Bab 2.
Zahari yang prihatin.
“Kasihan Aisyah
tu…,” desisnya perlahan antara kedengaran dengan tidak.
Anaknya yang
sedang membaca akhbar hari ini terpanggung mencari suaranya. Pandangannya
meleret jatuh pada wajah emaknya yang tenang, sedang menyusun buku-buku di atas
rak lemari.
Sudah berkali-kali
rak buku itu dikemaskannya tetapi tetap berserak dengan buku-buku yang tidak
teratur dengan susunannya. Dia tidak gemar melihat begitu. Menyemakkan matanya.
Anaknya itulah yang menyebabkan susunan buku itu berserak.
Zahari hanya tahu
membeli dan membacanya. Mengemas dan menyusunnya elok-elok dia tidak tahu.
Jikalau dia tahu sekalipun dia malas hendak melakukannya. Ibunya itulah yang
terbongkok-bongkok mengemasinya. Tidak
sesekali pernah merungut kepenatan atau jemu kerana seringkali mengulangi
perlakuan yang serupa.
Apabila dilihatnya
rak buku itu tidak teratur susunan bukunya dia akan segera mengemaskannya.
Matanya tidak selesa melihat keadaan yang berserak, bersepah menyemakkan
pandangannya.
“Apa yang mak
cakap sorang-sorang tu? Apa pula yang tidak kenanya dengan Aisyah?” Anak
lelakinya itu bertanya. Salina
meletakan tuala kecil yang digunakan buat mengelap lemari buku itu di suatu
sudut. Kerja yang dilakukannya tadi sudah selesai. Dia menghampiri anaknya,
melabuhkan punggung di sisi anaknya.
“Mak kasihan
tengok Aisyah tu. Kakinya penuh dengan kudis. Hendak pergi ke kelinik neneknya
tidak benarkan! Hendak beli ubat di kedai tidak diberi pitihnya! Mak bimbang
kalau dibiarkan buruk pula kaki budak tu. Kasihan sungguh dia. Emak ayahnya
sudahlah jauh. Tak patut betul cik Munah tu buat begitu pada cucunya.”
Terasa sebak dada Salina menahan sedih yang
hendak menjuraikan airmatanya. Sepasang kejora yang berkaca itu dibawa menyapa
pohon-pohon nyiur yang melayut tinggi melewati jendela yang terbuka.
Angin lembut
menerobos masuk dan menyamankan suasana yang hening seketika.
Zahari merayapi
wajah ibunya yang berjiwa luhur, ikhlas dan mudah perasa itu. Ibunya yang mudah
empati dengan kesusahan dan penderitaan orang lain.
“Susah-susah
sangat biar saya saja yang bawa dia ke klinik!”
“Mak sudah kecek
gitu tapi dia tak sir (mahu). Katanya takut neneknya marah,” balas ibunya
sambil tangannya menyisipkan anak rambutnya yang terjurai ke sebalik telinga.
“Mak tidak usah
risau, saya tahulah apa saya nak buat gak.” Ujar Zahari masih tidak mahu
mengalah. Di mindanya tertayang kerangka perancangan yang sedang diaturnya. Dan
dia yakin akan kejayaannya.
“Mak, esok kawan
saya Faizal hendak datang ke rumah kita. Mak masaklah apa yang patut…” Tajuk
perbualan anak beranak itu sudah berubah. Menyimpang dari perbincangan asalnya.
“Baguslah begitu.
Mak pun sudah lama tidak berjumpa dengannya. Dia pun sudah lama tidak ke sini.
Apahalnya?”
“Entahlah mak.
Saya pun tidak tahu mengapa. Mungkin dia sibuk mengulangkaji pelajarannya kot.
Dia mengambil peperiksaan HSC ( Sijil Tinggi Persekolahan ) tahun ini. Nanti
bila dia datang mak tanyalah padanya.” Zahari menjelaskan serba sedikit apa
yang dia tahu tentang kawannya itu. Kawan sekerjanya.
Dia memang tahu
Faizal mampu melakukan apa saja kemahuannya kerana dia anak orang berada. Wang
ringgit tidak pernah wujud menjadi masalah yang membebankan kepadanya.
“Mak dah siapkan minuman petang. Mu
pergilah minum. Mak sudah minum tadi. Mak hendak sembahyang semetar
(sebentar).” Salina
membawa sekujur tubuhnya menuruni tangga dari ruang tengah ke ruang dapur dan
melangkah pula menuju bilik air.
Sebelum bersolat
tentulah dia kena berwuduk terlebih dahulu. Tetapi dia terasa hendak mandi
pula. Tubuhnya yang berpeluh membelengas di merata sudut tertentu
merimaskannya. Apakala disirami air tentu kerengsaan yang tidak menyelesakan
itu akan hapus. Dan kesegaran tubuh akan kembali pulih. Bermaya.
Itu yang
didambakannya. Lagipun sebelum bersolat mengadap Yang Maha Esa eloklah
membersih dan menyucikan diri daripada segala kekotoran sebaik-baiknya.
***
Aisyah mengepit
separuh daripada buku-bukunya di celah ketiak. Separuh lagi terisi di dalam beg
pelastik yang agak tebal dan dijinjingnya. Dia memaksa diri mengatur langkah
dengan lebih pantas agar segera cepat tiba di rumah.
Panas terik
mentari yang memanggang kulit tubuhnya yang putih bersih langsung tidak
dihiraukannya. Tetapi tetap dirasakan bahang yang memijarkan itu. Perut
kecilnya pun sudah berkeriut dan bukan sekadar berdondang-sayang atau
berkeroncong minta diisi.
Memang pun tidak
diisi sejak awal pagi melainkan hanya dialas dengan segelas air sejuk dan
sekeping biskut kering. Begitulah kebiasaan yang sering dilaluinya kerana
neneknya mengangap sarapan pagi itu tidak penting Dan tidak pernah menyediakannya untuk
dirinya, apa lagi untuk cucunya.
Sepanjang masa di
sekolah tidak ada pula duit diberikan kepada cucunya buat berbelanja di kantin.
Juga tidak ada bekalan makanan yang dibawanya. Aisyah terpaksa mengikat perut
menahan kelaparan yang menyiksakan dan kadang-kadang amat mengganggu
penumpuannya terhadap pembelajaran sehingga masa persekolahannya tamat. Tetapi
tetap terpaksa dilakukannya demi minatnya yang utuh terhadap pelajaran.
Begitulah dia sehari-harian
sehingga dia mangli dengan suasana yang dilaluinya. Dia sudah tidak kisah lagi
tentang itu semua. ‘Jika lapar pun tanggunglah, kalau penat pun, penatlah,’
desis hatinya.
Langkah yang
diatur semakin laju. Bila sampai di rumah pastinya belum boleh terus menyuap
nasi ke mulut. Aisyah perlu memasaknya terlebih dahulu. Dia akan memasak apa
saja yang ada di dapur rumah neneknya.
Biasanya dia akan
memasak nasi, menggoreng ikan asin, menumbuk sambal belacan dan menumis sayur
kangkung, asin-asin atau betik muda. Sayur-sayur kampung itu memang tumbuh
subur di sekitar dapur rumah neneknya.
Proses hendak
menyediakan masakan yang serba sederhana itu pun tidak terlalu mudah. Api dapur
bertungku tiga perlu dinyalakan. Kadangkala tidak ada kayu kering yang telah
tersedia.
Terpaksa pula
terbongkok-bongkok mengutip kayu yang tersusun di pelenggar dan membawanya naik
ke rumah. Hendak menghidupkan api dari kayu pun satu hal juga. Api yang
dinyalakan tidak boleh terlalu besar. Takut pula menyambar dinding rumah. Dan
menyebabkan kebakaran yang akan memusnahkan segala-galanya. Perlu sangat
berhati-hati sekali. Hendak menjamah sepinggan nasi pun Aisyah terpaksa basah
berpeluh terlebih dahulu.
Dia menjamu selera seadanya tanpa banyak
tingkah. Tidak peduli langsung dengan kandungan nutrisi makanan yang diambilnya
akan memberi impak baik atau sebaliknya terhadap tubuhnya.
Sebuah kereta
berhenti di sisinya. Derunya menghambat lamunannya bercempera.
“Hai baru balik
sekolah?,” sapa Zahari yang tiba-tiba muncul dari kereta yang berhenti di
pinggir jalan di sisi Aisyah. Aisyah kalut pada mulanya. Bimbang juga dia
kalau-kalau ada yang berniat tidak baik dan hendak mengganggunya.
Orang-orang di
kampungnya selalu bercerita berkenaan budak-budak perempuan yang pulang dari
sekolah sendirian sering diperangkap dan dilarikan ke bandar-bandar besar untuk
dijual. Dijadikan santapan manusia tahap binatang. Bimbang sungguh hati Aisyah.
Bukan begitu nasib yang diingininya. Semoga diselisihkan malaikat 44.
“Naiklah. Abe
(abang) pun hendak balik ke rumah ni. Janganlah segan. Abe pun menumpang kereta
orang. Naiklah cepat.” Pelawa Zahari. Lelaki yang berada di belakang stereng
kereta itu memandang sekilas wajah Aisyah. Dia tersenyum polos. Pintu kereta
dingangakannya luas.
“Tidak mengapalah
abang Z. bukannya jauh sangat. Sekejap lagi sampailah.”
“Jauh ko! Dekat
ko! Naik…,” balas Z tanpa tolak ansur lagi. Tona suaranya tegas. Alasan Aisyah
tidak mahu diterimanya. Dia menarik tangan Aisyah. Memaksanya mengisi perut
kereta.
Hendak atau tidak
Aisyah akur juga dengan kehendak Zahari walaupun merasa sangat malu dan serba
tidak kena terhadap lelaki yang memegang stereng itu yang tidak pernah
dikenalinya sebelum ini. Merasa pula gerak-gerinya sentiasa mencuri perhatian
lelaki itu.
Meluncur deras kereta
yang dipandu anak muda berpakaian kemas dan berkaca-mata hitam itu. Kereta
Moris Minor itu lalu melepasi rumah nenek Aisyah tetapi tidak pula berhenti.
“Rumah nenek saya
dah lepas tadi. Bakponya (kenapa) tak berhenti?” Aisyah bertanya kalut. Hatinya
mulai risau dan menggelabah.
“Mu jangan risau
sangat. Kita berdua ni bukannya nak makanmu. Muikut ja,” ujar Zahari separuh
berlucu. Namun hati Aisyah tetap dilambung kerisauan yang merusuhkan.
Pandangannya dilepasi melewati pohon-pohon nyiur yang tingginya tidak sekata
dan rumah-rumah yang aneka bentuknya. Fikirannya bercelaru.
“Tapi kita ni nak
gi mana?”
“Tak payahlahmu
nak tanya, ikut ja…”Aisyah tambah keliru dengan jawapan Zahari yang
membingungkannya itu.
“Depan klinik Ravi
nantimu tolong berhenti ya Faizal. Aku hendak ambil ubat sakit perut...” Zahari
mengerutkan dahinya. Wajahnya menjadi herot-petot seakan menanggung kesakitan
yang teramat sangat. Faizal memandangnya dengan hairan.
Dia tidak dapat
menerima keadaan seorang kawannya yang tadinya sihat walafiat, segar bugar
tiba-tiba boleh sakit perut serta-merta. Telatah Zahari membuatnya merasa aneh
dan lucu. Dia tersenyum sumbing.
