Hadiah telah dibalut. Teks pengacara majlis dan ucapan Pengetua sudah disiapkan. Dewan sudah disusun. Begitu juga dengan sistem bunyi, persembahan multimedia, sijil dan hadiah untuk para pelajar cemerlang.
Sebagai guru yang ditugaskan menyelia program berkenaan, tentulah saya berasa lega. Tambahan pula esok juga kami akan adakan majlis perasmian bangunan galeri, iaitu bekas rumah Pengetua yang kami ubah menjadi “muzium sekolah”.
Di dalam galeri itu kami isi dengan barang-barang lama dan bersejarah sejak sekolah ini dibina kira-kira 60 tahun lalu. Antaranya mesin taip lama, gambar, piala, mesin cetak serta peralatan untuk kelas seni perusahaan dan sains.
Sebagai penyelaras kepada penubuhan galeri itu, saya berasa sungguh puas. Hampir tiga bulan berusaha mencari barang-barang bersejarah, membuat kapsyennya dan menghias bilik berkenaan, akhirnya ia berjaya disiapkan.
KELIBAT SIAPA?
Dari bilik guru tempat kami berada, saya memandang ke arah galeri berkenaan. Hanya 50 meter dari situ. Melalui cermin tingkapnya yang tidak ditutupi langsir saya lihat ada cahaya lampu dan kipas yang berpusing.
“Eh… ada sesiapa ke dalam galeri tu?” saya bertanya kepada Razak yang sedang menyusun sijil-sijil pelajar cemerlang.
“Mana ada. Kan tadi kau dah kunci,” jawabnya.
Ya, tadi saya sudah susun semua barang di dalam galeri. Sebelum keluar saya juga sudah pastikan semua lampu serta kipas ditutup. Kemudian saya mangga dari luar.
“Aku nak tengok galeri tu kejap, takut ada orang ceroboh. Kalau barang-barang tu kena curi, masak kita Zak,” kata saya lalu meninggalkannya dan Muhaimin di bilik guru. Langkah kaki pantas saya aturkan menuju ke bangunan galeri.
Di pintu galeri saya tercegat. Manakan tidak, ia berkunci dan bermangga. Sedangkan dari luar itu saya lihat ada lampu dan kipas terpasang.
Pintu dibuka, saya melangkah masuk. Di tepi tingkap bahagian belakang galeri itu ekor mata saya terlihat kelibat seseorang pantas berjalan ke arah dapur dan menghilang. Bentuk tubuhnya seperti seorang lelaki dan memakai kemeja warna gelap.
“Siapa tu?” saya memanggil. Senyap. Saya meluru ke tempat lelaki berkenaan menghilang. Di sana langkah kaki saya terpaku. Ruang dapur tempat lelaki itu menghilangkan diri, ternyata kosong. Pintunya terkunci. Tiada sesiapa di situ.
Dada saya berdebar. Segera saya berpatah balik. Sewaktu hendak menutup lampu dan kipas, saya terpandang sesuatu dari tempat kelibat tadi muncul. Di atas sebuah meja pejabat lama, ada sebuah majalah sekolah yang terbuka halamannya, seperti ada seseorang yang mening­galkannya tergesa-gesa. Ia majalah tahun 90-an.
Pada halaman yang terbuka itu terdapat gambar-gambar lama guru serta pekerja-pekerja sekolah. Sebahagian besarnya sudah bersara dan meninggal dunia. Saya belek gambar itu satu persatu.
Hembusan angin yang lembut dan dingin tiba-tiba menampar dari belakang. Saya segera menoleh. Sekali lagi ada kelibat seorang lelaki berkemeja warna gelap pantas menghilangkan diri di sebalik almari dan barang-barang lama.
Saya ini badan saja besar, tapi hati kecil. Hahaha. Terus saya bergegas keluar. Majalah lama itu saya campakkan saja di atas meja berkenaan. Ketika menutup pintu galeri, saya berkata di dalam hati, esok saya akan letakkan semula majalah itu di raknya.
Saya ceritakan kejadian tersebut kepada Razak dan Muhaimin, kemudian terus balik. Begitu juga kedua-dua orang kawan saya itu. Tak berani kami hendak duduk lebih lama, takut “benda” itu masuk ke bilik guru pula.
Malam itu tidur saya tidak lena. Saya bermimpi ada seorang lelaki memandang saya dari jauh. Dia memakai kemeja berwarna gelap dan perlahan-lahan melangkah ke arah saya, semakin hampir… dan hampir.Akhirnya dia berdiri betul-betul di hadapan saya dan…!! Saya terjaga.
“Ya-Allah!”
Spontan perkataan itu terpacul dari mulut kerana dalam balam-balam cahaya, saya lihat ada seseorang sedang berdiri di tepi pintu bilik. Saya cuba bangun, namun badan saya bagaikan terikat di katil.
Setiap anggota menjadi kaku. Hanya mampu melihat dan menyebut Allah berulang kali, hinggalah isteri saya bangun dan meng­goncang badan saya sambil menyuruh saya mengucap serta beristighfar. Serentak itu jelmaan tadi menghilang.
Saya lihat jam pada telefon bimbit. Pukul 4.20 pagi. Hingga ke Subuh saya tidak dapat melelapkan mata. Fikiran menerawang memikirkan apa yang berlaku.
Dada saya berdebar. Betulkah apa yang saya lihat di dalam mimpi. Betulkah kelibat yang saya lihat tadi? Saya kenal wajah lelaki berkenaan. Tapi betulkah dia?
Fikiran saya berputar kepada majalah sekolah yang saya campakkan di atas meja di dalam galeri. Satu persatu wajah-wajah yang terdapat di gambar pada halaman majalah yang terbuka itu terbayang di ingatan. Seorang demi seorang…
RAHSIA GAMBAR
Pagi itu saya bertolak ke sekolah lebih awal. Saya mahu lihat gambar-gambar di majalah berkenaan sebelum meletakkannya semula di rak. Setelah mengambil kunci di bilik guru, saya pergi seorang diri ke bangunan galeri berkenaan.
Sekali lagi saya terkejut. Pintunya berkunci dari luar, tetapi seperti semalam, ada lampu dan kipas yang terpasang. Dan dada saya tambah berdebar apabila mendapati majalah semalam berada di atas meja dan terbuka pada mukasurat yang sama!
Saya belek gambar-gambar itu dan kemudian terhenti pada gambar yang paling bawah. Pada gambar itu ada seorang lelaki kurus berkemeja lengan pendek berwarna gelap. Usianya 30-an. Dia berdiri di sebelah saya yang ketika itu baru saja posting di sekolah berkenaan. Ketika itu usia saya baru 20-an. Ertinya majalah ini dikeluarkan hampir 25 tahun lalu.
Melihat gambar tersebut, hati saya menjadi sebak. Tidak sedar air mata saya mengalir ke pipi. Kenangan lama terbayang kembali di ingatan. Saya tutup majalah tersebut dan letakkannya di rak.
Sewaktu berjalan ke pintu galeri, saya sedekahkan al-Fatihah buat Abang Din, yang meninggal dunia lapan tahun lalu. Walaupun hanyalah tukang kebun, tapi cinta Abang Din kepada sekolah sangat mendalam. Dia cukup rajin dan tidak pernah berkira.
Saya menganggap Abang Din seperti abang saya sendiri, lantaran abang kandung saya sudah lama meninggal dunia. Abang Din banyak memberikan nasihat kepada saya, baik berkaitan kerja mahu pun keluarga. Kami selalu makan bersama, juga solat berjemaah bersama. Keluarganya sudah jadi seperti keluarga saya.
Sehari sebelum meninggal dunia, Abang Din memohon maaf seandainya dia ada melakukan kesilapan kepada saya. Dia juga memberitahu bahawa dia menganggap saya seperti adiknya sendiri, lantaran semua adik-beradiknya telah meninggal dunia.
Lewat petang esoknya Abang Din ditemui terbaring di tepi bangunan galeri berkenaan, meninggal dunia akibat serangan jantung

Sumber Mingguan Malaysia.