ASSALAMUALAIKUM
KISAH AJIAD
Genre: Novel Kanak-kanak Bergambar
Penulis: Noorlaila Ghafar
Pelukis: Azya Mat Rawi
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
ISBN: 978-983-49-5923-4 (Sastera Kanak-kanak)
Bilangan halaman: 67
Harga: RM25.00
Tahun terbitan: 2026
Pengulas: Paridah Ishak
Naskhah KISAH AJIAD merupakan sebuah novel kanak-kanak bergambar hasil nukilan Noorlaila Ghafar, seorang penulis mapan yang aktif berkarya dalam pelbagai genre sastera sejak tahun 1976. Karya beliau, khususnya dalam bidang novel dan sastera kanak-kanak, banyak diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selain menghasilkan karya kreatif, beliau turut berpengalaman sebagai penyelenggara beberapa buah antologi. Puisi-puisi beliau juga banyak tersiar dalam penerbitan SPTA serta pelbagai media massa.
Ketekunan dan kesungguhan penulis dalam dunia kesusasteraan tanah air tetap terserlah walaupun beliau telah bersara daripada kerjaya perguruan. Sebagai pesara guru yang masih aktif mengajar kelas agama, menyantuni masyarakat setempat dan menyampaikan ilmu, pengalaman serta keprihatinan beliau terhadap pendidikan turut terpancar melalui karya ini.
Melalui KISAH AJIAD, penulis mengetengahkan kisah beberapa haiwan yang disebut dalam al-Quran dengan menghubungkaitkannya dengan pengalaman dan peristiwa yang dilalui oleh watak utama, Ajiad, seorang kanak-kanak yang masih bersekolah rendah. Cerita ini dikembangkan melalui sepuluh situasi yang berbeza. Setiap tajuk dimulakan dengan kisah Ajiad berhadapan dengan sesuatu peristiwa sebelum penulis menghubungkannya dengan kisah haiwan atau makhluk yang terdapat dalam al-Quran.
Sepuluh tajuk yang diketengahkan adalah seperti berikut:
- Lembu Betina – berkaitan dengan Surah al-Baqarah.
- Manusia Jadi Monyet – kisah Bani Israel yang menerima hukuman kerana melanggar larangan Allah berkaitan dengan hari Sabtu.
- Unta dari Celah Gunung – kisah mukjizat Nabi Saleh a.s.
- Kuda Perang – berkaitan dengan Surah al-‘Adiyat.
- Sarang Semut – berkaitan dengan Surah al-Naml dan kisah Nabi Sulaiman a.s.
- Burung Hud-hud yang Bijak – kisah Nabi Sulaiman a.s.
- Tentera Bergajah – berkaitan dengan surah al-Fil.
- Burung Gagak – kisah Nabi Adam a.s.
- Labah-labah – berkaitan dengan surah al-‘Ankabut.
- Tongkat Menjadi Ular – kisah Nabi Musa a.s.
Penyampaian cerita dalam naskhah ini menggunakan ayat yang mudah dan jelas, sesuai dengan tahap pemahaman pembaca kanak-kanak. Pada masa yang sama, kandungannya sarat dengan nilai murni yang boleh membentuk keperibadian pembaca, antaranya kasih sayang, hormat-menghormati, kerajinan, semangat bekerjasama, kecintaan terhadap alam sekitar serta kepentingan menuntut ilmu.
Pendekatan penulis yang menggabungkan pengalaman kehidupan kanak-kanak dengan kisah-kisah yang mempunyai nilai kerohanian menjadikan naskhah ini bukan sekadar bahan bacaan yang menghiburkan, malah turut berfungsi sebagai medium pendidikan. Kanak-kanak diperkenalkan kepada kisah-kisah dalam al-Quran melalui penyampaian yang ringan, dekat dengan dunia mereka dan mudah difahami.
Dari segi fizikal, buku ini diterbitkan menggunakan kertas yang berkualiti dengan ilustrasi berwarna-warni hasil sentuhan pelukis, Azya Mat Rawi. Ilustrasi yang menarik dan mempesona membantu menghidupkan watak serta suasana dalam cerita, sekali gus menjadikan pembacaan lebih menyeronokkan dan sesuai dengan sifat pembaca kanak-kanak yang cenderung kepada bahan visual.
Kesimpulannya, KISAH AJIAD merupakan sebuah karya yang menggabungkan unsur cerita, pendidikan, agama dan nilai murni dalam bentuk yang menarik. Naskhah ini sesuai dijadikan bahan bacaan kanak-kanak di rumah mahupun di sekolah kerana mampu menyemai kecintaan terhadap ilmu, alam sekitar dan kisah-kisah yang terkandung dalam al-Quran sejak usia muda. Lebih penting lagi, karya seperti ini turut membantu memperkenalkan khazanah sastera Melayu yang berteraskan nilai kerohanian Islam kepada generasi baharu
No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”