Friday, 22 April 2022

ADIL DALAM MENGHUKUM

 ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA

PERKONGSIAN ILMU: SURAH AN NISA (WANITA)
Muka surat: 96.
Ayat: 106 – 113.


Ayat 106 – 109: Adil Dalam Menghukum.
Ayat 106: Sambungan daripada kisah, kes kecurian yang dibawa kepada Nabi Muhammad saw. Setelah Allah beritahu perkara sebenar, Nabi Muhammad saw beristighfar kepada Allah. Baginda tidak berdosa, kerana itu hanya lintasan hati. Nabi Muhammad saw telah melakukan ijtihad. Kalau ijtihad baginda salah, Allah membetulkannya. Sebagai pemimpin atau hakim, sekiranya menyedari telah membuat keputusan yang salah, dia hendaklah memohon ampun kepada Allah. Allah suruh minta ampun, dan DIA beritahu sifat-Nya GHAFURON, Yang Maha Pengampun dan ROHIMAN, Yang Maha Pengasih. Maka kita selalulah minta ampun kepada Allah.
Ayat 107: Munafik itu melanggar hukum. Dia telah mencuri kemudian bersumpah tidak mencuri, dan tuduh Yahudi mencuri. Allah melarang kita bersubahat dengan orang yang begini. Munafik itu bukan sahaja mengkhianati orang lain, tetapi juga mengkhianati diri sendiri dan menyebabkan dia akan diazab. Allah tidak suka orang yang selalu khianat dan selalu melakukan dosa. Contoh orang yang selalu menipu, dia rasa tidak bersalah untuk menipu. Kita jangan mempertahankan orang yang menipu.
Ayat 108: Munafik boleh menyembunyikan kejahatannya daripada diketahui oleh orang lain. Tetapi mereka tidak dapat bersembunyi daripada Allah. Keluarga Munafik turut bersumpah Munafik itu tidak mencuri. Mereka menyembunyikan kebenaran dan membuat rancangan untuk menutup kesalahan. Mereka bermesyuarat pada malam hari, merancang hendak menipu Nabi Muhammad saw bahawa Munafik itu tidak mencuri, menuduh Yahudi yang mencuri. Allah tidak redha, pakatan jahat mereka. Mereka tidak lepas daripada Allah. Sesungguhnya Allah MUHITHON, Ilmu Allah Sentiasa Meliputi, mengetahui apa yang mereka kerjakan.
Ayat 109: Kadang-kadang kita buat salah dengan mempertahankan orang yang berbuat salah kerana mereka rapat dengan kita. Perbuatan ini adalah salah! Allah sindir: Di dunia kita dapat bantu mereka yang bersalah, di akhirat di depan Allah, siapa berani nak bantu? Siapa yang boleh bantu mereka daripada hukuman Allah? Pasti tidak ada. Oleh itu, kita tidak perlu bantu orang yang bersalah.
Ayat 110 – 113: Jangan Tuduh Orang Lain.
Ayat 110: Allah suruh orang yang bersalah supaya bertaubat. Sesiapa yang melakukan dosa besar Dan sesiapa yang melakukan dosa kecil, semua akan ditimbang dan menjadi berat di akhirat kelak. Sekiranya dia sedar kesalahannya dan memohon ampun serta bertaubat tidak melakukannya lagi. Pasti Allah akan ampunkan dosa-dosanya. Kerana Allah itu GHOFURRAN, Yang Maha Pengampun dan Allah itu ROHIMAN, Yang Maha Pengasih – suka untuk mengampunkan dosa manusia. Jika berdosa dengan orang lain, kena minta maaf kepada orang itu. Jika ambil barang orang, kena pulangkan. Jika dosa itu berkaitan dengan hukum hudud, maka perlu dijalankan hukuman itu.
Ayat 111: Dosa seseorang akan menjadi musibah kepada orang itu sendiri. Ia tidak melibatkan orang lain. Tidak memikul dosa orang lain. Allah itu ALIMAN, Yang Maha Mengetahui apa yang kita lakukan. Dan Allah itu HAKIMAN, Yang Maha Bijaksana dalam menghukum. Kadang kala Allah memberi tangguh kepada pendosa, tidak terus dihukum kerana beri peluang bertaubat.
Ayat 112: Sesiapa yang melakukan sesuatu kesalahan atau dosa, secara tidak sengaja atau sengaja, kemudian dia menuduh orang lain yang melakukan kesalahan itu. Dia telah melakukan dosa berganda! Di akhirat nanti dia akan pikul kesalahan yang besar. Di sana, dosa yang kita lakukan akan menjelma, diperlihatkan oleh Allah dan ada beratnya. Mereka yang jelas melakukan dosa, tetapi mereka tidak kisah, kerana tidak memikirkan hari akhirat.
Ayat 113: Kalau tidak kerana Allah, tentulah golongan Munafik itu berjaya mennyesatkan Nabi Muhammad saw dengan membuat keputusan menyalahi syariat. Golongan Munafik itu memang mahukan baginda buat keputusan yang salah. Tetapi mereka gagal. Mereka sendiri yang menerima kesan buruk. Hakim boleh buat keputusan berdasarkan bukti dan hujah. Sekirannya keputusan hakim silap, dia tidak berdosa. Yang berdosa mereka yang menipu. Golongan Munafik tidak membawa mudarat kepada Nabi kerana Allah jaga baginda daripada melakukan perbuatan yang salah. Allah telah menurunkan kitab al-Quran dan Hikmah, iaitu kefahaman yang mendalam kepada al-Quran. Allah beri ilham kepada Nabi Muhammad saw bagaimana mengamalkan al-Quran. Banyak perkara baginda tidak tahu, melainkan diturunkan wahyu. Allah mengingatkan baginda banyak nikmat yang telah diberikan kepada baginda. Daripada baginda kita turut mendapat nikmat agama Islam.

6 comments:

  1. tapi di dunia ini kdg2 org yg bersalah pun terlepas drp hukuman kerana masalah teknikal n kekurangan bukti. x apalah. di dunia kau lepas. di akhirat kaua akan terima hukuman...

    ReplyDelete
  2. siapa yg bersalah patut dihukum walaupun anak atau ahli keluarga sendiri...

    teringat cerita Anakku Sazali..

    ReplyDelete
  3. hukuman manusia selamanya tidak akan memberi sebarang keadilan...

    ReplyDelete
  4. alhamdulillah...satu perkongsian yamg amat bermanfaat

    ReplyDelete
  5. terima kasih berkongsi. besar tanggungjawab jadi orang mahkamah ni

    ReplyDelete
  6. Terima kasih kak perkongsian.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist