Friday, 27 March 2026

BERHARI-RAYA

 ASSALAMUALAIKUM



.

BERHARI-RAYA

Sabtu hari raya pertama setelah anak-menantu dan cucu-cucu bersolat hari raya di masjid berdekatan, kami sekeluarga bergerak ke kampungku di Pahang. Sampai di sana hari sudah petang. Segera singgah ziarah rumah pusaka dihuni adikku yang kedua. Beliau tinggal sendirian dan anak-cucunya pulang menziarahinya meraikannya bersama. Aku bersama anak-anak cucuku turut ke sini menjejaki sejarah kenangan kehidupanku dahulu bersama ibu bapa dan adik-adikku dahulu. Mengeratkan silaturahim terjalin sekian lama sempena Aidilfitri mulia. Sempat juga aku dan anak-anak cucu ziarah jiran tetanggaku. Jiran-jiranku itu persis saudaraku terdekat. Mereka semua sering membantu kesusahanku. Maklum aku kan OKU yang lemah sedangkan jiran-jiranku sihat sejahtera bertenaga. Kepulanganku ke sini mengejutkanku dengan khabar yang diterima. Beberapa orang telah meninggal dunia. Sementara yang masih tinggal kelihatan uzur. Aku pula tidak dapat masuk ke rumah menemui mereka. Aku hanya berada di dalam kereta dan mereka pula berada di atas rumah memandangku sayu dari atas kerusi roda sambil melambai tangan. Bersuara lirih dan halus. Air mataku menitis laju. Pilu menyentuh suasana merenggut atma.
.
ziarah raya –
jiran tetangga desa
lambaian kenang

TRAGEDI AWAL MALAM
.
Pulang daripada berhari raya di rumah besan di Terengganu, anak, menantu dan cucu-cucuku singgah di Bentong. Kenderaan kami berhenti di hadapan sebuah kedai makan. Mereka berehat seketika sambil menjamu selera, sedangkan aku menunggu waktu maghrib di dalam kereta untuk berbuka puasa sunat Syawal. Makanan telah pun disediakan oleh anakku.
Seusai semuanya, anakku menggerakkan kereta menuju ke masjid untuk menunaikan solat. Namun, belum pun beberapa meter, tiba-tiba terdengar bunyi letupan dari sebelah kiri. Anakku segera memberhentikan kereta dan keluar meninjau keadaan. Rupa-rupanya tayar kereta telah meletup.
Syukur, kejadian berlaku di kawasan bandar Bentong. Mudah untuk kami mendapatkan bantuan daripada anak saudaraku, Akram dan Amir, yang segera datang membantu menukar tayar. Kebetulan adikku dan keluarganya menetap di sini. Andai insiden itu berlaku di laluan sunyi antara jalan lama hingga ke Serendah, mungkin kami terpaksa bermalam di tengah rimba.
.
iftar puasa -
pinggiran bandar Bentong
rahmat ukhuwah

4 comments:

  1. Allhuakbar. Semuga keluarga sis Allah lindungi. Selamat Hari raya maaf zahir dan batin sis

    ReplyDelete
  2. Selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir batin.
    Nasib baik tragedi tayar pecah di bandar, takde lah susah sangat nk minta pertolongan..

    ReplyDelete
  3. mengunjungi jiran tetangga, bersua muka dari jauh...Allahu..Allah permudahkan urusan..

    ReplyDelete
  4. Salam Aidilfitri kak... Allhamdulillah semua selamat...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist