Sunday, 21 June 2020

PERSIDANGAN POKOK




Cerita rakyat
Olahan
Paridah Ishak

PERSIDANGAN POKOK

semua pic google images (c)




Pada suatu masa dahulu di dalam hutan di kaki gunung, terdapat pelbagai jenis pokok buah-buahan yang tumbuh dan hidup subur di situ. Apabila tiba musim buah-buahan semua pokok-pokok di situ berbuah dengan lebatnya serentak. Berlumba-lumba mereka mengeluarkan buah-buahan pelbagai jenis sebagai sumber makanan haiwan dan manusia.
            Keadaan begitu menyebabkan buah-buahan yang terlalu banyak itu tidak dapat dimakan oleh manusia dan haiwan sekali gus. Akhirnya buahan-buahan yang dihasilkan pokok durian, rambutan, cempedak, langsat, rambai, dan lain-lain, masak ranum dan gugur bersepah di kaki pohon.  Tidak ada siapa yang peduli. Pokok-pokok itu merasa amat sedih kerana budi mereka kepada manusia dan haiwan tidak dihargai dan dimenfaatkan dengan sebaiknya.
            “Aku merasa amat sedih melihat buahku yang merah dan manis semakin meranum kehitaman di pohon. Tidak ada manusia atau haiwan yang mahu memakannya.” Beritahu pokok Rambutan kepada pokok Cempedak jirannya yang tumbuh di sebelah kanannya akan perasaannya yang jengkel kerana itu.
            “Aku juga merasa begitu Rambutan. Kau lihat saja buah-buah di batang pokokku banyak sekali. Berkeruntoi. Tetapi tidak ada sesiapa yang mengambilnya. Setelah masak gugur semuanya ke tanah.” Sahut Cempedak. Aroma buah cempedak yang telah masak ranum mengharumi ruang sekitar situ.
            “Buahku yang kuning dan manis pun tidak dipedulikan sesiapa lagi,” Langsat pula mencelah melahirkan rasa hatinya. Pokok  langsat, jiran Rambutan yang tumbuh di sebelah kirinya. Pokok langsat tidak begitu besar dan tinggi. Tetapi buahnya yang bergugus itu amat banyak meliputi dahannya.
            “Aku merasa amat hairan, kenapa agaknya buah-buahan yang kita hasilkan dengan banyaknya, tidak dipergunakan sebaiknya oleh manusia dan haiwan. Perkara begini tidak seharusnya berlaku.” Tukas Rambai. Pokok rambai berdaun lebar itu tumbuh di hadapan pokok rambutan. Kelihatan gugusan buah rambai berjuntai dengan lebat di setiap dahannya. Kebanyakannya telah masak ranum dan menunggu masa untuk gugur.
            “Kalau mereka tidak menghargai usaha kita menghasilkan buah-buahan setiap musim, bermakna sis-sia sahaja susah-payah kita itu.” Ujar Manggis menyatakan kekesalannya. Dia turut menyertai perbualan pokok- pokok sekitar situ. Buah manggis yang berwarna hitam itu kelihatan bertaburan di bawah pohonnya. Buah yang telah lama gugur akan kematu dan tidak boleh dimakan lagi.
            “Aku juga sudah merasa tawar hati hendak berbuah lagi setiap musim.” Ujar Cempedak dengan sebal.
            “Apa kata kalau kita tidak berbuah lagi musim ini dan seterusnya.  Dengan itu tidaklah kita merasa susah hati melihat buah-buahan yang kita hasilkan tidak dipergunakan manusia dan haiwan.” Rambutan memberikan pendapatnya.
            “Aku menyokong pendapat kau. Dan sangat setuju. Kalau kita semua tidak berbuah, barulah manusia dan haiwan menyedari kepentingan buah-buah kita.” Manggis menyatakan sokongannya akan pendapat Rambutan.
            “Eh. Kita tidak boleh buat keputusan sesuka hati kita sahaja! Nanti kita dimurkai Raja Buah. Kalau Raja Buah bersetuju, bolehlah kita laksanakan cadangan Rambutan itu. Kita semua tidak usah berbuah lagi.” Ujar Langsat.
“Mungkin Durian, Raja Buah akan bersetuju dengan pendapat kita kerana dia juga hadapi masalah yang sama macam kita. Buahnya yang luruh setiap hari tiada siapa mengutipnya.” Rambai menambah dengan sedikit ulasan.
“Baiklah! Kalau begitu kita bawakan pendapat Rambutan kepada Raja Buah. Jika mendapat persetujuan Raja Buah, tidak perlulah kita berbuah lagi.” Cempedak memberi cadangannya..
Apabila Raja Buah menerima cadangan yang dibawakan Rambutan kepadanya maka diaturlah majlis persidangan pokok-pokok di dusun itu untuk membahaskam usulan itu.  Persetujuan kepada cadangan itu hanya akan diperolehi setelah semua pokok yang tumbuh di dalam dusun itu menyatakan persetujuannya.
Pada suatu petang yang redup dan angin berpuput lembut, pokok-pokok di situ melenturkan ranting masing-masing untuk turut sama mengambil bahagian dalam persidangan itu.
Mereka menyatakan pendapat mereka. Ada yang bersetuju dengan usulan yang dibawa Rambutan. Dan ada pula yang menolaknya. Raja Buah menimbang keputusan yang akan diambil dengan teliti.
“Beta telah mendengar semua pendapat kamu yang bijak dan bernas itu. Undian pun telah dibuat. Jumlah yang menerima dan menolak cadangan yang dibawa Rambutan adalah sama rata. Jadi keputusannya tidak dapat menyebelahi mana-mana pihak.” Ujar Raja Buah.
“Nampaknya keputusan kita untuk tidak berbuah pada musim buah akan datang tidak semua setuju, Rambutan!” Kata Cempedak kepada Rambutan.
Dia sangat mengharapkan Raja Buah bersetuju dengan usulan yang dibawa sahabatnya Rambutan. Rambutan juga merasa sedih.
“Tapi beta menyedari kemusykilan yang dirasakan Rambutan dan pokok buah-buahan yang lain.. Buah-buahan yang kita hasilkan dengan banyak tidak diendahkan manusia dan haiwan. Dan perlulah kita fikirkan bagaimanakah cara untuk mengatasinya. Lagipun amanah Allah kepada kita sebagai pengeluar sumber makanan kepada manusia dan haiwan tidak boleh kita abaikan. Kita wajib tunaikan amanah Pencipta itu.”
“Jadi apa pandangan Raja Buah dalam hal ini? Soal Langsat, ingin tahu

“Pada pendapat beta, kita semua tidak harus berbuah serentak. Kalau kita berbuah serentak dengan banyak, keadaan akan jadi seperti sekarang. Buah-buahan kita yang semuanya manis dan lazat tidak tahu hendak dimakan manusia dan haiwan yang mana satu. Buah-buahan yang dimakan terlalu banyak dan pelbagai jenisnya akan menyebabkan mereka sakit perut pula.”
“Ya. Betul kata Raja Buah itu!” balas Cempedak.
“Jadi  beta ambil keputusan ada baiknya kita berbuah secara bergilir-gilir. Setelah habis  pokok yang pertama berbuah, barulah pokok kedua, ketiga dan seterusnya berbuah pula. Dengan itu buah-buahan pokok kita tidaklah melambak saja di pohon. Dan sentiasa dinanti kemunculannya.” Keputusan Raja Buah dipersetujui semua pokok yang bersidang di dusun itu.
“Dan sekarang kita jalankan undiannya.”
Sebab Durian ialah Raja Buah maka dia dipilih untuk berbuah dahulu pada setiap musim. Pokok buah-buahan yang lain dipilih menurut undian yang dibuat.
“Aku akan berbuah selepas Raja Buah!” beritahu Rambutan kepada Cempedak dengan girang. Dia amat gembira dapat berbuah selepas Raja Buah.
“Baguslah begitu! Aku pula akan berbuah selepas kamu.” Balas Cempedak. Dia juga turut merasa gembira dengan gilirannya.
“Dan aku pula akan berbuah selepas Cempedak!” sahut Manggis.
“Nampaknya akulah yang terkemudian berbuah selepas Manggis, Langsat dan pokok-pokok lain berbuah. Sedih pula rasa hatiku kerana yang terakhir mendapat giliran berbuah.” Rambai berkata perlahan.
“Kamu tidak harus bersedih kerana kamu yang terakhir berbuah pada musim buah wahai Rambai kerana pastinya yang menyukai buah kamu akan tertunggu-tunggu masa kamu akan berbuah.” Kata Rambutan menghibur kesugulan hati Rambai.
“Beta harap kamu semua berpuas hati dengan giliran kamu untuk berbuah.  Tiba musimnya berbuahlah. Dan jika masih ada yang terkilan di hati bolehlah kita bersidang lagi.” Raja Buah menutup persidangan pokok pada hari itu.

TAMAT
             



16 comments:

  1. Betul.Setiap buah-buahan ada gilirannya berbuah.Bila tengok semua gambar buah-buahan ni jadi nak makan la pulaknya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH PC MUSIM BUAH LA NI MAKANLAH SEPUASNYA

      Delete
  2. Dh lama tak jumpa buah rambai..

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH KAM YAKA...SEBELAH UTARA RASANYA BANYAK RAMBAI

      Delete
  3. Moralnya, tak perlulah kita berebut2 di satu2 masa.. :)

    ReplyDelete
  4. Sedapnya buah2an tempatan..semua blm rasa..tak gi beli lg..

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH NOHAS SEDAPNYA BUAH2AN TEMPATAN KITA..KAK DH RASA DURIAN N MANGGIS

      Delete
  5. Replies
    1. TKSH WP HEH..HEH..PIC BUAH RAMBAI GOOGLE PINJAM PIC WP

      Delete
  6. hehehe
    seronok saya baca sampai habis
    bagus raja buah punya idea
    akhirnya setiap buah dinanti2 musimnya oleh kita semua

    ReplyDelete
  7. Wah bijak kak PI mengolah cerita yg seronok dibaca, kalau saya masih seorg cikgu tadika mesti saya ambil cerita ni dan ceritakan kpd anak2 murid saya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH NOR KAK BAB MENGOLAH NI MEMANG SUKA HEH..HEH..

      Delete
  8. heheheheh betul tu kak, kalau berbuah serentak semua mmg tak termakan, sedangkan kalau musim rambutan bila sekampung ada tanam rambutan tiap rumah memang tak termakan rambutan nya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH DANA HEH...HEH...KISAH POKOK PUN TERGELAK BACA

      Delete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist