Showing posts with label TALIBUN. Show all posts
Showing posts with label TALIBUN. Show all posts

Thursday, 24 July 2025

DARIPADA CEMPEDAK BAIKLAH NANGKA

 ASSALAMUALAIKUM




Sigai dedalu melurut kayu,
balam di huma menggetus rata,
mua rasanya lembab membasah;
bagai lalu hangus surut layu,
dalam dilema memutus kata,
kedua-duanya penyebab susah.
.
Adinda hendak carilah bingka,
senda sumandak mengolah nada,
redup ke bandar ada agenda;
daripada cempedak baiklah nangka,
daripada tidak baiklah ada,
hidup sekadar seada-ada.
.
Penghulu Langka mengira-ngira,
peti suasa isinya sundang,
bertam berumpun sewarna perah;
terlalu suka berpura-pura,
seperti rasa manisnya udang,
hai ketam pun berwarna merah.

Sunday, 8 June 2025

SEPERTI KERBAU LEHER TERSEPIT

 ASSALAMUALAIKUM


PIC GOOGLE IMAGES (C)


SEPERTI KERBAU LEHER TERSEPIT
.
Berlama tubuh terbongkok perih,
malar semalu kian membelit,
tersalah ginjat tercucuk ranjung;
umpama tumbuh si pokok sirih,
menjalar dahulu kemudian melilit,
barulah memanjat ke pucuk junjung.
Perhati sambau kusir terhimpit,
kala meranduk padah tersenjang,
akan jeladan redah tersasar;
seperti kerbau leher tersepit,
dihela tanduk sudah panjang,
dilalukan badan sudah besar.
Ruat meritam terpana pipit,
ruat menerung terkena rayap,
ruat seakan ujana landai;
kuat ketam kerana sepit,
kuat burung kerana sayap,
kuat ikan kerana radai.
.
Lilau merintis ketapang enap,
basah di kali cecah merawang,
memantau cari dedai siakap;
kalau pitis sekupang genap,
usah nak beli kancah berkerawang,
atau nuri yang pandai bercakap.

Tuesday, 25 March 2025

AIR

 ASSALAMUALAIKUM



AIR
.
Pair terhenyak meronda malam,
lugai siakap lada diramu,
berlegar-legar lesung carinya;
air beriak tanda tak dalam,
bagai bercakap tiada ilmu,
berdegar-degar kosong isinya.
.
Penyair rancang balada retus,
tergedik-gedik galau beranduh,
jeda di pangkin rakan gelisah;
air dicencang tiada putus,
adik beradik walau bergaduh,
tiada mungkin akan berpisah.
.
Mujair legam waspada hiris,
terhenti-henti jila sahaja,
di para ara suar dikuit;
air digenggam tiada tiris,
berhati-hati kala belanja,
berkira-kira keluar duit.
.
Khair meranum markisa suri,
sisi tanamkan kelisa, rokam,
redih bercermat gara berulang;
air diminum terasa duri,
nasi dimakan terasa sekam,
sedih teramat selera hilang.
.
Mohair aneh ciak tersadai,
terlantun bedil terpaku nanar,
padah tatkala meniti sena;
air yang jernih sayak yang landai,
sepantun adil berlaku benar,
mudah segala pasti sempurna.

Wednesday, 15 January 2025

WALINONG SARI

 ASSALAMUALAIKUM









WALINONG SARI

(Talibun)


Merenung suri jari melentik,

segera dara rapat padanya,

cindai berkilat disambung bimbing,

ringkas gerinya pandang menawan;

Walinong Sari puteri cantik,

Inderapura tempat asalnya,

pandai bersilat melambung lembing,

tangkas langkahnya menumbang lawan.


Anduh di para sumandak lupa,

rambang ketara lewa pandangan,

serba abaikan tercenung diri,

raut selasih tenung alahan;

jodoh setara tidak berjumpa,

Mambang Segara dewa kayangan,

cuba kalahkan walinong Sari,

bertaut kasih di gunung Tahan.



PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

8/1/025

Monday, 13 January 2025

MERENTAK TIDAK MEMUTUS TALI

 ASSALAMUALAIKUM





Cari tenggiri ikan dijeruk,

dengan cempedak campurkan kerang,

ketam diagak lupa timbangnya;

diri sendiri berkelakuan buruk,

jangan hendak salahkan orang,

hitam gagak tak siapa mencelupnya.


Jerat memintas landak tertusuk ,

galau sang sewah hendak mendarat,

terjengah-jengah menggorek terbang;

ibarat ke atas tidak berpucuk,

kalau ke bawah tidak berurat,

di tengah-tengah digerek kumbang.


Mengelau biar hasilan ganda,

halau kumpulan ikan yang mahu, 

pulau serata apungan landai;

kalau belayar dengan nakhoda,

kalau berjalan dengan yang tahu,

kalau berkata dengan yang pandai.


Pasar Serendah kunjungan ramai,

jarang ke situ belek barangan,

tapau beluru keseringan;

tidak mudah menggelamai,

kurang haru cik kambingan,

terlampau haru berlantingan.


Meresah sasau melembing kancil, 

tersentak budak menggetus pasli,

batuk tersedak lambung alami; 

usah dirisau si kambing kecil,

merentak tidak memutus tali,

berantuk tidak melambung bumi.


Galah dirikan usah jatuhkan,

belah dilarik lalu ukirkan,

setelah rekah lurut sekali;

salah makan memuntahkan,

salah tarik mengembalikan,

salah langkah surut kembali.


PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

13/1/025

Wednesday, 18 September 2024

PUTERI LIMAU PURUT



 ASSALAMUALAIKUM


PUTERI LIMAU PURUT

 


PIC GOOGLE IMAGES (C)

Selari jarak balam searah,

lari harimau menurut unta,

tangan merisih di batang pinang,

rotan dipatah direngguh tapan,

silang pulasan meredap teja;

negeri  Perak dalam sejarah,

Puteri Limau Purut jelita,

rombongan Acheh datang meminang,

sultan bertitah tangguh jawapan,

pulang utusan menghadap raja.

 

.

Bendalu lama senang dibasuh,

candik di bahu adik berlalu,

memunggah bata kepung sandaran,

gayat melata setentang lembah,

cari remunggai jalan di sini;

lalu bersama inang pengasuh,

naik perahu mudik ke hulu,

singgah merata kampung pinggiran,

rakyat jelata berdatang sembah,

beri pelbagai hasilan tani.

 

.

Kasturi ragah  bersatu rapat,

bega markisa dedalu celah,

lanang merusuh kecah sengaja,

sembari lela lotong kerumun,

nangka diberi penghulu buru,

semangka pangku terlena letih,

rakan sebelah pangku kuini

dibelah juga ringan bebannya;

puteri singgah suatu tempat,

melega rasa lalu berkelah,

puteri mula memotong timun,

terluka jari lalu berseru,

“Jika darahku berwarna putih,

akan matilah aku di sini.”

benarlah duga dengan takdir-Nya.

.

Santan mendidih aroma sebar,

berkat selidik tunggal laksana,

serakan sekam jenuh dipadat,

seroja sisih, kelisa ampu,

perah di para arang selerak,

kilauan intan lakum ketara;

sultan  bersedih terima khabar,

berangkat mudik tinggal istana,

makam puteri penuh beradat,

hai Raja Aceh rasa ditipu,

kerah tentera menyerang Perak,

menawan sultan hukum penjara. 

Friday, 31 May 2024

NATRAH

 ASSALAMUALAIKUM


PIC GOOGLE IMAGES (C)


Maria Huberdina Hertogh (Natrah)
.
Denak bertanda panah di rawa,
labu merenek perling menuju,
pipiskan lada racik di tanah,
memegang lain diberi maman,
rami siaga sakan ikatnya,
leka memerang pandang terpaku,
rupanya pula lena jenera,
redup cempaka pandak duluan;
anak Belanda di tanah Jawa,
ibu dan nenek saling setuju,
serahkan pada hai Cik Aminah,
pedagang kain dari Kemaman,
demi menjaga akan dirinya,
ketika perang sedang berlaku,
bapanya pula kena penjara,
hidup mereka tidak keruan.
.
Membasuh koleh debu gunanya,
kilatnya sudah begitu cerah,
kawal rahsia tega sahaja,
melagang sungguh kesima sulam,
terjah di lata bawa halia,
terlangkah tuntung angan bersemi,
rembang harinya ansur berambi,
reda bersampan seberang juru;
diasuh oleh ibu angkatnya,
namanya indah iaitu Natrah
awal usia hingga remaja,
berpegang teguh agama Islam,
wajah jelita jiwa mulia,
bernikah gantung dengan suami,
abang angkatnya Mansor Adabi,
pemuda tampan seorang guru.
.
Gelinya jatuh ruwat ingatan,
pandang menjamah terpinga dura,
getus bersela kata berkumat,
arah ke kali rata carinya,
lilau perlahan lelah meruat,
graha diselak bermandi jasad,
lamun menujah tikam tiasa,
lugai tergoyang gerah terhempas;
bapanya Hertogh buat tuntutan,
sidang mahkamah di Singapura,
putus segala kata muktamat,
Natrah kembali pada asalnya,
walau bantahan telah dibuat,
usaha elak menjadi murtad,
namun penjajah cengkam kuasa,
bagai lelayang Natrah terlepas.
All reactio

MyBloglist