ASSALAMUALAIKUM...
CORAT-CORET PAK ENGKU...
PANTUN-PANTUN PERBIDALAN PAK ENGKU
DI TEPI KALI SI POKOK BIJAN,
DI DAHAN BALAU BERTENGGER BELIBIS,
BELIBIS DIHALAU TERBANG MENDESAH;
PIPIT TULI MAKAN BERHUJAN,
TAK DIHALAU PADI KU HABIS,
HENDAK DIHALAU KAIN KU BASAH.
Perbidalan: Pipit tuli makan berhujan, tak dihalau padi habis, hendak
dihalau kain basah.
Maksudnya: Serba salah untuk mengerjakan pekerjaan yang sulit
(jika diteruskan pun bahaya).
Erti Perkataan: 'Pipit tuli' ada sejenis burung pipit yang kecil.
APA DIMAKAN BURUNG DI SEMAK,
BUAH LOKAN JATUH TERTIMPA;;
HENDAK DIMAKAN MATI EMAK,
HENDAK DILUAHKAN MATI BAPA
Perbidalan: Dimakan mati emak, diluahkan mati ayah.
Maksudnya: Dalam keadaan yang serba salah.
BERSAMA TAULAN PERGI BERJALAN,
BELUKAR DIREDAH MENCARI PUAR;
HENDAK DITELAN TERMENGKELAN,
HENDAK DILUDAH TIADA KELUAR.
Perbidalan: Hendak ditelan temengkelan, hendak diludah tiada keluar.
Maksudnya: Berhadapan dengan sesuatu masalah yang sangat sulit,
berada dalam keadaan yang serba salah.
Erti Perkataan: 'Termengkelan bererti 'Tersangkut atau tersekat
di kerongkong' (barang yang ditelan).
'Puar' adalah sejenis tumbuhan yang berizom seperti
lengkuas.
DIWAKTU PETANG MENGGAIT KEDONDONG,
LIMAU PURUT BUAH DIGETIS;
JANGAN DITENTANG MATAHARI CONDONG,
TAKUT TERTURUT JALAN TAK BERINTIS.
Perbidalan: Jangan ditentang matahari condong, takut terturut jalan
yang tak berintis.
Maksudnya: Hendaklah selalu ingat supaya jangan terpedaya oleh
sesuatu yang elok dan baik rupanya.
ARAH KE BARAT PERAHU SELUDANG,
SEDARI PAGI MEMASANG TANGKUL;
BERAPA BERAT MATA MEMANDANG,
BERAT LAGI BAHU MEMIKUL.
Perbidalan: Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Maksudnya: Betapa juga susah orang yang melihat sesuatu kesusahan
orang lain, terlebih susah lagi orang yang menanggungnya.
JUADAH DIMAKAN WAKTU SRAPAN,
KERJA BERSERAYA MENANAM PADI;
MATI IKAN KERANA UMPAN,
MATI SAYA KERANA BUDI.
Perbidalan: Mati ikan kerana umpan, mati saya kerana budi.
Maksudnya: Manusia boleh dipujuk dengan mulut yang manis
atau dengan budi yang baik.
Erti Perkataan: 'Menyeraya' bererti 'Meminta pertolongan atau
bantuan (untuk mengerjakan sesuatu) seperti
menanam padi dan lain-lain.
JERAM DI HULU DI TEPI HUTAN,
TEMPAT MANDIAN BANYAK DI SANA;
SESAL DAHULU ITU PENDAPATAN,
SESAL KEMUDIAN TIADA BERGUNA.
Perbidalan: Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Maksudnya: Sebelum mengerjakan atau melakukan sesuatu hendaklah
difikirkan habis-habis.
DISIANG LANDAK DI BAWAH BANGSAL,
KAKINYA LANDAK TERPATAH RIUK;
MATI TIDAK AKAN MENYESAL,
LUKA TIDAK AKAN MENYIUK.
Perbidalan: Mati tidak akan menyesal, luka tidak akan menyiuk.
Maksudnya: Sudah bulat hati untuk melakukan sesuatu dan tidak
akan mengumpat atau menyesal kemudiannya.
Erti perkataan: 'Menyiuk' bererti 'Menyedut atau menarik nafas
dengan mulut (kerana kesakitan, kepedasan dan lain-lain.
POKOK KEDONDONG TEPI SALIRAN,
TUMBUH SEBANJAR BATANGNYA RAPAT;
YANG DIKENDONG JATUH BERCICIRAN,
YANG NAK DIKEJAR TIADA DAPAT.
Perbidalan: Yang dikendong berciciran, yang dikejar tiada dapat.
Maksudnya: Keuntungan dan lain-lain yang diharapkan tidak diperolehi
sedangkan keuntungan dan lain-lain yang di dalam tangan
habis hilang..