Friday, 20 February 2026

ADILA NORBAITI

 ASSALAMUALAIKUM



Coretan ADILA Radio Klasik:

Noor Baiti Abbas

Ipoh, Perak

 

BERMALAM DENGAN JENAZAH

 

" Assalamualaikum, ini puan Noor ibu kepada Hana ke? " Kedengaran suara seseorang di gagang talipon.

 

" Ya betul,  ini siapa ya?" Jawapku sambil mengacau sagu biji di atas dapur. Kuih ni tidak boleh dibiar begitu saja tanpa dikacau rata. Bimbang akan menjadi berketul- ketul. Setiap kali di bulan Ramadan kuih ini akan kubuat untuk hidangan berbuka. Kuih sagu atau telur katak kuih kegemaran kami sekeluarga.

 

"Saya, Puan Khatijah warden asrama Sekolah Menengah Ungku Aziz. Warden asrama anak puan, Hana binti Kamal.

Dia sekarang berada di hospital ya. Petang tadi semasa dalam kelas tiba-tiba dia pengsan. Jadi pihak sekolah terus bawa dia ke hospital.

Dan sekarang sudah stabil dan ditahan dalam wad untuk rawatan selanjutnya." Begitu lembut suara warden asrama sekolah anak aku belajar.

 

Puan Khatijah seorang yang tegas tapi mempunyai sifat keibuan.

Beliau merupakan guru paling senior di sekolah.

Seorang ibu tunggal.

Terbayang wajahnya yang sedikit berusia berbadan agak kurus tetapi cergas orangnya. Sentiasa tersenyum apabila anak-anak murid menyapanya. Tidak hairan lah mengapa beliau ditugaskan sebagai warden di asrama perempuan untuk sekian lama.

" Ya Allah! Yeke cikgu?" Balasku kerisauan. Aku mula teringat anak aku, Hana memang mempunyai tekanan darah rendah.

Tak boleh terlalu lapar dan terlalu aktif. Tidur kena cukup dan kena makan ikut waktu. AllahuAkbar!

 

" Terima kasih cikgu. Insyaa-Allah kejap lagi saya ke hospital. Dia di wad berapa ya? " Aku bertanya lagi sambil menutup api kerana sagu yang kukacau  sudah masak dan sampai masa untuk dituangkan ke dalam loyang yang telah kusediakan. Hanya tunggu untuk disejukkan saja.

 

" Wad 3C katil 16."

" Okay baik. Terima kasih ya." Jawapku lagi.

 

 

Aku tuangkan bancuhan sagu tadi ke dalam loyang untuk disejukkan. Aku letakkan di atas meja dan ditutup dengan tudung saji.

 

Aku bergegas bersiap untuk ke hospital.

Alhamdulillah suamiku sudah pulang dari kerja.

 

"Bang, tadi cikgu Khatijah talipon bagitau Hana masuk wad. Dia pengsan dalam kelas petang tadi."

 

Sambil bersiap aku beritahu suamiku yang baru balik dari kerja sambil mengangkat dan memeluk si Maini, kucing Parsi berbulu gebu warna hitam putih, kucing kesayangannya.

 

Terbeliak mata suamiku apabila mendengar berita Hana masuk wad.

 

Tanpa berlengah dia ke bilik mandi untuk bersihkan diri.

 

" Ha. Hana sakit apa sampai masuk hospital!

Teruk sangat ke sakit dia?

Kesiannya cucu tok. Dah la duduk asrama.

Apalah yang dimakannya sampai dapat sakit macam tu." Bertubi- tubi soalan diajukan mak aku sambil bangun daripada katilnya.

Sudah menjadi kebiasaan mak akan baring sekiranya dia berasa penat kerana lama duduk.

Adakala dia akan ke dapur menolong aku untuk menyiapkan apa yang perlu untuk dimasak.

Dalam keadaan yang sedikit uzur tetapi masih bersemangat untuk memasak juadah yang dia suka. Umurnya yang hampir mencecah 90an tetapi pendengaran dan matanya masih elok.

Sebab mak rajin mengambil makanan tambahan disamping makan ubat yang disarankan oleh doktor

Mak ada sakit darah tinggi tetapi masih boleh dikawal.

Alhamdulillah.

Ingatannya juga masih baik. Anugerah Allah. Syukur.

 

" Mak, Noor dengan Kamal nak ke hospital kejap ya.

Ni dah dekat nak buka puasa terpaksa la mak berbuka sorang-sorang. Boleh ke?

Risau pulak kalau kami tak pergi jengok dia." Kataku sambil aku membungkuskan sedikit bekalan kuih sagu buat Hana. Aku terpaksa tinggalkan mak dalam keadaan yang serba salah.

Aku harap mak faham.

Tapi aku sudah siapkan juadah berbuka untuk mak di atas meja. Kuih sagu.

Aku pesan macam-macam pada mak. Memang risau tetapi apa dayaku. Tapi sebelum kami keluar ke hospital aku talipon jiranku untuk tolong jengok-jengokkan mak sementara ketiadaan kami.

 

Aku dan suami bergegas ke kereta. Sambil melambai mak yang sedari tadi melihat gelagat kami yang bergegas meninggalkan rumah.

 

"Ya Allah...Kau peliharalah mak aku sementara aku tiada disisinya. Ya Allah...Kau lindungilah Hana daripada penyakit yang berbahaya. Berilah kesembuhan segera... Aamiin..." Bisikku dalam hati.

 

Setibanya di hospital aku dan suami terus ke tempat pertanyaan untuk ke wad anak kami ditempatkan.

 

Dari jauh aku nampak Hana baring dengan tangannya ditampal plaster untuk dimasukkan drip ke dalam badannya.

Allahu...kesian Hana.

Nampak lemah dengan mata dipejam rapat.

Dia sedang tidur.

Di sisi katilnya ada secawan susu dan sekeping roti yang disediakan oleh pihak hospital.

Aku memandang sayu melihat keadaannya.

Badannya yang agak kecil

dan kurus. Sedikit pucat.

 

"Ibu, bila ibu datang? Siapa jaga tok kat rumah? Kesian tok." Hana merupakan anak kami yang keempat.

Kakak- kakak dan abangnya belajar di sekolah berasrama penuh di Muar Johor.

Adiknya di asrama yang berdekatan dengan rumah kami.

 

" Tok kat rumah la. Nak buat macamana. Ibu ayah nak tengok awak. Dah la tengah puasa kan.

Ni terpaksa buka puasa lah kan. Sebab nak makan ubat.

Tulah dah tau awak tu tak boleh lapar cubalah makan lebih sikit masa bersahur.

Ni mesti tak bangun sahur kan?  Atau makan sikit je?" Bebel aku dengan anakku yang sorang ni. Aku tahu Hana selalu tahan lapar.  Konon nak berdiet nak jaga badan. Dia cakap kawannya selalu cakap badannya gemuk. Pipi tembam. Padahal pada pandangan aku dia elok je cantik dan sesuai dengan ketinggiannya.

 

" Makan ni ibu masak kuih sagu telur katak. Ibu tengah masak ni la masa cikgu Khatijah talipon tadi. Alhamdulillah sempat juga masak. " Kataku sambil suapkan Hana kuih sagu kegemarannya.

" Emmm...sedapnya buuu."  

" Kesian tok makan sorang-sorang, " kata Hana sambil menghirup air sirap yang kubeli di pertengahan jalan dari rumah ke hospital.

 

" Eh!  dah azan tu", kata suamiku sambil duduk di atas kerusi di tepi katil.

Tangannya mencapai air kosong dan kuih serta nasi yang kubekalkan dari rumah untuk berbuka.

 

Usai azan dan bacaan doa berbuka aku mengambil seketul kuih sagu lalu memakannya.

Alhamdulillah cukup rasa manis dan lemaknya dengan disaluti kelapa parut masin.

 

Sambil makan aku talipon mak untuk bertanya khabar.

Alhamdulillah mak tidak keseorangan kerana jiran aku ada bersama berbuka puasa dengan mak.

 

Mak aku cakap sedap kuih sagu telur katak masakanku. Aku tersengih sendirian bangga dapat pujian jujur daripada emak kesayanganku.

 

Kuih sagu@telur katak buatan air tanganku sentiasa menjadi kegemaran anak-anakku.

 

" Yang, jom solat maghrib. Nanti lambat pulak," kata suamiku.

"Ibu dengan ayah nak solat kejap ya. Nanti ibu datang balik. Tapi ayah terpaksa lah tunggu di luar sebab sekarang bukan waktu melawat." Hana hanya menggangguk tanda faham.

 

Sekembali dari surau sambil mengemas meja kecil ditepi katil Hana aku memandang sekeliling melihat keadaan dalam wad. Kelihatan seorang budak perempuan seusia Hana sedang terbaring dengan tangannya terikat dek tube untuk masukkan sepeket darah tergantung ditepi katilnya.

Manakala di kiri kanannya hanya dua buah katil kosong tanpa pesakit.

Di sebelah kiri katil Hana pula ada seorang nenek tua berbaring dengan mata terpejam rapat. Dadanya berombak kuat seolah-olah menahan sakit. Sesekali kedengaran suara berdengkur agak garau.

Di sebelah kanan katil Hana juga kosong.

 

Jam tepat menunjukkan pukul 9.30 malam.

Aku teringat emak keseorangan di rumah. Kesian mak.

 

"Ibu balik ya.

Doktor tak benarkan ibu tunggu." Hana kelihatan sedih. Aku memandangnya dengan hati yang hiba. Tapi apakan dayaku. Di sini anak, di rumah emak. Aku tersepit. Aku serahkan saja pada Allah.

 

Kami tiba di rumah lebih kurang pukul 10.00 malam.

Kelihatan emak aku sedang berbaring di dalam bilik sambil memegang tasbih. Berzikir.

 

"Hah, dah balik... Macamana keadaan Hana sakit lagi ke?Tanya mak.

"Alhamdulillah sudah beransur pulih. Doktor suruh dia berihat. Insyaa-Allah esok boleh baliklah tu", kataku untuk menyedapkan hati mak.

 

Sedang kami berbual tiba- tiba talipon bimbitku berbunyi. Hana?

Apa lagi dia nak agaknya.

 

"Ibuu...buu...Hana takut sorang-sorang. Hana nak balik...," kedengaran suaranya yang perlahan sambil menangis teresak-esak.

 

"Nenek sebelah Hana ni dah meninggal dunia. Baru je tadi. Anak-anaknya ada tengah baca Yasin. Kejap lagi jenazah dibawa keluar. Ni sekarang semua keluar nak uruskan jenazah la agaknya. Kenapa tinggal sorang-sorang nenek tuuuu..

Hana takut. Ada di sebalik tirai sebelah Hana ni...ibuu datang laaa..." Tersekat-sekat suara Hana menyampaikan berita kematian pesakit di sebelah katilnya.

 

" Innalillahiwainna ilaihiroji'un...sabar la ya sayang. Ibu tak boleh buat apa sebab baru je sampai rumah. Masya-Allah. Jangan tengok. Tidur je. baca doa banyak-banyak. Sedekahkan Fatihah untuk jenazah. " Pujukku sambil menahan rasa sebak juga apabila mendengar Hana menangis.

Aku serah pada Allah supaya dikuatkan semangat Hana. Hanya untuk satu malam mungkin Hana kena bermalam dengan jenazah.

Lagu pilihan:

1. Ramadhan bulan berkat - Hijazz

2. Kasih Ibu – Jamal Abdillah

3. Elegi Sepi - Azharina

 

Karya :

Noor Baiti Abbas

Ip

2 comments:

  1. Kananta tak dengar rancangan ADILA.

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh amie kak suka juga dgr adila ..kawan2 kak ramai penulis adila

      Delete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist