Monday, 8 June 2015

SELIRATAN CINTA BAB 32...


ASSALAMUALAKUM...

Hati Rizal amat lega dan tenang. Setenang laut China Selatan dibawah sinar bulan mengambang sewaktu cuaca tiada catatan skala ribut taufan dan ombak menggelora dari Jabatan meteorologi.
Tetapi dia pula yang bergerak laksana ribut menolak pintu chalet sehingga terbuka dan mengejutkan kawannya yang sedang tidur dengan lenanya. Kelopak matanya terbuka sedikit dan tertutup semula menyambung mimpinya yang terganggu.
“Farezz…Fareez.” Fareez terjaga semula apabila Rizal menggoyang-goyangkan tubuhnya dengan kuat.
“Apa lah kau ni. Mengacau aku nak tidur je. Tadi kau ke mana. Puas aku tunggu hingga terlelap.” Dia menggenyeh-genyehkan matanya menentang bebola kristal sepasang yang merenungnya seakan membawa kabar yang meriangkan pembawanya.
“Bukan ke kau keluar dengan Sarina?”
“Memanglah. Kita orang baru saja jalan sampai hujung tu apabila berselisih dengan asisten Johan. Dia beritahu Sarina, Johan hendak jumpa. Hendak bincangkan pasal skrip. Aku pun cabutlah balik. Kau pulak ke mana?”
“Aku pergi berjumpa Anita,” tukas Rizal tersengih seolah membayangkan kegembiraan yang menguasai jiwanya.
“Bagus! Kau memang tangkas. Hendak juga kau dengar cakap aku. Jadi…macam mana?” Fareez teruja hendak mengetahui cerita yang sebenarnya.
“Cerita dia lain pulak. Aku rasa aku boleh percayakan dia. Hey kau tahu dia pun grad menganggur macam kau juga.”
“Haa…pembetulan sikit aaa…bukan ke aku ni pengurus resort ni. Bukan penganggur haa…”
“Ah sudahlah…aku serius ni. Kau main-main pula. Nanti aku malas nak cerita mulalah kau sibuk bertanya.”
“Okey, maafkan aku. Ceritalah…aku dengar ni.”
“Betul kau nak dengar? Jangan terkejut pulak. Dia tu tidak ada hubungan dengan ayah aku. Cuma…”
“Ayah kau yang syok sendiri? Gila bayang. Maaf Rizal, aku tak bermaksud nak mengata ayah kau,” tukas Fareez dengan sengihnya. Dia menyentuh bahu Rizal dengan lembut. Kegembiraan hatinya terpamer kerana kerunsingan dan kerusuhan hati temannya telah relai. Jatuh berserak seperti butir-butir pasir di pantai.
That’s right. Tak apa, aku faham. Dan aku hendak cari jalan ajar ayah aku tu. Tapi aku tidak tahu caranya lagi.” Pandangannya dilepaskan merayapi kisi kisi jendela yang tertutup seolah sedang mencari jawapannya di situ.
“Beginilah…kau pergi cuci kaki dan muka kau dulu. Silap-silap haribulan kau boleh mengigau sebab duduk lama sangat di tepi pantai malam-malam buta. Bimbang juga entahkan hantu laut ikut kau balik. Risau juga. Lepas tu kita tidur. Manalah tahu Allah menurunkan kita ilham di malam yang syahdu ni.”
“Ish kau ni menakutkan aku saja.” Kepala teman yang tersengih kepadanya itu disengguhnya. Tetapi dia akur menuruti saranan temannya. Dia bangun melangkah menuju bilik air. Terdengar bunyi deburan air jatuh ke lantai di bilik air.
Fareez sudah tidak dapat melelapkan matanya kerana tidurnya yang jenera tadinya telah dikejutkan dengan gugahan Rizal. Matanya terkebil-kebil menerawang ke siling sambil berbaring. Tiba-tiba dia menjerit bagai orang kerasukan.
“Zal. Aku sudah dapat ide canggih-manggih!” Rizal meluru keluar dari bilik air mendapatkan temannya yang tersenyum girang menatap wajahnya yang penuh tanda tanya. Ingin benar diketahuinya apakah ide canggihnya kali ini.
Nampaknya Fareez adalah kotak fikir yang mengeluarkan ide-ide bernas yang sangat bermanafaat ketika dia sangat memerlukan seorang pembantu penyelesai masalahnya. Kehadiran Fareez di sisinya memang sungguh bermakna. Dan dia bersyukur kepada yang Maha Esa kerana mendorongkan pertemuannya dengannya.

                                                       33

Pagi yang lembab dan dingin kerana malam tadi hujan merembes halus. Renyai-renyai. Rumah di pinggir kota itu tidak menunjuk sebarang riak yang mencurigakan. Rutin selazimnya sedang berlaku. Datuk Shaari sedang mengadap hidangan. Bersarapan pagi dengan isterinya. Mak Kiah pula sedang mengemasi ruang dapur sebelum sebentar lagi hendak ke tingkat atas pula mengemasi semua bahagian dan ceroknya.
“Bila kita hendak ke RSJ jengok Rizal di sana?” Majmin menyapu mentega pada sekeping roti dan meletakannya di piring bersetentangan dengan suaminya.
“Saya tidak pernah bercakap pun hendak ke sana! Awak yang hendak pergi, awak pergilah seorang. Bukankah anak kesayangan awak ada di sana.” Datuk Shaari tidak pedulikan penerimaan isterinya di atas pertuturannya yang tawar bersahaja itu. Dia leka menyumbat roti ke mulutnya dan mengunyahnya.
“Lain macam je bunyi cakap abang ni. Kenapa abang marah sangat Rizal ke RSJ?”
“Siapa kata saya marah. Saya suka sangat dia ke sana,” balas Shaari dengan bahasa yang tersirat. Bahasa yang menuturkan maksud sebaliknya.
“Sejak saya beritahu abang Rizal ke sana, saya tengok perangai abang berubah benar.” Majmin tidak meneruskan ocehannya lagi kerana telefon bimbit Shaari tiba-tiba berdengut lagu Iklim. Lagu ‘suci dalam debu’ yang sangat diminati suaminya. Dia hanya memerhatikan tingkah suaminya. Shaari melihat nombornya sekilas, menekan punatnya. Menjawabnya serta-merta..
“Assamualaikum.” Salam yang mendoakan kesejahteraan pendengarnya dihulurkan. Senyum manisnya terukir di bibir tanpa disedarinya. Seolahnya suara di hujung sana memberinya kecerian kepada moodnya yang layu.
(Pause)
“Iya saya tahu…”
(Pause)
“Beginilah.. saya masih di rumah ni. Elok kita bincangkan hal bisnis di pejabat. Nanti saya telefon balik ya.”
(Pause)
“Iyalah. Setengah jam lagi saya sampai ke pejabat.”
(Pause)
“Ada berita baik? Syukur Alhamdulillah. Assalamualaikum.” Shaari kelihatan seronok dan berbahagia. Wajahnya ceria cerah.
“Berita baik apa tu bang?”
“Apa lagi bisnislah.”
“Betul ke abang tak nak ikut saya ke RSJ?” Majmin bertanyakan keputusan yang tepat dari suaminya.
“Nantilah dulu. Biar saya selesaikan dulu soal bisnis saya ni. Lepas tu bolehlah kita pergi.” Suara lunak suaminya begitu mendamaikan jiwa isteri yang mendengarnya.
“Abang janji ya… apabila abang selesaikan urusan bisnis abang ni, kita pergi ke RSJ jengok Rizal ya.” Suara Majmin seolah-olah terlalu mengharapkan persetujuannya untuk bersama menemui anak yang tercinta.

“Haa... aah iyalah. Saya nak cepat ke pejabat ni. Besar bisnis tu tadi.” Shaari tergesa-gesa mencapai briefcase hitam yang mengisi dokumen penting yang akan dibawanya ke pejabat. 
“Saya telefon Rizal beritahu dia kita hendak ke sana iya..” isterinya yang diserbu rasa gembira diseluruh alam dirinya, cepat merangka rencananya sendiri.
“Jangan dulu. Kenapalah gopoh sangat. Kalau kita ke sana pun biarlah jadi macam satu kejutan. Surprise. Lagi seronok begitu.” Hasrat isterinya itu disanggah dengan alasan kukuh yang sukar hendak ditolak.
“Kejutan? Iya tak ya juga.” Majmin terangguk-angguk membenarkan kata putus suaminya. Air koko panas di dalam cawan dihirupnya perlahan dan mengalir ke tenggorokan hingga ke usus tanpa sekatan. Shaari sudah melangkah meninggalkannya menaiki kereta yang akan membawanya ke pejabat, menjalankan urusniaga bisnis yang akan memberi keuntungan berjuta-juta Ringgit Malaysia.
Sebaik sahaja kereta Shaari meninggalkan perkarangan rumahnya dia segera mengeluarkan telefon bimbitnya dan menelefon Fareez. Dia sangat teruja mendengar berita yang disampaikan Fareez kepadanya sebentar tadi. Ketawanya terburai berdekah-dekah. Pemandunya menjeling gelagat tuannya dengan penuh tanda tanya.

                                                  *    *    *

Anita termangu sendirian di bawah payung berkaki besi yang di kembang di tepi pantai. Kejora matanya memandang polos teman-teman yang sedang membawa aksi watak yang diberi menurut skrip.
Semangat Anita hendak menghayati watak yang dipegangnya seakan hilang bila mendapat tahu dari Rizal, Sarina mengatakan Anita mempunyai kekasih seorang Datuk yang telah mencuri hatinya. Dia amat berbahagia bersamanya dan sangat merindukannya.  Lemah longlai jiwanya mengenangkan itu semua.
Anita tidak dapat menerima tohmahan sebegitu. Hatinya sayu dan merasa sangat terhina apabila seorang kawannya memberitahu pada orang lain bahawa dirinya berperilaku begitu. Memilih lelaki kaya untuk hidup senang-lenang tidak mengira siapa.
Johan kehairanan melihat perubahan perangai Anita. Pada fikirannya tentu Anita sedang berhadapan dengan suatu masalah yang tidak berdaya hendak dileraikannya. Sebagai seorang yang dipertanggungjawabkan dibahunya menjaga kebajikan semua artis Produksi Drama Kita di sini, dia perlu mencari punca permasalahan Anita.
Sesaorang yang mungkin boleh memberi jawapan kepadanya akan ditanya. Dia mendekati Sarina yang sedang duduk santai sambil jurusolek membetulkan solekannya yang semakin pudar. Padanya ‘bunga dedap’ itu memang ada jawapannya. Hanya dia seorang yang mengangap Sarina sebagai bunga dedap.
“Kenapa dengan Anita? Lain macam aje.” Wajah seriusnya dihadapkan ke muka Sarina yang terkapa-kapa menoleh kepadanya sehingga jurusoleknya terhenti dari mengoles bedak di muka pelakon itu.
“Entahlah. Bila Ina balik chalet malam tadi, lepas jumpa abang, muka dia masam saja. Bila Ina tanya dia tak jawab.” Balas Sarina jujur kerana dia langsung tidak menyedari kemuraman dan kemurungan Anita bersabit dengan dirinya.
“Satu lagi masalah timbul nampaknya,” sela Johan dengan rasa tidak senang hati.
“Abang tanyalah dia. Bukankah dia rapat dengan abang.” Sela Sarina. Dia juga turut risau memikirkan perubahan yang tiba-tiba itu terhadap kawannya itu.
“Aku tanya kau dulu sebab aku nak tahu kalau kau bagi dia apa-apa masalah. Kau nipun bukan boleh percaya sangat. Selalu suka menyusahkan orang. Entahkan Anita jadi begitu disebabkan kau.”
            “Abang...cakap tu baik sikit haa…apa abang ingat muka saya ni muka pencetus masalah dan suka menyusahkan Nita. Saya rasa saya ni hendak menyusahkan tu tak ada. Tapi hendak menolong lagi ada.?” Johan menggaru kepalanya yang tidak gatal dan berambut kerinting itu. Kepalanya bengang dan pening tiba-tiba.
Dia risau memikirkan dramanya yang akan tergendala gara-gara kerenah artis yang memberinya masalah yang tidak terduga. Dan berharap Anita tidak begitu. Sepanjang perkenalannya dengan Anita, dia tahu gadis itu seorang yang bertanggung jawab terhadap amanah yang diberikan kepadanya. Sentiasa komited dengan kerjanya.
            Dia sangat berharap penggambaran drama itu akan berakhir mengikut jadual yang ditetapkan. Selepas ini dia akan memulakan pengarahan drama yang baru untuk slot telenovela tempatan.
Sebuah skrip drama tulisan penulis skrip drama terkenal tanah air sedang ditelitinya. Produsernya telah memberi persetujuan untuk menerbitkan telenovela sejumlah 200 siri itu.
Kerja pengarahan yang berterusan ini tentu akan memberikannya pulangan rezeki yang lumayan. Dia sangat gembira kerana inisiatif stesyen TV tempatan sanggup membeli siri-siri drama  dari syarikat anak negeri sendiri untuk ditayangkan di skrin TV menyaingi siri-siri drama yang diimpot dari Hongkong, India, USA, UK, Mexico dan beberapa negara lagi.
            Dia juga sedang berkira-kira hendak menawarkan kepada Anita sebuah watak yang penting sebagai pelakon utama berdasarkan keupayaan yang ditunjukannya sebagai dramatis yang sangat komited dengan peranannya.

8 comments:

  1. wah..rajinnya tulis novel, sampai 30++ siri, boleh buat drama mcm ni..keep up a good work..

    ReplyDelete
  2. saya suka nih sama ceritanya

    ReplyDelete
  3. Salam rindu PI, imaginasi tinggi Pi ni :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam rindu juga babypose...kak tulis frasa jer tu ide sebenarnya penulis lain...tq babypose.

      Delete
  4. Kisahnya menarik, bicara cinta memang takan ada habisnya :)
    Mampir ke blog baru ku ya kak paridah :)

    ReplyDelete
  5. tq susi...insyaAllah sentiasa akan singgah.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist