Friday, 30 July 2021

MELUKIS LAUT RASA

 ASSALAMUALAIKUM


SALAM JUMAAT MULIA



MELUKIS LAUT RASA

 

..

Samudera 

terhampar saujana pandang

tiada tepian

 garis akhirnya entah dimana sempadannya layar lebar berkembang

semilir menyongsong arah mendamparkan

biduk usang

pinggiran muara tanjung

mungkinkah bayu tidak berpuput lagi

bahana karma menunaikan hukumnya

tanpa bertangguh

Gendala pelayaran… pelabuhan matlamat semakin jauh

muhasabah

selalu

kenapa

mengapa

bohol solusi

rungkai

Keperluan

biduk kecil

bermain

ombak menangkis

gelora sedikit cuma

gegala bocor

tidak meniris

karam

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

1/6/021


Thursday, 29 July 2021

INTAN PERMATA

 ASSALAMUALAIKUM

ALHAMDULILLAH DALAM SAJIAN KLASIK PAGI DJ ADY SUWARDY  TELAH BACAKAN PANTUN PI @RADIO KLASIK

 TERIMA KASIH BANYAK KESUDIANNYA.



PIC RADIO KLASIK (C)



Pantun D’Klasik

Radio Klasik RTM

Isnin ,   29/7/ 2021

Pantun dibaca

 

Ditanam  kantan, limau kasturi,

di tepi rawa tanah yang rendah;

permata intan merias diri;,

mulia jiwa pekerti indah.


Wednesday, 28 July 2021

GABRIEL KIM JUAN

 ASSALAMUALAIKUM






GABRIEL KIM JUAN
G-enerasi penulis muda berwawasan
A-mbisi dijayakan sempurna mampu
B-akat semulajadi dimanfaatkan
R-ajin berkarya genre puisi
I-ndah sekali susunan aksara nukilan
E-mpati halus jiwa zahirkan rasa
L-unak kreatif diksi mempesona
K-ini Gabriel hayati norma baharu sebenar
I-slam syumul suci pelukan erat
M-embaca karya terserlah niatnya lama
J-usteru Allah kurniakan hidayah
U-ntuk seorang insan budi mulia
A-llahu Akbar bersyukur terharu
N-ur langit menyuluh lorong hidup anakanda

Tuesday, 27 July 2021

LERAI BENANG KUSUT

 ASSALAMUALAIKUM



PERTEMUAN AKU DENGAN KETUA FAKULTI PERUBATAN


Semalam aku telah buat satu temujanji dengan seorang Professor di Fakulti Perubatan. Aku tiba tepat jam 8.00 pagi di ruang tamu Fakulti Perubatan.
Tujuan aku buat temujanji sebab aku ingin berbincang perihal budaya kerja di Universiti tersebut.
Selama 38 tahun aku bekerja di Kementerian Kesihatan Malaysia dan pernah menyandang jawatan sehingga peringkat Pengarah kolej, budaya kerja tidaklah kucar kacir walaupun berlambak tugasan. Sasaran tugas jabatan dan kementerian tercapai. Kami mampu bekerjasama dengan harmoni dengan jayanya. Biasanya aku kendalikan dengan adakan jawatankuasa pemandu "Task Force" dan ahli untuk satu tugasan. Jawatankuasa pemandu akan diberi ganjaran merit mata kredit penilaian akhir tahun untuk tugasan yang selesai. Nilai mata kredit mengikut tahap pencapaian kerja yang dilakukan.
Namun disini agak kacau bilau sedikit
Aku sendiri yang merasa sukar mencapai. Tugasan hakiki tidak dapat dibuat dengan sempurna dan kepuasan kendiri mengajar tiada. Aku tiada kepuasan.
Semua kerja hendak dilakukan segera serentak.
Contoh:
Mengajar 4 jam,
dalam masa 2 jam lagi yang tinggal, kita diperlukan berada ditempat vaksin sepanjang 12 jam dan kerja kerja mendigitalkan dokumen perlu siap sebelum jam 12.00 malam. Gila...
Sejak sebelum aku datang budaya kerja ini sudah berlaku. Akan tetapi, apa yang aku perhatikan, semua pensyarah lain kelihatan seolah relaks sahaja. Adakah aku sendiri yang enjin tua? Aku pun hairan juga.Tiada seorang yang bersungut dihadapanku. Mampukah mereka ni lakukan semua arahan yang disuruh?
Aku yang bengang. Aku sebagai manusia yang punya pengalaman 38 tahun bekerja merasakan bahawa, semput dan sesak nafas. Jiwa ku tidak boleh terima jika ia berlarutan. Ingin aku berhenti sebab aku bekerja bukan meraih pendapatan. Membantu mencapai KP1 Universiti yang memerlukan kursus Perawatan Warga Emas.
Semasa mesyuarat, baru aku difahamkan bahawa pencapaian dilaporkan keseluruhan hanya 60% sahaja dalam proses mendigitalkan dokumen.
Selama ini, aku ingat semua yang duduk diam tu sudah beres mencapai 100% sebab lihat wajah mereka seperti tiada masalah.
Aku pun mula bertanya dan mengkaji seorang demi seorang, rupanya mereka rasa seperti apa yang kurasa.
Tetapi sebab mereka muda dan tiada pengalaman, mereka ingat itulah budaya bekerja. Lagipun takut jika bersuara akan dihentikan kerja sedangkan mereka sangat memerlukan pekerjaan ini.
Semalam pula dihujung minggu, aku dikejutkan oleh ketua unit pendigitalan berkaitan dokumen kurikulum aku. Kuota pelatih dikawasan klinikal. Dalam keadaan aku sakit gigi pun diganggu. Aku masih mampu bermuhasabah diri. Aku masih menjawab sipemanggil dengan baik sekaligus memberitahunya yang aku sedang dalam keadaan sakit gigi. Sipemanggil pun segera minta maaf dan nasihatkan aku agar berehat.
Banyak hikmah jika kita bersabar. Sebaik itu, aku pun segera menalipon untuk buat temujanji pagi Isnin berjumpa Ketua Jabatan Fakulti Perubatan Professor Doktor R.
Pagi seperti dijanjikan aku bertemu dengan beliau. Dia seorang Ketua Fakukti yang baru dan tidak sampai dua bulan menegang jawatan tersebut.
Aku pun mengambil kesempatan ini berkenalan dengan beliau.
Rupanya dialah orang baru yang pernah aku terserempak di Kafe dan di elevator.
Sebelum ini aku tidak pernah mengesyaki bahawa beliau seorang Professor Fakulti Perubatan. Ramai di sini warga emas seperti aku masih bekerja.
Alhamdulillah
Bersembang punya bersembang rupanya beliau pernah bekerja bersama ku di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru sekembali beliau dari Melbourne. Mungkin aku tidak ingat sebab semasa itu wajahnya versi muda. Sekarang versi warga emas. Ha ha ha. Tapi masihlah kekal kacak dan cerah orangnya.
Walaupun panjang kami bersembang, aku tidak lupa objektif aku bertemu. Ia itu, budaya kerja di Universiti ini tidak sihat dan tidak terancang serta kelam kabut.
Mungkin para jentera pemandu terdiri dari orang muda zaman x,y,z dan millineum. Mereka pintar ilmu teknologi maklumat dan mempunyai sepasang mata yang jelas tetapi mereka tiada pengalaman mengurus.
Habis perbicaraan,
matlamat aku berjumpa Ketua Fakulti Perubatan tercapai hari ini.
Aku kembali ke tempat tugas ku dengan lapang dada sebab;
1. Professor faham kedudukan aku yang tidak boleh terima keadaan itu dan akan cuba mengenengah kan beberapa cadangan ku. Seperti untuk adakan jentera dan bengkel kerja di hujung minggu dengan ganti hari kelepasan.
3. Yang
terbaik
sekali beliau sempat menasihati aku berkali agar jaga kesihatan ku dengan hanya buat yang termampu tidak "stress" yang boleh mengakibatkan "stroke" kerana aku ada hipertensi.
4. Aku dapati Professor juga merupakan seorang yang mengenal Allah. Dari perbualannya, aku tahu beliau seorang berfikiran terbuka dan pegangannya sebagai seorang Islam juga sejati. Beliau juga seorang berjiwa tenang.
Walaupun pertemuan kami seketika, aku dapat merasakan pantulan ketenangan jiwanya. Ia mudah dibawa berbincang dan pendengar baik serta banyak pengalaman hidup. Beliau hanya setahun senior dari aku.
Alhamdulillah
Misi meleraikan benang kusut terlaksana hanya dengan satu pertemuan dalam 1 jam bersama Ketua Fakulti Perubatan.
Aku yang kerdil
haraslegend
Cyberjaya
27hb Julai 2021
 and 

Sunday, 25 July 2021

SURAH 106: QURAISY

 ASSALAMUALAIKUM


PERKONGSIAN ILMU.
SURAH 106: QURAISY
Muka Surat: 602. Mengandungi 4 ayat
PENGENALAN:
Allah SWT membinasakan mereka yang cuba memusnahkan pusat TAUHID (Kaabah). Yang memudahkan musim sejuk dan musim panas bagi perjalanan kaum Quraish. Mereka mendapat kemuliaan daripada kaum lain dan perjalanan mereka tidak diganggu. Kerana mereka tinggal berdekataan Kaabah. Oleh itu kewajipan kaum Quraish untuk beribadat kepada Allah SWT. Jauhi syirik yang menyeru roh-roh nabi-nabi, wali-wali, malaikat-malaiat dan jin-jin. Tidak dibutakan oleh kecintaan kepada dunia semata-mata.
DAKWA SURAH (Isi penting): Tazhid dari dunia. Mementingkan kehidupan dunia.
Allah hendak beritahu kepada orang-orang Quraish Mekah. Bumi Mekah kering kontang. Ada hanya air zam-zam daripada Nabi Ismail dengan kudrat Allah. Allah beri rezeki – kebiasaannya orang-orang Quraish akan bermusafir untuk berniaga. Pada musim panas pergi ke Syam . Pada musim sejuk pergi ke Yaman. Untuk cari keperluan. Allah beri kemudahan. Orang-orang luar hormat kepada orang-orang Mekah Quraish kerana mereka duduk dekat Kaabah. Kaabah lambang Tauhid. Mereka dihormati kerana mereka duduk tempat baik. Mereka dihormati bukan kerana mereka baik. Contoh: Ketika buka puasa bulan Ramadan di masjid. Masjid tempat baik, orang tak puasa pun boleh berbuka puasa.
Ayat 1: Kebiasaannya orang-orang Quraish Mekah bermusafir untuk berniaga. Ini kerana di Mekah tiada makanan asas. Buminya kering kontang. Allah beri kemudahan perjalanan musafir mereka dengan keadaan aman. Tiada yang mengganggu.
Ayat 2: Kebiasaannya orang-orang Quraish Mekah mengadakan perjalanan musafir untuk berniaga. Ke Yaman pada musim sejuk. Ke Sham pada musim panas. Mereka mendapat layanan baik. Orang-orang dari Baitullah tempat yang baik. Perompak-perompak pun takut dan hormat kepada mereka, kerana mereka dari tempat baik. Mereka tidak diganggu seperti orang lain.
Ayat 3: Sepatutnya orang-orang Quraish hanya menyeru dan menyembah Tuhan Kaabah sahaja. Allah yang beri rezeki kerana mereka duduk dekat Kaabah, lambang TAUHID. Sepatutnya kamu orang-orang Quraish beribadah kepada Allah SWT sahaja. Sembah hanya Allah SWT sahaja.
Ayat 4: Orang-orang Quraish diseru sembahlah Allah SWT, kerana sebenarnya Allah SWT yang beri makanan kepada mereka daripada lapar. Allah SWT yang beri keamanan dan keselamatan kepada mereka daripada ketakutan.
KESIMPULAN:
Walaupun ayat ini ditujukan kepada Quraish Mekah, tetapi peringatan kepada semua manusia. Sembahlah Allah SWT kerana Allah yang menghilangkan lapar. Allah yang sedia makanan ketika lapar. Allah yang beri keamanan.

Saturday, 24 July 2021

BAK BAKAWALI, MINERAL, DAUN LEBAR dan KOKILA

 ASSALAMUALAIKUM


 

 

ULASAN BUKU

BAK BAKAWALI, MINERAL, DAUN LEBAR dan KOKILA




Genre : Puisi moden

Penyelenggara :

Aslina Idris

Penulis : Ct Nurza

Penerbit : Jom Sastera

Nombor ISBN : 978-967-16280-0-3( Sastera Kehidupan)

Bilangan mukasurat : 74

Pengulas : Paridah Ishak

 

            BAK BAKAWALI, MINERAL, DAUN LEBAR dan KOKILA merupakan tajuk pilihan yang tertera pada kulit buku comel menghimpun sajak-sajak karya penulis mapan Ct Nurza. Diksi agak panjang. Namun menarik dan unik. Menyirat nilai metafora indah. Bakawali, mineral. Daun lebar diberi lambang kepada karya indah yang dihasilkan holistik mencerna ilham yang menginspirasi.

Pemilihan aksara bebas sebagai wajah sajak moden. Tidak terikat dengan bilangan stanza dan rima tertentu. Tapi ada juga sajak berima rawak demi menyeri keindahan diksi namun tidakpada keseluruhan stanza. Penulis ini telah membina namanya dalam penulisan kesusasteraan Malaysia dalam pelbagai genre. Berpengalaman luas dalam bidang penulisan justeru keterlibatan beliau dalam arena kesusasteraan. Puisi sajak antara genre yang diberi fokus utama.

            70 sajak pelbagai tajuk menzahirkan luahan rasa ilham penulis tersusun indah dalam setiap halaman buku comel ini. Ada sajak dengan larik pendek sahaja. Seperti sajak ‘Puji’ yang dipapar pada halaman sajak satu. Sajak ini agak abstrak namun diksi aksara amat indah. Begitu juga dengan sajak ‘Perlina’. Tentu tertanya-tanya apakah maksud perlina. Cuma empat larik mengungkap maksud yang dicari. Dan ada yang berlarik panjang satu halaman membentuk prosa yang mudah difahami pembaca contohnya sajak berjudul ‘ Helikopter Pembawa Jenazah’. Penyair bersajak tentang insiden sedih dan situasi kekalutan berlaku pada pemerhatian pancaindera seni.

            Kesimpulan pandangan Pengulas kepada himpunan sajak nukilan Penyair Ct Nurza ini sudah sepatutnya dinikmati semua peminat sajak justeru nilai estitika ketara mengertikan makna pengalaman kehidupan penyairnya.

            Tahniah Ct Nurza semoga terus sukses menghasilkan karya kesusateraan bermutu demi menyemarakkan sanggar sastera puisi indah!   


Friday, 23 July 2021

SUKAN OLIMPIK TOKYO

 ASSALAMUALAIKUM



sakura merah –

‘Sukan Olimpik Tokyo’

ghairah peminat

 

awal Zulhijjah

bakul makanan rakyat

empati kongsi

 

hutan simpanan

durian Musang King

teroka gagal

 

‘Bulan Berdarah’

bayang umbra merah

solat gerhana

 

Norlaila Ghafar

sempena Hari Ibu –

setulus doa

 

lautan Hindi

roket angkasa China –

serakan puing


Wednesday, 21 July 2021

KORBAN DIAIDILADHA

 ASSALAMUALAIKUM


MERIAH JUGA IBADAH KURBAN YANG DILAKUKAN MASYARAKAT KAMPUNG PI DI FELDA ULU JEMPOL PAHANG...WALAU DALAM TEMPOH PKP NAMPAKNYA IBADAH KURBAN DIBENARKAN DILAKUKAN...ALHAMDULILLAH



HASIL TANAM MUSIMPKP  TUAN RUMAH


NAK SELFIE AIDILADHA JUGA CUCU2 COMEL MIA N ABQORI


Monday, 19 July 2021

SALAM AIDIL ADHA

 ASSALAMUALAIKUM







AIDILADHA

 

Salam

Aidiladha

mohon ampun maaf

zahir batin apa

jua silap salah laku

dosa

.

Hari

istimewa

bahagia indah

mulia nan suci umat

Islam 

.

Sedih

juga tidak

dapat pulang sambut

raya bersama famili

jauh

.

Walau

tenang diam

air mata luruh

basah sudut kalbu paling

dalam


Sunday, 18 July 2021

HARGAI HAYAT

 ASSALAMUALAIKUM


 


Hargai saat hidup dan bersyukur walaupun apa warna situasi yang melingkungi kita dengan sabar bertakwa kerana ternyata masih ada rezeki untuk dinikmati.

Memaklumkan sesuatu biar maluman itu dimaklumi  dan tidak mengelirukan untuk memahaminya releven situasi semasa


Walau terasa payah hadapi hidup justeru wabak COVID-19, bawa bersabar dan bertenang selalu kerana setiap dugaan Allah bersalut hikmah yang belum terbuka   sebagai tanda Allah sedang menguji keimanan hamba.


Lestari ukhuwah dan mengerat ikatannya semesra mungkin tanpa kekangan walau tidak bersentuhan lantaran mudarat koronavirus menular kerananya jika tersengaja atau tidak melakukannya. Demi keafiatan yang tersayang.

 


Patuhi ketetapan unjuran pihak berwajib kepada setiap warga negara  kerana mentaatinya merupakan langkah terbaik untuk menghalang koronavirus daripada terus menyebarkan penyakit demi kebaikan semua.

 

Kebersihan itu sebahagian dari iman dan tuntutan agama, langsung tidak boleh dipertikaikan kebenarannya


Saturday, 17 July 2021

DEMAM

 

ASSALAMUALAIKUM

 

Selamat berhujung minggu moga sihat sejahtera menangani aktiviti yang disenangi walau dalam suasana PKP…semalam dibawa anak lelaki yang bongsu untuk dapatkan suntikan vaksin Pfizer dose kedua di dewan komuniti Serendah...Anak  sulung kakak sibungsu pun terima vaksin sinovac dose kedua di MATEC pada tarikh dan waktu yg sama. Alhamdulillah cepat selesai urusannya. Terima kasih kepada semua frontliners terlibat. Balik ke rumah rasa ngantuk sangat. Malamnya demam. Pepagi cari pil  demam. Telan dua butir insya-Allah kebah dah demam.



SEMUA PIC GOOGLE IMAGES (C)








Thursday, 15 July 2021

PENGORBANAN

 ASSALAMUALAIKUM



"AKU RELA BERKORBAN"
Ku lihat ramai klien beratur diluar dan panjang berbaris menunggu giliran untuk menerima suntikkan.
Aku kesihan melihat mereka yang sanggup datang dari jauh hanya untuk menerima satu suntikkan.
Di dalam semasa aku hendak beri suntikkan pula aku sempat membuat kajian secara rawak mengikut masa dan kesempatan yang aku ada. Aku telah bertanya akan pendapat mereka. 100 % dari mereka yang datang menerima vaksin, bersyukur terhadap tindakkan kerajaan. Tidak kiralah samaada mereka orang Melayu, China atau pun India dan juga warga asing seperti Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan lain lain. Mereka semua menyuarakan kesyukuran terhadap tindakkan kerajaan Malaysia yang memberikan vaksin percuma. Semua mereka yang aku soal menyatakan pandangan bahawa adalah lebih baik ada vaksin dari tidak ada vaksin. Walaupun mereka juga tahu bahawa mengambil vaksin adalah hanya satu usaha untuk prevensi sahaja dan bukan menjadi kebal. Mereka kesemuanya mengharapkan agar rakyat Malaysia yang masih negatif terhadap vaksin akan berubah pandangan kepada yang baik dan positif. Pendapat mereka bagi individu yang tergulung dalam menyebarkan berita palsu memburuk burukkan usaha kerajaan dan vaksin dapatlah dihapuskan.
Mereka yang datang berusaha menerima vaksin sudah rasa letih untuk duduk dalam keadaan tertekan kemiskinan. Mereka bosan menerima respon segelintir masyarakat yang sengaja tidak menyokong dan memperdulikan hasrat serta usaha kerajaan Malaysia. Mereka letih kerana dengan adanya orang begini, keadaan pandemik Covid-19 negara Malaysia masih tidak dapat dibendung dengan jayanya. Hari hari kes semakin meningkat. Ekonomi individu hapus , ekonomi negara merundum. Penderitaan mereka yang tinggal di hospital tanpa katil dan dalam keadaan tidak selesa. Mereka mengharapkan agar rakyat Malaysia turut sinpati dan enpati. Mungkin tidak kena kepada diri dan famili terdekat mereka sendiri. Maka mereka tidak langsung dapat merasakan apa yang orang yang telah dan sedang menjadi mangsa Covid-19 di hospital.
Semua bangsa yang aku suntik, secara rawak aku soal untuk data anekdota aku sendiri menyokong usaha murni kerajaan walaupun dalam ekonomi tenat.
Aku sangat simpati terhadap mereka yang sanggup datang dari jauh, beratur berdiri berpanas dan kadang hujan renyai renyai menantikan giliran untuk disuntik.
Usaha Pusat Vaksin Negara di tempat aku ditugaskan sudah pun mempertingkatkan usaha dengan meningkatkan jumlah kaunter suntikkan vaksin. Kini kaunter digandakan dua kali ganda. Dari jumlah 12 kaunter suntikkan sudah menjadi 24 kaunter suntikkan. Tahniah kepada semua lapisan jururawat yang telah bwesara. Mereka juga dari umur 60 an dan 70an sanggup masuk gelanggang manusia tidak tahu status.
Setiap kaunter, penyuntik boleh menyuntik 100 orang klien dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang dan 100 orang klien lagi dari jam 4.00 petang hingga 9.00 malam.
Ini bermaksud 200 orang setiap kaunter dalam sehari. Jika dikalikan dengan 24 kaunter , lebih kurang 4,800 klien sehari.
Tahniah kepada Tan Sri Hanippa dan ahli serta penyuntik vaksin negara. Semoga dapat memenuhi hasrat kerajaan Selangor iaitu lebih 80 % rakyatnya Selangor menerima suntikkan teecapai.
"aku rela berkorban" demi negara tercinta sesuai dengan Motto Universiti MAHSA "Be More" dan falsafah diriku, "Giving extra miles service."
Ipar duaiku sangat bimbangkan aku dan menegur suamiku yang mengizinkan aku masuk ke dalam gelanggang sekumpulan manusia yang tidak tahu status Covid-19 mereka.
Jawapan ku kepada mereka bahawa hidup dan matiku adalah hanya dengan ketentuan Allah. Bukan keadaan atau manusia yang menentukan.
Disamping itu, aku juga sudah berusaha dengan mengambil vaksin untuk prevensi. Aku juga amalkan "Standard Operational Procedure" yang ditetapkan.
Jika Allah telah menjanjikan, aku pilihan bunga terindah untuk disunting, dengan firman-Nya 'kun' maka 'jadi' lah.
Siapa aku, untuk mempertikaikan atau menghalang ketententuan-Nya. Sebagai ciptaan-Nya aku reda.
Sumpah sebagai jururawat,
Aku rela berkorban walaupun tanpa sejata,
Aku rela berkorban dengan kemampuan sebegitu cuma.
Aku rela berkorban demi bangsa dan negara.
Aku rela berkorban dengan kemahiran yang ada.
Aku rela berkorban
menjadi Penyuntik Vaksin Negara tercinta.
Haraslegend
15 Julai 2021
Cyberjaya

Wednesday, 14 July 2021

APA TU?

