CERPEN LAMBAIAN IDIL FITRI.
OLEH PARIDAH ISHAK.
Setelah usai pembedahan ini dia
bercadang pulang ke kampung halamannya nun jauh di utara. Terletak di kaki
gunung Jerai yang tinggi mengawan. Seakan sedang menggamitnya mengajaknya
berlarian pulang melangkahi permatang sawah bendang yang hijau terbentang.
Tidak sabar hatinya menjengah suasana lama yang ditinggalkan. Kenangan lalu di
daerah tenang, nyaman lagi indah itu terimbau satu persatu.
Kenapa pula kali ini hatinya
teringin sangat hendak pulang menyambut idilfitri di tanah tumpah darah
kelahirannya sedangkan selama ini tidak pernah dilakukannya lantaran tiada
sesiapa lagi yang penting di dalam kehidupannya lagi di sana. Yang ada hanya
adik kakaknya dan sepupu sepapat juga kenalan-kenalan lama yang ramai dan tidak
dikenali kerana perubahan wajah dan faktor usia.
Apalagi yang penting kepadanya
jikalau daerah itu hanya mengukirkan sebak di hatinya setelah kehilangan ayah
ibu tercinta yang telah berpulang kepada-Nya. Adik beradiknya pula dirasakan
seolah mengabaikannya lantaran pembahagian pusaka yang tidak adil pada
perkiraannya.
Tanah sawah pusaka peninggalan
arwah ayahnya sudah diberi samarata tidak mengira penerimanya anak lelaki atau
perempuan. Itu dipersetujuinya walau tidak menurut hukum faraid. Namun arwah
ayahnya yang menghibahkan begitu semasa hidupnya. Tiada masalah soal itu.
Kemusykilan yang menyesakkan mindanya adalah persoalan kemana hilangnya barang
emas arwah maknya yang bermayam-mayam banyaknya itu? Kalau mengikut kiraan gram
hampir 300 gram. Masakan Seurat emas walau sesaga berupa rantai, gelang, cincin
milik arwah ibu tidak dilantingkan kepadanya.
Siapa yang menyoroknya? Siapa yang
menyimpannya? Kenapa dia tidak berhak mendapatnya disebabkan dia tinggal jauh
dan ibunya jarang dapat bersamanya walau sesekali ibunya itu berjalan jauh juga
hingga ke selatan tempat tinggalnya sejak berumah tangga.
Berjauh hati sungguh dia dengan
kejadian itu membuatnya menetapkan hatinya tidak mahu pulang ke kampung
halamannya lagi.
“Tak usahlah fikirkan sangat
tentang emas mak awak tu. Harta dunia semuanya. Tak miskin pun kita sebab tak
dapat barang emas arwah mak tu. Barang emas awak yang abang belikan pun dah
sekerat lengan gelangnya. Awak pun jarang pakai. Mujur saya ni jenis tak lupa
berzakat bila cukup haul dan nisab.”
“Saya tu tak kisah sangat bang tapi
sikap kakak adik saya yang tidak adil tu yang menyusahkan hati saya bang. Soal
harta pusaka jangan buat main-main bang. Nanti ditanya Allah bagaimana nak
menjawabnya?”
“Bersangka baik sajalah maknya. Mungkin
arwah dan hibahkan semua barang emasnya kepada adik kakak awak tu.”
“Mungkin benar juga kata abang tu.
Tapi saya rasa tak kan mak buat begitu. Abang kan tau mak kan rapat sangat
dengan saya.”
“Sudahlah tu jangan susahkan hati
awak tu. Tumpukan perhatian kepada pengajian haji kita. Tak lama lagi kan kita
nak berangkat ke Mekah. Berdoa banyak-banyak agar kita diberi kesihatan yang
baik dan dipermudahkan urusan kita di sana. Jikalau mereka tersilap maafkan
saja. Halalkan semua hutang apa saja mereka dengan kita samada kita tahu atau
tidak dan mereka juga ikhlas di hati memaafkan kesilapan kita. Semoga kita tak
berhutang apa-apa dengan mereka dan begitu juga mereka. ”
Apa yang dituturkan suaminya
berbekas di hatinya justeru sangat memahami keutamaan perhatiannya kini adalah
menunaikan ibadah haji. Apacara sekalipun hasrat yang dipendamnya sejak lama
ingin ditunaikannya. Harapannya tiada gendala yang akan menyurutkan niat. Dan
Allah azzawajalla mengizinkan kehadirannya bersama jemaah seantero dunia
berhaji di tanah haram-Nya yang suci mulia.
Ujian kesihatan perlu dijalani
terlebih dahulu sebelum pihak imigrasi meluluskan visanya ke luar negara. Itu
yang amat membimbangkannya lantaran mutakhir ini dia sering demam dan sakit
kepala. Apa saja ubat yang meredakan biarpun seketika akan ditelannya. Sudahnya doktor yang ditemui
di klinik berbayar mencadangkannya membuat pemeriksaan kesihatan yang lebih
teliti di hospital kerajaan.
“Doktor dah sahkan maknya mengidap
kenser payudara tahap 3 dan perlu jalani pembedahan segera.” Riak kesayuan
tertera di wajahnya seiring ucapannya.
Dia juga sudah dimaklumi doktor
yang merawatnya dan tidak mengejutkannya pengulangan khabar itu. Diterima
ketentuan takdirnya dengan reda. Namun hendak mengikutkan saranan doktor agar
menangguhkan pemergiannya ke Mekah setelah pembedahan berat hatinya untuk
menyetujuinya.
“Sakit ini saya yang tanggung, saya
yang rasa, saya yang tahu, saya faham
diri saya dan setakat mana kekuatan saya. Saya rasa saya mampu buat haji walau
sedang sakit. Bila dah selesai tunai haji boleh balik sini dan buat pembedahan
membuang semua penyakit tu.” Yakin dan tegas sekali keputusan yang dibuatnya.
‘Doktor pun bukan Tuhan yang dapat
memastikan ajal maut seseorang berlaku kerana sebab musabab yang dijangka.
Berserah dan bertawakal saja kepada-Nya. Bergantung kekuatan kepada-Nya. Hanya
dia maha melindungi hamba-hamba-Nya.
Dan Allah mengizinkan niatnya yang
suci murni beribadah haji dan lain-lain ibadah mensuci dosa-dosa dirinya seumpama
kelahiran semula seorang bayi yang putih bersih tanpa cela. Terasa beruntung
pula nasib diri kerana berupaya merealitikan impian di hati di kala sakit
begini.
Segalanya dipermudahkan Allah tanpa
sebarang masalah yang menyukarkannya dan suaminya menunaikan ibadah haji
sehingga selamat berangkat pulang ke tanah air.
Hari yang ditetapkannya untuk
dirinya masuk ke bilik pembedahan di sebuah hospital terkemuka tidak
menggusarkannya. Malah tidak sabar lagi dirinya hendak membuang ketumbuhan di
payudara sekaligus berserta payudaranya
yang bengkak merening dan menyebabkan kesakitan teramat.
Tidak terdaya lagi dia hendak
menahan kesakitan yang menyebabkan sekujur dirinya terbujur di
perbaringan. Moga-moga setelah
pembedahan dilakukan segala kekuatan, kegembiraan, kecerian dirinya akan pulih
kembali. Ketika seseorang itu sakit
Allah akan mengambil keserian wajahnya dan segala-gala yang membangggakan
dirinya termasuk dosa-dosanya. Setelah hamba-Nya itu sihat Allah mengembalikan
semula kepada hamba-Nya itu kecuali dosa-dosanya. Mahasuci Allah. Pesan ulama
yang arif begitu.
Doktor yang ditugaskan
mengendalikan kesnya sering bertutur manis menaikan semangatnya dan
meningkatkan motivasi diri agar tabah menempuhi pengalaman yang langsung tidak
pernah diingininya ini. Kalau sudah
terpaksa akan dilaluinya juga.
“Sudah bersedia untuk pembedahan?”
Doktor Hidayah yang bertudung cantik bertanya manis.
“Insya-Allah ….” Perlahan getar suaranya menahan debaran di
dada yang mengombak tiba-tiba.
‘Y a Allah ya Tuhanku sesungguhnya
Engkau yang menciptakanku. Engkau yang memberiku nyawa. Engkau yang memberiku
kehidupan. Aku bermohon kepada-Mu ya Allah ya Tuhanku jika hidupku ini
bernoktah di sini maka ambillah aku dalam keadaan aku mengakui keesaan-Mu.
Sesungguhnya tiada Tuhan yangku sembah melainkan-Mu ya Allah dan Muhammad itu pesuruh-Mu ya Allah.
Namun jika aku masih ada rezeki di
bumi-Mu ini ya Allah maka jayakanlah pembedahanku ini. Berilah aku ihsan-Mu,
angkatlah penyakitku ini, berilah aku kesembuhan, berikanlah aku kesihatan.
Sesungguh-nya segala yang aku miliki
ini adalah milik-Mu yang Engkau pinjamkan kepadaku. Maka hari ini aku pulangkan
kembali hak-Mu ya Allah. Sesungguhnya aku reda dan bersyukur.’
Lalu segalanya gelap gelita.
Suaminya memapahnya turun daripada
kereta sambil berpesan. “Jalan pelan-pelan maknya. Takut terjatuh pula. Awak tu
bukan kuat sangat lagi.”
Sikap prihatin dan kasih sayang
suaminya dirasakannya begitu kental dan
tidak berbelah bahagi terhadap dirinya seorang. Walau apa saja keadaan dirinya
suaminya itu menerimanya dan sentiasa berada di sisinya kala senang dan
susahnya. Tidak pernah melantarkan dirinya sendirian mengharungi penderitaan.
Suaminya itu melayaninya bak
menatang minyak yang penuh. Bagai membawa barangan yg rapuh dan mudah pecah.
Sungguh sangat berhati-hati sekali.
Dan dia pasti akan membalas baik budi suami kesayangan itu seperti yang
dilakukannya selama ini sebagai isteri mithali. Akan kembali bergelut dengan
rutin sehariannya sebagai suri rumah tangga sepenuh masa sesuai dengan
keupayaannya. Walau kesakitan akibat pisau pembedahan masih dirasai
dirinya kengiluan di sana sini namun
diabaikannya. Alah bias tegal biasa.
“Mak ni baru saja balik tapi sudah
nak menjenguk ayam-ayam di reban. Ingat sikit mak tu baru dibedah. Tidak boleh
terdedah dengan hawa kotor dan tempat kotor. Bahaya pada diri mak.”
“Mak kau ni memang degil Suria.
Puas dah bapa pesan, tak dipedulikannya. Ikut suka hati dia saja. Tengoklah
lepas ni apalagi nak dibuatnya.” Suaminya menggelengkan kepala pula. Tandanya
dia tidak menggemari tingkah isteri yang dirisaukan akan menjejaskan tahap
kesihatannya yang diketahui tidak berapa baik itu.
Keesokannya kelihatannya bersibuk pula di dapur menyediakan masakan
suaminya dan anak-anaknya yang cuma dua itu. Hendak tunggu anak-anaknya pulang
daripada pejabat untuk memasak alamatnya kelaparanlah suami isteri itu menunggu
waktunya.
Keesokannya pula dia bersibuk
dengan bunga-bunga plastik hasil kreativitinya dan menjadi sumber pendapatannya
dulu justeru sering ditempah mereka yang berkenaan untuk pelbagai kegunaannya.
Ada yang membelinya untuk perhiasan rumah atau buat menggantung bunga
telor di acara perkahwinan, pertunangan,
khatam quran, berendoi atau berkhatan.
Dan semenjak ia jatuh sakit, asyik berulang alek saja ke hospital
terabailah segalanya, Kini bunga-bunga hasil kerja tangannya yang cantik
berseni itu semakin berdebu kerana tiada
siapa yang membersihkannya.
‘Agaknya kalau aku dah tiada, semua
hasil kerjaku ini akan lusuh dan dibuang saja hmm…’
“Ish! Buat apa pulak ni? Maknya
jangan nak buat bunga lagi dan bermain dengan spray cat tu. Spray cat tu ada
bahan kimia, terhidu saja pun tak baik untuk kesihatan. Berehat sajalah. Tak
payah nak buat apa-apa. Biar Suria dan Mira yang mengemaskan semuanya.”
Mengharapkan kedua-dua anak
gadisnya yang sentiasa sibuk dengan tugas pejabat itu baginya nampaknya akan
menyebabkannya runsing saja memperhati keadaan rumah yang berselerak tidak
terurus. Tapi suaminya menegah pula hasratnya itu. Itu tak boleh. Ini tak
boleh. Bosan pula terasa hidupnya kini.
Menghadapi situasi sebegini
merusuhkan hatinya amat. Ketenangan jiwa raganya perlu dicari. Tiba-tiba saja
hatinya diselubungi kerinduan terhadap almarhumah ibunya. Ibunya yang sangat
menyenangi keahliannya dalam kraftangan.
Pandai menganyam tikar, membuat bakul, menjalin bilah-bilah rotan, membuat
lekar, mencipta aneka bunga kraft daripada aneka bahan terbuang seperti daun
getah amat mengagumkan ibunya. Soal masak memasak apatah lagi semuanya serba
jadi. Dan si ibu sering memuji kepandaiannya, kerajinannya.
Wajah ibu yang telah berpulang ke
Rahmatullah itu bergentayangan di mata. Hatinya sebak dan ada air mata yang
menitis panas di pipinya.
“Kita balik kampung ya raya ni!”
Terkejut juga suaminya mendengar
isterinya bicara begitu. Selalunya suaminya yang mengajaknya pulang beraya tapi
isterinya itu tidak pernah mahu.
“Ish! Puasa Ramadan pun belum masuk sudah kalut nak balik
raya?”
“Ialah tu! Ramadan pun esok lusa
saja, perlulah kita merancang lebih awal.”
“Ikut suka maknyalah. Saya ikut
saja.”
Suami yang tidak pernah membantah apa
saja kehendaknya itu amat dicintainya sepenuh hati. Beruntung dirinya membina perkahwinan yang
kekal berbahagia daripada dahulu hingga kini. Saling berpengertian dan memahami
antara satu sama lain. Doanya semoga kekal bahagia selamanya. Sekiranya boleh
mati pun bersama. Suaminya itu adalah
kaum kerabatnya juga dan ada jalenan persaudaraan yang tidak diketahui
jalurannya celah mana dan sekampung pula.
Maknanya sekiranya dia pulang ke
kampungnya tentulah suaminya itu turut berpeluang menemui saudara maranya juga
di kampung yang sama. Kelak dapatlah
menziarahi pusara Almarhum emak ayahnya dan
emak ayah isterinya. Dan saudara maranya yang mendahului diinya
berpulang ke sisi-Nya.
Tidak sabar pula dirinya menanti
tibanya idilfitri. Lambat pula dirasa hari yang mengangsur pergi. Terlalu rindu
ingin berada di kampung halaman yang sekian lama ditinggalkan. Zaman gadis
pingitannya yang indah bersama ibu tercinta menyediakan aneka kuih menjengah
layar mindanya. Menolong ibu tanpa jemu
menggoreng karas di dapur kayu yang perlu dijaga agar apinya tidak terlalu
marak hingga menyambar dinding rumah.
Berpeluh bergantian bersama ibu
dan kakak adiknya mengacau dodol daripada bancuhan tepong pulut bersama
santan, gula putih, gula Melaka yang awalnya putih cair sehingga pekat, likat
kehitaman. Bukan main lama proses mengacaunya. Menggunakan tenaga yang tidak
sedikit. Alang-alang rajin memang tidak menjadi. Walau dodol hitam rupanya
namun keenakannya tiada tandingannya. Sesuai dengan cara menghasilkannya yang
memerlukan tenaga yang bukan calang-calang.
Membakar bahulu memang menjadi
kemestian ibu tercinta menjelang raya. Kuih bahulu adalah kegemaran ayahnya dan
seisi keluarganya. Menjadi tugas yang
disukai menimbuk telor dengan gula di
dalam pasu menggunakan penimbuk telor yang diwarisi keluarganya sejak lama
sehingga elok naiknya dan boleh dicampur tepung yang sudah disangai terlebih
dahulu sebelum boleh dibakar di dalam periuk yang ditutup dengan penutup tin
berbara api.
Api yang berbara di bawahdan atas
periuk perlu dijaga agar elok masak bahulunya dan tidak hangus. Tugas ibunyalah
berpanas, berpeluh di tepi dapur sedang dia setia menemani ibunya menolong apa yang patut menurut perintah ibunya.
Susahnyalah ibunya itu hendak membuat kuih bahulu cermai dan bahulu ikan yang
cantik molek dan enak untuk hidangan raya kala dulu-dulu.
Selain bahulu masih juga mahu
membuat kuih bakar, bangkit dan tidak ketinggalan putu beras juga putu kacang.
Pulut wajik yang amat manis itupun tidak ketinggalan. Semua kuih-kuih raya yang
teramat digemarinya. Dan kini dia mewarisi ilmu membuat kuih tradisi itu
daripada ibunya dan meneruskan kegiatan
membuat kuih lama menjelang raya dengan bantuan alatan masakan moden yang
semakin memudahkan ianya dilakukan. Pengalaman berpanas dengan peluh merambu
menunggu kuih masak di dapur kayu tidak dialami lagi. Ligat sungguh zaman
berputar membawa perubahan demi perubahan seiring masa.
“Sebelum balik kampung maknya perlu
jalani rawatan kimo dulu. Lepas tu kita terus balik kampung ya!” tersenyum tawar isterinya itu mendengarnya. Tentang
balik kampong itu sangatlah menyukakan hatinya. Tentang bab kimo itu yang
dirasa tidak sanggup untuk menjalaninya.
Sudahlah menyebabkan keperihan dan keletihan sehingga tidak bermaya dan lemah
longlai hilang daya.
Demi kebaikan diri untuk bertahan
menghembus nafas hidup hanya jalan itu yang dianjurkan sebagai pilihannya.
“Mira dan Suria tak ajak balik
sekali?”
“Kata Mira dan Suriia akan balik
sehari sebelum raya. Kedua beradik tu kan kerja. Tak boleh nak ikut sekali balik
dengan kita. Jadi kita balik dulu ke sana. Balik awal bolehlah tolong kak Long
dan adik Cik buat ketupat rendang.”
“Maknya tak payah sibuk nak
menolong buat semua tu. Awak tak sihat. Mereka pun faham keadaan awak.
Anak-anak Cik dan Long pun ramai. Dah besar panjang semuanya dan boleh
menolong.”
Sampai dengan selamatnya pasangan
suami isteri itu ke destinasi yang ditujui. Iaitu kampung halaman yang
dirindui.
Telefon rumah berdering nyaring.
Mira dan Suria kebetulan sedang bersiap sedia dengan beg pakaian masing-masing
yang akan disumbat ke boot kereta sebentar saja lagi. Kedua beradik itu sudah
usai berbuka puasa di hari terakhir Ramadan ini.
“Siapalah yang sibuk talipon ni.
Orang dah nak keluar rumah nak balik kampung ni…”
“Jawab Mira! Kak nak hantar beg dan
barang kita ni ke kereta.”
Suara yang sayup-sayup di gagang
menggoncang dadanya dengan debaran kencang.
“Mak dan bapa kau dah tak ada
Mira.” Suara Aciknya berulang-ulang menendang gegendang deria dengarnya.
“Petang tadi mak dan bapa Mira
menziarahi pusara atok Mira dan tiba-tiba terjatuh tika menyiram air mawar ke
pusara. Bapa Mira membawaya pulang ke rumah dan menghembuskan nafas terakhir di
ribaan abang Ngah. Setelah itu abang Ngah kelihatan tunduk sayu. Acik dan Along
menyentuh bahunya dan memintanya bersabar dan meninggalkan jenazah Angah untuk
kami merapikan apa yang patut sebelum memandikannya. Tapi terkejut sungguh
pabila bang Ngah tak pedulikannya pun dan menyembamkan wajahnya terus. Acik mula rasa tak sedap hati dan
minta adik pupu kau yang kerja misi tu memeriksanya. Rupanya angah dan abang
Ngah telah berganding seiring mengadap Ilahi. Innalillah.”
Amira terduduk longlai. Suria terpinga-pinga. Daripada masjid yang sepelaung jauh jaraknya
kedengaran suara takbir raya merdu sayu. Allahuakbar! Allahuakbar!
Allahhuakbar!
Tamat.
Sayu hati baca cerpennya, Kak Paridah.
ReplyDeleteNasib baik tertunai juga hajat nak balik kampung :(
YEKE..Kita ni setiap kali raya akan sebak pilu dihati terkenangkan saudara2 kita yg telah tinggalkan kita..tq fidah.
ReplyDeleteAsslamualaikum kak, pilu je baca.. Sabar na kak..😊
ReplyDeleteWawa ade buat segmen, jemput join jika berkesempatan kak ye..")
http://vitaminwawa.blogspot.com/2015/08/saya-nak-masuk-bloglist-vitamin-wawa.html?m=1
wsalam dik wawa..tq rajin juga baca.
ReplyDeletenanti kak join segmen wawa tu...tksh pelawa kak.