Saturday, 28 March 2026

KENANGAN SAMBUTAN PUASA DAN HARI RAYA

 ASSALAMUALAIKUM



Paridah Ishak
No. 7, Jalan 7F Melor
Desa Melor, Serendah, Selangor
Coretan ADILA – Radio Klasik

KENANGAN SAMBUTAN PUASA DAN HARI RAYA

Mengenang pengalaman berpuasa dan berhari raya pada zaman kanak-kanak sering membuatkan aku tersengih memanjang. Memori mengimbau ceritera indah menggamit kenangan persis tagline Radio Klasik. Paling mengesankan tentulah kenangan berbaju raya sedondon yang dipakai aku dan adik-adikku. Kami tiga beradik perempuan yang hampir sebaya, berbaju kurung hasil jahitan tangan emak sempena hari yang mulia.

Akhir 60-an ketika itu aku berusia tujuh tahun dan mula belajar berpuasa pada awal Ramadan. Terasa perit juga menahan lapar dan dahaga, namun aku tetap bersabar menunggu waktu berbuka sambil membantu emak menyediakan juadah di dapur.

Emakku rajin memasak kuih talam, pulut sekaya dan pelbagai juadah lain secara berselang hari. Nasi ulam bersama pelbagai jenis ulaman tradisi dan perlu dicari di dusun serta masak asam keladi pula hanya disediakan sekali sahaja sepanjang Ramadan sebagai menu istimewa.

Betapa nikmatnya berbuka puasa dengan hidangan enak, ditambah pula air minuman sirap selasih yang disejukkan dengan ketulan ais. Pada waktu petang, aku akan ke kedai Pak Saad yang terletak tidak jauh dari rumah untuk membeli ais dengan harga sekupang. Ketul ais itu diletakkan dalam serbuk kayu untuk mengelakkannya cair sebelum tiba masa menggunakannya. Maklum waktu itu belum ada lagi peti ais.

Ketika itu kami sekeluarga tinggal di sebuah rumah kecil beratap nipah. Rumah jiran-jiran lain pula jauh lebih besar dan dibina bertiang tinggi. Kedudukannya berdekatan antara satu sama lain. Penghuninya ialah pesawah padi. Justeru, apabila tiba hari raya kalau hajat, berziarah dari rumah ke rumah memang mudah. Setelah hampir sebulan berpuasa, hati tidak sabar menantikan tibanya Aidilfitri.

Aidilfitri menjelang apabila anak bulan Syawal disahkan melalui pemasyhuran Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Berita tersebut pula disampaikan secara lisan dari mulut ke mulut kerana pada waktu itu, sumber berita hanyalah radio RTM dan hanya segelintir yang memilikinya.

Pagi raya, aku dan adik-adik bangun awal lalu berlari ke perigi untuk mandi sunat hari raya. Air yang ditimba terasa amat dingin menyirami tubuh kecil kami hingga bibir menggeletar, namun mandi sunat Aidilfitri tetap dilakukan. Selepas itu, kami pun bersiap mengenakan baju dan kasut baharu.

Selesai berpakaian, kami bersarapan dengan ketupat pulut dicicah gulai daging serta kuih-kuih tradisi seperti baulu, kuih Loyang, karas, putu kacang, putu beras, wajik yang disediakan emak. Kemudian, kami bersalaman dengan emak dan ayah memohon ampun dan maaf segala kesilapan yang pernah dilakukan sama ada sengaja atau tidak. 

Selepas itu, kami ke masjid dan seterusnya ke tanah perkuburan. Kedua-dua tempat ini menjadi tumpuan kanak-kanak pada hari raya kerana ada insan pemurah yang sudi menghulurkan sedekah.

Alangkah seronoknya dapat mengumpul duit raya walau hanya lima duit/lima sen atau sekupang.

Beraya ke rumah jiran-jiran pula biasanya hanya dijamu ketupat dan kuih-muih. Jika mengharapkan duit raya, memang hampa kerana duit raya hanya diberi oleh emak dan ayah sendiri. Berbeza benar suasana raya anak-anak dahulu dengan anak-anak hari ini yang mudah mengumpul duit raya dalam jumlah yang besar. Begitulah masa yang mengubah suasana.

Pada zaman aku beraya dahulu, dapat mengumpul seringgit pun sudah terasa terlalu banyak. Kaya sungguh rasanya, heh…heh….

Ketika usiaku sembilan tahun, keluargaku berpindah menyertai skim tanah rancangan FELDA di Ulu Jempol, Pahang, meninggalkan kampung halaman di Kedah, membina kehidupan baru. Berpuasa dan hari raya seterusnya kami sambut di bumi baharu ini.

Jiranku di sebelah kanan berasal dari Selangor. Imah dan keluarganya gemarkan pecal dan pelbagai makanan tradisi Jawa. Menjadi  antara menunya untuk berbuka puasa. Dapatlah aku merasa keenakannya kala dia menghantarnya semangkok ke rumahku. Idah dan keluarganya jiranku di sebelah kanan rumahku berasal dari Kelantan. Keluarganya sukakan juadah manis. Antaranya kuih lompat tikam, bunga tanjung, tahi itik, puteri mandi dll. Dia rajin sekali menghantar juadah ke rumahku menjelang buka puasa.

Abang Din dan Kak Fauziah jiranku di sebelah hadapan sering menghantar ke rumahku pelbagai juadah berbuka puasa yang disediakan di masjid kerana Abang Din ialah tukang masak di masjid untuk makmum berbuka puasa sebelum solat maghrib.

Rokiah dan keluarganya berasal dari Pulau Pinang juga sering menghantarkan juadah disediakannya walaupun jarak rumahnya dengan rumahku agak jauh. Begitu juga dengan Zai anak negeri Pahang dan keluarganya, ada saja juadah berbuka puasa pemberiannya untukku dan keluarga. Alhamdulillah rezeki saling memberi dan menerima di bulan puasa dinikmati bersama.

Ramadan semakin berakhir. Menjelang lagi Aidilfitri.

Suasananya terasa agak suram. Ramai penghuni tanah rancangan pulang ke kampung asal masing-masing untuk berhari raya. Jiran-jiranku juga beransur pulang ke kampung asal mereka. Hanya beberapa buah rumah kelihatan bercahaya, diterangi barisan pelita panjut di sekeliling rumah.

Anak-anak kecil berlarian bermain bunga api dalam malam yang hening kerana ibu bapa mereka tidak mampu membiayai kos pulang ke kampung asal yang jauh di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan negeri-negeri lain. Aku dan keluargaku juga berhari raya di sini.

Di kejauhan gema meriam buluh memecah sunyi. Aku dan adik-adikku bermain bunga api dan mercun lada saja. Sudah jemu bermain-main di laman rumah, aku bersama adik-adik dan rakan-rakanku mula melangkah kaki berjalan beramai-ramai ke hujung kampung, menikmati keindahan malam yang diterangi cahaya pelita panjut yang dipasang sepanjang jalan. Ada pelita diperbuat daripada buluh, dan ada juga pelita ayan.

Emakku pula sibuk di dapur menyediakan kuih dan hidangan hari raya. Itulah gambaran suasana awal tahun 1970-an. Beraya secara ala kadar namun tetap sarat dengan kenangan.

Kini, tiada lagi cerita generasi pertama atau kedua yang berbondong-bondong pulang ke negeri asal masing-masing. Sebaliknya, merekalah yang menjadi penunggu setia anak-anak dan cucu pulang beraya bersama setelah berpuluh tahun bermastautin di tanah FELDA. Aku pula sudah berusia emas dan masih di sini sebagai peneroka generasi kedua.

Suasana ketika berpuasa Ramadan dan menyambut hari raya tidak lagi sunyi dan hening. Perkarangan rumah dipenuhi kereta anak-anak yang pulang. Malam tujuh likur pula tidak lagi disambut dengan jajaran pelita ayan, sebaliknya digantikan sinaran kelip-kelip lampu elektrik.

Surau-surau blok dipenuhi ahli blok dan keluarga masing-masing yang menunaikan solat sunat tarawih setiap malam. Terasa amat rugi jika tidak berkesempatan menunaikannya walaupun berdepan kekangan tertentu.

Terasa kemeriahan kala bersembahyang hari raya di masjid yang melimpah makmumnya hingga ke ruang laman. Ramai anak-anak peneroka yang merantau ke mana-mana kerana tugas dan kerjaya masing-masing, pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga di tanah FELDA.

Hidangan yang tersedia pula amat beraneka kerana masyarakat FELDA terdiri daripada gabungan pelbagai negeri. Masing-masing membawa tradisi budaya beraya yang akhirnya bercampur dan saling melengkapi.

Peneroka dari Perak dan Negeri Sembilan tidak pernah melupakan lemang dan rendang. Orang Kedah, Pulau Pinang dan Perlis pula setia dengan ketupat pulut dan gulai daging. Peneroka dari Selangor dan Johor hadir dengan lontong, lodeh, ketupat nasi serta kuah kacang.

Mereka berasal dari Terengganu dan Kelantan pula membanggakan nasi impit dan nasi dagang sebagai hidangan istimewa pagi raya.

Penduduk asal Pahang pula berbangga dengan aneka kuih tradisi yang jarang ditemui, di samping lemang dan ketupat sebagai sajian utama. Kini, tidak perlu lagi berkunjung ke rumah peneroka tertentu untuk menikmati hidangan negeri tertentu kerana semuanya telah dikongsi bersama.

Tidak hairanlah jika makanan tradisi dari pelbagai negeri tersaji di mana-mana rumah peneroka tanpa mengira asal usul. Semuanya menyatu, membentuk sebuah masyarakat yang toleran, harmoni dan saling bekerjasama.

Kuih-muih dan pelbagai menu masakan istimewa memenuhi meja pada hari raya di rumahku kerana jiran-jiranku dari dahulu hingga kini mengekalkan cara saling berkongsi rezeki. Bak kata perbidalan, banyak sama dilapah, sikit sama dicicah. Selamat beribadah puasa Ramadan dan menyambut Aidilfitri peminat ADILA Radio Klasik, mohon maaf zahir batin.

Lagu pilihan;

1.      Bisikan Hati Di Pagi Raya – Hail Amir- Sharifah Aini

2.      Doa Di Hari Mulia – Uji Rashid

3.      Kepulangan Yang Dinanti  -  Aman Shah


 

 


No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist