Monday, 23 February 2026

DUA DASAWARSA

 ASSALAMUALAIKUM




DUA DASAWARSA

Genre: Puisi

Penulis: Mohd Elfie Nieshaem Juferi

Penerbit: Langgam Fikir

ISBN: 978-6296-913521

Bilangan muka surat: 93

Harga: RM25

Tahun terbitan: 2025

Pengulas: Paridah Ishak

.

DUA DASAWARSA ialah naskhah puisi moden yang menghimpunkan 88 buah sajak karya Mohd Elfie Nieshaem Juferi, merangkumi tempoh dua puluh tahun penulisan beliau dari 2005 hingga 2025 dengan nama pena MENJ. Penulis yang dilahirkan di San Jose, California, Amerika Syarikat ini mendapat pendidikan awal hingga universiti di Kuala Lumpur.


Beliau kini berkhidmat sebagai Pakar Pengoptimuman Enjin Carian (SEO Specialist) di sebuah agensi pemasaran digital di Kuala Lumpur. Profesional dalam bidang komputer ini tidak pernah meminggirkan dunia persajakan yang telah lama sebati dalam jiwanya.


Minat dan kesungguhan beliau dalam bidang sastera terbukti apabila menerima Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat pada tahun 1997, 1998 dan 1999. Karya-karya beliau turut disiarkan dalam majalah Dewan Sastera, Dewan Siswa, Pelita Bahasa serta pelbagai media tempatan.


Naskhah ini dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu Retak dan Renung, Lara dan Lantang, serta Nur Zaman. Pembahagian ini memperlihatkan perkembangan emosi dan pemikiran penulis selaras dengan tema yang diketengahkan dalam setiap bahagian. Sajak berjudul DUA DASAWARSA dipilih sebagai judul naskhah kerana mencerminkan luahan jiwa penulis yang pernah menjauh daripada dunia puisi, namun kembali dengan semangat baharu untuk berkarya.


Dari segi bentuk, susunan rangkap dalam sajak-sajak ini tidak terikat pada pola tertentu. Kebanyakannya agak panjang dan bersifat abstrak. Penggunaan metafora, personifikasi, simbol serta majas bahasa memperlihatkan kekuatan estetik yang tersendiri. Walaupun sarat dengan perlambangan, puisi-puisi ini tetap menyampaikan makna yang jujur dan bersahaja.


Penulis juga peka terhadap isu semasa dalam dan luar negara. Beliau memanfaatkan licentia poetica secara kreatif dengan penggunaan diksi yang kadangkala mencabar pembaca. Namun, glosari yang disertakan membantu pembaca memahami kosa kata dan simbol yang digunakan. Hal ini jelas menunjukkan penguasaan perbendaharaan kata yang luas dan kematangan estetik beliau.

Antara sajak yang menyentuh emosi ialah sajak berjudul #Justice for Zara, yang terinspirasi daripada tragedi sadis yang menimpa seorang pelajar, Zara Qairina. Sajak ini menggugah perasaan dan menyuarakan tuntutan keadilan secara lantang:


#Justice For Zara

Kota di bawah pawana

neon berdengung di lorong sempit

Balai; pusara bisu

jam retak. Tangan membatu

.

Jatuhmu di tengah malam

rebah yang membuka mata

di meja seragam berkarat

fail jadi nisan, debu menutup buku

.

Namamu Zara Qairina

cukup membawa gentar

menyalakan obor di dada kota

menjadi panji tak mudah reda.

.

Dan selepas itu hentakan berulang

gema berpaut di dada jalanan

kami tuntut yang tertunda

adil mesti tegak di segala tanah ini 


Secara keseluruhannya, DUA DASAWARSA merupakan naskhah puisi yang memperlihatkan ketekunan, kematangan dan keberanian berekspresi seorang penyair yang setia kepada dunia kata-kata. Ia sesuai dibaca oleh pencinta puisi moden yang gemar menafsir makna tersirat di sebalik simbol dan citra bahasa.


3 comments:

  1. Naskhah puisi yang sarat emosi dan simbolik 😊 Menarik baca karya yang menggabungkan isu semasa dengan sentuhan estetik bahasa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh dik Sii Nurul ya semua sajaknya menarik dibaca

      Delete
  2. Saya jumpa perkataan darsawarsa ini sewaktu ambil kursus sejarah di universiti dulu.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist