Monday, 14 December 2015

MERCU TANDA...

ASSALAMUALAIKUM...

CERPEN:
MERCU TANDA
OLEH:
PARIDAH ISHAK.



Lantaran kesukaran hidupnya dia terpaksa meninggalkan alam persekolahan awalnya tika itu. Namun ada seorang adik abahnya yang baik dan bersimpati dengan nasibnya yang terumbang-ambing dilambung gelombang hidup itu berusaha menyekolahkannya semula. Seorang anak yang tidak ada sesiapa lagi yang memperhatikan kebajikan dan kesejahteraannya. Hidup terlonta-lonta kehilangan ibu dan ayah yang entah ke mana berpergian. Masing-masing membawa diri setelah mengucapkan salam perpisahan. Perceraiaan kedua ibubapanya berlaku kerana masing-masing sudah tidak sefahaman lagi dan perlu menjalani hidup masing-masing tanpa sebarang ikatan.Dia dan abangnya adalah mangsanya dan ditinggalkan begitu saja di sebuah rumah di pinggir desa.
Prestasinya di bidang akademik memang menyerlah juga. Mampu mendapat gred 2 dalam peperiksan SPM (SIJIL PELAJARAN MALAYSIA). Tika itu bukan senang juga untuk mendapat gred kejayaan sebaik itu di dalam SPM. Kebanyakan calon-calon yang mengambil peperiksaan hanya mendapat gred3 atau gred 4. Dan langsung tidak bergred. Maknanya gagal dalam semua subjek yang diambil dalam peperiksaan  itu.

Lepas SPM dapat pula menjadi guru sementara di tempatnya bersekolah dulu itu. Tapi tidak lama terpaksa berhenti pula kerana ada kes merotan pelajar dengan teruk yang melibatkannya. Dia memang tidak ada tokoh sebagai guru yang baik kerana hobinya yang suka merotan pelajar pantang ada kesalahan sedikit. Barangkali sudah terbiasa dengan cara didikan bapa saudara yang menjaganya sejak kecil sepeninggalan ibu ayahnya. Pantang ada kesilapan yang dirasa dilakukannya selain dimarahi deraan kesakitan pun akan diberi. Cara didikan yang tiada kena mengena dengan kaedah Montesseri yang biasanya dipraktikan pada pendidikan awal kanak-kanak..

Setelah berhenti kerja sebagai guru sementara dapat pula tawaran memasuki maktab perguruan Tapi dengan senang hati ditolaknya kerana dia ingin berkerja dan mengumpul wang untuk mengubah penghidupan daifnya.  Bukannya membuang masa dengan belajar saja pada perkiraannya. Lagipun dia memang tidak berminat sebagai guru.
Bimbang pula akan bidang yang dipilihnya itu membawa kemudaratan kepada anak-anak didiknya dengan sikapnya yang mudah naik angin dan cepat panas baran itu. Dia menyedari kelemahan dirinya itu. Baginya mereka yang bergiat dalam bidang ini seharusnya mempunyai sifat kesabaran yang amat tinggi dan bijak menangani isu anak-anak didik mereka yang beragam kerenahnya. Sifat baik, suci murni itu dirasainya tidak ada dalam dirinya.

Berhijrah pula ke Kuala Lumpur menumpang hidup dengan abangnya yang sulung. Abangnya itu telah berkeluarga dan berkerja di dalam majlis bandaraya sebagai seorang kakitangannya. setelah menumpangkannya tinggal bersama bapa saudaranya buat sementara saja katanya. Tapi bertahun-tahun juga abangnya itu tidak pulang menjenguk dirinya. Menumpang lagi. Kali ini menumpang dengan abang sendiri. Masalahnya tetap ada, Berhadapan pula dengan kerenah kakak iparnya yang sentiasa cemberut mukanya kerana tidak menyenangi kehadirannya di tengah keluarga itu.

Lantaran dia semakin dewasa dia tidak ambil kisah lagi kesemua masalah yang menekan emosinya itu. Dia asyik dengan kerjanya. Kerja sebagai kuli pembina bangunan tinggi. Kebanyakan bangunan tinggi yang menjulang di bandaraya ini ada keringatnya yang tumpah di situ. Sambil matanya melingas merata mengawas pandang bangunan-bangunan tinggi yang dulunya adalah mercu tanda bandaraya ini.
Kini bersaing keujudannya dengan bangunan-bangunan lain yang sama tinggi dan ada yang jauh lebih tinggi. Asas membina bangunan yang sama saja iaitu, tanah, besi cerucuk/konkrit, bata, bata blok, pasir halus, pasir kasar, kapur dan simen walau setinggi mana dan bentuknya seakan apa. Dan pelbagai kelengkapan yang diperlukan ada pada sebuah bangunan itu.
Dan di tapak pembangunan yang banyak berselerak di serata pelosok bandaraya kini dipenuhi perkera-perkerja warga asing dari Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Pakistan, Vietnam dan lain-lain negara. Tidak berlaku suasana itu 20 tahun dahulu ketika dia dan kawan-kawannya warga tempatan yang mendominasi setiap peluang perkerjaan kasar begitu.
“Rajin lu kija aaa!”
“Mestilah kena rajin berkerja Seng. Kalau tidak bagaimana nak hidup?”
“Baguih! Baguih! Kerja baik-baik ya. Tapi hati-hati bawa simen ke atas sana ya. Tinggi woo! Terjatuh mati ooo!”
Ah Seng menepuk bahunya sambil tersenyum manis kepada pekerja yang dibawah pengawasannya sebagai penyelia projek itu.
‘Yalah Seng. Aku pun masih muda dan belum terfikir mahu mati lagi Seng. Ingin juga kubina hidupku dengan megah setinggi bangunan yang mencakar langit biru itu.’
“Jomlah kita pergi makan. Dah masuk waktunya ni.”
Sapaan lunak daripada sisi kanannya membuatnya menghentikan kerjanya mengaup pasir yang dimasukan ke dalam mesin penggaul simen.
“Wah kau dah turun dari aras 16 ya?”
“Hmm… mujur juga lift barang tu tidak ada apa-apa masalah hari ni. Cepat saja aku turun sampai bawah. Selalu tu asyik tersangkut-sangkut saja.”
“Lift dah lama Sir. Macam-macam barang diangkutnya. Lama-lama meragam juga.”
“Dah tau lama gantilah dengan yang baru. Ini menyusahkan perkerja saja. Kerja nak cepat siap tapi alatannya setakat ada saja. Projek bangunan juta-juta tapi keselamatan perkerja tak diambil kira. Dibuatnya lift tu yang aku nampak dah semakin haus pengikatnya terbarai waktu kita sedang di dalamnya, mahu kemalangan dibuatnya. Soal keselamatan waktu berkerja ni penting dijaga taukeh kita tu Man.”
“Betul tu Sir. Aku setuju sangat dengan kau. Nanti aku cuba cakap dengan Seng tentang perkara tu. Harapnya dia ambil berat tentang masalah tu.”
“Lift tu perlu untuk melancarkan lagi kerja kita. Bukannya kita nak minta bawa balik rumah pun kan.”
Dia tersenyum sekilas menyambar lelucon kawan sekampungnya itu. Kawan yang sangat akrab bersamanya ke mana saja dan di mana saja. Sama-sama ke sekolah. Sama-sama merayau segenap ceruk kampungnya mencari ikan di paya di sungai, tali air dan di laut yang kemudiannya dijual kepada peraih yang membelinya untuk mendapatkan wang buat belanja harian dan persekolahannya. Kini kawannya itu bersama dengannya mengais rezeki di tapak pembangunan di tengah bandaraya pula. Kawannya yang seorang ini amat mengerti corak kehidupannya yang terpaksa hidup menumpang walau dengan bapa saudaranya sendiri.
Hanya menumpang tinggal semata. Hendakkan keperluan lain carilah sendiri dengan berusaha apa saja. Sikap mandiri dipelajarinya tanpa siapa mengajarnya. Namun demi kelangsungan hidupnya yang perlu diteruskan selagi ada hayat di badan apa saja sumber yang mendatangkan rezeki perlu dicari. Tidak hanya berpangku tangan mengharapkan yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek..
“Kau mesti penat sangat mempoles simen kat atas tu sebab tu asyik merungut saja ni.”
“Dah kita berkerja mestilah penat Man. Peluh lenjun ni menahan panas nak habiskan kerja tu. Tak ramai yang sanggup buat kerja macam kita ni. Semuanya nak jadi cikgu, nak jadi, kerani, nak jadi askar, nak jadi polis, nak jadi peon. Tak adanya yang mahu jadi kuli buat bangunan macam kita ni.”
“Dahlah tu Sir. Selagi perut kau tu tak diisi, selagi tu lah kau melalut. Jom kita pekena nasi kat  warong kak Syila tu.”
Nasir menggamit sesaorang, “jom kita makan sama.” Yang digamit itu hanya tersenyum sambil mengangkat tangan dengan isyarat menolak pelawaannya.
“Tak mahunya David tu ikut kita makan di warong kak Syiela tu. Sebab selama dia masuk kerja sini tak pernah aku jumpa dia di situ.”
“Sekadar berbahasa tak salah pun. Lagipun David tu baik orangnya dan selalunya dia banyak tolong aku dengan kerja-kerja kat atas tu. Dan selalu ingatkan aku berhati-hati dengan kerja aku.”
“Jom lah. Sebelum ramai perkerja lain yang serbu tempat tu, elok kita cepat. Kalau lambat habis pula nasi berlauk kesukaan kau tu.”
“Bukan kesukaan aku saja Man tapi kesukaan semua yang kerja di sini mengisi perut dengan nasi, gulai pelaling, sayur kangkong, kobis atau sawi. Ada sambal sikit dan ulam timun okeylah. Harganya pun murah.”
“Nampak tak menang tangan Kak Syila dan anaknya melayan pelanggan ke gerainya ya. Mesti untung banyak tu.”
“buat apalah nak susah payah berniaga kalau tiada untungnya Man! Tambah berniaga makanan di tapak pembinaan yang perkerjanya sentiasa haus dan kelaparan akibat kepenatan berkerja.”
“Senang buat duit orang yang berniaga ni kan Sir? Aku rasa akupun nak berniaga jugalah. La ni kita kumpul duit dulu, cari pengalaman dan kemahiran berkerja sikit-sikit, lepas tu kita sama-sama berniaga. Tak payah nak jadi kuli bangunan lagi.”
“Apa agaknya yang nak kau niagakan? Nak berniaga nasi berlauk macam kak Syiela tu?
“Entahlah! Nanti kita fikirkan bersama kemudian ya. ”
Kedua sahabat akrab itu beriringan  merentas rembang tengahari ke warong Syiela yang terletak di suatu sudut tersorok berhampiran bangunan yang masih berceracak kerangka besinya.
Suatu pagi.
Dia berlarian ke suatu arah bersama ramai perkerja binaan bangunan tinggi itu untuk mengetahui apa kejadian sebenar yang meriuhkan suasana pagi itu. Penyelia projek sudah berada di situ sambil memangku seseorang yang berlumuran darah kepalanya. Seorang lagi kelihatan terbaring dikerumuni ramai yang lain. Dia turut menyelit di celah-celah kerumunan itu.
“Kau Sir!” terduduk dirinya di situ. Erat dirangkulnya jasad yang semakin sejuk dalam pelukannya. Laju air matanya mengalir tanpa disekanya. ‘Kenapalah kau jadi begini Sir. Kau tinggalkan aku cara begini Sir.’ Ah Seng juga teresak meraung hiba meratapi kehilangan seseorang yang diribaannya. Langsung dia tidak pedulikan gelagat Ah Seng yang menimbulkan tandatanya kepada ramai yang lain sehingga ambulan tiba untuk membawa mangsa kemalangan lift barang yang terputus ikatannya daripada tingkat 16 itu.
Dia dan Ah Seng bersama mengiring kedua-dua yang malang dalam tragedy sadis itu ke hospital.
“Sabar ya Man. Kita sama-sama hilang orang yang kita sayang.”
“Aku memanglah sayang sangat dengan kawan baik aku Nasir dan sangat merasa kehilangannya. Tapi aku heran juga kenapa kau sedih sangat dengan kematian David. Dia tidak ada kena mengena pun dengan kau selain perkerja macam aku juga.”
“Lu tak tahu ya siapa David ni dengan wa? Ramai yang tak tahu tu. David ni adik wa.”
“Adik? Macamana tu?”
“Ya adik wa, satu ma, satu pa.”
“Tapi David hitam kulitnya, kau pula putih melepak.”
“David ikut rupa ma wa asal orang India, wa ikut rupa pa orang China. Tapi kami tetap adik beradik yang baik.”
“Tapi kenapa kau biarkan dia buat kerja berat di tempat pembinaan?”
“Dia yang mahu. Sebab nak cari pengalaman sebelum uruskan projek pembinaan di Pulau Pinang. “
Ah Seng tertunduk lalu mengesat air matanya yang laju menitis di pipi.
“Kalau wa ambil berat apa lu dan David cakap tentang lift yang ada masalah tu, tentu tak jadi gini. David dan Nasir ada lagi dengan kita.”
‘Menyesal pun sudah tiada gunanya Seng! Apa yang berlaku telahpun berlaku. Takdir yang tersurat untuk David dan Nasir sahabatku penentuannya begitu. Walau teramat sedihku rasakan namun kuterima dengan reda.’
Dan bangunan yang memerah keringatnya bersama almarhun Nasir sahabatnya, mendiang David serta puluhan perkerjanya tegak berdiri juga sudahnya. Masih utuh kelihatannya walau sudah puluhan tahun usianya.
“Buat apa lu masih berdiri di sini Man. Jom lah masuk ke pejabat wa.”
“Saja bertafakur sejenak mengimbau nostalgia lalu Seng.”
“Masa lalu yang banyak kisahnya yang tidak mungkin kita lupa…Dahlah tu. Jom kita tandatangan persetujuan kita tentang barang-barang pembinaan yang syarikat lu akan bekalkan kepada syarikat wa untuk projek runah Prima di. Gambang sana.”

TAMAT.





10 comments:

  1. Sadis kematian David dan Nasir. Hakikatnya di tempat kita memang banyak tempat construction yg keselamatan selalu terpinggir. Bila dah terjadi baru nak menyesal. Ok cerpen ini.. kakak suka:)

    ReplyDelete
  2. Terasa sedih pula mengenangkan nasib david dan nasir...
    Akibat tidak peduli majikan mereka menjadi mangsa..
    Dalam pada itu bangga dgn man..
    Akhirnya berjaya membina perniagaan sendiri..
    Bagus cerpen ni Paridah..
    Bnyk nilai murni yg perlu diambil ikhtiibar..

    ReplyDelete
    Replies
    1. sekadar menggarap cerita yg berlaku di sekeliling kita hayati...terima kasih sudi baca.

      Delete
  3. kebiasaanya begitulah...benda dah jadi baru nak menyesal
    .dari awal.kalau dia ambik tindakan tentu tak jadi begini..

    ReplyDelete
    Replies
    1. biasanya begitulah yanty selagi xberlaku tragrdi tindakan xdiambil...tq.

      Delete
  4. wah pandai menulis, tahniah sis

    ReplyDelete
  5. heh..heh..xpandai raihanah saja suka2 menulis..tksh.

    ReplyDelete
  6. spesis manusia apakah mcm tu? ishhh

    ReplyDelete
  7. jgn xtahu ada spesis manusia gitu anies...tq.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist