ASSALAMUALAIKUM....
Cerpen:
Paridah
Ishak.
Gunung
Jerai yang megah berdiri gagah. Di sinilah Merong Maha
Wangsa melabuhkan bahteranya. Dongeng Melayu yang masih gah. Entah bagaimana
cerita sebenarnya yang tersurat periwayatnya perlulah diselak baca. Meneliti
sambil mengkaji akan realiti walau kadang sukar juga terpercaya menurut logik
akal yang sederhana. Namun cerita lisan yang terbawa sejak generasi ke
generasi, zaman berzaman tentu ada kebenaran lantaran perbidalan kitapun
mengatakan “tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.”
Dan ada pula tinggalan
artifak yang dikatakan berupa bahtera besar telah bertukar menjadi batu kerana
kelamaan usianya untuk menyokong kebenaran riwayat yang disangka metos semata.
Kisahnya bagaimana Merong Maha Wangsa yang menabur khidmat mempertemukan puteri
maharaja China dengan putera raja Rom dengan tujuan mengahwinkan pasangan itu
namun dilanggar burung geroda yang ingin menggagalkan niat itu. Niat baik menghubungkan dunia timur dan barat
dengan jalenan ikatan yang lebih murni melalui perkahwinan.
Maka tersadailah
bahtera besar itu di puncak gunung Jerai dan kesudahan ceritanya tentu tidak berlaku
setakat itu saja. Lanjutan cerita kisah cinta timur dan barat yang terabadi di
kaki gunung Jerai menyimpan pertanyaan yang tidak berkesudahan. Namun gunung
jerai bagiku adalah objek seni lagi indah di mana pun aku berada. Sawah padi
terhampar sejauh mata memandang di kakinya seolah menggamit aku pulang ke
sisinya. Apabila berada di tengah bendang dan memandang gunung Jerai menyapu
awan putih seolah-olah sebahagian masalahku telah terlerai. Tenang dan damai.
Namun sebenarnya
kehidupan di sebuah rumah di tepi sawah di kaki gunung Jerai ini tidak setenang
dan damai seperti yang dijangka juga. Di dalamnya meriah aneka perasaan yang
berbaur menurut situasi demi situasi. Ada tawa-hilai, jerit- pekik, tangisan
dan kata-kata yang melukakan perasaan. Demikianlah kehidupan sebenar bukan?
Tidak berirama sekata tapi ritemnya melenggok. lemah gemalai, turun naik, menyusun tarinya
“Maaflah kak! Baru hari
ini dapat datang melawat kak.”
“Tak mengapa dik, kak lama
lagi di sini. Bolehlah datang bila bila saja melawat kak, teman kak yang
sendirian tak berkawan di sini.”
“Hajat hati memang
begitu kak. Kak Emilia pun selalu pesan pada saya agar selalu datang menjenguk
kak. Tapi sibuk sangat di rumah menolong
mak menjaga padi di bendang dan pelbagai kerja di rumah yang kena dibuat. Mak
pun dah tak larat sangat maklum dah berusia juga.”
Pertemuan di relong
waktu berlalu dengan sedikit cerita di permulaannya. Beliau adalah adik kepada
sahabat lama sepersekolahan di era kecilku. Seringkali pula gadis berperwatakan
lembut, berbudi bahasa itu mengunjungiku selama aku bermukim di sini, di rumah
tok dan emak saudaraku yang bungsu. Ayahku yang membawa aku ke sini untuk
mencari solusi kepada penyembuhan sakit yang menyebabkan diriku terlantar tidak
bermaya setelah melahirkan zuriatku yang pertama. Kompilikasi saat melahirkan
yang kritikal kerana tekanan darah yang amat tinggi menyebabkan aku sengsara
begini.
Dan kini hanya menjadi
penyaksi, perenung, pemikir semata dalam suasana yang samasekali tidak aku
mahukan. Ego yang menjerut diriku sukar juga terlepaskan nampaknya. Masih perlu
kuat berusaha lagi mendidik nurani agar murni. Semoga Allah menetapkan hatiku
agar tidak bolak balek sentiasa.
Namun Allah Maha
berkuasa ke atas segalanya justeru telah merubah hati gadis yangku kenali
sewaktu kecilnya seorang yang kasar, tutur katanya kesat dan mengguris hati
kecilku kini tampilannya berbeza sekali. Selain wajahnya cantik berkulit putih
bersih dan peribadinya lunak mulia.
Nurita aisya yang
kukenali dulu tidaklah sebaik kakaknya sahabatku Emilia. Dia menjadikan aku
musuhnya yang akan disembur api kemarahannya kerana sering ke rumahnya dan
berkawan dengan kakaknya . Aku tidak ambil hatipun justeru mengangapnya sebagai
adikku yang terlebih sedikit kenakalannya. Setiap perbuatannya kepadaku
diingati dan tidak malu-malu memohon maaf kepadaku. Mendengarkan itu aku
tersenyum cuma. Dirinya dulu dan sekarang terlalu jauh bezanya. Agaknya pabila
diri semakin dewasa dan matang kita hanya akan berfikir positif semata.
Seboleh-bolehnya ingin mendisplinkan diri sebaik yang mungkin. Begitulah
peribadi gadis ayu Nurita aisya kini. Dan
seketul arang kecil itu dulunya telah
ditempa menjadi berlian yang amat elok berharga. Tentulah hasil kebijaksanaan
didikan kedua ibu bapanya.
Kenangan zaman
anak-anak yang sangat mendukacitakanku terimbau semula. Aku ditinggalkan ayahku
pada tokwan dan tok untuk menyambung persekolahan di sini dan menggauli suasana
yang mencorakan warna hidupku kini. Jika aku tinggal bersama keluargaku di sana
tentu lain pula rona takdir-Nya. Justeru bersama ibu bapaku yang teramat
mementingkan pencapaian didikan akademi yang cemerlang tentu rona kehidupanku
lain pula.
Bukankah kecapaian ilmu
itu sangat penting dalam pembentukan kehidupan yang diingini. Tidaklah seperti
diriku yang hanya menjadi suri rumah sepenuh masa kerana ditamatkan didikan persekolahan di
peringkat sekolah rendah saja. Ramai kawan-kawan sepersekolahan yang berjaya
dalam karier pilihan masing-masing . termasuklah sahabat baikku Emilia. Seorang
yang amat berjaya dalam karier dan kehidupannya setelah nenamatkan pengajian hingga peringkat
tertinggi.
Nurita aisya juga
musykil dengan dirinya yang seakan menyesali nasibnya yang tidak berjaya
berkerjaya seperti adiknya Hafiz dan kakaknya Emilia. Meninggalkan dia seorang
di rumah membantu ibu bapanya melakukan kerja rumah dan bendang. Penerimaan ibu
bapa terhadapnya juga menyedihkan. Dirasakan seolahnya kedua ibu bapanya
itu membezakan kasih sayang kepada
anak-anaknya. Sering berjauh hati dan merasa terpinggir. Tambah pula dengan
usianya yang semakin meningkat dan sudah sepatutnya berkahwin . namun Nurita
aisya masih juga belum dipinang sesiapa.
Mungkin ini merupakan
masalah besar bagi ibu bapa . Mereka merasa malu, terhina lantaran anak gadis
mereka tidak disunting orang. Alangkah kolotnya pandangan itu. Mengapa perlu memandang
dengan prasangka pesimis lagi sinis pada gadis gadis yang tidak bertemu
jodohnya lagi. Jodoh pertemuan itu adalah takdir Tuhan. Sukar sangatkah hendak
menerima andaian begitu?
Pada anggapanku
perkahwinan juga adalah nasib. Tidak semua perkahwinan akan memberi apa yang
diimpikan. Asas cinta juga tidak akan membina rumahtangga yang berkekalan
selamanya. Segalanya adalah ketentuan Allah yang harus diterima semata. Bukan
mempersoalkannya kenapa dan mengapa. Sunnah nabi Muhammad saw yang memakmurkan
umat Islam sedunia itu akan berlaku dengan izin-Nya dan tidak mungkin kerana
kemahuan sesiapa sahaja. Telah dirancang
sebaiknya, ditentukan tarikh dan waktu tetap ada saja aral menggendalakannya
jika tidak diingini-Nya berlaku.
Aku juga merancang
perkahwinanku sesuai citarasaku agar sentiasa berbahagia selamanya dikelilingi
anak anak pengikat kasih sayang yang akan dididik sesempurna mungkin. Tidak sempat pulaku lakukan kerana
kemudaratan fizikal yang menguzurkan kesihatanku. Langsung tidakku duga akan
begini kesudahan hidupku. Perancanganku bukan ketentuan-Nya.
Apakah menyesali takdir
yang terjatuh di lorong hidupku? Tanpa
rasa reda tentu akan terselit dosa. Dosa yang tidak mahu lagi kuukir apapun
rupa bentuknya. Samaada besar atau se kecil zarah. Astaghfirullah. Ampuni
hamba-Mu ini ya Allah.
Perkahwinan yang
memberiku rasa bahagia pada mulanya tidak berkekalan selamanya. Singkat sekali berada
dalam situasi yang disenangi terhapus pula tiada terduga. Mungkin ada kesilapan
yang kulakukan di mana-mana tanpa kusedari dan kifarah-Nya perlu ku bayar sejak
di dunia lagi. Astaghfirullah. Ampuni hamba-Mu ini ya Allah. Sesungguhnya hamba-Mu
ini adalah orang yang berdosa.
“Kak dah lama juga
berubat dengan Tok Minah sambil berurut setiap hari Ita tapi masih juga belum
sembuh. Rasanya minggu depan ni ayah kak datang kak akan balik ke tempat kak.
Nak sambung berubat di sana pula.” Sebenarnya aku sangat rindu kepada anak kecil yangku tinggalkan dalam penjagaan
ibu di sana. Anak kecil yang kehilangan kasih sayang ibunya semenjak ia lahir
ke dunia lantaran aku tidak berdaya berbuat sesuatu apa deminya. Tidak dapat
langsung untuk memenuhi tanggung jawab sebagai ibu kepada seorang anaknya.
Namun rinduku kepada anak itu sentiasa membuak-buak.
“Yelah kak. Eloklah
begitu. Jangan berputus asa kak. Berubatlah sehingga sembuh sediakala. Biasalah
sakit ni datangnya seperti ribut tapi nak baiknya berdengut-dengut macam semut.
Tapi nampak pada saya wajah kak sudah semakin merah berseri dan tidak lagi
pucat seperti pertama kali saya ke sini jumpa kak dulu. Insya-Allah kak pasti
pulih. Saya selalu doakan kesejahteraan kak.”
“Terima kasih banyak
dik. Insya-Allah.”
Aku merenungnya tajam.
Renungan yang menyeluruhi wajah mongel ayu itu.
“Kenapa kak pandang
saya begitu? Tak betul apa yang saya katakan itu?” tersipu malu pula ia menuturkannya dengan
rasa keserbasalahan menyebabkan aku digelut bimbang.
“Eh! Bukan itu maksud
kak dik Ita. Sebenarnya kak sedang mencari wajah Emilia dalam wajahmu. Dah lama
kami tak jumpa itu yang rindu sangat. Teringat dulu dulu kak selalu jalan kaki
melalui batas bendang ke rumahmu sebelum bersama-sama Emilia menapak hingga ke
sekolah. Jauh juga jaraknya. Rasanya
dekat 4 kilometer juga. Pendek kata memang penatlah meredah embun di pagi hari
sebelum tiba ke sekolah. Baliknya terpaksa melangkah pula di tengah rembang panas
tengah hari. Sedang perut bukan main
berkeroncong lagi. Setelah makan kami berdua ke rumah Pak Utih pula belajar
mengaji al-quran. Masa tu kau masih kecil dan tak bersaing dngan kami sebab
bersekolah petang. Kenangan zaman kecil yang sangat indah kan Ita. Terasa
hendak mengulanginya. Tapi masakan mungkin.”
Zaman persekolahan yang
menemukan aku dengan ramai guru guru yang bertanggung jawab dengan bidangnya
lelaki dan perempuan terutamanya cikgu
Zakaria. Seorang guru yang menyenangkan hatiku kerana sering membaca karanganku
di dalam kelas dan meminta kawan kawanku yang sekelas mencontohinya. Setiap kali peperiksaan pula aku dan Emilia
sering bergantian mendapat tempat pertama atau kedua hanya dengan perbezaan
markah yang sedikit. Disebabkan itu tidak pula menjadikan kami bermusuh. Emilia
berfikiran terbuka dan dia amat menyedari kekurangan dan kelebihanku iaitu
hanya di dalam subjek bahasa Melayu tapi di dalam subjek metamatik sentiasa di
belakang kecapaiannya.
Nurita aisya tersenyum manis
seraya spontan membalasnya.
“Kak ni rindukan kak
Emilia ya!” tanpa sedar ada buli buli jernih di kelopak mata tanda benar sekali
jangkaan Nurita aisya.
“Kak Emilia pun dah
lama tak balik kampung kak. Sibuk sangat dengan tugasan pejabat. Macam-macam
program pula yang terpaksa diikuitinya. Kadang hingga ke luar negara. Kami
hanya dapat berhubung melalui telefon saja kak. Mak dan ayah pun tak
renti-renti bertanya kenapa kak Emilia tak balik-balik. Saya yang tercongok
selalu di depan mata mereka tak dipeduli pun. Tak kisah pun apa keadaan saya.
Samaada saya gembirakah, sedihkah, peningkah, tak pernah tanya pun kak. Sedang
saya nilah yang sentiasa banyak membantu mak dan ayah di rumah. Kak Emilia dan
adik Hafiz hanya balik sekali sekala saja.”
Aku menggenggam erat tangannya
yang berjemari halus itu. Lontaran suaranya menyatakan kesebalan disebalik
fakta yang diungkap.
“Biasalah Ita, yang
tiada, yang jauh di mata sentiasa diingat, sentiasa dirindu. Kalau Ita tiada di
hadapan mak Tam dan pak Tam mereka juga akan tertanya-tanya dan rindu amat. Anak
dan emak ayah ini hubungannya sangat erat Ita. Berkongsi aliran darah dan jiwa
juga. Walau ada perbezaannya. Janganlh terlalu fikirkan semua tu dik. Bila kak
dah tiada di sini tentu Ita juga akan teringatkan kak. Jadi jangan lupa SMS kak
ya. ”
Tinggallah tok dan mak
cik Aina yang bersusah payah menjagaku, mengurusi setiap keperluanku selama aku
di sini menumpang ehsan dan kasih sayang mereka. Membebani mereka yangku
hurmati dan kusayangi ini justeru keuzuranku bukan kemahuanku. Tapi ujian Allah
kepadaku melibatkan mereka yang berada di sekelilingku juga. Kesabaran mereka
menerima masalah besar yangku bawa bersama diriku hanya Allah yang membalas
ganjarannya. Mudah-mudahan.
Tinggallah Nurita
Aisya, kesudianmu menemani sunyiku selama aku di sini dengan cerita sedih dan
gembiramu begitu bermakna sekali. Akanku simpan abadi di hati. Semoga kelak
suatu ketika kita ketemu lagi dalam suasana berbeza yang kita amat
menyenanginya.