Friday, 22 April 2022

ADIL DALAM MENGHUKUM

 ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA

PERKONGSIAN ILMU: SURAH AN NISA (WANITA)
Muka surat: 96.
Ayat: 106 – 113.


Ayat 106 – 109: Adil Dalam Menghukum.
Ayat 106: Sambungan daripada kisah, kes kecurian yang dibawa kepada Nabi Muhammad saw. Setelah Allah beritahu perkara sebenar, Nabi Muhammad saw beristighfar kepada Allah. Baginda tidak berdosa, kerana itu hanya lintasan hati. Nabi Muhammad saw telah melakukan ijtihad. Kalau ijtihad baginda salah, Allah membetulkannya. Sebagai pemimpin atau hakim, sekiranya menyedari telah membuat keputusan yang salah, dia hendaklah memohon ampun kepada Allah. Allah suruh minta ampun, dan DIA beritahu sifat-Nya GHAFURON, Yang Maha Pengampun dan ROHIMAN, Yang Maha Pengasih. Maka kita selalulah minta ampun kepada Allah.
Ayat 107: Munafik itu melanggar hukum. Dia telah mencuri kemudian bersumpah tidak mencuri, dan tuduh Yahudi mencuri. Allah melarang kita bersubahat dengan orang yang begini. Munafik itu bukan sahaja mengkhianati orang lain, tetapi juga mengkhianati diri sendiri dan menyebabkan dia akan diazab. Allah tidak suka orang yang selalu khianat dan selalu melakukan dosa. Contoh orang yang selalu menipu, dia rasa tidak bersalah untuk menipu. Kita jangan mempertahankan orang yang menipu.
Ayat 108: Munafik boleh menyembunyikan kejahatannya daripada diketahui oleh orang lain. Tetapi mereka tidak dapat bersembunyi daripada Allah. Keluarga Munafik turut bersumpah Munafik itu tidak mencuri. Mereka menyembunyikan kebenaran dan membuat rancangan untuk menutup kesalahan. Mereka bermesyuarat pada malam hari, merancang hendak menipu Nabi Muhammad saw bahawa Munafik itu tidak mencuri, menuduh Yahudi yang mencuri. Allah tidak redha, pakatan jahat mereka. Mereka tidak lepas daripada Allah. Sesungguhnya Allah MUHITHON, Ilmu Allah Sentiasa Meliputi, mengetahui apa yang mereka kerjakan.
Ayat 109: Kadang-kadang kita buat salah dengan mempertahankan orang yang berbuat salah kerana mereka rapat dengan kita. Perbuatan ini adalah salah! Allah sindir: Di dunia kita dapat bantu mereka yang bersalah, di akhirat di depan Allah, siapa berani nak bantu? Siapa yang boleh bantu mereka daripada hukuman Allah? Pasti tidak ada. Oleh itu, kita tidak perlu bantu orang yang bersalah.
Ayat 110 – 113: Jangan Tuduh Orang Lain.
Ayat 110: Allah suruh orang yang bersalah supaya bertaubat. Sesiapa yang melakukan dosa besar Dan sesiapa yang melakukan dosa kecil, semua akan ditimbang dan menjadi berat di akhirat kelak. Sekiranya dia sedar kesalahannya dan memohon ampun serta bertaubat tidak melakukannya lagi. Pasti Allah akan ampunkan dosa-dosanya. Kerana Allah itu GHOFURRAN, Yang Maha Pengampun dan Allah itu ROHIMAN, Yang Maha Pengasih – suka untuk mengampunkan dosa manusia. Jika berdosa dengan orang lain, kena minta maaf kepada orang itu. Jika ambil barang orang, kena pulangkan. Jika dosa itu berkaitan dengan hukum hudud, maka perlu dijalankan hukuman itu.
Ayat 111: Dosa seseorang akan menjadi musibah kepada orang itu sendiri. Ia tidak melibatkan orang lain. Tidak memikul dosa orang lain. Allah itu ALIMAN, Yang Maha Mengetahui apa yang kita lakukan. Dan Allah itu HAKIMAN, Yang Maha Bijaksana dalam menghukum. Kadang kala Allah memberi tangguh kepada pendosa, tidak terus dihukum kerana beri peluang bertaubat.
Ayat 112: Sesiapa yang melakukan sesuatu kesalahan atau dosa, secara tidak sengaja atau sengaja, kemudian dia menuduh orang lain yang melakukan kesalahan itu. Dia telah melakukan dosa berganda! Di akhirat nanti dia akan pikul kesalahan yang besar. Di sana, dosa yang kita lakukan akan menjelma, diperlihatkan oleh Allah dan ada beratnya. Mereka yang jelas melakukan dosa, tetapi mereka tidak kisah, kerana tidak memikirkan hari akhirat.
Ayat 113: Kalau tidak kerana Allah, tentulah golongan Munafik itu berjaya mennyesatkan Nabi Muhammad saw dengan membuat keputusan menyalahi syariat. Golongan Munafik itu memang mahukan baginda buat keputusan yang salah. Tetapi mereka gagal. Mereka sendiri yang menerima kesan buruk. Hakim boleh buat keputusan berdasarkan bukti dan hujah. Sekirannya keputusan hakim silap, dia tidak berdosa. Yang berdosa mereka yang menipu. Golongan Munafik tidak membawa mudarat kepada Nabi kerana Allah jaga baginda daripada melakukan perbuatan yang salah. Allah telah menurunkan kitab al-Quran dan Hikmah, iaitu kefahaman yang mendalam kepada al-Quran. Allah beri ilham kepada Nabi Muhammad saw bagaimana mengamalkan al-Quran. Banyak perkara baginda tidak tahu, melainkan diturunkan wahyu. Allah mengingatkan baginda banyak nikmat yang telah diberikan kepada baginda. Daripada baginda kita turut mendapat nikmat agama Islam.

Wednesday, 20 April 2022

LAGU RAYA

 ASSALAMUALAIKUM


LAGU RAYA

 


Ritma  syahdu

gebu rindu

kenang kisah

mata basah

.

Seni kata

bagai nota

ambang ingat

ilam rengat

.

Ada kisah

rusuh resah

riang girang

sawan perang

.

.

Merdu lagu

dengar lugu

usik jiwa

senyum lewa

 


Tuesday, 19 April 2022

PEMUISI

 ASSALAMUALAIKUM


PEMUISI DAN PEMUISI

 



PEMUISI adalah sebuah persatuan penyair diterajui Dato Radzuan Ibrahim seorang peguam dan penulis mapan, sasterawan aktif dalam arena sastera tanah air.  Tokoh korporat, Tan Sri Dr. Hamad Kama Piah menaungi persatuan ini. Ramai penulis menganggotai persatuan ini. Antaranya Zaleena Ena selaku editor majalah terbitan PEMUISI, Adhyra  AzZahra, Asmira Suhadis, Yuszailan Yunus, Has Yusuf, Norazimah Abu Bakar dll. Kebanyakannya penulis terkenal dan sekian lama bergiat dalam bidang sastera.

            Bagaimana pula aku yang bukan siapa-siapa boleh berada dalam kalangan penulis elit ini. Tiba-tiba saja heh..heh. Sebenarnya semata ehsan penulis Puan Norazimah @GAPENA yang turut menyenaraikan namaku antara penerima zakat asnaf Ramadan 2018 dan 2019. Alhamdulillah rezekiku di situ. Terima kasih banyak Puan Norazimah dan PEMUISI atas budi kesudian berzakat asnaf pemuisi kepadaku dan sahabat pemuisi berkenaan.

            Sejak C19 merajalela mulai 2020 di sini, tiada lagi majlis penyampaian zakat asnaf PEMUISI kepada pemuisi sempena Ramadan. Kalau tidak di dalam majlis inilah aku berpeluang bertemu penulis ternama yang tidak pernah kutemui dan kenali sebelum ini. Sayangnya bertemu berpisah pula. Masa menyurat suratan-Nya. Asmira Suhadis penulis lakon layar TV dan filem terkenal kembali kepada-Nya. Langkahnya dituruti penulis mapan Has Yusof. Dan beberapa hari lalu Yuszailan Yunus seorang pemuzik juga penulis hebat ke alam abadi akibat  serangan C19. Innalillahiwainna ilaihirojiun. Al-fatehah. Amat dukacita kehilangan sahabat pemuisi walau bersua seketika menyapa pandang.

            Kalongan doa dikarang semoga semua sahabat yang melangkah dahulu ke sana berada di sisi-Nya nyaman sejahtera berbahagia amiin YRBA


Sunday, 17 April 2022

KASIH SEPANTUN TULISAN PINGGAN

 ASSALAMUALAIKUM




PERIBAHASA
.
Asih seruntun pesan juragan,
bekal ke huma gulaikan talang;
kasih sepantun tulisan pinggan,
kekal selama tidak kan hilang.
.
Guni berangan terlupa dua,
disidai hendak angkutkan getah;
berani dengan siapa jua,
bagai tidak takut akan antah.
.
Bedak merata gemang meranda,
pelbagai kain cangkuk merawan;
kehendak kita memang berbeda,
bagai lain mangkuk lain cawan.
.
Sida di hutan mengolah santap,
masakkan labu sepantas sanggul;
ada jawatan tidaklah tetap
bagaikan abu di atas tunggul
.
Lonjakan naik lompat dahulu,
terpijak jarum ngilu menyengit;
harapkan baik mendapat malu,
bak hendak harum terlalu hangit.


PIC GOOGLE IMAGES(C)

Saturday, 16 April 2022

BAJU RAYA COP SIRIM

ASSALAMUALAIKUM

Selamat berhujung minggu beribadah puasa dll amalan baik rutin kehidupan selagi bernafas insya-Allah.



kuih tat nenas

susunan mangkuk kertas -

ketuhar lama

 

Hari Lebaran –

tiket pesawat terbang

nawaitu jauh

 

butik pakaian –

baju raya cop ‘SIRIM’

santun famili

 

keladi gajah -

lanskap teduhan laman

carian baru


Thursday, 14 April 2022

PERIBAHASA

 ASSALAMUALAIKUM



PERIBAHASA
.
Diksi
kosa kata
tersusun mengukir
umpama jaring bidalan
maksud
.
Gabung
dalam satu
pepatah simpulan
bahasa Melayu sirat
kias
.
Renung
fikir lama
andai tidak fasih
terjemah jelas kehendak
sinis
.
Bagai
pujangga yang
berpuisi indah
menutur misal tarbiah
murni


PARIDAH ISHAK
DMS
1404022

Wednesday, 13 April 2022

BERGERISEK ADA TAPI TIADA

 ASSALAMUALAIKUM



PERIBAHASA
.
Sejambak bayam, mumbang setalam,
kerisik nenda beri adinda,
lelah merata jeda di panti;
bak ayam hitam terbang malam;
bergerisek ada tapi tiada,
salah ternyata tiada bukti
.
Hilir ke Tenom lama berhari,
mencari akan desa manikam,
manetap cuba redih bidara;
air diminum terasa duri
nasi dimakan terasa sekam
meratap hiba sedih melara.
.
Dia di titi cemas bersunyi,
pualam paut rapat siaga,
kelam bererti diterpa mahu;
rahsia hati kemas sembunyi,
bak dalam laut dapat diduga,
dalam hati siapa tahu.


PARIDAH ISHAK
DMS
1304022

Tuesday, 12 April 2022

LUMRAH HIDUP

 ASSALAMUALAIKUM





LUMRAH HIDUP

 

Nikmat suka

lupa duka

manis masam

sudah resam

.

Senang lenang

jiwa tenang

usah risau

bagai sasau

.

Pening lalat

bawa solat

pasrah reda

senyum senda

.

Fikir mudah

urna indah

kusut-musut

lerai susut



PARIDAH ISHAK

DMS

1104022

MyBloglist