Majmin meneruskan
kebiasaannya setiap hari. Selesai solat isyak dia akan berbaring di depan TV.
Sambil menonton sempat juga membaca majalah
apabila siaran iklan memenuhi slot. Sering juga menulis diari yang
dicatat tentang beberapa peristiwa besar yang berlaku di dalam mahupun di luar
negara. Dan yang menyangkut kehidupannya seharian.
17 Jun 01, Ahad.
Pramoudiya Anantatoer, penulis yang dianggap
setanding dengan penulis terkemuka dunia memberi komen yang positif tentang
ekonomi, sosial dan sikap mandiri rakyat Malaysia di bawah pucuk pimpinan PMnya
berjaya menangani tangan-tangan asing yang amat berminat hendak mencampuri
urusan negara dan membentuknya mengikut acuan ciptaan mereka.
Beliau membandingkan nasib sebaliknya yang
menggeluti Indonesia sendiri yang di
sifatkan sudah hilang kewibawaan dan keterlaluan lemah jati diri dari segenap
aspek. Penulis Pro Sukarno dan aktif era Sukarno ini membandingkan tindakan Dr.
M menyamai tindak-tanduk Sukarno yang telah berjaya memerdekakan Indonesia dari
penjajahan Belanda dengan pelbagai cara. Dan memakmurkan negara itu setelahnya.
Semua akhbar arus perdana hari ini memetik
pandangannya hasil temuramah RTM (Radio Televisyen Malaysia) di Bogor. Novelnya
Keluarga Gerilya memang ketara nilai sasteranya. Namun aku tidak berminat untuk
menghabiskan pembacaannya. Lebih selesa pula membaca novel hasil novelis
tempatan seperti Abdullah Hussain atau Azizi Hj. Abdullah.
17 Dis 02, Selasa;
Berita TV menyatakan keputusan penghakiman
di The Hague. Belanda berkenaan kedudukan Pulau Ligitan dan Sipadan yang
direbutkan Malaysia dan Indonesia, rupanya memihak kepada Malaysia. Agaknya
lega sungguh hati Dr. M kerana sebelum persaraannya dari jawatan PM dia telah
mengembalikan banyak harta Malaysia yang telah diambil dan hendak diambil
orang. Itulah kebijaksanaannya dengan izinNya jua.
Tetapi dia tidak rajin menulis setiap hari.
Diarinya juga sarat dengan pantun pantun karyanya. Baginya seni pantun Melayu
sangat indah dan halus.
Kelapa sebatang tepi perigi
Kudup mengkudu di hujung dahan
Kenapa datang kenapa pergi
Menyimpul rindu tak berkesudahan.
Riang ria ke sana sini
Patah rusuk apa jadinya.
Riang ria hari ini
Entah esok apa jadinya.
Hendak dilurut duri selasih
Dulang jati di atas alang
Hendakku turut hati sedih
Walang hati bukan kepalang.
Shaari berada di sisinya dan menghenyakan
ponggongnya di atas sofa. Majmin terkejut melihat suaminya hanya berbaju Melayu
Telok Belanga dan berkain pelikat tenun tangan yang dibelinya dari pusat
Karyaneka.
Kata gadis yang
menjualnya kain pelikat itu hasil tenunan tangan perusahaan orang-orang kampung
di Pulau Keladi, Pekan Pahang.
‘Orang tua ni
sudah buang tabiat ke?’ Getus hatinya. Pena ditangannya diletakan di dalam
diari yang berkulit tebal itu.
“Abang tidak
keluar ke malam ni?”
“Tak. Saya tunggu
Rizal balik.” Ujarnya bersahaja.
“Tunggu Rizal? Oh
ya…baru saja dia telefon beritahu saya tadi, sekarang ni dia berada di resort
RSJ.” Wajah Shaari segera terpanggung. Terkejut sungguh. Mencerlang sinar
matanya menerjah wajah lembut isterinya.
Majmin sudah
bersedia hendak menerima sergahan yang menyakitkan telinganya. Sekaligus
menjentik tangkai hatinya. Tapi dia hanya akan bersabar menjadi seorang isteri
yang disenangi suami. Isteri mithali.
“Hah! Dia buat apa
di sana?” Tanya Shaari dengan tona yang keras.
“Kata Rizal dia
hendak uruskan resort tu sebab Azmi pun sudah berhenti.” Dia membalasnya dengan
lirih lunak kerana tidak mahu mewujudkan suasana yang tegang dan tidak
terkawal.
Shaari tenggelam dalam kekalutannya. Dia
memegang dahinya. Memicit-micitnya. Tentulah tidak wajar sekiranya dia memarahi
isterinya kerana perilaku anaknya yang seorang itu.
Dia juga ingin
menjadi seorang suami yang sentiasa dianggap baik oleh isterinya. Sentiasa
bersopan santun dan menjaga adab sebagai lelaki budiman di dalam keadaan
apapun.
“Berapa lama tu?”
suaranya lirih lunak perlahan tapi kehampaan.
“Entahlah bang.
Kenapa bang? Bukankah elok dia di situ. Senanglah saya kalau hendak bercuti ke
sana. Abang pun sentiasa sibuk. Sehari dua lagi kabarnya abang hendak ke Tokyo
selama beberapa minggu menguruskan kontrak pengangkutan cip komputer dengan
kapal-kapal syarikat kita. Kalau saya rasa bosan di rumah bolehlah saya ke
sana.” Tukas isterinya lirih dan jughus. Di benaknya tidak ada maksud yang
bersimpang perenang. Lurus dan tulus. Jujur dan ikhlas.
“Kenapalah dia ke
sana pula!” dia mendesis perlahan.
“Apa dia bang? Min
tak dengar.” Serba salah Shaari menatap wajah polos isterinya dengan anak mata
yang bening merenungnya.
“Hah? Oh aku kata
kenapalah dia degil sangat hendak pergi berkerja ke pulau terpencil tempat jin
bertendang tu. Di sini pun apa kurangnya.” Shaari mengatur rekayasanya dengan
teliti dan meyakinkan.
“Dia sudah bosan
dengan hiruk-pikuk New York agaknya. Pulang ke sini hendak mencari ketenangan
jiwa. Sebab tulah dia ke RSJ.” Majmin menguap beberapa kali. Barangkali seluruh
tubuhnya mulai diresapi keletihan kerana petang tadi dia dan Datin Maimon juga
beberapa rakannya yang lain berlenggeng tangan bermandi peluh di gelanggang
tennis.
Usianya yang hampir menjejaki 50-an itu
barangkali tidak melayakannya untuk beraktiviti lasak seperti bermain tennis.
Walaupun itulah sukan kegemaranya suatu ketika dulu. Sukan itu pernah menjulang
namanya sebagai pemain terbaik kolejnya. Dan sentiasa mewakili kolej hingga ke
peringkat kejohanan tennis antara kolej ternama se Asia. Cerita yang telah
berkubur puluhan tahun dahulu.
“Min dah mengantuk
ni…Min masuk tidur dulu bang.”
Datuk Shaari
tercongok sendirian di ruang yang kelam dan hanya disinari pantulan cahaya TV.
Menjadi pengganti Majmin pula melayani kerusuhan hatinya. Dia berteleku memandang
skrin TV yang memaparkan berita pergolakan dunia semasa.
Berita tentang
kemusnahan dunia angkara kekejaman manusia Israel di Pelastin dan Lebanon hanya
berlalu ditatapan matanya. Tidak mencuit jiwa kemanusiaannya. Dia leka
memikirkan hatinya yang ralat kerana Rizal.
“Hai…rosak program
aku! Dua hari lagi Anita ke sana. Sebulan pulak tu. Aku di sini melopong gigit
jarilah nampaknya.” Kesal sungguh hatinya kerana rancangan yang diaturnya untuk
menemani Anita membuat penggambaran di Pulau Sioman tergendala.
Dia sibuk memerah
mindanya supaya diberi ilham untuk merencana sesuatu yang akan memuaskan
hatinya. Nampaknya sia-sia. Tidak ada lorong yang terang dilihat boleh
dilaluinya. Tidak ada cahaya di hujung terowong. Dia buntu dan bungkam. Menahan
geram.
seliaran cinta bab sebelumnya yaitu seliaran cinta bab 1 hingga bab 20 tentu sangat menarik hati jika diikuti ya kak?
ReplyDeleteMESTILAH TU..ADA DILABEL TU..TQ CHILEMBU THEA...
ReplyDeletePadan muka lelaki tak sedar diri. Kakak ingatkan dia terserempak dgn Rizal lagi bagus baru padan muka tapi datin dah inform pulak. Alahai... kena tunggu lagi nampaknya kisah selanjutnya.
ReplyDeleteHEH..HEH..KISAH SETERUSNYA MAKIN MENARIK KAK ZAKIE...TQ SELALU IKUTI SAMBUNGANNYA.
ReplyDelete