Wednesday, 30 March 2016

AZIZI HJ.ABDULLAH PENULIS DALAM KENANGAN....

ASSALAMUALAIKUM....

Pengalaman menelaah karya cerpen dan novel penulis Azizi Hj. Abdullah


Pic google images
Walau tidak pernah mengenali penulis tersohor ini secara dekat namun setiap karya beliau yang disiar di media massa lewat tahun 70-an, 80-an, 90-an hingga alaf baru sentiasa tidak lepas daripada perhatian. Antaranya cerpen yang diantologikan dalam HADIAH yang menjadi teks subjek sastera untuk pelajar aliran sastera tingkatan empat pada tahun 1974. Antologi cerpen Hadiah menggabungkan cerpen cerpen karya penulis tersohor ketika itu hingga kini seperti Ali Hj. Ahmad/Nora, Zaharah Nawawi dll.
 Sebagai seorang pelajar yang sangat berminat dengan karya bercorak cerpen dan novel tentulah saya akan menekuninya sesungguh hati.  Menghayati cerpen dan novel hasil tulisan penulis Azizi Hj. Abdullah terasa apa yang mahu diterjermah maksudnya sampai dan melekat di hati. Dan cikgu Sarwan yang mengajar subjek sastera tika itu tersenyum puas dengan pencapaian markah saya dalam subjek itu terutama dalam ujian tentang topik cerpen penulis yang saya amat kagumi ini.
 Cerpen ’Tulang Pekasam Ikan Puyu’  yang sangat menarik dengan latar suasana sawah padi dan kampung tradisi yang indah telah diolah menjadi skrip drama TV yang saya ingati hingga kini. Maklumlah saya juga berasal dan dilahirkan di sebuah desa di utara. Terbayang-bayang kenangan memancing ikan puyu, keli, menahan taut ikan haruan, menangkap ikan sepat di bendang untuk dijadikan pekasam kalau terlalu banyak yang kedapatan. Jika sedikit saja hasil daripada aktiviti mencari rezeki itu dijadikan lauk untuk santapan tengahari atau malam.
Di dalam cerpen ini seorang cucu yang kembali ke rumah tok dan tokwannya untuk merasai suasana kehidupan di kampung pada mulanya tidak disenangi tokwannya kerana sikap anaknya yang selama ini telah melupakan tokwan dan tok, ibu bapanya. Namun sikap cucu itu yang berusaha mengambil hati tokwannya berjaya melunturkan kemarahan tokwannya. Ditambah dengan kegemaran cucunya memakan ikan puyu yang dijadikan pekasam membuatkan tokwannya begitu rajin memukat ikan di lubuk yang dalam di bendang.
Kegelojohan anak menelan nasi bersama lauk ikan puyu pekasam menyebabkan tulangnya yang tergaul bersama terlekat di kerongkong si cucu. Insiden yang tidak diduga itu pada mulanya menimbulkan perbalahan antara anak dan ibu bapanya dan menyalahkan tok dan tok wan kerana mengambil mudah cara pemakanan yang berbeza antara bandar dan kampong  yang menyebabkan anaknya terlekat tulang ikan pekasam. Tetapi berakhir ceritanya dengan harmonis kerana masing-masing menerima setiap sesuatu yang berlaku ada hikmah Allah yang tersembunyi di sebaliknya.
Penulis yang banyak memenangi pelbagai hadiah sastera kerana sumbangan yang banyak di dalam bidang penulisan antaranya SEA WRITERS AWARD 1988 bagi novelnya SEORANG TUA DI KAKI GUNUNG yang dijadikan tek subjek sastera tingkatan lima dan banyak novelnya yang diterbitkan mendapat penghargaan yang berwajib. Seperti:
·         'Garis Lentang Anak Haram' (1968)
·         Novel ‘Senja Belum Berakhir’ (1971) memaparkan perjuangan petani di sawah padi (satira perjuangan mendapatkan kemerdekaan negara).
·         ‘Sami Mekong’ (1969) novel yang membentangkan kehidupan penganut Buddha, novel berunsur agama.
·         'Seorang Tua di Kaki Gunung’ ( 1984)- kisah ‘Ketuaan makhluk dan keajaiban alam’ (Berita Harian Rabu 7 April 1984) .Novel ini telah diterjemah ke bahasa Jepun oleh Dr. Fujimorai dan Tahiyibah Sulaiman.
·         'Cahaya di Pendalaman' 1992
·         ‘Suriati’ memenangi Sayembara Sastera Islam anjuran Pusat Islam (1993).
·         ‘Wi & Wiliam’ mendapat tempat ketiga dalam Hadiah Sako I anjuran Utusan Publication tahun 1995.
·         ‘Ayahanda’ terbitan Creative Entr (1999) adalah novel biografi.
·         'Kawin-Kawin' (2002) memenangi hadiah utama Hadiah Sako II .

Jalan Panjang Mencipta Nama
·         SAYA amat yakin untuk menjadi seorang penulis sama ada penulis kreatif dalam gerne novel, cerpen, atau non-kreatif memerlukan disiplin yang kuat. Maksud disiplin ialah kemahuan menulis dalam waktu yang tidak menentu tanpa disuruh atau didesak oleh pihak lain. Oleh sebab saya termasuk dalam golongan penulis yang tidak mempunyai disiplin secara khusus dalam semua perkara maka saya sehingga hari ini menjadi penulis yang sering “tangkap muat” dan ini menjadikan tulisan saya tidak kuat.
·         Hal ini seperti menjadi identiti saya pula, kerana sekiranya ada orang yang benar-benar mengikuti perkembangan awal saya menulis mereka pasti akan dapat menelah bahawa itulah karangan saya walaupun tidak dicatat nama penulis. Penelaah sastera yang saya dapat kesan ialah Dr. Othman Puteh yang dapat memastikan dalam ratusan karya yang dibaca, bahawa salah satu ialah tulisan saya. Mereka akan dapat mengenal pasti cara saya menamatkan cerita dalam keadaan gopoh, terburu-buru hendak sudah. Editor pula, tanpa melihat nama saya juga dapat mengenal pasti tulisan saya berdasarkan skrip yang kotor dan tidak bersih.
·         Kerana itu pada peringkat awal saya menulis Allahyarham Zakry Abadi, pengelola sastera Warta Mingguan dan Utusan Zaman yang mengulas perkembangan penulis utara dalam buku Cenderamata Penulis Kedah terbitan Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Kedah pada 30 September 1996 menganggap saya penulis pengotor dan tidak berdisiplin dan malas menjaga kebersihan. Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dato’ Hj. Shahnon Ahmad sering menegur saya dalam ceramah bahawa saya penulis yang gopoh dan mahu cepat sudah.
Dari blog Azizi Hj. Abdullah.

Membaca novel Azizi Hj. Abdullah iaitu WI DAN WILLIAM amat menyentuh hati mengenangkan keadaan semasa ketika itu di Langkawi yang kini bertukar wajah daripada sebuah pulau indah yang masyhur dengan cerita Mahsuri yang dihukum sula tapi mengalirkan darah putih  sebagai tanda hukuman yang diterimanya adalah kerana fitnah mereka yang ternyata amat dengkikan kecantikannya  dan keperibadiannya yang mulia.
Novel Wi dan William mendapat tempat ketiga dalam Hadiah Sako Utuan Publication 1995, novel yang asalnya dikembangkan  daripada cerpen Kuras Kuras kreatif asyik sekali saya membaca ide yang dijelmakan fikirannya tentang isu pembangunan di Langkawi yang seharusnya melibatkan kaum yang berada di situ sejak keujudannya.
Pembangunan hartanah dan segala jenis perniagaan di Langkawi yang akan memberi keuntungan kepada semua warganya dan tidak hanya dibolot sesuatu pihak saja.dan persahabatan watak Wi yang berbangsa Melayu dan William yang berketurunan China merealisasikan impian bersama secarah mahabbah murni. Pengutaraan isu dan tema yang sangat menarik lagi releven sentiasa dalam situasi semasa.

Ralit sekali kalau saya membaca setiap karyanya yang mencerna minda untuk mengupas fikiran seorang penulis yang sangat berwibawa. Al fatihah dan doa semoga penulis yang terlalu banyak menyumbang tulisannya yang sangat bermakna untuk bangsa dan negaranya dan telah kembali ke Rahmatullah pada  ini dicucuri rahmat rohnya dan di sisi-Nya bersama mereka yang beriman dan beramal soleh. Amiin.

3 comments:

  1. Kakak dulu kak long kakak ada novel-novel Azizi Abdullah ini. Teringat juga dgn Khajidah Hashim, Zaharah Nawawi, Shahnon Ahmad. Masa tu kakak kecik lagi tapi dah tumpang baca novel kak long yg suka juga membeli. Lagi pun kami kan miskin kadang Kak Long pinjam dari perpustakaan sekolah kami baca gilir-gilir..

    ReplyDelete
  2. Dulu kakpun suka baca novel n cerpen penulis azizi ni samaada dipinjam dari sekolah n kalau ada rezki beli juga...tq

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist