CORAT-CORET PAK ENGKU
PANTUN-PANTUN PERIBAHASA PAK ENGKU.

RUMAH LIMAS DIBINA JARANG,
ADA SATU DI INGERAGIRI,
DI TEPI DAIK TEGAK BERDIRI;
HUJAN EMAS DI NEGERI ORANG,
HUJAN BATU DI NEGERI SENDIRI,
LEBIH BAIK NEGERI SENDIRI
.
Peribahasa : Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri.
Maksudnya : Walau bagaimana pun baiknya negeri orang tidaklah sebaik negeri sendiri
.
DI TIANG TITI DIPASANG BENDUL,
PAPAN DILETAK JATUH TERHENTAK,
PAPAN MENGANJUR SUDAHLAH RETAK;
BERKETAK SEPERTI AYAM MANDUL,
ORANG BERKETAK IA BERKETAK,
ORANG BERTELUR IA TIDAK.
Peribahasa : Berketak ayam mandul, orang berketak ia berketak, orang bertelur ia tidak.
Maksudnya : Nasib malang yang menimpa sesorang walau bagaimanapun dia cuba meniru perbuatan orang lain tetap tidak mendatangkan hasil.

SUDAH DIMASAK DAGING DISIANG,
GORENG SAMBAL SI AYAM PEGAR,
MASAK MERAH ITU NAMANYA;
BESAR PASAK DARIPADA TIANG,
BESAR SENDAL DARI GELEGAR,
TENTULAH SUSAH AKHIR JADINYA.
Peribahasa : Besar pasak daripada tiang, besar sandal daripada gelegar.
Maksudnya : Berbelanja lebih besar daripada pendapatan yang diperolehi.

DI POHON GETAH SAKAT MENUMPANG,
TERLIHAT UNGKA DI DAHAN BERPAUT;
TIADA PATAH YANG TIDAK TEMPANG,
TIADA LUKA YANG TAK BERPARUT.
Peribahasa : Tiada patah yang tak tempang, tiada luka yang tak berparut.
Maksudnya : Setiap kecelakaan atau perselisihan itu tetap akan meninggalkan bekas atau kesan yang tidak hilang walaupun telah baik.

DIKERAT-KERAT DAHAN LEBAN,
DAHAN BERANGAN SAMA KERATKAN;
SEBERAT-BERAT MANA BEBAN,
LABA JANGAN NAK DITINGGALKAN.
Peribahasa : Seberat-berat beban, laba jangan ditinggalkan..
Maksudnya : Walaupun pekerjaan yang dibuat itu berat namun kalau ada jalan keuntungan, janganlah dibiarkan keuntungan itu begitu sahaja.

IKAN BETUK DI AIR TENANG,
TERKENA JALA IKAN YANG LAIN;
TEMPAT JATUH LAGI DIKENANG,
INIKAN PULA TEMPAT BERMAIN.
Peribahasa : Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.
Maksudnya : Tidak pernah melupai sesutu kenangan itu.

TUMBUH MENGKUANG TANAH BERSELUT,
DURI BERKAIT LUKA DI TANGAN;
BANYAK TUKANG DI MATA DAN MULUT,
SANGAT SEDIKIT TUKANG DI TANGAN.
Peribahasa : Banyak tukang di mata dan di mulut, sedikit tukang di tangan.
Maksudnya : Ramai yang hanya pandai berkata-kata sahaja namun tidak pandai melakukan kerja tersebut.

LUBUK DI HILIR IKANNYA BANYAK,
DITEBAR JALA LARINYA PANTAS;
BANYAK AIR SEDIKIT MINYAK,
MINYAK JUGA NAIK KE ATAS.
Peribahasa : Banyak air sedikit minyak, minyak juga di atas.
Maksudnya : Keadaan yang tidak setara antara orang biasa dengan orang yang berpangkat atau berkedudukan tinggi..

TUMBUH PADI SUBUR KELILING,
LUSA DAN TULAT KE BENDANG JUGA;
JANGANLAH JADI BAK TABUT KELING,
DI LUAR BERKILAT DI DALAM BERONGGA.
Peribahasa : Bagai tabut Keling, di luar berkilat di dalam berongga.
Maksudnya : Orang yang zahirnya nampak baik namun hatinya berniat jahat.
CANTIK BERSULAM SI BAJU KURUNG,
KAIN BATIK PAKAIAN BASAHAN;
ASAL AYAM HENDAK KE LESUNG,
ASAL ITIK NAK KE PELIMBAHAN.
Peribahasa : Asal ayam hendak ke lesung, asal itik hendak kepelimbahan.
Maksudnya : Tabiat atau kebiasaan seseorang itu teramat sukar untuk diubah.

DI HUJUNG KAMPUNG BUNYI BERSAHUT,
TERKENA JERAT BURUNG KETAMPI;
LAKSANA TERAPUNG DI TENGAH LAUT,
DIPUKUL OMBAK JATUH KE TEPI.
Peribahasa : Laksana terapung di tengah laut, dipukul ombak hanyut ke tepi.
Maksudnya : Peri kesusahan hidup seseorang atau anak dagang yang miskin di rantau orang.

ANGIN BERSIRU KAPAL TERJAJAR,
KE TELUK BELANGA KAPAL DIKEMUDI;
KALAU BERGURU KEPALANG AJAR,
BAGAI BUNGA KEMBANG TAK JADI.
Peribahasa : Berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi.
Maksudnya : Ilmu yang dituntut dengan tidak sempurna tidak aka nada faedahnya.
SEKIAN.