ASSALAMUALAIKUM
Malam yang sangat
tenang. Bintang-bintang bergemerlapan di dada langit. Keadaan laut tidak
terlalu bergelombang. Angin sentiasa berpuput nyaman. Belum lagi membawa monsun
Timur Laut yang akan menggelorakan Laut China Selatan ini dan merumitkan
penghidupan di persisir perairannya dengan musim tengkujuh.
Ketika ini
nelayan-nelayan pantai yang menaiki bot kecil dan peralatan penangkapan ikan
yang minima tidak berani turun ke laut untuk mengait sedikit rezeki.
Kini masih di
bulan Ogos. Cuacanya masih berseri dan metah sesuai berwisata di tempat
peranginan di tepi laut. Dan aktiviti nelayan-nelayan berterusan sebagaimana
biasa. Di kejauhan kelihatan cahaya bergerak di tengah samudera. Ada kapal yang
sedang belayar merentas lautan.
Rizal berdiri di
tepi bot memerhati alam sekeliling yang sunyi. Yang kedengaran hanya lagu ombak yang berdebur menampar
bot dan suara enjin bot yang tidak putus. Dia menilai situasi laut yang
melengkonginya. Berdasarkan dari sedikit pengetahuan yang diperolehi tentang
kejuruteraan laut yang di pejajarinya dari universiti di Amerika.
Pelayarannya
bersama bot yang dinaiki ini pasti sangat lancar ke destinasinya kerana tiupan
angin yang lembut tidak akan menyebabkan tekanan ombak yang menggelora.
Ketenangan
suasananya melekakannya menikmati keindahan laut Cina Selatan yang terbentang
dan tidak tercapai hujung pandangannya.
Bot sudah tiba di
jeti. Rizal masih alpa, termenung seketika. Dia tidak melangkah turun dari bot
lagi. Fareez segera mencapai begnya dan beg temannya itu untuk dibawa
bersamanya. Rizal tersedar dari lamunannya yang melayang jauh. Dicapainya
begnya daripada genggaman Fareez. Langkah Fareez dituruti.
Di hadapannya
terpampang papan tanda Resort Sri Jelapang. Fareez kagum sekali melihat
persekitaran resort yang cantik dengan rekaan chalet yang unik bentuknya
walaupun hanya kelihatan samar diterangi lampu jalan.
Fareez terus
melangkah mendekati kaunter pertanyaan resort yang masih terang benderang. Ada
sesaorang yang kelihatan mundar-mandir di dalamnya. Seakan sedang menanti
kehadiran sesaorang.
Langkahnya
terhenti bila terasa tangan Rizal menyentuhi bahunya. Dia segera berpaling. Dia
menanti buah bicara temannya itu. Hatinya merasa gusar, tidak enak.
“Fareez..”
“Kenapa Rizal? Kan
aku dah kata kita datang esok saja. Tidaklah kena bayar tambang bot
mahal-mahal. Sekarang kau takut nak masuk ke situ sebab sudah tidak ada duit?”
Tanya Fareez yang terpinga-pinga dengan gelagat temannya itu. Di hatinya timbul
dugaan yang tidak disenanginya.
“Bukan begitu…”
pendek saja ayatnya.
“Habis tu…jomlah.
kau kata kau ada kawan yang berkerja di sini. Lambat-lambat sangat nanti bila
dia sudah tidur, kita pula yang susah.” Tangan Rizal di tariknya. Rizal terpana
kebingungan. Tetapi langkah Fareez dituruti juga. Tidak teragak-agak lagi.
Kedua-duanya sudah
berada di lobi resort. Sesaorang datang menyongsong dan memperkenalkan dirinya
sebagai pengurus Resort Sri Jelapang. Yakin sekali bahawa orang-orang ini
memang yang dinantikannya berjam-jam lalu.
“Saya Azmi. Datin
Majmin ada telefon saya siang tadi. Katanya anaknya Encik Rizal hendak
datang...maafkan saya…yang mana satu Encik Rizal. Maklumlah saya tidak kenal
Encik Rizal sebab dia tidak pernah datang ke sini.”
“Saya Fareez. Ini
Rizal anak Datuk Shaari.” Rizal memintas pantas. Membiarkan Fareez diserbu
kebingungan yang mengelirukan. Renungan mata berbaur pertanyaan menujah anak mata
Rizal. Dia terkapa-kapa dibungkus tandatanya.
Rizal menarik
Fareez berpaling menghadapnya. Membelakangi Azmi. Dua jarinya di letakan di
bibir. Matanya disaluti renungan bermakna.
“Kenapa ada yang
tidak kena ke?” Tanya Azmi yang mulai berprasangka kerana telatah kedua-dua
pemuda itu. Dia perlu berwaspada juga kerana ramai yang menyamar seperti
umang-umang yang suka membawa sarang siput yang cantik sebagai pelindung
dirinya.
Dia sangat
berharap keputusannya terhadap kedua-dua pemuda ini tidak silap. Risiko kerana
kesilapan menentukan Rizal anak Datuk Shaari yang sebenar amat berat. Tidak
terdaya hendak dipikulnya kelak.
“Tidak...tak.”
Azmi merasa yakin dengan instink dalamannya dan tidak ragu-ragu dia menyalami
Fareez selayaknya di antara seorang perkerja dengan majikannya. Sangat
menunjukan rasa hormatnya. Fareez merasa amat kekok diperlakukan sebegitu.
Dia melihat Rizal
tersenyum membalas pandangannya yang mengandung pelbagai persoalan yang tidak
terjangkau jawapannya. Untuk mengelakan sebarang persoalan yang bakal menambah
kerumitannya, dia hanya menurut arusnya.
‘Apalah yang tidak
kenanya dengan Rizal ni. Rupanya dia anak Datuk Shaari saudagar besar yang kaya
raya tu. Sudah jadi anak Datuk tak nak mengaku pulak. Seperti cerita Mark
Twain, Anak Raja dengan Anak Papa le pulak kisahnya. Tapi aku ni bukannya papa
kedanapun. Susah benar nak faham keletah orang-orang kaya ni.’ Fareez
diselubungi pelbagai persoalan yang membingungkan.
“Eloklah Encik
Rizal datang di ketika ni. Sebab esok saya akan pergi dari sini.”
“Kenapa?” Tanya
Fareez. Seolahnya dia sudah mengikut rentak Rizal yang mahukannya menjadi Rizal
anak Datuk Shaari. Rizal tersenyum di sisinya.
“Saya akan
berkerja di Mauritius. Saya sudah beri notis berhenti kerja sebulan lalu. Hari
ni sebenarnya hari terakhir saya di sini. Tetapi saya masih boleh lanjutkan
sehari lagi kerana hendak kenalkan Encik Rizal dengan pengurusan di sini. Tentu
Encik Rizal tidak kenal perkerja yang sentiasa bertukar ganti sepanjang Encik
Rizal berada di US.” Wajah Rizal yang tersenyum dengan mata kuyunya ditatapnya
sambil mengulum bibirnya.
‘Wah lulusan luar
negara rupanya ‘mamat’ ni. Bijak sungguh kau menyamar ya Rizal.’ Fareez
menggeleng-gelengkan kepala melirik arah Rizal yang tersenyum lebar.
“Mulai esok kaulah
bos di sini.” Tukas Rizal. Fareez semakin menggelabah. Mahu saja dilukunya
kepala teman itu yang tersengih sentiasa kepadanya. Tiba-tiba saja dia terpaksa
menjadi pengurus sebuah resort terkenal tanpa mengetahui suatu apapun yang
berkaitan dengannya.
‘Agaknya boleh ke aku
jadi pengurus ni?’ Fareez termangu. Dahinya dipicitnya buat melegakan
kebengangannya. Rasa pening berputar-putar di kepalanya.
‘Apalah motif
sebenar kau Rizal? Kalau aku rasa kau hanya hendak mengenakan aku, esok aku
cabut. Jika tidak ada bot atau feri, berenang pun aku sanggup. Tapi tidak
mungkin Rizal yang baik budi bahasanya sanggup hendak menganiaya aku kut.’
Fareez berusaha menenangkan perasaan haru birunya yang berkecamuk tidak
menentu. ‘Bagaimana pun aku nak tengok dulu rentaknya. Aku pun bukan mudah
hendak dikelentong, lulusan U lagi.Walau U tempatan tidak kalah juga dengan U
luar negara.’
“Tentu tidak jadi masalahkan. Lagi pun ramai
yang akan membantu. Datuk Shaari pun selalu datang ke sini.” Rizal tersentak.
Fareez melihat gaya temannya yang kalut dan gawat itu. Wajahnya kelat.
“Oh ya ke. Datang
dengan Datin Majmin ke?” Rizal bersuara. Azmi agak kehairanan kerana Fareez
yang bertanya, bukan Rizal seperti yang sepatutnya tetapi dia menjawabnya juga
sebagai menghormati kawan kepada Rizal anak kepada bosnya.
“Tidak. Selalunya
dengan klien perniagaannya.”
“Kami dah penat ni, di mana kami hendak tidur
malam ni?” Fareez mencelah,
setelah melihat
Rizal dengan gaya bahasa isyarat menurut pemahamannya tidak mahu lagi
berpanjang lebar bercerita.
“Oh itu sudah saya
uruskan awal-awal sebaik saja Datin telefon. Tapi Datin tidak sebut pula hendak
datang berdua.” Pandangannya terlontar ke wajah kedua-duanya.
“Tulah kau…aku dah
kata dah, mama kau mesti marah kalau aku ikut sama.” Sela Rizal sambil
mengerut-ngerutkan dahinya. Fareez mulai berfikir untuk ikut bertandak selari
dengan gaya nada temannya itu. Beriya-iya menyusun skrip yang spontan.
“Apa pula dia
hendak marah, kalau aku bawa perempuan lainlah.” Fareez bertukar senyum dengan
Rizal. Tersengih sedikit kemudiannya. Saling faham memahami. Rizal mengangkat
jari telunjuknya dengan maksud lakonan Fareez memang bagus.
“Marilah...saya
tunjukan chalet Encik Rizal dan Encik Fareez.” Ketiga-tiganya sedang mengatur
langkah kearah sebuah bangunan yang lebih besar untuk kediaman seorang majikan
berbanding dengan chalet untuk kediaman pekerja. Terletak di bahagian sipi
pejabat pengurusan.
“Lupa pula saya
hendak beritahu, tempat ni memang popular di kalangan artis. Setiap bulan pasti
ada yang datang shooting di sini. Kadang
tu untuk produksi filem. Kadang pula untuk drama.” Azmi menerangkan serba
sedikit tentang keistimewaan resort itu.
“Wow! hebat, hebat.” Balas Fareez teruja.
“Buat masa ini
tidak ada shooting, tetapi dua hari lagi akan datang satu grup buat shooting selama
sebulan.” Rizal tidak gembira mendengar penerangan Azmi itu. Wajahnya selamba
polos..
Dibiarkan saja
Azmi dan Fareez bercerita tentang pelbagai info mengenai resort itu di
sepanjang perjalanan yang singkat menghala ke chalet tanpa mencelah sedikitpun.