Monday, 29 June 2020

BAHASA ALAM




 ASSALAMUALAIKUM



BAHASA ALAM

Kalau tak sudi lupakan saja,
padamkan gambar kirimkan salam;
apa terjadi tidak sengaja,
ambil iktibar pedoman alam

Cerita silam Andalusia,
Allah menguji tidak perhati;
semesta alam penuh rahsia,
mesti dikaji dengan teliti.

Selindung balam bawah jerami,
leka bersujud mengutip lada
bahasa alam cuba fahami,
sebalik ujud ada petanda.

Naik  kereta menuju  kota.
lama di sana bertukar semi;
alam semesta rahmat Pencipta,
indah sempurna usah zalimi.

Sepinya malam tidak berteman,
rasa melarat terpisat-pisat
melihat alam cari pedoman
ada tersirat maksud firasat.

Sunday, 28 June 2020

DIALOG MAYA

ASSALAMUALAIKUM




DIALOG MAYA


"Wah...mesra kau berpelukan dengan isterimu, siap tayang satu dunia lagi...orang sayang isterilah katakan!"

"Kalau kita sayang mestilah kita tunjukan bukan!" tersengih Asrul menyetujui kekata sahabatnya.

"Kau tunjukan kasih sayangmu kepada dunia terhadap isteri barumu saja kot...sebab banyak aku nampak gambar-gambarmu mesra berdakapan dengan sidia saja. Tapi dengan K tak ada pula."


"Ada aku letakan dalam fb gambar K juga...kau yang tak perasan."

"Banyak ke foto-foto K yang kau masukan online?"

"Satu je..."
"Patutlah aku tak perasan... sebab foto yang satu itu dah ditenggelami aura foto-foto isteri mudamu yang cantik berposing denganmu."

‘Kau adaptasikan makna keadilan memadukan isteri-isterinya mengikut carakau tanpa mempedulikan perasaan K yang terluka kerana kau telah memaklumkan kepada dunia bahawa kau sangat berbahagia dengan isteri baru sedangkan K isteri pertama kau itu dianggap ada saja.’ Aima bermonolog sinis.  Mungkin itu yang difikirkan kawan kepada suami K itu.

Friday, 26 June 2020

IBADAH HAJI

ASSAAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA

TAHUN 2020 KERAJAAN MEMUTUSKAN TIDAK MENGHANTAR JEMAAH MALAYSIA MENUNAIKAN IBADAH HAJI DEMI KEMASYLAHATAN RAKYAT NYA AGAR TIDAK TERJEBAK DALAM KLUSTER COVID-19 JEMAAH HAJI PULA...TERPAKSALAH PATUH WALAU ADA YANG LAMA TELAH MENYIMPAN HASRAT UNTUK KE TANAH SUCI BERIBADAH HAJI SEPERTI PI...TAWARAN DARIPADA TABUNG HAJI TELAH DITERIMA..TAPI ARAL COVID-19 MENGGENDALAKANNYA...ADIK-ADIK PI PATIMAH, PAZILAH, PAZELI SANGGUP MEMBAWA KAKAK MEREKA YANG UZUR INI KE TANAH SUCI KERANA KEBETULAN TURUT MENERIMA TAWARAN...NAMPAKNYA TERTANGGUH HAJAT ITU...INSYAA-ALLAH MUNGKIN TAHUN 21 LANGKAH KE SANA BOLEH DITERUSKAN...ANAK2 DAN ADIK2 BLOGGER TOLONG DOAKAN PI YA...TERIMA KASIH





KEMBARA JIWA

hilal Zulhijjah -
pancaindera mata
rakaman takwim

lorong laluan -
ihram haji jemaah
ibadah wajib

hari Arafah
kemuncakgunung Rahmah
jelajah reda

Thursday, 25 June 2020

RIWAYAT LAMA

ASSALAMUALAIKUM

Wabihinastainbillahitaala

Inilah hikayat ada seorang perempuan yang bernama Darmatasiah, yang sagat berbuat bakti kepada suaminya yang bernama tuan Sheikh Bil Makruf yang terlalu sangat berbuat ibadat kepada Allah Subhanahuwataala. Lagipun sangat suci hatinya pada segala hamba Allah Subhanahuwataala. Shahdan maka pada pagi2 hari itu maka iapun masuk ke dalam khalwatnya dan apabila hari maka tuan Sheikh pulanglah ke rumah isterinya yang bernama Darmatasiah. Serta Darmatasiah melihat suaminya datang, dari dalam khalwatnya itu maka iapun segeralah mengambil air dan membasuh kaki suaminya itu. Maka katanya, ya tuanku tuan sheikh ampunilah ampunilah dosa hambamu. Setelah sudah maka diisapunya dengan rambutnya serta ia sujud pada kaki suaminya itu. Maka ujarnya ya tuanku tuan sheikh ampunilah dosanya  hambamu. Maka kata suaminya, ya adinda apa dosanya diri kerana engkau orang yang bakti kepada suaminya itu. Kelakian maka Darmatasiah pun lalulah mengangkat hidangan nasi dan air membasuh


Wednesday, 24 June 2020

DURIAN KAMPUNG

ASSALAMUALAIKUM

MUSIM BUAH-BUAHAN SUDAH BERMULA...DURIAN KELIHATAN DI MANA-MANA...KALAU BERNASIB BAIK DAPATLAH MEMBELINYA DENGAN HARGA BERPATUTAN. SENILAI DENGAN ISINYA...JIKA TERBELI DURIAN BENYAI, MANGKAK, BURUK TENTU MENYESAL TAK SUDAH...HARGANYA KAN MAIN MAHAL LAGI TAPI TAK MERASA NAK MAKAN...KAT RUMAH PI DI KAMPUNG UJ ADA JUGA DUA POKOK DURIAN...SUDAH BELAJAR BERBUAH DUA KALI...TAPI TAHUN NI TAK BERBUAH PULA....ADIK KEDUA PI SAADIAH FATIMAH YANG TINGGAL BERSAMA EMAK PI DI KAMPUNG UJ RIUH MENGAJAK PULANG MAKAN DURIAN KERANA DURIAN DI BELAKANG RUMAH SUDAH MULAI GUGUR...ALHAMDULILLAH REZEKI PKP....KERANA PKPP MENGIZINKAN RENTAS NEGERI DAPATLAH PI PULANG BERTEMU EMAK ADIK DAN SAUDARA-SAUDARA DI KAMPUNG...LAMA JUGA DAH TAK BALIK KAMPUNG....RUMAH YANG DITINGGALKAN ENTAH APA JADINYA





Tuesday, 23 June 2020

POKOK RINGGIT

ASSALAMUALAIKUM

PIC GOOGLE IMAGES (C)



POKOK RINGGIT

Rendang meredup
Pesona takjub menggiur cinta
dedaunannya berhelai dibawa menunai hajat
nun terdiam jauh di lubuk impi rahsia
seiring nadi berdenyut menyusuri fana
memungkin segala
Hindar keluh kesah onak meranjau berdarah
menyesak nafas nanar minda kecil
berpinar anak mata merenung bingung
menari lenggok kanan kiri
Di situ di sana di sini
melayang jatuh di kaki
sebelum tertutup pintu graha janji
menggila terpana harum
Helaian dedaun ringgit tersusun ranggi
tidak tergenggam jemari runcing
Alpa pesona mabuk hilai terlupa
derap langkah  ke jannah Firdausi
gelincir di muka neraka Jahim
buana semesta baharu alam ini.

Jeriji besi dunia
tidak terbuka menghukum
kes terbatal teknikal.

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah

Monday, 22 June 2020

BERTEMU DAN BERPISAH

ASSALAMUALAIKUM


BERTEMU DAN BERPISAH


Pala di tamu dibuang dara,
olah sebasah serai, mengkudu,
kuntum peria jari merajah,
gesa diganti pudak berduri;
kala bertemu riang gembira,
hilanglah resah terurai rindu,
senyum ceria menyeri wajah,
rasa di hati tidak terperi,


Rusa diburu tempat selalu,
pandan regia sarangnya sintar,
usah bertanggguh hadir dijerat,
parang yang lama susah dihala;
masa cemburu cepat berlalu,
dan bahagia hanya sebentar,
gelisah sungguh takdir tersurat,
girang bersama berpisah pula.

Sunday, 21 June 2020

PERSIDANGAN POKOK




Cerita rakyat
Olahan
Paridah Ishak

PERSIDANGAN POKOK

semua pic google images (c)




Pada suatu masa dahulu di dalam hutan di kaki gunung, terdapat pelbagai jenis pokok buah-buahan yang tumbuh dan hidup subur di situ. Apabila tiba musim buah-buahan semua pokok-pokok di situ berbuah dengan lebatnya serentak. Berlumba-lumba mereka mengeluarkan buah-buahan pelbagai jenis sebagai sumber makanan haiwan dan manusia.
            Keadaan begitu menyebabkan buah-buahan yang terlalu banyak itu tidak dapat dimakan oleh manusia dan haiwan sekali gus. Akhirnya buahan-buahan yang dihasilkan pokok durian, rambutan, cempedak, langsat, rambai, dan lain-lain, masak ranum dan gugur bersepah di kaki pohon.  Tidak ada siapa yang peduli. Pokok-pokok itu merasa amat sedih kerana budi mereka kepada manusia dan haiwan tidak dihargai dan dimenfaatkan dengan sebaiknya.
            “Aku merasa amat sedih melihat buahku yang merah dan manis semakin meranum kehitaman di pohon. Tidak ada manusia atau haiwan yang mahu memakannya.” Beritahu pokok Rambutan kepada pokok Cempedak jirannya yang tumbuh di sebelah kanannya akan perasaannya yang jengkel kerana itu.
            “Aku juga merasa begitu Rambutan. Kau lihat saja buah-buah di batang pokokku banyak sekali. Berkeruntoi. Tetapi tidak ada sesiapa yang mengambilnya. Setelah masak gugur semuanya ke tanah.” Sahut Cempedak. Aroma buah cempedak yang telah masak ranum mengharumi ruang sekitar situ.
            “Buahku yang kuning dan manis pun tidak dipedulikan sesiapa lagi,” Langsat pula mencelah melahirkan rasa hatinya. Pokok  langsat, jiran Rambutan yang tumbuh di sebelah kirinya. Pokok langsat tidak begitu besar dan tinggi. Tetapi buahnya yang bergugus itu amat banyak meliputi dahannya.
            “Aku merasa amat hairan, kenapa agaknya buah-buahan yang kita hasilkan dengan banyaknya, tidak dipergunakan sebaiknya oleh manusia dan haiwan. Perkara begini tidak seharusnya berlaku.” Tukas Rambai. Pokok rambai berdaun lebar itu tumbuh di hadapan pokok rambutan. Kelihatan gugusan buah rambai berjuntai dengan lebat di setiap dahannya. Kebanyakannya telah masak ranum dan menunggu masa untuk gugur.
            “Kalau mereka tidak menghargai usaha kita menghasilkan buah-buahan setiap musim, bermakna sis-sia sahaja susah-payah kita itu.” Ujar Manggis menyatakan kekesalannya. Dia turut menyertai perbualan pokok- pokok sekitar situ. Buah manggis yang berwarna hitam itu kelihatan bertaburan di bawah pohonnya. Buah yang telah lama gugur akan kematu dan tidak boleh dimakan lagi.
            “Aku juga sudah merasa tawar hati hendak berbuah lagi setiap musim.” Ujar Cempedak dengan sebal.
            “Apa kata kalau kita tidak berbuah lagi musim ini dan seterusnya.  Dengan itu tidaklah kita merasa susah hati melihat buah-buahan yang kita hasilkan tidak dipergunakan manusia dan haiwan.” Rambutan memberikan pendapatnya.
            “Aku menyokong pendapat kau. Dan sangat setuju. Kalau kita semua tidak berbuah, barulah manusia dan haiwan menyedari kepentingan buah-buah kita.” Manggis menyatakan sokongannya akan pendapat Rambutan.
            “Eh. Kita tidak boleh buat keputusan sesuka hati kita sahaja! Nanti kita dimurkai Raja Buah. Kalau Raja Buah bersetuju, bolehlah kita laksanakan cadangan Rambutan itu. Kita semua tidak usah berbuah lagi.” Ujar Langsat.
“Mungkin Durian, Raja Buah akan bersetuju dengan pendapat kita kerana dia juga hadapi masalah yang sama macam kita. Buahnya yang luruh setiap hari tiada siapa mengutipnya.” Rambai menambah dengan sedikit ulasan.
“Baiklah! Kalau begitu kita bawakan pendapat Rambutan kepada Raja Buah. Jika mendapat persetujuan Raja Buah, tidak perlulah kita berbuah lagi.” Cempedak memberi cadangannya..
Apabila Raja Buah menerima cadangan yang dibawakan Rambutan kepadanya maka diaturlah majlis persidangan pokok-pokok di dusun itu untuk membahaskam usulan itu.  Persetujuan kepada cadangan itu hanya akan diperolehi setelah semua pokok yang tumbuh di dalam dusun itu menyatakan persetujuannya.
Pada suatu petang yang redup dan angin berpuput lembut, pokok-pokok di situ melenturkan ranting masing-masing untuk turut sama mengambil bahagian dalam persidangan itu.
Mereka menyatakan pendapat mereka. Ada yang bersetuju dengan usulan yang dibawa Rambutan. Dan ada pula yang menolaknya. Raja Buah menimbang keputusan yang akan diambil dengan teliti.
“Beta telah mendengar semua pendapat kamu yang bijak dan bernas itu. Undian pun telah dibuat. Jumlah yang menerima dan menolak cadangan yang dibawa Rambutan adalah sama rata. Jadi keputusannya tidak dapat menyebelahi mana-mana pihak.” Ujar Raja Buah.
“Nampaknya keputusan kita untuk tidak berbuah pada musim buah akan datang tidak semua setuju, Rambutan!” Kata Cempedak kepada Rambutan.
Dia sangat mengharapkan Raja Buah bersetuju dengan usulan yang dibawa sahabatnya Rambutan. Rambutan juga merasa sedih.
“Tapi beta menyedari kemusykilan yang dirasakan Rambutan dan pokok buah-buahan yang lain.. Buah-buahan yang kita hasilkan dengan banyak tidak diendahkan manusia dan haiwan. Dan perlulah kita fikirkan bagaimanakah cara untuk mengatasinya. Lagipun amanah Allah kepada kita sebagai pengeluar sumber makanan kepada manusia dan haiwan tidak boleh kita abaikan. Kita wajib tunaikan amanah Pencipta itu.”
“Jadi apa pandangan Raja Buah dalam hal ini? Soal Langsat, ingin tahu

“Pada pendapat beta, kita semua tidak harus berbuah serentak. Kalau kita berbuah serentak dengan banyak, keadaan akan jadi seperti sekarang. Buah-buahan kita yang semuanya manis dan lazat tidak tahu hendak dimakan manusia dan haiwan yang mana satu. Buah-buahan yang dimakan terlalu banyak dan pelbagai jenisnya akan menyebabkan mereka sakit perut pula.”
“Ya. Betul kata Raja Buah itu!” balas Cempedak.
“Jadi  beta ambil keputusan ada baiknya kita berbuah secara bergilir-gilir. Setelah habis  pokok yang pertama berbuah, barulah pokok kedua, ketiga dan seterusnya berbuah pula. Dengan itu buah-buahan pokok kita tidaklah melambak saja di pohon. Dan sentiasa dinanti kemunculannya.” Keputusan Raja Buah dipersetujui semua pokok yang bersidang di dusun itu.
“Dan sekarang kita jalankan undiannya.”
Sebab Durian ialah Raja Buah maka dia dipilih untuk berbuah dahulu pada setiap musim. Pokok buah-buahan yang lain dipilih menurut undian yang dibuat.
“Aku akan berbuah selepas Raja Buah!” beritahu Rambutan kepada Cempedak dengan girang. Dia amat gembira dapat berbuah selepas Raja Buah.
“Baguslah begitu! Aku pula akan berbuah selepas kamu.” Balas Cempedak. Dia juga turut merasa gembira dengan gilirannya.
“Dan aku pula akan berbuah selepas Cempedak!” sahut Manggis.
“Nampaknya akulah yang terkemudian berbuah selepas Manggis, Langsat dan pokok-pokok lain berbuah. Sedih pula rasa hatiku kerana yang terakhir mendapat giliran berbuah.” Rambai berkata perlahan.
“Kamu tidak harus bersedih kerana kamu yang terakhir berbuah pada musim buah wahai Rambai kerana pastinya yang menyukai buah kamu akan tertunggu-tunggu masa kamu akan berbuah.” Kata Rambutan menghibur kesugulan hati Rambai.
“Beta harap kamu semua berpuas hati dengan giliran kamu untuk berbuah.  Tiba musimnya berbuahlah. Dan jika masih ada yang terkilan di hati bolehlah kita bersidang lagi.” Raja Buah menutup persidangan pokok pada hari itu.

TAMAT
             



Saturday, 20 June 2020

BICARA METAFORA

ASSALAMUALAIKUM


BICARA METAFORA

 Menang sorak kampung tergadai
renung minda fikir bernas.
Kokok berderai-derai sedang ekor gelumang tahi;
Di mana wajarnya? Ceber sinis
Buka mata pasang telinga,
tutup mulut simpan di hati.
Demikianlah sudahnya.
burung yang liar jangan dilepas,
khabar yang mustahil jangan didengarkan.
Membisu terkedu menggumam rasa.
Janganlah kala mengail berumpan kata bertipuan,
barulah mendapat apa dihajat.
Hasrat menghalal cara.
Peribahasa menyusun kata pasti
setinggi-tinggi orang melanting,
jatuhnya tetap ke bawah juga
 Sambang penuh jala terletak,
laut kering ikan menghempas
nyata tersurat maksud tersirat
berkias makrifat  sinis lunak.
Perbidalan berperibahasa
Perumpamaan menyusun pepatah
falsafah merungkai seni makna
mercu martabat bahasa

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
2/06/017


Friday, 19 June 2020

AIDILFITRI PKPP

ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA

SEBELUM SYAWAL BERAKHIR PI MERAIKANNYA DENGAN KEHADIRAN PENULIS ADYRA AZZAHRA BERSAMA ANAK BUJANGNYA DAN PENULIS MUDA QURNIAAN PECINTA JIWA BERSAMA SYUHADA SAHABATNYA YANG SUDI MENZIARAHI PI YANG UZUR SERBA SERBI INI....GEMBIRA SUNGGUH PI MENYAMBUT KEHADIRAN TETAMU ISTIMEWA INI....SELAMA INI HANYA BERKENAL MESRA VIA FACEBOOK SAJA....NAMUN ALLAH MENGIZINKAN PERTEMUAN KAMI...ALHAMDULILLAH....MOGA AKAN BERTEMU LAGI INSYAA-ALLAH.

                                                                   ADHRA AZZAHRA
                                                            QURNIAAN JIWA

                                                               SYUHADA
                                             


Thursday, 18 June 2020

SELOKA SANG TIKUS

ASSALAMUALAIKUM

ALHAMDULILLAH KARYA PI SELOKA SANG TIKUS DISIARKAN DALAM MAJALAH PELITA BAHASA DBP EDISI MEI....TERIMA KASIH BANYAK EDITOR PELTA BAHASA ATAS KESUDIAN MENERBITKAN KARYA KECIL PI


PIC KIRIMAN PENULIS SABARIAH NOR  TERIMA KASIH SAHABATKU




SELOKA SANG TIKUS
Sang tikus laju tuju pesara,
matlamat satu capai segera,
mangsa nafsunya berduka lara
takbur sifatnya suka mendera.

Sang tikus kecil juga yang besar,
berbulu halus berbulu kasar,
selinap rata menuju sasar,
di kota desa banyak di pasar.

Gerombolan tikus hasrat satu,
mencelah masuk tak ikut pintu
capai serakah nafsu menjitu.
ligat berfikir tak kenal buntu.

Tikus keturi dan tikus mondok,
di guri beras diam terduduk
isi tembolok seraya onok,
habis semua akan disodok.

Gigi sang tikus tajam geraham,
mudah menggigit waima membaham
sifat gelojoh memang tak faham,
tidak melabur peroleh saham.

Sang tikus mengkerkah sakit sungguh,
luruh keringat tidak tertangguh,
pemangsa bangga bagaikan jaguh,
tidak tertahan mati tersengguh.

Kencing sang tikus lepstiprosis,
penawar bisa dicari persis,
belum ditemu kaji ditesis,
andai terkena tidak mendesis.
Sang tikus ralit mengais sampah
habis terabur bersepah-sepah,
dapat rezeki tidak ditempah,
terlalu banyak melimpah-limpah
Gemar sang tikus bauan hapak,
hidu haruman mengatur tapak,
muncung hidungnya kala serempak,
rezeki bagus cepat celapak.
Sang tikus mesti diperhambat,
bukannya kawan atau sahabat,
sakit dibawa sukar diubat,
bagaikan luka tidak terbebat.
Sang tikus hanya menambah rosak
minda keliru hidup terdesak
fikir masalahnya nafaspun sesak
mata membuntang tidur tak nyenyak.

Alahai sang tikus kau pergilah
tinggalkan kami tanpa mengolah
bawa olehmu apa risalah
tenanglah jiwa dirahmah Allah..

Wednesday, 17 June 2020

LAGU MUAZIN

ASSALAMUALAIKUM

TERIMA KASIH EDITOR DEWAN TAMADUN ISLAM SUDI SIARKAN KARYA KECIL PI
DALAM MAJALAH ISTIMEWA INI



MyBloglist