“Lepas pergi
klinik nanti, kita baliklah. Tolong temankan abe yang sakit ni. Lambat sikit
sampai ke rumah takkan nenekmu nak marah kot. Lagipun nenekmu itu sibuk
berjualan di gerainya. Bilamu sampai di rumah sekejap lagi dia belum tentu
sudah ada di rumah. Setahu abe selagi hari tidak senja nenekmu itu tidak akan
menutup gerainya…”
Zahari menatap
wajah Aisyah yang selamba mencuka. Dia sangat bimbang apabila dia pulang nanti
ia akan disumpah-seranah neneknya kerana kelewatan yang tidak disengajakan dan
bukan olahnya.
Sesuatu yang
sedang berlaku kini bukan kehendaknya. Kelak akan berderailah air mata
membasahi pipinya entah buat kali keberapa kerana menerima cemuhan dan nista
yang menyakiti hatinya hamburan dari mulut neneknya yang garang itu.
“Masam sajamu!
Senyumlah sikit.” Usik Zahari. Aisyah hanya mencebek. Tidak pun tersenyum.
Kedongkolan hatinya tidak mampu menerbitkan senyuman manis di bibirnya. Hanya
renungan polos meniti kewujudan keindahan alam semulajadi yang ditatapi dengan
asyik.
Lebih kurang lima belas minit berkereta
sampailah sudah kesemuanya ke destinasi yang ditentukan. Klinik Ravi yang
dimaksudkan Zahari terletak sebangunan dan sederetan dengan kedai-kedai yang
lain.
Faizal
mencari-cari tempat meletak kereta yang sesuai dan disenanginya. Dan dia
menemuinya sebuah petak kosong bersebelahan dengan Ford Cortina berwarna merah.
Enjin keretanya segera dimatikan di situ.
“Abang Z pergilah. Biar saya tunggu di dalam
kereta ja.” Aisyah tidak berganjak daripada duduknya.
“Aisyah tidak
boleh duduk seorang diri di sini. Di sini ramai orang yang tidak kita ketahui
hati-budinya. Entahkan ada yang berniat jahat. Jika dibawanya lari Aisyah kami
juga yang susah.Jom lah kita masuk…”
“Betul tu!” Faizal
mengiyakan cakap kawannya dengan pameran wajah yang serius.
Aisyah terdesak
dengan kata-kata itu. Hatinya tidak langsung berbelah-bahagi menanggapi
kebenarannya. Yang bersarang difikirannya hanya kebenaran yang merungsingkan.
Ia bangun perlahan-lahan meninggalkan beg dan buku-buku sekolahnya di atas
kusyen kereta. Faizal segera mengunci keretanya.
“Jom lah. Nanti
kalau lambat ramai pula orang lain yang mendahului.” Aisyah mengekori langkah
Zahari yang berjalan beriringan dengan Faizal.
Tidak ramai yang mengunjungi klinik Ravi untuk
mendapatkan rawatan kesihatan daripada doktor
sis..dimanakah chapter sbelum ini,,,,takut baca tgantung :)
ReplyDeleteada kat sebuah versi chinta bab 1 n bab 1 sambungan....terima kasih sobri minat juga ikutinya...tq Sobri Yaakob.
ReplyDeleteWah makin best ni sis. Teruskan lagi
ReplyDeleteyeke...terima kasih notie ikutinya...
DeleteWah lgi liburan enaknya baca beginian nih :) untung ada versi selanjutnya yah? bab 3 nya hehe
ReplyDeleteya sesekali baca karya sastera juga...bunda tulis seminggu sekali saja...jgn lupa ikutinya ya...tq Muhammad Luthfi.
ReplyDeletehebat penulisan.. menarik kisah ini kak.. aiza menunggu sambungannya.. :D
ReplyDeleteyeke..tksh aiza sudi baca n ikuti kisahnya...tq Mizz Aiza.
ReplyDeleteteringat satu ketika dulu , memasak guna kayu api ...
ReplyDeletesempat juga ya alami zaman tu ya.....tq Qaseh Wee.
ReplyDelete