Tuesday, 4 August 2015

BIARLAH DAHI YANG BERLULUK ASAL TANDUK DAPAT MENGENA...

ASSALAMUALAIKUM....


PANTUN-PANTUN PERBIDALAN PAK ENGKU

SENJA MENITI MALAM MENJELANG,
DUDUK DI TITI MENIUP GERINDING,
RINDUNYA HATI TERPISAH JAUH;
HARIMAU MATI MENINGGALKAN BELANG,
GAJAH MATI MENINGGALKAN GADING,
MANUSIA MATI MENINGGALKAN NAMA.

Perbidalan: Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati
meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama.
Maksudnya: Jikalau kita mati biarlah kita tinggalkan sesuatu yang baik
dan boleh dikenang orang.

KEMUDI DIPEGANG DATUK TEMENGGUNG,
DATUK PADUKA PERGI BELAYAR,
BERDAGANG AMBAL KE KUALA DELI;
BERANI PEGANG BERANILAH TANGGUNG,
BERANI BUKA BERANILAH BAYAR,
BERANI MENJUAL BERANILAH MEMBELI.

Perbidalan: Berani pegang berani tanggung, berani buka berani
bayar, berani menjual berani membeli.
Maksudnya: Jika kita berbuat sesuatu mestilah berani bertanggung-
jawab atau kalau kita menganjurkan sesuatu kita mestilah
berani mengerjakannya sendiri.

TEPI PERIGI SEMAKNYA TEBAL,
TEBU LANJUNG TUMBUH DI SANA;
IBARAT SELIGI TAJAM BERTIMBAL,
TIDAK UJUNG PANGKAL MENGENA.

Perbidalan: Seligi tajam bertimbal, tak ujung pangkal mengena.
Maksudnya: Orang yang mempunyai dua mata pencarian.

TERSADAI SAMPAN PERAHU BERJENIS,
BELAYAR TONGKANG ARAH KE MUARA;
BILA BERHADAPAN MULUTNYA MANIS;
BALIK BELAKANG LAIN BICARA.

Perbidalan: Berhadapan mulutnya manis, balik belakang lain bicara.
Maksudnya: Di hadapan kita dia berpura-pura baik tetapi apabila di
belakang kita dimaki dan dicercanya.

BUAH NONA SI BUAH BETIK,
BUAH YANG MASAK DI DALAM RAGA;
JANGANLAH KERANA NILA SETITIK,
HABIS ROSAK SUSU SEBELANGA.

Perbidalan: Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Maksudnya: Kerana yang sedikit rosak yang banyak atau kerana keburukan
yang sedikit rosak kebaikan yang banyak.

ORANG PANDAK JUAL JERAMAK,
DIBELI HENDAK JALA SERAWAN;
GEMUKNYA TIDAK MEMBUANG LEMAK,
CERDIKNYA TIDAK MEMBUANG KAWAN.

Perbidalan: Gemuk tidak membuang lemak, cerdik tidak membuang
kawan.
Maksudnya: Walaupun sudah kaya dan penuh kemewahan, kawan yang
dahulu tidak dilupakan atau dikatakan kepada orang yang
pandai bergaul dengan semua jenis orang dan kaum.

DI BATANG GETAH TERTAMBAT KERBAU,
DI BATANG NYATUH SARANG KERENGGA;
BAJAK PATAH BANTENG TERAMBAU,
SUDAHLAH JATUH DITIMPA TANGGA.

Perbidalan: 1) Bajak patah banteng terambau. 2) Sudah jatuh ditimpa
tangga.
Maksudnya: 1) dan 2) Kemalangan atau kesusahan yang datang
bertimpa-timpa atau berturut-turut.

TEPI PERIGI POKOK JERANGAU,
DI DAHAN TERAP SARANG TEMPUA;
SETINGGI-TINGGI TERBANGNYA BANGAU,
SURUTNYA TETAP KE KUBANG JUA.

Perbidalan: Setinggi-tinggi terbang bangau, surutnya ke kubang juga
atau Setinggi-tinggi terbang bangau, hinggap di kubangan
juga.
Maksudnya: Sejauh manapun seseorang itu merantau pasti akan balik
ke negeri atau kampung asalnya.

LAGU LANGGAM IRINGAN KECAPI,
BERSUARA EMAS LAGU DINYANYIKAN;
JANGAN DIGENGGAM BAK BARA API,
TERASA PANAS LALU DILEPASKAN
.
Perbidalan: Jangan digenggam seperti bara api terasa panas dilepaskan.
Maksudnya: Janganlah berbuat sesuatu pekerjaan itu separuh jalan, terasa
susah sedikit lalu ditinggalkan.

BERLARI-LARI ARAH KE TELUK,
LARI PELANDUK JERAT TAK KENA;
BIARLAH DAHI YANG BERLULUK,
ASAL TANDUK DAPAT MENGENA.

Perbidalan: Biar dahi berluluk asal tanduk mengena.
Maksudnya: Biarlah kita bersusah payah asal apa yang dimaksudkan
dapat dicapai.

PERGI MEMANCING KE KUALA LINGGI,
ORANG SERANI SAMA PERINGGI;
BILA KUCING TIDAK BERGIGI,
TIKUS BERANI MELOMPAT TINGGI.

Perbidalan: Bila kucing tidak bergigi, tikus berani melompat tinggi.
Maksudnya: Apabila seseorang yang berkuasa dan ditakuti sudah
tidak berkuasa lagi maka orang-orang pun bolehlah
berbuat sesuka atau sekehendak hati.

TUMBUH MERATA BANYAK BERBUNGA,
POKOK PEPULUT DI HUJUNG TITI;
BUKA MATA PASANG TELINGA,
TUTUP MULUT SIMPAN DI HATI.

Perbidalan: Buka mata pasang telinga, tutup mulut simpan di hati.
Maksudnya: Sesuatu perkara yang tidak berkaitan atau bersangkut
paut dengan kita, hanya kita boleh pandang dan dengar
sahaja tetapi janganlah kita masuk campur mulut.

KULIT LUAR DIKUPAS-KUPAS,
BUAH KERAMBIL TOLONG BELAHKAN;
BURUNG YANG LIAR JANGAN DILEPAS,
KHABAR YANG MUSTAHIL JANGAN DIDENGARKAN.

Perbidalan: Burung yang liar jangan dilepas, khabar yang mustahil jangan
didengarkan.
Maksudnya: Janganlah mudah percaya akan sesuatu khabar atau berita
yang belum tentu sah atau benarnya.

POKOK PAUH DI HUTAN BAKAU,
POKOK SECEREK DAUN MELAMPAI;
BARANG YANG JAUH HENDAK DICEKAU,
TANGAN YANG PENDEK DIHUBUNG TAK SAMPAI

Perbidalan: Barang yang jauh hendak dicekau, tangan yang pendek
dihubung tidak sampai.
Maksudnya: Mempunyai keinginan yang tinggi akan sesuatu tetapi tidak
punya daya upaya.

SEKIAN.

21 comments:

  1. Fuh cantik betul bahasa melayu ni sebenarnya kan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. benar tu bahasa Melayu amat indah aamat banyak berbilang kata berbilang makna...tq cikgu sham.

      Delete
  2. Bagus-bagus pantun pak Engku
    Penuh makna dan kebenaran
    andai aku setenar beliau
    tampah jumlah teman...

    ReplyDelete
    Replies
    1. anisayu pun apa kurangnya...hebat juga pandai mengukir bahasa...tq

      Delete
  3. Susunan indah, buat kita yg membaca pun menghayati penuh perasaan..

    ReplyDelete
  4. ya hati kita pasti terpesona dgn susunan bahasa yg indah...tq kakzakie.

    ReplyDelete
  5. Assalaamu'alaikum wr.wb, Kak Paridah... orang dulu-dulu kalau menulis rima pantun amat menyentuh hati dan dalam maknanya berbanding pantun-pantun sekarang yang terus ke destinasinya dan dapat ditebak ertinya tanpa madah seloka yang bermakna indah. Salam manis dari Sarikei, Sarawak. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. wsalam dik fatimah...sastera lama kita amat indah susunan bahhasanya...buat kita terleka menghayatinya.
      tq fatimah.

      Delete
  6. Indah bahasa yang digunakan.. saya suka.. ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. perbidalan bahasa dgn maksud tersirat.
      tq aizamia.

      Delete
  7. Puisinya sungguh berarti
    Bermakna indah menyentuh hati
    Berisi kompilasi
    Mudah dipahami

    ReplyDelete
    Replies
    1. pantun perbidalan amat bermakna
      tersirat maksud berkias bahasa..
      tq achmad fazri.

      Delete
  8. Seindah kata, secantik bahasa
    Menjadi kebangaan anak bangsa

    ReplyDelete
  9. seindah kata secantik bahasa
    tanda kita orang berbangsa...
    tq fidah...

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum kak,
    Teringat ungkapan allahyarham TS P. Ramlee: "Bahasa menunjukkan bangsa".
    Memang bangsa melayu pandai "berbahasa"...lenggok dan kias yang berbunga-bunga menunjukkan betapa dalamnya makna yang tersirat...itulah istimewanya orang melayu

    ReplyDelete
    Replies
    1. wsalam dik ustaz...
      pandai menyusun bahasa dgn kenggoknya yg bersesuaian adalah kelebihan org Melayu salah satunya...setuju dgn kenyataan dik ustaz.
      tq abuikhwan,

      Delete
  11. Sudah lama saya tidak berpantun..rasanya lebih 2 tahun...

    Mohon izin guna pantun yang sesuai...

    ReplyDelete
    Replies
    1. wah ahli pantun juga ni...
      silakan...kak bagi pihak pak engku izinkannya...tq fida.

      Delete
  12. Memang bijak orang2 sastrawan ni...guna bahasa dalam pantun walau pun lembut tapi sinis...

    ReplyDelete
  13. org sastera ni bahasanya lunak tapi kiasannya dalam maksudnya bunda...tq

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist