ASSALAMUALAIKUM
SEBALIK LUKISAN MEGA
Safura mengamati
persekitarannya. Tenang, aman damai. Bayu lembut menyentuh wajahnya. Dia duduk
di serambi menjuntaikan kaki di tangga paling bawah. Terpana memandang binaan rumah di sini dengan
bentuk berbeza yang berdekatan antaranya tersergam cantik. Teguh berdiri dengan
flora pelbagai jenis menghias lanskap halaman. Nampak kehidupan mereka di sini
begitu mewah dan selesa pada anggapannya. Tentulah tiada sebarang masalah
menjadi maslahah menggeluti kehidupan mereka sebagai peserta skim MAJU. Dia mulai
membanding-bandingnya. Kak Ziah duduk di sisi Safura. Mereka berbalas senyum.
Bermula bual bicara ringan awal pagi.
"Suka saya tengok kawan saya yang dah lama menjanda, la ni dia dah jadi isteri peneroka. Hidupnya
cek nampak senang-lenang, mewah makan
minum, banyak duit, tinggal kat rumah batu besaq...berbanding cek yang tinggal
kat rumah buruk tepi laut yang duk kerja menjemuq ikan setiap hari di pengkalan
nelayan. Untungnya nasib hidup dia bertemu jodoh dengan peneroka MAJU.
Senang-lenang macam Mak Long juga." Kak Ziah tersengih saja mendengar
ocehan anak saudaranya yang baru tiba dari Kuala Muda ke rumahnya semalam
dengan menaiki bas. Safura ke situ untuk menziarahi emak saudaranya itu dan
keluarganya pada akhir tahun. Emak saudaranya itu telah sekian lama tinggal di sini.
Sebuah skim MAJU yang telah diteroka
pada awal tahun 60-an.
"Senangnya sekejap saja tu. Mak Long pun tak senang mana.
Hidup seadanya saja." Selamba sahaja Kak Ziah menuturkannya. Dia tersenyum tawar. Mungkin
ada sesuatu terpendam dalam dasar kalbunya. Mengenangkan mutakhir ini beberapa
perkara berlaku luar dari kebiasaannya. Jika dahulu dia dan suami tiasa beroleh
wang perbelanjaan tiap kali jelang hari raya, kini tiada lagi. Wang deviden
saham yang dilabur dalam agensi itu perlu dituntut. Kalau tidak pandai gunakan teknologi
maklumat terkini sepertinya dan ramai
peneroka generasi seangkatan dengannya, jawabnya tentu tidak akan merasa
faedahnya. Berputih mata termangu-mangu.
"Apa maksud Mak Long?" Safura keliru pula. Merenung
wajah emak saudaranya yang masih jelita walaupun telah berusia.
“Cuba Mak Long bagi tau sat kat Cek supaya Cek faham. Awat Mak
Long kata lagu tu.” Safura membahasakan dirinya sebagai ‘Cek’ iaitu sebutan
penghormatan pada yang lebih berusia daripada dirinya dalam loghat utara ketika
bersembang..
"Kawan
hang tu kahwin dengan peneroka yang duda. Selagi laki dia tak mati, senanglah dia sikit. Bila
laki dia dah mati, anak-anak dia dengan arwah bini dia yang tertulis dalam
surat perjanjian masa nak jadi peneroka akan mai ambil balik semua reta laki
dia. Apa dia nak tuntut? Kawan hang tu bukan ada reta sepencarian dengan laki
dia. Semua reta yang ada diperolehi dengan arwah isteri pertama. Sudahnya kawan
hang tu terpaksa balik kampung jugak." Jelas Mak Longnya dengan yakin
justeru dia adalah isteri peneroka yang tidak kering peluh bekerja di kebun
sawit bersama suaminya. Tentulah dia ada harta sepencarian dengan suaminya. Sekiranya
takdir menentukan suaminya meninggal dunia lebih dahulu daripadanya, dia akan
beroleh hak mengurus lot tanah kebun sawit sebagai pewaris kerana agensi MAJU
telah menetapkan begitu dalam surat perjanjian yang di tandatangani sebelum
memasuki skim tanah MAJU.
“Setelah isteri peneroka meninggal dunia, anak-anak pula akan
tanda tangani surat perjanjian pengurusan lot kebun dan memilih soghang yang
layak di antara depa selaku wakil. Hasilnya kelak menjadi sebagai pusaka yang
mesti dibahagikan sesama depa.” Kak Ziah menjelaskannya lagi pada anak
saudaranya itu.
“Bukankah pembahagian reta pusaka ikut faraid?” Celah Safura
mempersoalkannya.
“Adalah sedikit reta faraid bahagian balu peneroka. Tapi manusia
dengan reta dunia selalunya tak jujoq. Langsung tak boleh percaya sangat.
Adalah soghang dua yang amanah. Sanggup depa bagi adil kat emak tiri depa.
Selalunya depa bolot semua.” Kak Ziah menjelaskannya sambil berkalih duduk
melega lenguh.
"Lagu tu ka Mak Long?" Safura ingin
pastikannya. Kak Ziah tersenyum sedikit.
"Lagu tu la cek oi. Hang tak percaya ka? Selama aku duk
sini lama dah, itulah
yang aku duk tengok
berlaku. Hang tak payahlah berangan nak kahwin dengan peneroka walau hang ni
janda. Baiklah hang kerja jemuq ikan tu...duit yang dapat kalau hang tak habis nak makan boleh saja
simpan untuk masa depan. Tiap tahun hang boleh berjalan bercuti mai rumah aku.”
Berjeda malaikat lalu. Sepi seketika.
“Banyak dah yang aku
dengaq cerita bini baru terpaksa jaga peneroka yang sakit terlantaq. Lepas tu mai anak-anak tiri halau dia dari rumah
bila ayah depa dah mati...kesian kan." Kak Ziah berkisah. Safura cuba
menghadam bicara Mak Long. Merenung ertinya.
“Awal tahun baru 2023 MAJU dah tetapkan akaun bersama pulak
bagi suami isteri yang berpisah tapi masih berhak menuntut hasil lot kebun
sawit. Macam-macam masalahnya jadi isteri peneroka ni cek oi. Nampak senang di
mata saja. Masing-masing ada kereta, rumah pun besaq. Tapi cabarannya pun besaq
jugak cek. Masalahnya pun lagilah besaq cek oi. Tak taulah Mak Long nak habaq
kalau tak sabaq. Mula-mula dulu ramai juga yang angkat kaki. Tak sanggup hadap
susah hidup kat sini.” Kak Ziah menghuraikan segalanya.
"Tapi
kalau dah jodoh nak buat lagu mana kan Mak Long," balas anak saudaranya
itu bersahaja. Tersenyum simpul. Safura masih sembunyikan hasrat rahsia sebelum
menyatakannya jelas. Wajah lelaki sebaya emak saudaranya bergentayang di
matanya. Lelaki itu suka mengusiknya. Dan mengajaknya berkahwin. Tapi dia masih
belum beri keputusan. Dia bercadang minta persetujuan emak saudaranya terlebih
dahulu. Emak saudaranya hanya
memandangnya sinis.
“Ikut suka hanglah
kalau duk pikiak lagu tu. Tapi kalau terpaksa mengadap segala masalah yang Mak
Long dah habaq kat hang tu jangan pulak nak salahkan takdiaq. Sebagai orang tua
Mak Long cuma bagi peringat. Mak Long tak mau hang hadap semua masalah gitu.
Hang anak menakan Mak Long. Mak Long tak mau hang susah. Mak ayah hang pun dah
takdak.” Kak Ziah kembali ke dapur untuk menyiapkan hidangan makan tengah hari
suaminya yang akan pulang dari bekerja di kebun sawit. Meninggalkan Safura di
serambi sendirian memikirkan kata pesanannya.
Sinar mentari
melimpahkan bahang di tengah hari. Safura bangkit menjejaki langkah Kak Ziah ke
dapur. Turut membantu emak saudaranya menyediakan itu ini. Kedengaran deruman
enjin motorsikal di luar rumah. Kak Ziah menjenguk daripada pintu dapur yang
dibuka sedikit.
“Abang dah balik
ya!” Suaminya menghulurkan botol air dan bekas bekalan makanan yang dibawanya
ke kebun sawit. Dia setiap pagi akan ke kebunnya membantu pekerja yang diberi
upah menanam benih sawit kerana telah tiba masa tanam semula. Walau daya
upayanya kian lemah kerana faktor usia, dia tetap memilih untuk tidak
menyerahkan pada pihak MAJU mengurus tanam semula. Dia mengelak untuk
berhutang. Dan tidak mahu hasil kebunnya dipotong untuk membayar hutang
pengurusan dan pelbagai lagi yang tidak sedikit jumlahnya. Biarlah dia
bersusah-payah sedikit menurutnya tidak mengapa. Lot kebun sawit miliknya
bergeran seluas 3.4 hektar diusahakan menanam semula. Anak benih pokok sawit muda disulam berseli
pohon sawit tua sedia ada. Dengan cara begitu dia masih beroleh hasil dari
pokok tua sementara menunggu pokok sawit muda membesar dan menghasilkan buah. Semua
ongkos pembelian benih, baja dan segala keperluan berkaitan pertanian sawit ditanggung
sendiri. Menurutnya tanah itu miliknya. Setiap tahun dia membayar cukainya
tanpa bertangguh. Dan dia wajib menjaganya sebaiknya. Kelak akan diwariskan
sebagai pusaka pada anak cucunya. Mengapa pula dia wajar menyerahkan pada pihak
lain menguruskannya sedangkan dia mampu melakukannya dengan kudratnya.
Langkahnya juga diikuti beberapa peneroka yang bersedia menghadapi cabarannya.
Kak Ziah menghidangkan makanan yang sudah disediakannya di atas
meja. Dan mengajak Safura menjamu selera. Suaminya menarik kerusi lalu duduk
bersebelahannya setelah dia usai tunaikan solat zohor.
“Tadi Man datang kebun
jumpa aku kat kebun nak pinjam duit. Katanya nak buat belanja anaknya masuk
universiti.” Kak Ziah mengenali Rahman dan keluarganya yang tinggal di hujung
kampung.
“Abang bagi?”
“Bagilah sikit
setakat yang ada.”
“Dia kan serah
tanam semula pada MAJU PERTANIAN. Tiap bulan kan dapat duit pinjaman sara
hidup. Kita ni tak ada pun sebab tanam sendiri.”
“Duit sara hidup
seribu saja agensi tu bagi, mana nak cukup. Harga barang mahal. Anak-anak ramai
nak tanggung. Tiap hari kena guna duit nak buat belanja macam-macam”
“Jenuh nak pekin belanja
kalau duit sikit, rega barang mahai.” Celah Safura.
“Kat kampung rega
barang tak mahai sangat. Boleh lagi nak hidup. Kalau di sini rega barang lebih
mahai dari KL.” Tambah Pak Long.
“Hang duk kampung tak
susah kan? Nak makan nasi, tanam padi kat bendang tanah pusaka. Ikan nak buat
lauk senang cari dalam bendang, dalam laut. Kat sini semua kena beli walau rega
mahai. Tak beli tak makan. Makan kenyang-kenyang Fura. Rezeki kita anak-beranak
ada. Allah bagi. Tambah lagi nasi.” Kak Ziah mendekatkan mangkok besar nasi
tambah sisi Safura.
Mereka menjamu
selera dengan menu kampung biasa. Namun lengkap khasiat seimbang dengan nasi
panas berlauk ikan selar kuning goreng, gulai ikan pelaling, sambal belacan
berserta pucuk ulam raja.
Suasana malam hening.
Usai solat isyak berjemaah dengan Mak Long dan Pak Long,
Safura duduk bersimpuh di ruang tamu menonton siaran TV. Kak
Ziah dan suaminya turut berada bersamanya.
“Esok cek nak
balik dah. Cuti cek hujung tahun sat ja. Cek mai sini nak jumpa Mak Long, Pak
Long ja nak tau habak. Sebab lama dah tak balik kampung.”
“Macam mana la nak
balik kampung Fura, Pak Long hang ni duk kalut tanam semula sawit. Tak boleh
nak tinggai sebab tanam sikit-sikit. Tak siap-siap lagi.”
“Tu yang cek mai
nak ajak Pak Long, Mak Long balik kampung makan kenduri cek.”
Bulat mata Kak
Ziah merenung wajah anak saudaranya. Terkejut sungguh.
“Alhamdulillah dah
sampai jodoh hang. Sapalah yang nak jadi menantu Pak Long dan Mak Long ni?” Pak
Long tersenyum turut berkongsi kebahagiaan anak saudaranya.
Kak Ziah masih
kebingungan tertanya-tanya. Dia cuma berharap anak saudaranya itu membuat
pilihan tepat demi masa depan hidupnya.
“Awat Mak Long
pandang cek lagu tu? Mesti Mak Long sangka cek nak kahwin dengan peneroka kan?
Taklah! Cek nak kahwin dengan orang kampung kerja tangkap ikan kat laut ja. Mak
Long, Pak Long bukan kenai pun. Kalau Pak Long, Mak Long tak setuju, tak
jadilah cek nak buat kenduri kahwin. Hih..hih,”
jelas Safura diakhiri tawa halus.
“Berkahwin
tuntutan sunah. Rezeki dalam perkahwinan amat luas. Pak Long, Mak Long setuju
saja. Takkanlah kami tak setuju. Nanti hang talipon bagi tau bila tarikh
kenduri nanti Pak Long, Mak Long balik dengan Nani. La ni dia p kursus apa pun
tak tau. Kerja cikgu lagu tu la. Bukan lekat kat rumah.” Rahmat memperikan hal
anak tunggalnya itu.
Safura bersyukur
kerana Pak Long, Mak Long tidak menentang hasratnya. Dia merasa lega. Tapi masih
berat mulutnya memberitahu tentang bakal suaminya pemilik perniagaan tempatnya
bekerja menjemur ikan.
.
Tamat
Glosari:
Soghang - seorang
Pikiaq - fikir
Mai - datang
La ni – tika ini
Menjemuq - menjemur
Reta - harta
Lagu tu – persis itu
Jujoq – jujur
Pekin - berjimat
Habaq – khabar
Besaq – besar
Takdiaq – takdir
Peringat – mengingatkan
Sabaq – sabar
Depa – mereka
Cek – saya
Hang – awak
MAJU – Maju Ardi Makmur

No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”