Monday, 7 June 2021

SELUANG MELAUT...

 ASSALAMUALIKUM


 

Oleh

Paridah Ishak

 

 

                                            SELUANG MELAUT

 


PIC GOOGLE IMAGES(C)

 

 

Malam yang damai tenang. Bintang-bintang bergemerlapan di dada langit. Menyinari gelita. Keadaan laut tidak terlalu bergelombang. Angin sentiasa berpuput mulus. Nyaman . Dingin menguliti. Dan terasa hingga ke tulang. Belum lagi alam sekitar membawa monsun Timur Laut yang akan menggelorakan Laut China Selatan ini dan merumitkan penghidupan di persisir perairannya dengan musim tengkujuh. Pasti akan berkunjung juga tidak lama lagi.

Ketika ini nelayan-nelayan pantai yang menaiki bot kecil atau perahu dan hanya miliki  peralatan penangkapan ikan yang minima tidak berani turun ke laut untuk mengais sedikit rezeki meneruskan kehidupan. Hanya menempuh bahaya sekiranya ingin melakukannya. Para nelayan tentu akan mengambil sikap mementingkan keselamatan diri mereka. Nyawa wajib dijaga. Kehilangannya sudah tentu tiada ganti.

Kini masih di bulan Ogos. Cuacanya tenang  berseri dan metah sesuai berwisata di tempat peranginan di tepi laut. Dan aktiviti nelayan-nelayan berterusan sebagaimana biasa. Di kejauhan kelihatan cahaya bergerak di tengah samudera. Barangkali ada kapal yang sedang belayar merentas lautan. Menuju destinasi entah kemana.

Jalil berdiri di tepi bot. Memerhati  alam sekeliling yang sunyi. Kedengaran hanya lagu ombak  berdebur menampar bot dan suara enjinnya yang tidak putus. Pengemudi bot fokus mengendalikan operasi pelayaran tidak mengambil kisah perilaku Jalil. Dia menilai situasi laut yang melengkunginya. Berdasarkan daripada sedikit pengetahuan yang diperolehi tentang kejuruteraan laut yang di pelajarinya di UITM.  Kemudian menyambung pengajian peringkat sarjana di universiti UK. Pengajian yang mengambil masa agak lama sebelum menamatkannya.

Pelayarannya bersama bot yang dinaiki ini pasti tidak tersasar ke destinasinya kerana tiupan angin yang lembut tidak akan menyebabkan tekanan ombak yang menggelora. Harapannya semoga berterusan situasi begini dan tidak berlaku perubahan cuaca drastik.

Ketenangan suasananya melekakannya menikmati keindahan laut Cina Selatan yang terbentang dan tidak tercapai hujung pandangannya. Perjalanan yang agak lama namun lancar tanpa aral gangguan akhirnya sampai ke destinasi tujuan. Sebuah pulau indah menyapa pandangannya. Walau malam membungkus panorama sebenar namun pulau Redang ketara jua citranya.

Bot mewah itu sudah tiba di jeti. Injinnya sudah dimatikan. Namun Jalil  masih alpa, termenung seketika. Dia tidak melangkah turun daripada bot lagi. Faez segera mencapai begnya dan beg temannya itu untuk dibawa bersamanya. Jalil tersedar daripada lamunannya yang melayang jauh entah ke mana. Dicapainya begnya daripada genggaman Faez. Langkah Faez dituruti.  Mereka berjalan seiringan justeru arah tujuan adalah sama.

Di hadapannya terpampang papan tanda Resort Sri Palma Pulau Redang. Faez kagum sekali melihat persekitaran resort yang cantik dengan rekaan seni bina chalet yang unik bentuknya walaupun hanya kelihatan samar dan cuma diterangi sinaran lampu jalan.

Faez mengajak Jalil untuk  terus melangkah mendekati kaunter pertanyaan resort yang masih terang benderang itu. Ada seseorang yang kelihatan mundar-mandir di dalamnya. Seakan sedang menanti kehadiran seseorang.

Langkah Faez terhenti pabila terasa tangan Jalil menyentuhi bahunya. Dia segera berpaling. Dan menanti buah bicara temannya itu. Hatinya merasa gusar, tidak enak. Apa pula masalah temannya itu lagi.

“Faez!”

“Apa lagi? Bukankah di sini tempat pertemuan kita dengan kawan-kawan sekolah dulu. Kita pun dah buat tempahan. Usahlah kau fikir tentang projek kapal yang sedang kau bina tu. Lupakan dulu. Aku tahulah kau tu jurutera marin pembina kapal. Kita berehat sekejap di sini. Sambil bertemu kawan-kawan lama kita..L agipun dah lama kita rancang pertemuan ni. Baru kali ni menjadi. Maklumlah kita kan masing-masing sibuk dengan pelbagai urusan. Setelah sekian lama bekerja, kita berihat pulak. Tubuh kita pun minta haknya untuk dilayani tau!” Panjang lebar jawapan Faez menjelaskannya walau dia tidak tahu apakah soalan sebenar temannya itu.

“Esok lusa aku ada tugasan untuk menguji beberapa buah bot peronda polis marin yang dibeli dengan syarikat tempat aku bekerja. Itu yang dalam kepala aku sentiasa duk mengira ketepatan strukturnya . Kepala aku ni terbayang-bayang setiap pelan yang aku reka. Asyik memikir tentangnya. Aku hanya boleh berharap segalanya tepat dan sempurna.  Bot  marin yang disiapkan itu terbaik keadaannya sebelum diserahkan kepada pelanggan penting syarikat kami tu.”

“Insyaa-Allah. Tiada apa-apa masalah tu. Kau kan profesyenal. “

“Walau seprofesyenal mana pun, kesilapan kadang berlaku juga tanpa kita sedari. Kan kita ni manusia biasa saja!”

“Kita sama-sama doakan rekacipta kau terbaik macam selalu. Tak payahlah kau terlalu fikirkan semua tu!”

“Harapanku semoga begitulah hendaknya.”

Senibina kapal dan pengangkutan laut, jurusan pilihannya di UITM  mengajarnya ilmu  kejuruteraan maritim. Meliputi teknologi rekabentuk kapal atau objek pengangkutan yang terapung di air. Teknologi pembinaan kapal merupakan bidang tersendiri dan semakin maju. Kejuruteraan Marin berkaitan dengan rekabentuk dan operasi enjin pendorong di atas sesebuah kapal.

Untuk melakukan pelbagai aktiviti di laut, sungai dan tasik, manusia telah lama menggunakan pelbagai jenis struktur terapung direkabentuk dan dibina. Ada  yang bersaiz kecil seperti kanu dan bot memancing, juga yang berbentuk raksasa seperti kapal tangki.

Pembinaan kapal pada mulanya tidak diasaskan kepada  teknologi sains. Tetapi lebih berdasarkan ketrampilan dan kemahiran pembina bot atau kapal berkenaan. Sejak zaman awal peradaban manusia telah berlaku. Sejarah tamaddun Mesir Kuno, Yunani dan China telah mencatatnya. Al-Quran juga menceritera kisah nabi Nuh alihissalam yang membina bahtera besar untuk menyelamatkan umat yang beriman kepada Allah Yang  Maha Esa daripada bencana banjir.

Dalam riwayat Melayu lama pula, penglipur lara bercerita kisah kapal Merong Maha Wangsa tersadai di gunung Jerai dilanggar burung geroda ketika dalam pelayaran membawa putera Rom yang akan mengahwini puteri China. Kapal   itu telah bertukar menjadi batu kerana disumpah sang kelembai. Batu yang terhampar luas di puncak gunung Jerai dipercayai ialah artifak kapal raja Merong Maha Wangsa.

Demikian  juga dalam pembinaan kapal-kapal perang dan penjelajah dibina  tamaddun Rom, Islam dan juga kuasa penjajah Inggeris, Sepanyol, Belanda, Portugis dan Perancis tidak menggunakan ilmu matematik atau kaedah saintifik yang diyakini  masakini..

Pada abad ke tujuh belas, saintis dan jurutera mula menerapkan ilmu sains dan matematik kepada rekabentuk kapal. Antara yang terawal ialah Sir Anthony Deane yang menulis buku Doctrine of Naval Architecture pada tahun 1670.  Bidang Senibina Kapal hanya boleh diikuti di luar negara Universiti-universiti di Jepun, United Kingdom,. Mulai tahun 1981, Universiti Teknologi Malaysia telah menawarkan kursus di bidang Teknologi Marin yang merangkumi senibina Kapal pada peringkat Ijazah dan Diploma.

Jalil berpeluang mengikuti kursus yang ditawarlan UITM setelah dia lulus temuduganya.Kini semua ilmu itu telah mengadaptasi dalam dirinya. Lestari  seiring kehidupannya. Terapung objek itu satu persatu dalam layar mindanya. Mereka yang mempunyai kepakaran dalam senibina kapal ialah arkitek kapal sepertinya. Dia seorang pengamal  berkarya dengan gigih dalam bidang yang diceburinya demi kemudahan penggunanya..

“Setahu aku, kau masa kat sekolah dulu aliran sastera. Tapi peliknya jadi orang sains pula. Hairan juga aku. ” Sambil mengatur langkah ke kaunter resort mereka berbeka perlahan. Memecah kesunyian malam.

“Aku sebenarnya bukan minat sastera pun. Tak pandai langsung berkarya kreatif puisi atau cerpen. Membacanya minat juga. Tapi sebab tak pandai macam kau, ke kelas sasteralah aku. Dulu kan kelas sastera hanya pilihan mereka yang lemah dalam sains dan matematik. Kau pula dari kelas sains tapi jadi orang sastera pula ya. Tapi sains dan sastera itu kehidupan, perlu adaptasi seiringan. Minat dan kemahuan penting untuk mencapainya. Siapa sangka kau kini seorang YB yang setiasa memikirkan kebajikan rakyat jelata. Aku pun tak mampu buat semua tu.Bukan main tinggi pencapaian kau. Ada rezeki manatahu jadi menteri pula. Aku sajalah yang menghabiskan masa dalam kapal di laut saja. Mengais rezeki Allah yang melimpah dalam laut.”

“Tapi rezekinya lumayankan?”

“In syaa-Allah…bolehlah nak hidup. Tapi tidaklah kaya-raya macam sesetengah kawan-kawan kita.” Faez sangat faham sikap Jalil yang selamba merendah diri itu hanya menambah kata.

“Ramai kawan-kawan sepersekolahan kita dulu yang hebat sekali pencapaiannya dalam kehidupan mereka. Kau ingat Azmi? Dia kini pengetua sekolah tempat kita belajar dulu..Sorang lagi kawan baik kau Tan Sri Asman kini orang kuat SPR.” Jalil sekadar mengangguk. Dia tidak mengambil tahu sangat perkembangan hidup kawan-kawan sepersekolahannya setelah sekian lama berpisah sebaik usai tingkatan lima..masing-masing membawa diri menurut haluannya. Sama ada menyambung pelajaran, bekerja atau berkahwin.

“Ya aku ingat,juga Azmi. Diakan  sekelas dengan kau, kelas lima sains satu. Memang bijak orangnya, layak pun jadi pengetua sekolah. Asman tu kawan sekelas  aku masa kat kampung. Dalam kelas masa ujian asyik dia je yang dapat nombor satu. Satu sekolah kenali dia sebagai budak bijak. Aku selalu dapat nombor satu juga. Tapi nombor satu yang paling belakang.” Lelucon Jalil menerbitkan tawa kedua-duanya.

“ Cuma aku sorang je  tak hebat pencapaiannya. Hanya seorang pelaut. Bekerja dalam laut. Aku dulu tidak pandai macam kau dan kawan-kawan kita. Lemah sangat dalam akademik. Selalu dapat nombor corot je dalam kelas. Mengenangkannya malu pula. Segan pula nak bertemu kawan- kawan lama kita yang kebanyakannya berjaya dan sudah kaya-raya semuanya.”

‘Aku dulu PMR sebelum ditukar PT3 pun tak lulus Faez. Tapi ayahku usaha masukan ke sekolah swasta hingga aku lulus dan dapat sambung belajar di sekolah kerajaan, bertemu kau dan  kawan-kawan kita. Kata ayahku pelajaran itu amat penting  dalam kehidupan walau hidup kami sentiasa kesukaran. Ayahku bergantung harap kepadaku untuk mengubah corak kehidupan kami yang daif kepada lebih sempurna. Justeru aku anak lelaki dan sulung pula,harapan ayah ibu dan keluarga kepadaku perlu kugalas dengan baik.

Keputusan SPM pun tak berapa bagus. Cuma setakat lulus pangkat tiga saja. Bukan sebabnya kerana aku tidak gigih berusaha. Barangkali nasibku yang tersurat sudah begitu. Tapi ayahku yang cuma tahu tulis baca saja itu menggalakkan aku mohon masuki mana mana IPT walau aku tidak yakin akan berjaya. Aku hanya berhasrat hendak mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan keupayaanku. Hendak bersandarkan kelayan akademik yang tidak seberapa itu masakan mungkin. Aku selesa meneruskan kerjaya tani warisan keluargaku sekian lama. Tapi pandangan ayahku berbeza. Luas dan jauh minda ayahku mencongak kira. Akhirnya aku berubah pendirian. Berkat doa ayah ibuku beginilah aku kini.’ Monolognya bercempera tidak bersambung lagi.

“Wah! Merendah diri pula kawan kita ni. Tak disebabkan kau tak jadi reunion kita ni. Kau yang sumbangkan dana untuk majlis kita. Semua belanjanya kau  tanggung. Termasuklah sediakan bot untuk pengangkutan kawan-kawan kita ke sini. Kita yang lebih awal ke sini dengan bot persiaran kau yang mewah lagi. Selesa sungguh aku belayar dengan bot mewah kau ni!”

“Eh! Kau salah faham tu. Bot mewah tu bukan aku punya. Aku pinjam je dari syarikat tempat kerja aku tu. Sesekali melaram dengan harta syarikat heh…heh..”

“Iyakah? Cakap kau kadang bukan boleh percaya juga, kau ni jenis orang yang suka pendam rahsia sendiri. Asyik merendah diri saja. Aku kenal sangat kau ni!”

“Sejak bila kau tak percaya aku ni? Kau kan kawan baik aku masa kat sekolah menengah di Kuantan dulu. Kita sebilik di asrama putera.” Kenangan ketika dia bersama Faez dan rakan-rakan seasrama bergentayangan lalu. Manis dan pahitnya dirasai. Abadi dalam kenangan.

“Yelah tu kawan baik konon! Tapi aku tak tahu pun kau sambung belajar di UK. Senyap-senyap saja kau ke sana. Mujur ayah kau beritahu aku. Kalau tidak sampai sudah aku tak tahu!” rasa jengkel Faez terluah lirih.

“Buat apalah aku nak hebuh cuma dapat sambung belajar di UK. Mesti  tak ada yang percaya kawan sekolah mereka yang selalu dapat nombor paling belakang setiap kali ujian, belajar di UK bidang kejuruteraan kapal. Nanti dikatanya aku membohong pula. Tak mahulah aku! Biarlah aku dengan cara hidupku tanpa menyusahkan sesiapa.”

Faez menerima sekadarnya alasan yang diberi sahabatnya walau hatinya mungkin sedikit terkilan.

“Maaflah Faez! Sebenarnya   aku terlupa nak beritahu kau tika aku nak bertolak. Maklum masa tu kalut nak uruskan semua. Tapi bila dah sampai di sana aku kirim surat pada kau kan. Dan sampai kini kita tak pernah putus hubungan.”

Lirih suara Jalil melunakan penerimaan Faez. Emosinya kembali normal. Dia mulai memahami situasi yang didepani kawannya itu.

“Itulah kan.kita tak pernah tahu apa-apa pun tentang hidup kita. Tapi Allah mendorong kita ke arah itu. Sebaliknya apa yang kita rancang beriya-iya tidak menjadi. Dan kita hanya tahu mengeluh kesal.” Tukas Faez lunak.

 

“ Tapi jangan kau hebuhkan pula pasal tu pada kawan-kawan kita. Aku ikhlas buat semua tu. Tidak salah aku hendak belanja sedikit  pada kawan-kawan kita. Kau sebut saja semua ni kau yang tanggung biayanya. Kau kan orang politik. Orang politik kan banyak duitnya. Lagipun kan YB ada peruntukan meraikan rakyat jelata. Tambah dah nak jelang pilihanraya tak lama lagi. Mesti YB sedang berlumba-lumba buat kebajikan untuk raih sokongan pengundi. Biasanya begitu selalu kan. Rakyat jelata macam aku ni dapatlah merasa sedikit harta negara yang melimpah ruah banyaknya. Bukan kekayaannya dibolot politikus yang menguruskan fiskal negara. Tidak adillah begitu. Rakyat macam aku ni cuma diberi janji dan harapan saja.”

“Pandailah kau nak mengenakan aku. Duitnya tu ada juga. Tapi  tak banyak sangat. Ekonomi negara kan sedang merudum sekarang ni, belanja keraian pun sikit je yang dibagi. Lainlah kau. Bisnis kau berkembang maju  walau ramai yang perit merasa kesulitan dan hidup seadanya saja. Kalau dah rezeki melimpah tu tidak salah berkongsilah sedikit kan!”

“Jomlah kita cepat ke sana. Pengurus resort nampak mundar-mandir dekat kaunter resort tu agaknya sedang tunggu kita mendaftar diri.” Jalil menggesa Faez mematikan bicara sahabat itu.

“Kenapalah pula pengurus resort yang nak ambil daftar kita? Kan ada kerani resepsionis pekerjanya. Pengurus pula nak buat kerja gitu!” Faez tersengih sahaja. Dan tidak membalas apa-apa.

“Oh! Aku faham. Heh..heh..kau kan YB. Tak rugi aku berkawan dengan YB ni…ke mana saja akan dirai. Memudahkan urusan pula.”

“Yelah tu. Badan aku ni pun dah rasa letih sangat. Rasa tak sabar nak tidur atas tilam, beristirahat.” Tangan Jalil di tariknya. Jalil  terpana kebingungan. Tetapi langkah Faez dituruti juga. Tidak teragak-agak lagi. Malam beransur dini. Cahaya bintang semakin sirna. Jalil dan Faez lena jendera sehingga azan subuh kedengaran dilaungkan dari surau resort.

Pagi yang damai.

Jalil sudah mempersiap diri sekemas mungkin. Berbaju batik lukisan tangan bercorak rebung dan warna dasarnya hijau pucuk pisang. Begitu juga Faez, kedua-duanya kacak bergaya terampilannya walau usia kedua-duanya melebehi separuh abad,.

“Jom kita ke jeti menyambut kedatangan kawan-kawan kita. Agaknya mereka dah sampai tu.” Seorang demi seorang kawan-kawan yang setuju menghadiri pertemuan itu menuruni bot yang membawa mereka dari tanah besar ke situ. Mereka bersalaman antaranya dan saling bertukar senyum manis. Mungkin juga mereka mengimbau kenangan yang dialami. Wajah lelaki-lelaki seusia dengannya ada yang tidak dikenalinya. Walau suatu ketika dulu mereka adalah rakan sepermainan. Begitu juga dengan kawan-kawannya yang perempuan.

Jalil terkesima memandang seseorang. Wajah itu sangat dikenalinya. Sentiasa menari-nari di layar mindanya wajah ayu itu. Pujaan hatinya dalam diam suatu ketika dulu. Kejap tersemat dalam memorinya. Langsung tidak terlupakan.

“Kau ingat Azimah? Dia kan sekelas dengan kau. Suaminya Datuk Rahim.” Bisik Faez perlahan menyapa deria dengar sahabatnya.

“Azimah mestilah ingat. Kan dia kawan baik aku. Selalu tolong  aku buat kerja sekolah dulu.”

“Datuk Rahim tak ikut sekali ke Azi?” datin Azimah tersenyum hambar.

“Taklah YB. Datuk ada mesyuarat penting dengan pucuk pimpinan parti di KL.”

“Kau kan orang parti juga tak kan kau tak tahu.” Tukas Jalil kehairanan.

“Manalah aku tahu. Aku parti lain. Datuk Rahim parti lain. Tapi kami berkawan baik. Tak ada masalah apa-apa.”

“Oh! Begitu kisahnya ya. Yang bergaduh riuh rendah kat dalam TV tu cuma drama swasta saja. Hmm…susah juga nak faham ragam orang politik ni ya. Pening kepala  aku memikirkannya. Mujurlah aku pelaut saja. Aku tidak ada masa hendak bertengkar dengan laut.”

“Kau kerja laut saja Lil?”

“Ya Datin. Nelayan laut dalam,cari rezeki hidup. Itu sajalah kepandaian yang ada datin!” Faiz tersenyum saja mendengar kekata Jalil.

“Tak payahlah nak berdatin-datin dengan saya. Panggil Azi saja. Macamlah tak biasa. Kan kita kawan baik dulu. Selamanya kita akan berkawan baik.”

‘Nampaknya begitulah Azi. Selamanya kita akan berkawan baik. Dulu aku pernah berangan sebaik menamatkan pengajian di UK akan pulang melamarmu. Dan membawamu belayar berkeliling dunia bersama bahtera hidup yang sedang kusiapkan pembinaannya sepenuh hati. Taman  hatiku meriah berbunga harum.

Tapi sebaik kuberitahu hasrat itu kepada ayah ibuku, mereka tersenyum saja. Katanya aku dah lama terlambat. Azimah yang ayah ibuku sangat kenali justeru ayahnya pernah menjadi guruku di sekolah kebangsaan dulu telah  berkahwin dengan seseorang. Tidak kuambil tahu pun siapa pasangannya. Hancur berkecai hatiku kala mendengar khabar itu.

Hanya doa kuiringkan dari jauh agar Azimah dan suamiya kekal berbahagia hingga ke syurga abadi. Namun lama juga hendak kupadam nama Azimah dari lembaran hatiku. Setiap hari menyendiri menatap laut dari terbit mentari hingga senja merah mewarna horizon. Irene hadir menemani sepiku. Aktiviti yang sealiran minat memesrakan hubungan. Sering bertukar kata tentang ceritera laut merawat sedikit demi sedikit kesakitan di jiwaku

“Jom kita semua ke meja hidangan. Saya pula selaku tuan rumah ya,” teragak-agak pula Faez menuturkannya.

“Kan YB yang aturkan semua ni. YBlah tuan rumahya.”sela datin Azimah.

Faez tersenyum mengerling Jalil. Datin Azimah berpaling ke arah rakan-rakannya mengajak mereka semua mengikutinya ke meja hidangan. Masing-masing berselfi dahulu sebelum menjamah hidangan. Masih tidak puas berselfi untuk merakam kenangan pertemuan mereka.

“Mana cikgu Azmi? Tak nampak pun.”

“Biasalah cikgu, sibuk selalu dengan tugasnya. Itu yang tak dapat datang kot.”

“Azi tu tak berubah wajahnya. Masih secantik dulu.”

“Kau berkenankan kawan kita tu ke? Bolehlah aku cuba tanyakan.”

“Ish. Gila kau! Kan dia isteri orang. Nak cari nahas.”

“Kau tak tahu ke Azi dan suaminya ada masalah rumah tangga. Suaminya buat hubungan dengan wanita lain dan bercadang nak kahwin lagi. Azi tak izinkan dan nak tuntut fasakh.”

“Kau ni tahu saja ya.”

“Mestilah tau. Aku orang politik, mesti ambil tahu mengenai lawannya. Apa lagi kelemahannya.”

“Eh! Begitu pulak ya. Tapi kalau aku nakkan Azi di mana nak kucampakan Irene Aisyah, isteri aku tu:

“Ke lautlah..heh…heh…”

“Mau disamannya aku juta-juta. Ayah isteri aku tu pemilik syarikat tempat aku bekerja tau. Lagipun tidak mungkin aku melakukannya kerana cintaku melaut kepada isteriku itu. Bidadari yang menemani susah payahku di dunia hingga jannah.”

“Oh! Aku tak tahupun kau ni menantu saudagar besar syarikat kapal terkenal tu.” melopong besar Faiz sambil merenung wajah Jalil.

“Jodoh pertemuan Allah mengaturnya Faez. Aku terima ketentuan-Nya dengan reda.” Jeda malaikat lalu.

“Tapi apa sebenarnya masalah Azi? Hingga hendak meruntuhkan masjid yang sudah lama dibina.” 

“Wah kau pun excited nak tahu kisah orang ya!”

“Azi tu kawan baik kita. Tentulah aku nak tahu juga kisahnya. Bukan niatku nak menjaga tepi kain orang. Kau jangan salah faham pulak!” Faez tersengih mendengar alas an Jalil hendak mewajarkan cara.

“Apa yang rancak disembang kawan berdua ni?” sela Datin Azimah, tiba-tiba sudah muncul di sisi mereka. Terkedu bicara seketika.

“Tak ada apa datin. Saya kan pelaut. Cerita tentang laut saja  seluas lautnya. Tak pernah habis kan Faez. Kehidupan kita ni seluas laut yang kadangkala tenang dan kadang bergelora.”

Faez sekadar terangguk-angguk. Tersengih sedikit.


4 comments:

  1. panjang coretan kak PI, seluang yang saya kenal ikan sungai yang banyak tulang tapi sedap di goreng hehe :)

    ReplyDelete
  2. Wak panggil ikan wader, sedap digoreng garing.
    Selamat berkarya.

    ReplyDelete
  3. menarik ceritanya kak👍👍👍 ilmu baru buat sy

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist