Friday, 21 August 2026

LUAH KELUHAN

 ASSALAMUALAIKUM



LUAH   KELUHAN

.

Lahan ke situ menahan rusa,

selandar air dibasuh suku,

memulas ara mengikis pulpa;

keluhan itu luahan rasa,

sekadar zahir rusuh terbuku,

jelas ketara melukis rupa.

.

Bergoyang lampu tertancap tinggi,

biarkan rasa susah mengolah,

kala terjungkir bimbang terpijak;

apa yang mampu diucap lagi,

tegarkan asa usah mengalah,

gemala fikir menimbang bijak.

.

Bertindan tajau berpindah-randah,

cemara redup timpa pulasan,

kenari gayat kerana kelam;

onak dan ranjau sudah diredah

gelora hidup tanpa alasan

lestari hayat laksana alam

.

Pandang pendita sedang mengarang,

silu berdiang perhati kalam.

sebak menaut melarut gersang;

kadang gelita kadang benderang,

berlalu siang berganti malam,

ombak selaut surut dan pasang.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist