi untuk
sewaktu dengannya di lokasi yang sama ia sangat menjelekan. Sungguh
menjengkelkan penerimaannya.
‘Pergilah ke
tempat lain kalau terasa hendak bercuti sangat. Kenapa di situ pula?’
Bila nak sambung?.best ni
ReplyDeleteHEH..HEH..TUNGGU ISNIN DEPAN SUE BEE TQ.
ReplyDeleteAlahai Datuk. Satu hari mesti terkantoi punyalah...
ReplyDeleteKakak nak tengok kalau dia terserempak dgn anak bujangnya baru padan muka.
jumpa lagi dgn kakzakie di sini...tq kakzakie sudi ikutinya selalu..
ReplyDelete