ASSALAMUALAIKUM
KHAZANAH BIDUAN R. AZMI
Genre: Biografi
Penulis: Abdullah Abd. Rahman (Tabir Alam)
Penerbit: SPTA
ISBN: 978-9672-994619 (Sastera Kehidupan)
Bilangan muka surat: 120
Harga: RM20
Tahun terbitan: 2025
Pengulas: Paridah Ishak
Naskhah KHAZANAH BIDUAN R. AZMI merupakan karya biografi tulisan Tabir Alam, nama pena kepada penulis mapan dan prolifik Abdullah Abdul Rahman. Buku ini menghimpunkan catatan terperinci tentang keterlibatan biduan legenda R. Azmi dalam dunia seni suara, perfileman serta peranan beliau dalam konteks sosial dan kemasyarakatan.
Penulis memaparkan fakta dengan penuh ketelitian melalui pelbagai sumber rujukan, antaranya laman sesawang, video YouTube, Portal Discogs, serta hantaran akaun Facebook yang memperdagangkan piring hitam lama. Selain itu, rujukan peribadi turut dibuat melalui individu-individu yang mempunyai hubungan rapat dengan biduan ini, menjadikan penulisan lebih berwibawa dan bernilai dokumentasi.
Kandungan buku ini dibahagikan kepada beberapa bahagian utama. Bahagian awal memuatkan prakata dan apresiasi terhadap sumber rujukan. Bahagian A pula menghimpunkan pelbagai tajuk menarik seperti Pengenalan, Alam Perkahwinan, Ahli Keluarga, Biduan Prihatin, Peristiwa Pahit, Peristiwa Lucu, Peristiwa Manis, Peristiwa Ngeri, Penyanyi Suara Latar, Lagu Jenaka, Syarikat Rakaman, Rakaman Lagu P. Ramlee, serta penglibatan R. Azmi dalam filem seperti Bapa Saya, Shorga Dunia, Aanjoran N., Tas Tangan Wanita dan Gandingan Suara dalam Filem. Keseluruhannya terdapat lebih tiga belas topik yang mengundang minat untuk ditelusuri.
Bahagian B menyenaraikan sebanyak 158 buah lagu nyanyian R. Azmi, antaranya Takdir Yang Maha Esa, Taman Asmara, Tasek Madu, Terimalah Salamku, Tetap Ku Terbayang dan Timang-Timang Malaya.
Bahagian C pula memaparkan syarikat rakaman yang menerbitkan lagu-lagu beliau, iaitu Columbia, His Master’s Voice, Pathé dan Grand. Seterusnya, Bahagian D menyenaraikan sepuluh buah filem yang menggunakan suara nyanyian R. Azmi, antaranya untuk pelakon seperti Yusuf Latif, Nordin Ahmad, Osman Gumanti dan A. Rahim.
Pelbagai pengalaman menarik sepanjang kehidupan R. Azmi sebagai artis pada era awal 1950-an disusun dengan kemas dan kronologis, menjadikan pembacaan dari awal hingga akhir terasa mengasyikkan. Setiap lagu turut disenaraikan lengkap dengan lirik asal, tahun terbitan serta syarikat rakaman, menjadikan buku ini sebagai rujukan penting bagi pengkaji dan peminat seni suara klasik.
Biduan R. Azmi yang terkenal dengan jolokan Raja Hindustan Malaya memiliki riwayat hidup yang masih diselubungi misteri, memandangkan beberapa fakta mengenainya masih diperdebatkan kesahihannya. Membaca KHAZANAH BIDUAN R. AZMI mengundang rasa sayu dan empati terhadap perjalanan hidup beliau, seakan menghayati senikata lagu Nasib Penyanyi yang pernah dinyanyikannya.
Lagu-lagu R. Azmi kekal malar segar dan terus diminati peminat di Singapura, Malaysia, Brunei dan Indonesia, merentasi seluruh Nusantara. Sebagai penulis khazanah biografi, Tabir Alam sebelum ini telah menerbitkan KHAZANAH SHARIFAH AINI, KHAZANAH SALOMA dan KHAZANAH NONA ASIAH. Penulisan beliau berteraskan fakta yang teliti dan tepat, sekali gus menjadikan karya-karya ini sebagai sumber rujukan yang signifikan dalam khazanah seni tanah air.
Pic Sifu Tabir Alam (c) @GRAHA KARYA

No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”