ASSALAMUALAIKUM



 

Ke pulau riang rata meronda,

menjala dalam jauhnya hunjam,

jikalau siang mata tiada

tatkala malam matanya tajam

 

 

hanya tempua melaju sisi,

landak di sana guman ratia;

sayapnya dua berbaju besi

hendak ke mana teman setia.

 

 

Menghangat senggang membelah pala,

tuala hampar menelah redup;

saat dipegang matilah pula

kala dilempar teruslah hidup

 

 

 

Empunya rantang di tanjung beting,

nyamannya hening melarik peti;

banyaknya bintang di hujung ranting

warnanya kuning menarik hati

Tuesday, 13 July 2021

SURAH 104 – AL HUMAZAH (PENGUMPAT).

 ASSALAMUALAIKUM



PERKONGSIAN ILMU:
SURAH 104 – AL HUMAZAH (PENGUMPAT).
Muka surat 601. Mengandungi: 9 ayat
PENGENALAN: Apabila Manusia mengabaikan akhirat hanya mementingkan dunia sahaja, orang itu pasti mempunyai akhlak yang buruk.
Surah ini membicarakan balasan azab kepada golongan yang bersikap demikian. Sibuk dengan pangkat dan mengumpul harta.
AYAT 1 – 3: Sifat orang yang terpedaya dengan dunia.
Ayat 1: Celaka besar setiap orang yang mengumpat dan mencela serta mencaci. AL HUMAZAH – Orang yang mengumpat, mencela dari belakang. AL LUMAZAH – orang yang mencela dan mencaci secara langsung.
Mereka yang mencaci dan mencela kerana berebut dunia – pangkat dan harta. Hatinya kotor semua tak cukup. Kalau tak cukup – megumpat dan mencela. Kalau lebih pun mengumpat dan mencela. Orang yang berebut akhirat tidak ada sifat ini.
Ayat 2: Orang yang cinta dunia – kerjanya hanya mengumpul harta benda dan membilang-bilang hartanya. Tanpa mahu menginfakkan hartanya kerana tamak. Mengumpul harta tidak dilarang dan tidak berdosa.
Maksud ayat ini orang yang mengumpul harta tidak menunaikan kewajipan yang sepatutnya. Sifat tamak kepada harta mendorong kepada sifat sombong dan takbur. Cinta kepada harta menyebabkan dia lalai kepada kewajipan agamannya.
Ayat 3: Dia berbuat begitu sebab. Dia menyangka hartanya dapat membahagiakan dirinya di dunia ini. Dia sangka hartanya kekal dan memberi kesenangan kepadanya. Lumrahnya orang yang bersifat EGO terhadap orang lain disebabkan harta kekayaan.
Ayat 4 – 9: ANCAMAN UKHRAWI –iaitu Ancaman Akhirat dengan Neraka Hutthamah.
Ayat 4: Apabila mati, orang itu dan harta bendanya akan dihumban ke dalam neraka Hutthamah.

Ayat 5: Allah bertanya dengan nada sinis. “Tahukah kamu ap aitu neraka Hutthamah??

Ayat 6: Allah tanya, kemudian Allah jawab. Huttamah ialah Api Allah SWT. Yang dinyalakan atas perintah Allah. Yang membakar orang-orang yang cintakan dunia.
Ayat 7: Api neraka Hutthamah akan menjulang hingga membakar hati-hati manusia yang cintakan dunia. Orang itu diikat di atas palang dan dibakar sekelilignya.
Ayat 8: Api yang membakar itu ditutup rapat. Membakar sekeliling orang yang telah diikat. Api dari atas, dari bawah, dari kiri dan dari kanan. (Macam dalam oven).
Ayat 9: Mereka diazab di dalam neraka Hutthamah. Diikat pada batang-batang palang, yang melintang panjang dan dibakar. Api dunia kepanasannya 1/70 – panas tak tertahan. Bayangkan api neraka kepanasannya 70/70 . Iaitu 69 kali ganda panasnya daripada api dunia.
“SEMOGA ALLAH JAUHKAN KITA DARIPADA AZAB NERAKA. ALLAHUMMA AMIIN.”

MyBloglist